Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami : Perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertakwa. (Al-Furqan:74) akhifaizul Blogging Portal


Monday, February 19, 2007

Masjid al-Aqsa simbol persefahaman

Tindakan Israel menggali kawasan suci di Palestin dianggap perbuatan biadab mesti dihalang

SEJAK kelahiran Islam 1440 tahun yang lalu, Masjid al-Aqsa di bawah pemerintahan tiga kuasa agama iaitu Islam, Kristian dan Yahudi. Masjid al-Aqsa di bawah pemerintahan Islam selama 1200 tahun, Kristian (88 tahun) dan Yahudi (59 tahun).

Perlu dinyatakan di sini bahawa Masjid al-Aqsa pernah berada di bawah kuasa konspirasi antarabangsa moden (Inggeris dan sekutunya menerusi Perjanjian Balfour) dari 1917 hingga munculnya Israel pada 1948.

Kawasan Masjid al-Aqsa adalah satu-satunya negeri yang penyerahannya dilakukan oleh khalifah sendiri. Demi menghormati Masjid al-Aqsa dan permintaan penghuni Kristiannya, Khalifah Umar ibn al-Khattab meluangkan waktu dari Madinah pergi menuju Baitulmaqdis menerima kunci kota itu. Beliau turut membuat perjanjian bertulis disebut al-Ahdah al-Umariyah yang menyatakan bahawa orang Kristian mengamanahkan kepada Umar diri mereka, harta, gereja, keturunan, orang sakit, orang sihat dan semua kepercayaan mereka di sana, untuk dijaga dan dipelihara oleh pemerintahan Islam. Dari sinilah bermulanya pemerintahan Islam selama 1200 tahun hingga 1917.

Selepas 400 tahun pembukaan Masjid al-Aqsa oleh Umar, ia jatuh ke tangan pemerintahan Kristian. Ia ditakluki Raymond Tolouse, seorang keluarga diraja dari Toulouse, Perancis. Beliau memimpin tentera Salib menuju al-Quds. Jumlah mereka hanya sekitar 1,000 tentera berkuda dan 5,000 pasukan infantri. Pada 1099M, mereka berhasil memasuki Palestin dengan melalui Acre. Selepas itu mereka menduduki Ramleh, Lod dan Baitulaham. Pada 7 Jun 1099M, pengepungan wilayah al-Quds dimulakan. Iftikhar al-Dawlah adalah penguasa yang dilantik Kerajaan Fatimiyah di sana. Kota ini dikuasai pada 15 Julai 1099.

Tentera Salib terus menyerang umat Islam selama seminggu. Mereka berhasil membunuh lebih 70,000 muslim di dalam Masjid al-Aqsa, termasuk pemimpin, cendikiawan dan orang yang sedang beribadah. Malangnya, Kerajaan Fatimiyah dan Abbasiyyah tidak berbuat apa-apa untuk membantu, mereka hanya diam membisu melihat peristiwa ini. Al-Quds dikuasai oleh tentera Salib, Godfry Gouillon, yang dengan rendah hati menyebut dirinya dengan jolokan Pembela al-Quds.

Lapan puluh lapan tahun kemudian, iaitu pada 1187, Masjid al-Aqsa kembali ke tangan umat Islam di bawah pimpinan Salahuddin al-Ayyubi. Pada 20 September tahun itu, pengepungan ke atas kota al-Quds bermula. Di dalam kota ada seramai 60,000 pasukan Salib yang semuanya memutuskan untuk lebih baik mati daripada menyerahkan wilayah kota berkenaan. Pada masa pengepungan berlaku beberapa pertempuran. Pasukan Islam berusaha untuk merempuh masuk dan menyerang. Akhirnya, tentera Salib Eropah menuntut damai dengan meminta kota itu diserahkan kepada mereka dan apabila permintaan itu tidak dipenuhi mereka mengancam akan membunuh ribuan tawanan Muslim.

Mereka juga mengugut akan membunuh kaum wanita dan keturunan mereka yang Kristian, membakar dan menghancurkan seluruh harta benda, membunuh binatang ternak, merosak Masjid al-Aqsa dan Batu Shahrah, lalu mereka keluar untuk bertempur hingga ke titisan darah terakhir.

Salahuddin yang berbincang dengan sahabatnya kemudian bersetuju untuk berdamai. Lalu diberikan kepada mereka perdamaian. Akhirnya umat Islam mencapai kemenangan ke atas al-Quds pada 2 Oktober 1187M. Di sini nampak jiwa tolak ansur dan kasih sayang Salahuddin yang juga diakui oleh kebanyakan orang Kristian.

Begitulah akhirnya Baitulmaqdis kembali diperintah di bawah bendera Islam selepas 88 tahun dikuasai tentera Salib. Keagungan dan kemuliaan Masjid al-Aqsa dikembalikan, suara azan kembali berkumandang.

Pada 1948 pemerintahan baru menguasai Masjid al-Aqsa selepas tentera Yahudi menaklukinya. Ini diakui seorang wartawan Israel, Gad’on Levy, menerusi artikelnya di akhbar Israel Ha’aretz mendedahkan mengenai kejahatan dan penindasan terancang Israel terhadap tempat suci di Palestin. Dalam artikelnya itu, Levy menulis dengan berdirinya entiti Yahudi Israel di Palestin, mereka mula menodai nilai bangsa lain. Tidak kurang daripada 400 desa Palestin diporak-perandakan pada 1948. Padahal di desa berkenaan ada 400 masjid yang juga dihancurkan dan 400 gereja milik Kristian turut menjadi mangsa kekejaman Israel. Israel tidak meninggalkan jejak sejarah apapun di desa itu dan kubur yang ada didalamnya dibongkar manakala masjid, ada yang dihancurkan dan ada yang dikotori.

Hari ini selepas 59 tahun Masjid al-Aqsa dikuasai tentera Zionis Israel, rancangan tersembunyi dan jahat mereka ke atas Masjid al-Aqsa terdedah dan didedahkan lagi. Seperti dilaporkan awal minggu ini bahawa kegiatan menggali dekat Masjid al-Aqsa atas sebab mencari tinggalan sejarah Yahudi akan diteruskan oleh pihak berkuasa Israel, meskipun Israel menghentikan pembinaan satu laluan ke dalam Kota Lama yang menempatkan rumah ibadat berkenaan.

Walaupun pihak berkuasa Israel menolak kebimbangan al-Aqsa akan rosak termasuk Masjid Omar yang dikatakan dibina kononnya di atas bekas tapak kuil Yahudi purba, umat Islam masih meraguinya. Ketua Mahkamah Palestin, Syaikh Taisir Tamimi meminta kaum Muslimin tidak mudah terlena dengan janji Zionis yang akan menghentikan sementara penggalian di Maghariba, wilayah Masjid Al-Aqsa.

Katanya, apa yang dilakukan Zionis Israel yang menghentikan penggalian di sekitar Masjid al-Aqsa itu mempunyai tujuan lain iaitu menghentikan reaksi kemarahan masyarakat dan kaum Muslimin yang sudah meluas ke seluruh sudut kota Palestin bahkan ke beberapa negara Arab dan Islam, serta mengundang tekanan antarabangsa terhadap penjajah Zionis sendiri.

Syaikh Tamimi dalam keterangannya yang disampaikan kepada Palestine Information Center menegaskan bahawa sehingga saat ini beberapa pertubuhan Zionisme ekstrim sesungguhnya masih tetap melanjutkan penggalian dan menghancurkan kawasan sekitar Masjid al-Aqsa, khususnya pintu Maghariba, secara diam-diam. Beliau meminta masyarakat antarabangsa terus menekan Zionis Israel supaya menghentikan kerja menghancurkan Masjid al-Aqsa.

Pakar Zionisme, Nawwaf al-Zuru dalam tulisannya menyatakan ada 10 fasa menghancurkan Masjid al-Aqsa. Israel tidak hanya pandai membuat teori menghancurkan Masjid al-Aqsa tetapi mereka sudah melakukan 10 fasa untuk merobohkan tempat suci umat Islam itu, kemudian dibangunkan haikal Sulaiman di atas puing-puingnya.

Fasa I: Dilakukan sejak 1967 hingga akhir 1968 dengan menggali terowong 70 meter di selatan Masjid al-Aqsa di belakang menara masjid.

Fasa II: Dilakukan dari 1969 hingga 1970 dengan menggali terowong 80 meter dari pagar Masjid al-Aqsa.

Fasa III: Dilakukan dari 1970 hingga 1973, Israel menggali terowong di bawah Mahkamah Syariah dan di bawah lima pintu masjid al-Aqsa, al-Musalsal, al-Muthahirah, al-Qatthanin, al-Hadid dan Alauddin al-Basyri di samping terowong yang ada di bawah empat masjid dan menara masjid Qaithabi dan Suuq Al-Qatthanin. Penggalian terowong dan aktifak Yahudi ini menyebabkan sebahagian daripada bangunan Mahkamah Syariah berubah menjadi gereja dan peninggalan bersejarah perjuangan suku Kurdi Islam dan sekolah Al-Jauhariah mengalami kerosakan.

Fasa IV-V: Dilakukan sejak 1973 hingga akhir 1975 dengan penggalian daerah bahagian belakang gerbang selatan sepanjang bahagian timur bawah Masjid al-Aqsa, pagar Masjid al-Aqsa bahagian timur sepanjang 80 meter juga mencakupi penggalian bahagian bawah Masjid al-Aqsa.

Fasa VI: Kegiatan dilakukan mulai 1975 dengan tujuan menghilangkan kubur Sahabat Nabi dan mendirikan beberapa tempat pelancongan nasional Israel di atasnya.

Fasa VII: Ini dilakukan sesuai dengan projek Dewan Kementerian Israel pada 1975 yang merampas infrastruktur milik Islam hingga pagar Al-Barraq (al-Mabkaa) dan diteruskan dengan penggalian di bawah bangunan Mahkamah Syariah dan perpustakaan Al-Khalidiah dan pojok Abu Madin al-Ghauts dan semuanya roboh, ditambah 35 rumah warga lainnya.

Fasa VIII: Fasa yang bermula daripada permulaan tahun 80-an dengan slogan mengungkap harta karun Kerajaan Israel ini adalah penggalian yang sangat berbahaya yang pernah di alami oleh Masjid al-Aqsa. Sebab banyak penggalian yang masih dilakukan secara sembunyi oleh Israel. Sebahagian penggalian ini diungkap oleh laporan kepala daerah Um Alfahm, Raid Shalah seperti Lembaga Al-Aqsa dan Jabatan Waqaf di Al-Quds. Pada saat itu sempat terjadi pertentangan antara Israel dengan jemaah. Di tengah-tengah pertentangan ini penggalian dilakukan di bawah Masjid al-Aqsa.

Fasa IX: Dilakukan pada 1981. Pembukaan terowong yang ditemukan Kolonel Inklizi Charles Warn dibuka dan kemudian ditutup semula. Terowong itu bermula di bahagian bawah pintu Al-Muthahharah antara pintu Al-Silsilah dan Al-Qathanin hingga ke pintu Magharibah dan ke bawah Masjid al-Aqsa. Israel mendakwa bahawa tembok yang terdapat di terowong adalah milik Haikal Sulaiman yang mereka sebut dengan terowong Hasyumunaim. Pada fasa ini dilakukan penggalian terowong di bawah bangunan Mahkamah Syariah pada 1987 dan di bawah sekolah Al-Tankiziah. Terowong dibina sehingga ke sebelah utara Masjid al-Aqsa. Akibat kegiatan penggalian ini sejumlah bangunan, sekolah dan bangunan kedai mengalami kerosakan malah ada yang roboh. Penggalian ini juga mengakibatkan gerbang utama Jabatan Waqaf, roboh.

Fasa X: Sebahagian terowong Hasyumunaim yang panjangnya kira-kira 250 meter dibuka selepas hari raya Pengampunan Yahudi pada Isnin 24 September 1999. Pengumuman pembukaan yang dihadiri oleh pejabat tinggi Israel ini menyebabkan perselisihan atau pertentangan antara Israel dan Palestin paling sengit berlaku di Masjid al-Aqsa. Pemerintah Israel tergesa-gesa menutupnya. Israel menggali terowong di bawah Masjid al-Aqsa sepanjang 400 meter dari kampung Barat Arab hingga di tapak tembok Al-Barraq di bahagian utara kampung Islami. Jika tindakan itu diteruskan, sewajarnya kita bimbang Masjid al-Aqsa, kiblat pertama kita dirobohkan? Jika berlaku, sewajarnya orang Kristian juga bimbang dan khuatir tempat suci mereka dirobohkan. Begitu juga, sewajarnya orang Yahudi juga bimbang dan khuatir apabila tempat suci mereka dirobohkannya walaupun Zionis mengatakan lain?

Oleh Abdurrahaman Haqqi, Berita Minggu 18 Februari 2007

-------------------------------------------------------------
Dan telah sempurnalah Kalimah Tuhanmu (Al-Quran, meliputi hukum-hukum dan janji-janjiNya) dengan benar dan adil; tiada sesiapa yang dapat mengubah sesuatupun dari Kalimah-kalimahNya; dan Dia lah yang sentiasa Mendengar, lagi sentiasa Mengetahui.(Al-An'aam:115)

Labels: ,

Saturday, February 17, 2007

Ujian

Entry ini adalah untuk peringatan diri sendiri dan juga ahli keluargaku. Moga kita semua tergolong dalam golongan orang-orang yang sabar dalam menerima ujian Allah. Roda tidak selamanya di atas. Roda pasti akan berpusing ke bawah jika hendak melengkapkan satu pusingan.

Ujian adalah sunatullah yang ditetapkan bagi seorang hamba kerana empat perkara. Ianya adalah seperti berikut;

1. Mengangkat darjat seseorang didunia dan di akhirat. Orang-orang yang mendapat ujian adalah orang-orang yang paling tinggi darjatnya, di mana mereka diuji di awal perjalanan hidupnya. Lalu mereka bersabar dan mengharap pahala dari ujian itu. Allah akan meninggikan darjat untuk selamanya.

2. Untuk mendidik hamba yang diuji, di mana Allah mendidik hati manusia dengan ujian agar menjadi bersih dan ikhlas kepada Allah.

3. Membuktikan erti kehambaan kepada Allah.. Sebab Allah ingin mengetahui bahawa hamba benar-benar seorang hamba Allah. Perkara itu tidak mungkin berlaku dengan pengakuan semata-mata atau dengan alas an tidak berdalil sampai ia enyatakan pengabdiannya. Ramai orang yang mengaku hamba Allah, tetapi ketika dicuba dengan ujian ia kembali kepada keadaannya semula dan ia rugi dunia dan akhirat. Itulah kerugian yang nyata.

Maka di antara faedah ujian yang paling agung adalah merealisasikan maqam ibadah bila kamu sebagai hamba Allah. Inilah ujian, maka bersabarlah dengannya. Kerana Yang menulis ujian ke atasmu adalah Yang menulis nikmat untukmu.

4. Memperolehi bahala di sisi Allah. Sesuatu yang diamanahkan oleh Allah tidak akan hilang di waktu ia hilang di sisi manusia. Orang yang berhubung dengan Allah tidak akan rugi tetapi beruntung. Orang yang di tolong Allah tidak akan kalah, tetapi akan menang.

Artikel oleh Dr ‘Aidh Abdullah al-Qarni dari buku Jagalah Allah, Allah Menjagamu

p/s jangan lupa baca hadith dibawah untuk peringatan bersama.
-------------------------------------------------------------
Wahai anak, sesungguhnya aku ingin mengajarkan kepadamu beberapa kata, jagalah Allah, pasti Dia akan menjagamu, jagalah Allah pasti kamu dapati Dia di hadapanmu (dengan pertolonganNya), kenallah Allah dalam kesenangan, pasti Dia akan mengenalimu dalam kesusahan. Ketahuilah bahawa kemenangan ada bersama kesabaran. (HR Tirmidzi)

Labels: ,

Friday, February 16, 2007

Membenteras Rasuah

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Marilah sama-sama kita mempertingkatkan ketakwaan kepada Allah s.w.t dengan menunaikan segala perintahnya dan menjauhkan diri daripada segala larangannya, mudah-mudahan kita tergolong dikalangan orang-orang yang bertakwa didunia ini.

Sidang Jumaat yang berbahagia,

Sempena dengan sambutan bulan hijrah pada kali ini, marilah sama-sama kita mencari kehidupan yang diberkati Allah s.w.t dan kita hidup dengan sumber rezeki yang halal serta jauhilah rasuah, kerana rasuah adalah wabak penyakit yang telah menular dan menjadi darah daging dalam masyarakat klasik (dahulu) atau masyarakat kotemporari (semasa) didunia sekarang. Rasuah telah mendominasi (mengusai) kehidupan,ekonomi,politik,pendidikan,sukan dan lain-lain.

Wabak ini amat sukar dibendung,kerana ia terselindung dan dilindungi oleh tangan-tangan kotor yang begitu licik, tetapi mempunyai nama dan kedudukan. Ia juga dibalut dan dibungkus dengan nama-nama indah seperti komisen,duit kopi,pelincir,wang ekstra,hadiah penghargaan dan lain-lain nama yang sangat bagus dan indah bagi produk yang sama,sehingga dikala ini ia dipandang sebagai sangat wajar dan biasa. Pada hal, walau sekecil mana sekali pun, ia boleh memusnahkan sebuah negara dan melenyapkan tamadun sesuatu ummat.

Wabak ini telah merentasi sejarah, zaman dan sempadan geografi dengan begitu pantas sekali. Tidak kira bila dan dimana, ia tetap sebagai simbol pengkhianatan,keperibadian yang buruk dan hina, kerana rela menggadai agama,bangsa,negara dan ummat demi wang ringgit,Dolar,Rupiah,Rial dan lain-lain lagi.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Mari kita renung satu kisah iaitu Puteri Balqis,seorang ratu kerajaan Saba' dalam era kenabian Sulaiman a.s,pernah menghantar satu deligasi mengadap Nabi Sulaiman a.s dengan membawa barang-barang hadiah setelah menerima surat dakwah Nabi Sulaiman a.s menyeru beliau dan rakyatnya menyembah dan mengesakan Allah s.w.t, dengan anggapan bahawa Nabi Sulaiman a.s boleh dipengaruhi dan dibeli serta membiarkan ratu Saba' itu dalam kemusyrikannya. Nabi Sulaiman a.s menolak dengan tegas,malah mengusir deligasi tersebut. Peristiwa ini dipaparkan oleh Allah s.w.t dalam al-quran dengan firmannya:

"Kembalilah kepada mereka (jika mereka tidak juga mahu beriman) maka demi sesungguhnya kami akan mendatangi mereka dengan angkatan tentera, yang mereka tidak akan terdaya menentangnya, dan kami akan mengeluarkan mereka dari negeri Saba' dengan keadaan hina,menjadi orang-orang tawanan".(An-Naml :37)

Ibnu Khasam dalam kitab sirahnya pernah meriwayatkan bahawa Uthbat bin Robiat seorang tokoh yang berpengaruh dalam masyarakat Qurais datang menemui Rasulullah s.a.w dengan menawarkan harta yang boleh menjadikan Nabi Muhammad s.a.w seorang yang paling kaya dikalangan mereka. Beliau juga menawarkan jawatan ketua yang berkedudukan paling tinggi, atau wanita-wanita cantik,sekiranya itulah yang Nabi Muhammad s.a.w inginkan dalam perjuangan agama baru yang dibawanya. Nabi Muhammad dengan tenang tetapi tegas menolak segala tawaran yang tidak bermaruah itu, kerana bukanlah itu yang diperjuangkannya.

Rasuah juga adalah sebagai amalan tradisi bagi bangsa-bangsa Yahudi. Dimana mereka sering mengagungkan kebatilan, kedustaan serta mengamalkan rasuah. Ini telah diperjelaskan oleh Allah s.w.t dengan firmannya :

"Mereka sangat suka mendengar berita-berita dusta,sangat suka memakan segala yang haram (rasuah dan sebagainya), oleh itu kalau mereka datang kepadamu, maka hukumlah diantara mereka (dengan apa yang telah diterangkan oleh Allah), atau berpalinglah dari mereka, dan kalau berpaling dari mereka, maka mereka tidak akan dapat membahagiakanmu sedikit pun, dan jika engkau menghukum,maka hukumlah diantara mereka dengan adil, kerana sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil".( Al-Maidah ayat 42)

Sidang Jumaat yang mulia,

Rasuah dalam perspektif hukum feqah Islam hukumnya adalah haram, walaupun ada ulamak yang berlainan pendapat tentang pengambilan rasuah untuk menolak kezaliman (darurat dan terpaksa). Hukum haramnya rasuah itu tetap qot'i berdasarkan kepada dalil-dalil syar'i dari al-quran, as-sunnah dan ijmak ulamak.

Dalam al-quran banyak terdapat ayat-ayat yang mengisyaratkan tentang rasuah. Berdasarkan firman Allah s.w.t :

"Dan janganlah kamu makan (atau mengambil) harta (orang-orang lain) diantara kamu dengan jalan yang salah, dan janganlah kamu menghulurkan harta kamu dengan (memberi rasuah) kepada hukum-hukum, kerana hendak memakan (atau mengambil) sebahagian dari harta manusia dengan (berbuat) dosa, pada hal kamu mengetahui (salahnya)". (Al-Baqarah ayat 188)

Ketetapan as-sunnah pula meriwayatkan berdasarkan sabda rasulullah s.a.w : "Pemberi rasuah dan penerima rasuah akan masuk kedalam neraka". (Riwayat At-Tabrani)

Hadirin yang berbahagia,

Jenayah rasuah sering berlaku adalah disebabkan :

1- Hilangnya nilai keimanan dalam diri dan kehidupan setiap individu.

2- Syariat Allah tidak diamalkan dalam kehidupan nyata manusia. Situasi ini akan membuatkan manusia begitu nekad melakukan jenayah dan menghalalkan semua cara.

3- Ingin menjadi cepat kaya dan hidup berbagai, sehingga tidak mempedulikan halal atau haramnya harta yang diperolehi.

4- Kegagalan dalam mengimbangi antara pendapatan dan perbelanjaan dengan keperluan hidup semasa.

5- Rasulullah s.a.w bersabda : "Tibanya suatu masa dimana manusia ketika itu tidak lagi peduli tentang apa yang mereka ambil (belanjakan ) samada daripada sumber yang halal atau pun yang haram".

Sidang Jumaat yang mulia,

Merebaknya rasuah dalam kehidupan masyarakat meninggalkan padah dan gejala yang sangat buruk dan negetif. Ia dapat memutarbelitkan kebenaran, malah kebatilan dapat menjadi kenyataan. Ia meracuni nilai akhlak yang mulia, menghakis potensi dan kualiti.Sebaliknya orang yang berpotensi tinggi, dan manusia yang punya hubungan rapat dengan agama akan terpinggir, kerana tidak mampu menyogok atau memberi sedikit habuan.

Oleh itu sebagai renungan, marilah kita ikuti kata-kata Imam Nawawi dalam kitabnya Al-Majmuk :

"Merebaknya rasuah dikalangan pemegang kuasa adalah bala dan petaka bagi si pelaku sendiri dan masyarakat umum. Dengan menerima rasuah, kepekaan rohaniahnya akan mati, hatinya menjadi batu dan wajahnya menjadi hantu, sedangkan orang awam,orang-orang yang lemah tidak dapat meneruskan urusannya, anak-anak yatim piatu dan para balu akan terkapai-kapai, kerana tidak dapat mengalas perut".


Meskipun rasuah belum ditemui titik noktahnya, namun ia bukanlah satu mistik dialam misteri. Sesungguhnya kanser sosial ini wajib dibanteras, kerana ia mengundang akibat yang sangat konfliks dalam kehidupan masyarakat duniawi dan ukhrawi. Malah sejarah telah membuktikan bahawa gejala rasuah boleh merugikan negara dan negara akan jatuh muflis, sekiranya gejala buruk tersebut tidak dibanteras hingga keakar umbinya. Justeru, semua pihak bermula daripada individu hinggalah kepada yang mempunyai kedudukan dan kekuasaan, termasuk menyedia dalam semua bentuknya, lebih-lebih lagi dalam era globilisasi dan kemajuan sistem informasi ini, wajiblah memainkan peranan masing-masing dalam usaha mengadakan gerakan pencegahan yang tepat dan teratur bermula dengan diri masing-masing, antaranya hendaklah mengamalkan perkara-perkara berikut :

1- Menghayati ajaran Allah s.w.t dalam kehidupan.

2- Menanam dan mengamalkan nilai-nilai murni dalam diri seperti beramanah dan bertanggungjawab.

3- Menguruskan perbelanjaan secara berhemah.

Ya-Allah, kurniakan kerahmatan dan keselamatan , penjagaan dan perlindungan, kesuburan dan penghasilan, keatas negeri kami,Negeri Selangor Darul Ehsan. Jadikan rakyatnya bersatu padu, berilmu pengetahuan dan berakhlak mulia, lindungi kami daripada persengketaan, perpecahan,fitnah memfitnah dan bencana alam. Semoga dengan demikian Negeri Selangor dan rakyatnya bertambah makmur dan berkat.

Khutbah Jabatan Agama Islam Selangor, 16 Februari 2007
--------------------------------------------------------------
Tuhan yang mentadbirkan tujuh petala langit dan bumi serta apa yang ada di antara keduanya, Tuhan Yang Maha Pemurah, tidak ada sesiapapun diberi kuasa berkata-kata denganNya (untuk memohon pertimbangan tentang balasan atau pengurniaan itu);(An-Naba' : 37)

Labels: ,

Wednesday, February 14, 2007

Perlu ikhlas dalam berdoa

Firman Allah: Apabila hamba-hambaku bertanya kepada-Ku tentang Aku (maka jawablah) bahawa Aku sangat hampir (kepada mereka) Aku menyambut permohonan orang yang berdoa apabila dia berdoa kepada-Ku. (al-Baqarah:186)

Sebab turunnya ayat ini bahawa Nabi s.a.w mendengar orang Islam berdoa kepada Allah dengan suara yang yang tinggi di dalam peperangan Khaibar.

Lantas Nabi s.a.w bersabda kepada mereka yang bermaksud: Hai manusia, perlahankan suara kamu dalam berdoa kerana kamu tidak berdoa kepada yang pekak dan tidak kepada yang ghaib. Sesungguhnya kamu berdoa kepada yang Maha mendengar, dekat dan bersamamu. Di sini Ibn al-Jauzi menyebut pendapat yang lain berkenaan turunnya ayat ini selain di atas:

1. Seorang Badwi datang bertemu Nabi Muhammad s.a.w dan bertanya: Adakah Tuhan kita hampir untuk munajat atau jauh untuk menyeru? Kemudian turunnya ayat ini. Seperti riwayat Alsalt bin Hakim daripada ayahnya daripada datuknya.

2. Yahudi Madinah bertanya: Hai Muhammad! Bagaimana Tuhan kami mendengar doa kami, sedangkan kamu sangka antara langit perjalanan lima ratus tahun? Kemudian turunnya ayat ini. Inilah riwayat Abu Soleh daripada Ibn Abbas.

3. Mereka berkata: Hai Rasulullah! Kalau kami tahu waktu yang disukai oleh Allah untuk kami berdoa kepada-Nya. Lantas turunnya ayat ini, seperti pendapat Ata’.

4. Sahabat Nabi bertanya Rasulullah: Di manakah Allah? Lantas turunnya ayat ini. Seperti kata al-Hasan.

Firman Allah: Aku sangat hampir (kepada mereka) Aku menyambut permohonan orang yang berdoa apabila dia berdoa kepada-Ku. Sheikh al-Maghari berkata: Dekatnya Allah dengan hambanya bermaksud: Penguasaan ilmu dengan sesuatu ialah dia mendengar segala ucapan dan melihat perbuatan mereka.

Dinyatakan di sini beberapa adab berdoa, antaranya:
1. Berdoa dengan penuh keikhlasan dan pengharapan kepada Allah s.w.t.

2. Memulakan dengan pujian kepada Allah s.w.t dan diikuti dengan selawat ke atas Rasulullah s.a.w.

3. Menutup doa dengan pujian kepada Allah s.w.t dan selawat kepada Rasulullah s.a.w. Imam al-Nawawi berkata bahawa para ulama telah sepakat (ijmak) bahawa doa itu dimulai dengan kalimah memuji Allah s.w.t kemudian selawat kepada Rasulullah s.a.w. Demikian juga penutup doa, diakhiri dengan pujian dan selawat. (Al-Azkar dalam Bab Pembukaan dan Penutup Doa. Ibn Hajar mengatakan sanadnya adalah jayyid, (Sahih al-Tirmizi).

4. Berdoa dengan khusyuk, tadharru’ dan disertai dengan penuh pengharapan.

5. Berdoa dengan sabar menanti dimakbulkan Allah s.w.t.

6. Tidak berdoa untuk keburukan seperti kecelakaan dan memutuskan silaturrahim.

7. Berdoa dengan mengucapkan Ya Rabb sebanyak tiga kali. Dari riwayat daripada Atha’ r.a beliau berkata: Tidaklah seseorang hamba mengatakan Ya Rabb sebanyak tiga kali melainkan Allah s.w.t akan mendengar akan permintaannya. Al-Imam Malik pernah ditanya tentang panggilan kepada Allah s.w.t dalam doa tentang wajarkah atau tidak diseru dengan nama Sayyid. Jawab beliau: Katakanlah: Ya Rabb, kerana itulah panggilan para nabi a.s kepada Allah s.w.t dalam munajat mereka. (Fiqh al-Doa: Bab Doa Makbul).

8. Mengadap kiblat. Mengangkat kedua-dua belah tangan semasa berdoa kerana berdasarkan dalil: Anas bin Malik.

9. Berdoa dalam keadaan berwuduk.

10. Menyeru Allah s.w.t dengan nama-namanya yang mulia iaitu Asmaulhusna.

11. Makanan dan minuman mestilah dari sumber yang halal dan bersih.

12. Hendaklah melakukan amal makruf dan nahi mungkar. Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: Demi Allah s.w.t yang jiwaku berada dalam tangan-Nya hendaklah kalian menyeru kepada yang makruf dan mencegah daripada melakukan perkara yang mungkar. Jika kalian tidak melakukannya Allah s.w.t akan menurunkan seksa kepada kalian dan apabila kalian berdoa kepadanya nescaya tidak akan dimakbulkan. Hadis ini diriwayatkan oleh al-Turmuzi dan dianggap sebagai hasan.

13. Menghimpunkan kesemua anak jari melainkan ibu jari ini berdasarkan sebuah hadis sahih.

15. Menyapu muka dengan tangan setelah selesai berdoa. Dalilnya Ibn Abbas berkata: Apabila kamu memohon kepada Allah s.w.t mohonlah dengan tapak-tapak tangan dan jangan memohon dengan belakang tapak tangan kamu dan sapulah muka kamu dengan tapak tangan kanan. (riwayat Abu Daud, Ibn Majjah dan al-Hakim).
Saad bin Majid menceritakan daripada bapanya memberitahu bahawa apabila Rasulullah berdoa, baginda akan menadah kedua belah tapak tangannya, kemudian menyapu dengan kedua belah tangan tersebut. Hadis ini diriwayatkan oleh Abu Daud.

Umar bin Al-Khatab pula menceritakan, apabila baginda mengangkat kedua belah tangannya ketika berdoa, baginda tidak akan menjatuhkannya sehinggalah disapu mukanya dengan kedua belah tangan tersebut. Hadis ini diriwayatkan oleh al-Tirmizi dan al-Hakim.

16. Mengaminkan doa yang dibaca.

Sebahagian adab doa ini diambil daripada buku 101 Doa Para Nabi dan Rasul dalam al-Quran; Khasiat dan Kaifiat Beramal oleh Zahazan Mohamed.

Firman Allah: Oleh itu hendaklah mereka menyambut seruan-Ku dan beriman kepada-Ku supaya mereka mendapat jalan yang banyak. Orang yang arif dengan syariat Allah dan sunah Allah terhadap makhluknya tidaklah bermaksud doanya kecuali hidayahnya dengan sebab kepada penghasilan segala matlamat dan mencapai maksud.

Sebagai contoh: Apabila seseorang memohon kepada Allah supaya rezeki bukan bermaksud turun hujan ke atasnya hujan emas dan perak. Apabila memohon sembuh penyakit, bukan bermaksud dia mencari adab sebaliknya untuk taufik kepada rawatan yang membawa kepada penyembuhan.

Ditegaskan oleh Sheikh al-Maghari: Siapa yang meninggalkan usaha sebaliknya menuntut untuk didatangkan apa yang dihajati tanpa sebarang ushaa, maka ia dianggap tidak berdoa sebaliknya jahil. Ini kerana ia membatalkan segala sunah yang telah disunahkan Allah mengikut hukumnya terhadap makhluk.

Seperti yang diketahui, doa merupakan tuntutan serta bertawajuh dengan Allah dengan hati akan terkesan betapa perlu-Nya. Orang yang mengingati kebesaran Allah pasti mencapai matlamat doa. Sebab itulah Nabi s.a.w menamakan doa sebagai otak segala ibadah.

Dalam ayat ini Allah memperakukan penerimaan dengan syarat beriman dan yakin kepada-Nya. Orang yang mempunyai sifat tersebut sudah pasti mendapat petunjuk Allah s.w.t.

Iktibar dan pengajaran ayat:
1. Dekatnya Allah s.w.t dengan hamba untuk memberi pertolongan dan mengetahui keadaan mereka.
2. Doa merupakan otak ibadat dan senjata yang ampuh bagi orang Islam.
3. Bagi mentahqiqkan penerimaan doa hendaklah dilaksanakan dua syarat:
- Beriman.
- Melaksanakan segala arahannya sama ada yang fardu atau sunat dan meninggalkan segala larangannya.

Artikel Oleh : Dr. Zulkifli al-Bakri.
-------------------------------------------------------------
"Dan adakah orang yang mati (hatinya dengan kufur), kemudian Kami hidupkan dia semula (dengan hidayat petunjuk) dan Kami jadikan baginya cahaya (iman) yang menerangi (sehingga dapatlah dia membezakan antara yang benar dengan yang salah, dan dapatlah) dia berjalan dengan suluhan cahaya itu dalam masyarakat manusia, (adakah orang yang demikian keadaannya) sama seperti yang tinggal tetap di dalam gelap-gelita (kufur), yang tidak dapat keluar sama sekali daripadanya? Demikianlah (sebagaimana iman itu diperlihatkan keelokannya kepada orang-orang yang beriman), diperlihatkan pula pada pandangan orang-orang yang kafir itu akan keelokan apa yang mereka telah lakukan (dari perbuatan kufur dan segala jenis maksiat). "(Al-An’aam:122)

Labels: ,

Monday, February 12, 2007

Usaha Zionis Robohkan al-Aqsa

Rasanya ramai yang telah membaca buku Al-aqsa dalam Bahaya tulisan Ust Maszlee Malik. Untuk entry ini den letakkan video talk beliau. Kebanyakan perkara yang diperkatakan di dalam video ini lebih kurang sama dengan apa yang terdapat di dalam buku yang ditulis beliau. Dengar dan membaca dua perkara yang lain. InsyaAllah ada manfaatnya jika dengar butir bicara beliau di dalam video ini.

Labels: ,

Biadap

Lihatlah kebiadapan Israel. Dunia mengecam pembinaan jambatan yang diimpikan, mereka buat tak tahu dan terus sahaja melaksanakannya. Tidak hirau dengan bantahan dunia, mereka seolah-oleh berkuasa mutlak. Hinggakan hendak bersolat pon dilarang. Langsung tiada kebebasan buat saudara-saudara kita di sana. Apa yang kita buat untuk mereka? Sama-sama kita renungkan.
-----------------------------
Israel teruskan projek ke Masjidil al-Aqsa

BAITULMAQDIS: Israel terus menjalankan projek pembinaan di laluan menuju ke Masjidil al-Aqsa meskipun projek itu dibantah dunia Islam dan dua hari selepas bantahan ganas Palestin, termasuk serangan ke atas bas pelancong Kanada.

Dengan dikawal ketat polis Israel, pekerja kembali ke tapak binaan di kawasan tembok Kota Lama selepas cuti sehari kelmarin.

Suasana tegang terus memuncak di bandar itu sejak minggu lalu apabila Israel memulakan projek berkenaan di kawasan Tanah Haram manakala Yahudi menganggap kawasan itu sebagai Temple Mount.

Israel mahu membina kawasan pejalan kaki baru bagi menggantikan tanjakan asal yang diperbuat daripada tanah dan mengalami kerosakan sejak tiga tahun lalu selepas dilanda ribut salji.

Jurucakap polis, Micky Rosenfeld berkata, tiada sebarang insiden semalam dan menegaskan, kerja pembinaan itu akan diteruskan sepanjang hari.

Katanya polis dan anggota tambahan seramai lebih 2,000 akan terus ditempatkan di dalam dan sekitar Baitulmaqdis Timur selain melarang Muslim bawah 45 tahun memasuki masjidil al-Aqsa.

Ketika berucap menjelang mesyuarat mingguan Kabinet, Perdana Menteri Israel, Ehud Olmert mengecam golongan dalam dunia Arab antarabangsa yang mempunyai kepentingan kerana menjadikan isu itu sebagai alasan mengapi-apikan lagi kebencian dan permusuhan terhadap rejim Yahudi itu.

Tanjakan sedia ada kata Olmert, perlu dibaik pulih kerana strukturnya sudah dianggap bahaya dan kerja binaan dilakukan adalah di kawasan tanggungjawab mutlak Israel serta dikawal rapi.

Jumaat lalu, kira-kira 200 polis anti rusuhan melemparkan bom renjatan dan gas pemedih mata ke arah penunjuk perasaan yang melontar batu selepas lebih 3,000 penduduk Palestin berhimpun menunaikan solat di al-Aqsa.

Kelmarin, remaja Palestin melempar batu ke arah polis Israel selain membakar bendera Zionis serta menyerang bas pelancong Kanada dengan batu.

Kawasan tembok terbabit, sudah beberapa kali mencetuskan intifada Palestin. Kawasan terbabit dianggap suci oleh Islam kerana dikatakan menjadi tempat Nabi Muhammad mikraj ke langit manakala Yahudi menganggap tempat itu menjadi rumah ibadat mereka.

Mengulas mengenai pembentukan kerajaan campuran Palestin menerusi deklarasi Makkah, Olmert berkata, kerajaan baru Palestin mesti mengiktiraf negara Israel seperti yang dituntut dalam proses damai tajaan Barat, selain menghentikan serangan terhadap rejim Yahudi itu. – AP

Sumber : Berita Harian, 12 Februari 2007
-------------------------------------------------------------
Dan tiadalah bagi mereka sebarang penolong - yang lain dari Allah - yang dapat memberikan pertolongan kepada mereka; dan sesiapa yang disesatkan oleh Allah (disebabkan pilihannya yang salah) maka tidak ada baginya sebarang jalan (untuk mendapat hidayah petunjuk).(Asy-Syuura : 46)

Labels: ,

Sunday, February 11, 2007

Al-Aqsa: Tindakan Israel diragui

JORDAN dan Palestin menyuarakan kebimbangan berhubung kerja penggalian di sekitar Masjid Al-Aqsa yang dilakukan oleh pihak berkuasa Israel.

Dunia Islam pun pasti turut bimbang terhadap perkara ini. Bukan itu saja, dunia juga mesti prihatin terhadap perkara ini.

Kalau dunia Islam sering kali menegaskan bahawa punca akar keganasan adalah masalah Palestin, maka soal Masjid Al-Aqsa inilah merupakan teras kepada ancaman keselamatan dunia.

Manakan tidak, agenda Israel untuk memusnahkan kebenaran dan digantikan dengan kepalsuan fahaman mereka menjadi ancaman kepada persefahaman hubungan antara bangsa dan agama di dunia.

Pihak berkuasa Israel menyatakan bahawa kerja-kerja penggalian itu dilakukan untuk membina satu laluan baru bagi menggantikan tempat yang menjadi lalu-lalang para pengunjung kerana dikatakan telah rosak dan buruk.

Bolehkah Israel dipercayai? Tentunya dunia Islam tidak dapat mempercayai Israel. Bukan saja dari segi rekod, malah dari segi prinsip dan kepercayaan, Israel tidak dapat dipercayai.

Dalam hal ini, perlu dilihat perbezaan antara Yahudi, Zionis dan Israel berhubung dengan Baitulmaqdis serta Masjid Al-Aqsa.

Yahudi membawa kepada dua konsep iaitu agama dan bangsa. Zionisme membawa konsep ideologi. Sementara Israel membawa konsep politik negara bangsa.

Dalam agama Yahudi, terdapat pelbagai mazhab, yang antaranya mengimpikan pembinaan balik Rumah Ibadat Raja Sulaiman.

Mereka berasa bertanggungjawab untuk membina semula Rumah Ibadat Raja Sulaiman, atau King Solomon Temple yang didirikan pada tahun 953 sebelum Masihi oleh Nabi Sulaiman.

Rumah ibadat ini dianggap oleh penganut agama Yahudi sebagai tempat paling agung telah dimusnahkan oleh tentera Babylon. Kemudian ia dibina balik dan dikenali sebagai Rumah Ibadat Kedua oleh Raja Herod. Sebahagian daripada tembok yang dibina itulah kini dikenali sebagai Tembok Ratapan atau Wailing Wall di mana penganut-penganut Yahudi menziarahinya dan meratap di situ mengenangkan nasib bangsa mereka ketika ditakluki.

Penakluk Rom kemudian memusnahkan lagi Rumah Ibadat Kedua itu dan orang Yahudi bertebaran ke seluruh empayar Rom di sekitar negara-negara Laut Mediterranean.

Orang Rom kemudian membina sebuah Kuil Jupiter untuk meraikan dewa Jupiter di satu tapak tidak jauh dari Rumah Ibadat Raja Sulaiman itu.

Setelah empayar Rom menjadi Kristian, maka maharajanya membina sebuah gereja besar Church of Holy Sepulchre tidak jauh dari Kuil Jupiter yang kemudian dimusnahkan.

Bagi orang Islam, Rumah Ibadat Raja Sulaiman itu dianggap sebagai Masjid Al-Aqsa. Masjid dalam erti kata, tempat sujud, atau rumah ibadat.

Walaupun konsep masjid sebagai rumah ibadat orang Islam hanya timbul setelah munculnya agama Islam tetapi jika diambil pengertian bahawa agama Islam adalah merujuk kepada semua agama yang benar termasuk agama yang sebelumnya gerakan dakwah Rasulullah s.a.w., maka agama yang dibawa oleh Nabi Ibrahim, Nabi Sulaiman dan Nabi Isa yang dikenali juga dengan agama Hanif, agama Yahudi asal dan Nasrani, maka konsep masjid juga merujuk kepada rumah-rumah ibadat agama sebenar ini.

Justeru Masjidilharam di Mekah yang dibina oleh Nabi Ibrahim dan juga Masjid Al-Aqsa yang dibangunkan oleh Nabi Sulaiman adalah disebut juga sebagai masjid walaupun ketika Rasulullah belum lahir.

Maka dalam Israk dan Mikraj Rasulullah yang masa itu masih berada di Mekah dan belum lagi dibina mana-mana masjid oleh orang Islam, baginda sampai di Masjid Al-Aqsa sebelum berangkat ke Sidratul Muntaha.

Masjid Al-Aqsa inilah juga menjadi kiblat pertama umat Islam sebelum berubah ke Masjidilharam.

Apabila Sayidina Omar sampai di Baitulmaqdis sebagai panglima tentera Islam yang membebaskan Palestin, tempat pertama yang beliau cari ialah tapak Masjid Al- Aqsa. Tidak ada lagi bangunan di situ. Yang ada menurut riwayat sejarah adalah tempat pembuangan sampah.

Baginda kemudian membersihkan tempat itu yang dianggap sebagai tempat suci memandangkan ia merupakan tapak Masjid Al-Aqsa dan mengarahkan pembinaan Masjid Al-Aqsa seperti yang ada pada hari ini.

Tetapi itu bukanlah bermakna keseluruhan bangunan Masjid Al-Aqsa yang ada itu dibina oleh Sayidina Omar sebagai khalifah kedua.

Menambah bangunan

Pada tahun-tahun kemudian, khalifah-khalifah telah membaiki dan menambah bangunan Masjid Al-Aqsa hingga menjadi bentuk pada hari ini.

Toleransi pemerintahan khalifah jelas apabila gereja yang tidak jauh dari situ terus dibenarkan digunakan. Bagaimanapun dengan melihat kehebatan Sayidina Omar, maka ramailah penduduk Palestin pada zaman itu berduyun-duyun memeluk agama Islam lebih-lebih lagi sebelumnya semasa pemerintahan Rom Bizantin, mereka menanggung pemerintahan kejam.

Selepas beberapa ratus tahun kemudian, semasa pemerintahan khalifah ke-9 Umaiyah, Khalifah Malik ibni Marwan mengarahkan pembinaan sebuah masjid yang lebih cantik tidak jauh dari Masjid Al-Aqsa dan gereja besar itu.

Masjid yang dikenali sebagai Masjid Omar atau Kubah Al-Sakhra, atau Dome of the Rock (Kubah batu) mempunyai seni bina yang cantik dan gemilang hingga ia menjadi terkenal hingga ke hari ini sebagai simbol bukan saja Baitulmaqdis tetapi Palestin.

Banyak orang keliru bahawa Dome of the Rock ini adalah Masjid Al-Aqsa. Tetapi ia merupakan masjid indah dan menjadi simbol kegemilangan Islam hingga ada kalangan orientalis yang membuat andaian bahawa pembinaan masjid itu oleh Khalifah Umaiyah adalah untuk menegaskan keagungan agama Islam mengatasi Kristian, iaitu untuk mengatasi gereja Church of Holy Sepulchre.

Pada masa itu, pemerintahan Islam iaitu khalifah Umaiyah berpusat di Damsyik dan Palestin terletak di pemerintahan langsung dari Damsyik.

Perlu diingat bahawa semasa pemerintahan Khalifah-au-Rasyidin yang empat, Palestin terletak di bawah pentadbiran wilayah Syam dengan ibu wilayah di Damsyik.

Damsyik pula sebelum diperintah oleh Islam adalah juga ibu wilayah Rom bagi Syam yang meliputi Palestin. Melihat sejarah yang sebegini tidak hairanlah kini Syria yang mempunyai ibu negara di Damsyik cenderung untuk memainkan peranan ke atas masalah Palestin.

Semasa Damsyik menjadi ibu wilayah empayar Rom Bizantin yang beragama Kristian, terdapat gereja paling besar di Asia Barat terletak di kota itu.

Pada masa itu, tamadun Rom berada di peringkat jauh lebih tinggi daripada orang Arab. Maka apabila orang islam dapat menguasai Damsyik dan Syam, mereka mewarisi tamadun Rom dan menjadikannya sebahagian daripada peradaban Islam.

Sayidina Muawiyah yang menjadi gabenor Islam di Damsyik menjadi perintis kepada proses ketamadunan Islam.

Lebih-lebih lagi selepas beliau menjadi khalifah kelima Islam dan khalifah pertama daripada kerajaan Umaiyah, maka jelas segala kegemilangan Rom diwarisi oleh Islam.

Gereja besar Damsyik diambil alih untuk dijadikan Masjid Umaiyah utama seperti yang ada pada hari ini. Untuk memajukan kerajaan besar Islam, khalifah-khalifah Umaiyah telah menyerap orang Yahudi ke dalam jentera kerajaan.

Ada yang memeluk agama Islam, tidak kurang pula yang terus kekal berada dalam agama Yahudi.

Namun begitu, dari segi budaya, orang Yahudi yang pandai menulis ini telah menjadi bahagian penting dalam tamadun Islam. Kepentingan peranan orang Yahudi dalam tamadun Islam bukan saja berlaku dalam pemerintahan Umaiyah di Damsyik tetapi juga kerajaan Umaiyah di Andalusia.

Mereka kemudian terus diberi tempat dalam kerajaan Uthmaniah di Istanbul.

Pihak yang meminggirkan Yahudi adalah orang Rom dan kemudiannya Kristian, termasuk golongan tentera Salib.

Semasa Perang Salib, golongan Kristian dari mazhab Katolik sampai ke Baitulmaqdis dan Palestin. Ketika mereka masuk ke Baitulmaqdis, kota itu berlumuran darah kerana hampir semua penduduknya dibunuh, bukan saja orang Islam, tetapi juga Yahudi dan Kristian. Tentera Salib turut memusuhi orang Kristian yang bukan daripada mazhab mereka. Maka yang menjadi mangsa iaitu selain daripada orang Islam dan Yahudi, ialah Kristian Ortodoks.

Semasa pemerintahan kerajaan-kerajaan Kristian dan tentera Salib, mereka amat berminat mengenai apa yang terkandung di bawah tanah sekitar masjid Al-Aqsa. Muncul sekumpulan yang dikenali sebagai Pahlawan Templar atau Knights of the Templar yang dikatakan dapat memasuki kawasan-kawasan purba di bawah Masjid Al-Aqsa dan gereja Church of Holy Sepulchre. Sebagai tempat bersejarah tentunya ia mengandungi banyak rahsia dan pelbagai misteri serta mitos dikaitkan dengannya.

Malah Knights of Templar juga dikatakan mempunyai rahsia tersendiri yang dikatakan berkait dengan Nabi Isa. Kisah-kisah berkaitan rahsia ini mendorong banyak pihak khususnya ahli sejarah membuat kajian, baik daripada kalangan ahli arkeologi profesional mahupun amatur.

Tetapi dalam banyak-banyak kisah ini, terdapat penulis fiksyen dan rekaan turut serta membuat pelbagai cerita, maka antaranya muncullah novel seperti The Da Vinci Code yang sudah pun dijadikan filem.

Bagaimanapun, kemudiannya Palestin dan Baitulmaqdis kembali ke tangan orang Islam melalui usaha, antaranya Salahuddin Al-Ayubi, seorang sultan Kurdis yang memerintah dari Kaherah. Kemudian Baitulmaqdis dan Palestin berada pula di bawah pemerintahan kerajaan Uthmaniah.

Zaman moden

Menjelang zaman moden, iaitu apabila munculnya Enlightenment di Eropah diikuti dengan Revolusi Sains dan Industri, orang Yahudi didapati menjadi sebahagian daripada Eropah walaupun mereka disisihkan, dihina dan ditindas serta dipaksa tinggal dalam daerah-daerah sempit dikenali sebagai ghetto.

Dalam keadan tertindas ini, orang Yahudi terus cemerlang dalam bidang intelektual dan kewangan. Antara hasil daripada pemikiran ini, maka muncul fahaman Zionisme, yang secara ringkas mencita-citakan sebuah negara untuk orang Yahudi.

Pada awalnya Zionisme bukannya fahaman keagamaan. Ia lebih berbentuk politik dalam fahaman sekularisme, nasionalisme dan sosialisme. Mereka tidak begitu mencita-citakan sebuah negara Yahudi di Palestin. Bagi mereka, sudah cukup baik jika terdapat satu wilayah di mana-mana di muka bumi, walaupun di Eropah untuk dijadikan negara Yahudi.

Kesatuan Soviet pernah memperuntukkan sebuah republik Yahudi di bawah Persekutuan Soviet Sosialis Rusia (FRSSR).

Bagaimanapun, dengan keruntuhan khalifah Uthmaniah dan kekalahan pakatan Jerman-Turki dalam Peperangan Dunia Pertama, mereka mendapat peluang bertapak di Palestin. Dengan menggunakan gerakan terorisme, mereka dapat merampas tanah Arab untuk dijadikan wilayah Yahudi.

Tetapi hanya selepas berlaku Holocaust dan Perang Dunia Kedua, barulah golongan Zionis diberi wilayah untuk dijadikan Israel. Pada mulanya Britain mahu memberikan Uganda di Afrika sebagai negara bagi orang Yahudi.

Tetapi atas menanggung kesalahan orang Kristian dan Eropah terhadap apa yang mereka melakukannya kepada orang Yahudi, maka Palestin dijadikan Israel. Selepas perang tahun 1967, mereka berjaya menawan Baitulmaqdis, Masjid Al-Aqsa dan Dome of the Rock.

Hanya selepas itu, mereka bercita-cita untuk membangunkan semula Rumah Ibadat Raja Sulaiman di atas tapak Masjid Al-Aqsa. Model untuk itu sudah pun dibuat. Usaha penggalian arkeologi serta pelbagai helah dibuat untuk merosakkan Masjid Al-Aqsa.

Artikel asal oleh : Zin Mahmud, Mingguan Malaysia 11 Februari 2007

Labels: ,

Februari

Semalam berbicara sedikit dengan zaujah terchenta perihal keprihatinan golongan agamawan di Malaysia tentang peri pentingnya menyedarkan masyarakat dengan sambutan hari Valentine. ALhamdulillah, kebanyakan kerajaan negeri telah mula sedar akan pentingnya untk menyalurkan maklumat sebenar kepada rakyat setiap negeri akan bahayanya hari Valentine ini.

Hari ini diriku dikejutkan dengan berita yang dipaparkan oleh akhbar Utusan yang menlaporkan kadar kehamilan tanpa nikah meningkat saban tahun selepas hari Valentine. Jelas di sini, walaupon sesetengah daripada kita telah berusaha untuk memberi kefahaman tentang bahayanya Valentine tetapi masih ramai sangat umat Islam khususnya di Malaysia ini tidak faham apa itu Valentine.

Apa yang lebih menyedihkan, mereka tidak faham akan kesan Valentine pada aqidah mereka, dan mungkin ramai yang tidak tahu akan latar sejarah hari Valentine ini.

Alhamdulillah, khatib-khatib di negeri-negeri seluruh Malaysia rasanya berusaha keras untuk menyalurkan kefahaman mengenai hari Valentine ini. Di Batu Pahat sewaktu bertugas outstation baru-baru ini, khatib ada mengingatkan jemaah Jumaat akan bahaya Valentine.

Laporan akhbar Utusan benar-benar memeranjatkan diriku. Sedih melihat bangsaku bergelumang dalam dosa atas dasar menyambut perayaan yang mereka sendiri tidak tahu asal-usulnya. Perayaan yang disambut atas dasar ikut-ikutan telah meranapkan jati diri seorang muslim dalam memelihara maruah Islam dan diri sendiri.

Sebenarnya pemahaman dalam sesuatu perkara itu amatlah penting dalam tindakan kita. Ketiadaan pemahaman mengenai Valentine membuatkan sesetengah individu terjebak kepada perkara yang tidak bermoral ini.

Dari mana datangnya pemahaman? Jawapan mudahnya adalah dari PENDIDIKAN. Pendidikan hanya akan terlaksana apabila ada pendidik dan juga penyaluran maklumat mengenai sesuatu isu.Bila ada pendidikan mengenai bahayanya hari Valentine, insyaAllah kepincangan seperti ini tidak akan berlaku.

Golongan yang menyambut hari Valentine ini rata-ratanya boleh kurumus sebagai mengikut trend secara mengkhinzir-buta. Mereka melihat ianya suatu budaya yang baik tanpa melihat kesannya dari aspek tuntutan agama. Bagi golongan ini, mereka berpendapat tiada salahnya untuk menzahirkan rasa kasih-sayang, kasih-sayang yang mereka dakwa fitrah manusia patutlah dihormati.

Semua kita yang cintakan Islam pasti tidak akan menolak fakta fitrah menyintai seseorang, tetapi kita ada garis panduannya.Apa-apa yang kita buat kita tidak bulih melangkaui batasannya. Contoh mudah, kita bekerja dan di setiap ada peraturannya, maka kita sebagai pekerja seharusnya mengikuti lunas peraturan yang telah ditetapkan oleh majikan kita. Apa kesannya jika kita tidak menmatuhi peraturan yang telah ditetapkan? Banyak bukan kesannya.

Islam telah menggariskan panduan yang sangat jelas tentang hubungan kasih-sayang ini. Di sini diriku rasanya tidak mahu menulis tentang nilai kasih-sayang yang dianjurkan oleh Islam, rasanya ramai di antara kita yang telah faham akan peri pentingnya nilai kasih-sayang ini.

Cuma di dalam posting ini diriku menyeru agar kita (terutama diri penulis) semua dapat kiranya membezakan sesuatu yang bukan milik kita (bukan budaya kita, bukan tuntutan agama kita). Kemudian tanamkan rasa tidak suka dan tidak akan menyambut perayaan yang tiada kaitan dengan kita. Kemudian kita beri pemahaman ini kepada orang-orang yang hampir dengan kita, terutamanya ahli keluarga kita, kemudian sahabat handai dan seterusnya jika mampu seluruh umat Islam. InsyaAllah dengan cara ini kita dan juga orang-orang yang rapat dengan kita serta masyarakat dapat menghindarkan diri dari mengamalkan suatu budaya yang bukan milik kita.

------------------------------------------------
Kes remaja hamil luar nikah meningkat selepas Valentine’s Day

KUALA LUMPUR 9 Feb. – Kes remaja hamil luar nikah di negara ini sering menunjukkan peningkatan setiap kali selepas sambutan Hari Memperingati Kekasih yang disambut pada 14 Februari setiap tahun.

Gejala itu jika dibiarkan berlarutan dibimbangi akan menyumbang kepada meningkatnya kes pembuangan bayi di negara ini.

Pengasas Pusat Kebahagiaan Wanita dan Remaja (Kewaja), Yahaya Mohamed Yusof berkata, berdasarkan kepada kes yang dikendalikannya, jumlah remaja hamil yang dirujuk ke pusat itu pada akhir Februari dan awal Mac biasa meningkatnya.

Katanya, dalam tempoh itu pusatnya yang menempatkan remaja-remaja yang bermasalah menerima purata 40 hingga 45 remaja hamil.

‘‘Sebahagian besar remaja yang ditempatkan di Kewaja mengadu mereka lupa diri ketika menyambut Hari Memperingati Kekasih atau Valentine’s Day.

‘‘Mereka keluar berpasangan dan berpesta sehingga larut malam, kemudian mengambil pil khayal hingga tidak sedar ‘terlanjur’ lalu hamil,’’ katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini hari ini.

Justeru, katanya, Kewaja menyarankan supaya sambutan hari tersebut diawasi dan sewajarnya oleh semua pihak terutama ibu bapa dan tidak dijadikan amalan di kalangan remaja khususnya yang beragama Islam.

‘‘Islam tidak menggalakkan sambutan seperti itu kerana hari tersebut bukan sahaja mengagungkan budaya Barat malah mempunyai banyak pengaruh sosial yang tidak baik,’’ katanya.

Dalam hal itu, beliau berpendapat kempen kesedaran harus dijalankan sepanjang tahun bagi meningkatkan kesedaran remaja terutamanya terhadap bahaya pergaulan bebas.

‘‘Kempen yang berterusan akan membantu untuk membendung gejala tidak sihat ini,’’ katanya.

Kemaja yang ditubuhkan pada tahun 1988 membimbing wanita serta remaja bermasalah terutama yang mengandung di luar nikah menggunakan elemen Islam Hadhari.

Sumber : Utusan Malaysia, 10 Februari 2007.

Bacaan Tambahan mengenai Fatwa Hari Valentine
1. Islam Larang Sambut Hari Valentine - Bernama
2. Hukum Orang Islam Menyambut Perayaan Valentine’s Day – Oleh Ustazah Norzila, Bahagian Istinbat, Jabatan Mufti Negeri Selangor (Link ini merupakan file berformat PDF.
3. Ruling on celebrating Valentine's day
4. Valentine's Day From an Islamic Perspective – IslamOnline.Net
5. Hari Kekasih bertopengkan kasih sayang - Utusan Malaysia 13/02/2007
-------------------------------------------------------------
Wahai orang-orang yang beriman! Apabila diminta kepada kamu memberi lapang dari tempat duduk kamu (untuk orang lain) maka lapangkanlah seboleh-bolehnya supaya Allah melapangkan (segala halnya) untuk kamu dan apabila diminta kamu bangun maka bangunlah, supaya Allah meninggikan darjat orang-orang yang beriman di antara kamu dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan agama (dari kalangan kamu) beberapa darjat dan (ingatlah), Allah Maha Mendalam PengetahuanNya tentang apa yang kamu lakukan..(Mujadalah:11)

Labels:

Saturday, February 03, 2007

Billboard

Agak-agaknya bila Malaysia mampu laksanakan undang-undang billboard yang mana individu yang terlibat di atas billboard berada dalam keadaan menutup aurat. Kalau 2 negeri ni boleh, rasa-rasanya satu negara pon bolehkan?

Hatta Steven Gerard pon berseluar panjang. Alangkah bagusnya jika satu Malaysia sedemikian juga.










-------------------------------------------------------------
Wahai anak-anak Adam! Sesungguhnya Kami telah menurunkan kepada kamu (bahan-bahan untuk) pakaian menutup aurat kamu dan pakaian perhiasan dan pakaian yang berupa takwa itulah yang sebaik-baiknya. Yang demikian itu adalah dari tanda-tanda (limpah kurnia) Allah (dan rahmatNya kepada hamba-hambaNya) supaya mereka mengenangnya (dan bersyukur).(Al-'Araaf:26)

Labels: , ,

Kelahiran

Setelah melalui tempoh masa tertentu, lazimnya 9 bulan. Maka kandungan seorang ibu itu akan dilahirkan. Pasangan ibubapa akan menunggu saat kelahiran dengan rasa cemas, gembira dan syukur.

Di dalam syariat Islam terdapat beberapa perkara yang dianjurkan ketika menyambut kelahiran bayi. Antara perkara-perkara sunat yang dianjurkan dalam menyambut kelahiran bayi adalah seperti berikut ;-

1. Azan dan Iqamah
Disunatkan azan ditelinga kanan dan iqamah di telinga kiri. Hal ini dilakukan sendiri oleh Baginda SAW seperti hadis yang diriwayatkan oleh Ubaidillah Ibni Abi Rafi’ katanya yang bermaksud “Saya telah melihat Rasulullah SAW mengazankan di telinga Hussin Ibn Ali ketika dilahirkan oleh ibunya Fatima.”

Dalam hadis lain riwayat al-Baihaqi daripada hadis Hassan Ibn Ali baginda bersabda yang bermasksud: “Sesiapa yang memperolehi kelahiran cahaya mata maka hendaklah diazankan di telinga kanan dan diiqamahkan di telingan kiri, nescaya terlepas dari ummu sibyan atau dari angin tiupan syaitan.”

Sunat dibacakan pada telinga kanan bayi tersebut dengan doa yang bermaksud “Bahawasanya, aku pohonkan perlindungan Engkau (Ya Allah) diri anak ini dan zuriat keturunannya kelak daripada tipu daya syaitan

2. Memberitahu Jiran dan Sahabat Handai
Kepada pasangan yang dikurniakan cahaya mata oleh Allah, disunatkan buat mereka mengwar-warkan kelahiran anak pada jiran tetangga dan juga sahabat handai, ini bagi tujuan menzahirkan rasa bersyukur dengan anak kurniaan Allah. Tidak semua manusia diberi peluang oleh Allah untuk melaksanakan tanggungjawab ini.

Bagi sahabat handai pula yang menerima berita gembira ini, disunatkan buat mereka untuk mengucapkan ucapan tahniah. Disunatkan bagi mereka yang menerima berita gembira ini untuk mendoakan pasangan yang baru dikurniakan anak dengan doa ini “Semoga Allah memberkati kurniaannya, syukurilah atas pemberian ini, penuhilah keperluannya dan rezekikanlah masa depannya.”

Kemudian dibalas dengan mendoakan kebaikan buat mereka.

3. Melakukan Tahnik
Setelah seorang bayi selamat dilahirkan oleh ibunya, selain daripada azan dan iqamah, kita disunatkan agar dapat mentahnik anak yang baru dilahirkan. Tahnik dilakukan dengan cara meletakkan sedikit isi buah tamar di atas jari telunjuk serta memasukkannya ke dalam mulut bayi, perlahan-lahan menggerakkan jari itu dari kanan ke kiri mulut bayi. Ini dilaksanakan sehingga isi buah tamar tersebut menyentuh keseluruhan mulut bayi tadi dan tamar tersebut akan masuk ke dalam rongga tekak bayi berkenaan.

Kira sukar mendapatkan tamar, maka bolehlah digantikan dengan apa sahaja yang ada unsur manis. Lebih afdal jika bertahnik ini dilaksanakan oleh orang-orang yang soleh.

4. Mencukur Rambut
Di antara perkara yang sunat dilakukan kepada bayi yang baru dilahirkan ialah mencukut rambut. Ini dilakukan sebaik-baiknya pada hari ketujuh selepas dilahirkan, kemudian disunatkan pula bersedekah dengan perak seberat timbangan rambut yang dicukurkan itu kepada fakir miskin jika berkemampuan. Atau jika tidak maka atas sekadar yang mampu sahaja.

Rasulullah SAW bersabda ketika mana anaknya Fatimah melahirkan Hassan dan juga Hussein. Sabda Baginda SAW yang bermaksud “Timbanglah rambut Hussein dan sedekahlah seberat timbangan perak.” Dan ketika Fatimah melahirkan Hassan pula Baginda SAW bersabda lagi yang bermaksud “Cukurlah rambutnya, sedekahlah seberat timbangan (rambutnya itu) daripada perak.”

Sumber :
Pendidikan Anak-anak Dalam Islam, Abdullah Nasih Ulwan dan Majalah Anis

-------------------------------------------------------------
Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari Neraka yang bahan-bahan bakarannya: Manusia dan batu (berhala); Neraka itu dijaga dan dikawal oleh malaikat-malaikat yang keras kasar (layanannya); mereka tidak menderhaka kepada Allah dalam segala yang diperintahkanNya kepada mereka, dan mereka pula tetap melakukan segala yang diperintahkan..(At-Tahrim:6)

Labels: ,

Sabar

Kadang-kadang orang di sekelilingku melihatku seperti gembira. Tapi kegembiraan yang kupamerkan itu tidak semestinya apa yang kurasai. Orang kadang-kala tidak nampak kedukaanku. Kadang-kadang orang melihat diriku sebagai seorang yang knowledgeable tapi jauh dalam diriku aku rasai diriku masih banyak yang perlu kupelajari. Terlalu banyak aku perlu tahu, semakin banyak yang aku tahu, semakin banyak aku rasa aku tidak tahu.

Ujian yang datang sering menduga kita, sering mengajar kita bagaimana untuk berhadapan dengan ujian. Ujian biasanya berbentuk masalah, masalah boleh diselesaikan apabila kita tahu asbabnya. Masalah tidak mungkin dapat diselesaikan jika kita tidak tahu puncanya. Apa pon masalah yang kita hadapi, kita cuba selesaikan berpandukan al-Quran dan as-Sunnah. Jangan biarkan hati-hati kita terusan kosong dek disebabkan masalah. Kita fikirkan apa yang boleh kita laksanakan agar ia senantiasa berada di atas landasan Islam. Dan perkara utama dalam menghadapi masalah adalah sabar. Allah menguji kita dengan ujian agar kita menjadi sabar. Aku sangat takut aku menjadi orang yang tidak sabar.

Ya Allah Ya Tuhanku permudahkan urusan hambaMu ini. Kurniakanlah kami kesabaran dalam menyelesaikan masalah ini. Kurniakan kami kekuataan Ya Allah. Golongkanlah kami ke dalam golongan orang-orang yang Engkau redhai.

-------------------------------------------------------------
Katakanlah (wahai Muhammad): “Wahai hamba-hambaKu yang beriman! Bertaqwalah kepada TuhanMu” Bagi orang-orang yang berbuat kebaikan di dunia ini akan beroleh kebaikan. Dan bumi Allah itu luas. Hanya orang-orang yang bersabarlah yang disempurnakan pahalanya tanpa batas".(Az-Zumar:10)

Labels: ,

Friday, January 26, 2007

Sekelurisme Ancaman Kepada Ummat

Khutbah hari ini berkisarkan Sekularisme, isu yang tidak lekang dibincangkan, isu yang sangat penting untuk kita setiap Muslim tahu. Isu yang penting kita tahu sekurang-kurangnya tahu bagaimana ia bergerak menyelusup masuk dalam masyrakat dan individu dan golongan manakah yang terdedah kepada gejala ini. Selepas kita tahu apa itu sekularisme kita lihat sekitar kita, apakah kita sekarang ini tergolong dalam golongan ini.

Selamat Membaca dan menghayati ……
------------------------------------------
Sidang Jumaat dirahmati Allah s.w.t,

Marilah kita bertakwa kepada Allah s.w.t dengan sebenar-benar takwa, mudah-mudahan kita tergolong dikalangan orang yang beruntung didunia dan juga diakhirat. Firman Allah s.w.t:

"Setelah jelas kesesatan syirik itu, maka hadapkanlah dirimu (engkau dan pengikut-pengikutmu wahai Muhammad) kearah agama yang jauh dari kesesatan, (turutlah terus) "Agama Allah" iaitu Agama yang Allah menciptakan manusia (dengan keadaan bersedia dari semulajadinya lagi) untuk menerimanya, tidaklah patut ada sebarang perubahan pada ciptaan Allah itu, itulah agama yang betul lurus, tetapi kebanyakkan manusia tidak mengetahui". (Ar-Rum ayat 30).

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Berbagai fahaman dan pemikiran telah melanda umat Islam sejak dahulu lagi. Samada ia bertujuan melemahkan umat Islam atau menghancurkan umat Islam , ianya tetap datang dari sumber yang satu iaitu mereka yang memusuhi Islam. Berbagai cara dan akidah telah dibuat untuk membetulkan keadaan ini, tetapi hakikatnya musuh-musuh kita tidak pernah rasa berputus asa. Antara fahaman yang sangat hebat pengarahnya dikalangan umat Islam kini ialah sekularisme.

Fahaman sekularisme ini sebenarnya berasaskan daripada rasa kecewa orang-orang dibarat pada suatu ketika dahulu, terhadap institusi gereja yang disifatkan sebagai mempunyai kuasa ketuhanan yang menyebabkan sebarang pandangan yang berbeza dengan pihak gereja adalah dianggap menentang kepada gereja.

Sikap ini tejadi disebabkan para paderi telah menyelewengkan tafsiran kitab injil dengan sesuka hati mereka. Akibatnya maka muncullah sekularisme, dan secara umumnya merupakan kekalahan dipihak gereja, yang membawa kepada perubahan peranan gereja itu sendiri.

Sidang Jumaat sekalian,

Apa yang membimbangkan kita, individu yang berfahaman seperti ini jelas telah cuba mengubah hak agama daripada peranan yang sepatutnya. Antaranya termasuklah pendapat yang mengatakan adalah tidak sepatutnya agama itu dicampur adukkan dengan sebarang urusan keduniaan.

Ini kerana golongan sekular ini mengatakan agama hanya menjadikan sesuatu bangsa itu mundur dan jumud. Penyataan ini mungkin ada kebenarannya, jika ditujukan kepada agama Islam, sudah tentulah tidak berasas langsung. Ini kerana kehadiran Islam secara jelas atau qatie telah berjaya mengubah kepincangan peradaban institusi gereja, yang hanya menghadirkan zaman kegelapan dikalangan orang barat kerana pandangan sempit mereka tentang tamadun dan kemajuan manusia.

Bukan itu sahaja, malah fahaman sekularisme ini juga, cuba mengeluarkan manusia yang mengamalkan agama dengan memisahkan dari sistem kehidupan dunia. Dalam maksud yang lain sekularisme menganggap agama adalah bersifat amalan-amalan ibadat tertentu sahaja dan merupakan hak individu semata-mata.

Apabila perkara ini terjadi, maka muncullah persepsi agama, bukan lagi panduan kepada kehidupan,tetapi sekularisme mengatakan kehidupanlah yang berhak memainkan peranan agama. Ini membawa maksud agama tidak lagi berhak memainkan peranan dalam menentukan kehidupan dan tindak tanduk manusia itu sendiri.

Akhirnya manusia itu bebas melakukan apa sahaja, termasuklah melakukan perkara-perkara syirik seperti memperlekeh dan menghina Allah s.w.t dan rasulullah, malah golongan sekularisme mengatakan bahawa kitabullah dan sunnah rasulullah adalah suatu yang sudah ketinggalan zaman dan perlu ditinggalkan, sekiranya ingin mencapai kemajuan.

Mereka juga cuba menafikan al-quran dan as-sunnah boleh dijadikan panduan bagi setiap manusia untuk menjalani kehidupan. Hal ini bukan sahaja dilakukan secara sangat licik, malah mereka kini sudah berani mendiayahkannya secara terang-terangan.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Sekularime merupakan fahaman yang bahaya dan boleh diumpamakan seperti dadah yang membunuh. Ini kerana individu-individu yang mengamalkan fahaman ini semakin lama menjadi semakin ketagih, jika dibiarkan maka penghujungnya adalah kehancuran dan kesesatan lagi menyesatkan. Ia bukan sahaja membunuh cara berfikir umat Islam, tetapi cuba membunuh dan menghapuskan akidah Islam itu sendiri.

Satu perkara yang perlu disedari, fahaman ini selalunya dihiasi dengan berbagai perkara menyedapkan hawa nafsu manusia. Muncul fahaman sekularisme, maka muncullah pula kesinambungan fahamannya seperti pluralisme ( menganggap semua agama itu sama), hedonisme (hiburan yang melampau), libralisme (meringan-ringakan agama), komunisme (berfahaman komunis), kapitalisme (bermatlamatkan keuntungan semata-mata), atheisme (tidak mempercayai ketuhanan) dan sebagainya yang semuanya adalah berunsurkan hawa nafsu semata-mata, tanpa ada panduan dan rujukan agama Islam. Sebab itu, tidak hairanlah adanya isu-isu atau fahaman-fahaman lain yang muncul ini akhirnya sekularisme dianggap sebagai suatu yang perlu diamalkan, walaupun ianya jelas adalah topeng dan mekap palsu yang merosakkan dan sangat bercanggah dengan akidah Islam dan fitrah kita sebagai manusia itu sendiri.

Sidang Jumaat sekalian, Ingatlah, sesungguhnya sekularisme ini bukan sahaja akan merubahkan sistem akidah Islam, malah ianya sekaligus memusnahkan sistem ibadat dan akhlak dikalangan umat Islam. Perlu disedari bahawa golongan ini adalah golongan yang memusuhi Islam dan cuba merubah wajah Islam mengikut selera dan keinginan mereka.

Bahkan membelenggu umat Islam berada dalam kecelaruan pemikiran dan kesesatan dalam kehidupan. Maka hasil dari kecelaruan yang timbul, menyebabkan manusia hilang pedoman dan pertimbangan yang akhirnya hiduplah manusia dalam keadaan tidak tenteram, kerana sering dilanda masalah gejala sosial dan kejadian jenayah.

Situasi begini sudah tentu menghilangkan rasa kemanusiaan dan pertimbangan dikalangan manusia, malah hukum halal dan haram dalam agama sudah tidak diambil peduli lagi, hanya yang tinggal adalah kehidupan semata-mata, tanpa adanya rahmat Allah s.w.t. Firman Allah s.w.t : "Sesungguhnya orang-orang yang kufur ingkar kepada Allah dan rasul-rasulnya, dan orang-orang yang hendak membeza-bezakan (iman mereka) diantara Allah dan rasul-rasulnya, dan orang-orang yang berkata : "Kami beriman kepada setengah rasul-rasul itu dan kami kufur ingkar kepada setengahnya yang lain,"serta bertujuan hendak mengambil jalan lain diantara (iman dan kufur) itu : mereka itulah orang-orang yang kafir dengan sebenar-benarnya. Dan kami pula telah menyediakan bagi orang-orang kafir itu azab seksa yang amat menghinakan".

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Pada hari yang mulia ini, marilah sama-sama kita berazam dan berusaha untuk berganding bahu menyekat fahaman sekularime daripada terus meresap dalam setiap jiwa umat Islam. Terutama sekali para ilmuan agama dan Daiyah perlu mempertingkatkan dakwah dan pendidikan serta penyelidikan mereka.

Ini kerana sekularisme sebenarnya telah disebarkan secara sistematik dan tersusun. Sebab itu ada kalangan orang yang berfahaman sekular sendiri tidak sedar dengan kefahaman mereka.Malah tidak keterlaluan, jika mimbar pada hari ini ingin mengingatkan kepada kita semua sesungguhnya sekularisme adalah agen atau alat yang digunakan oleh musuh-musuh Islam untuk melemahkan umat Islam.

Mereka sangat sedar bahawa kehebatan umat Islam adalah kerana kebenaran ajaran Islam itu sendiri. Sebab itu sekularisme dijadikan kaedah utama dalam memecahbelahkan perpaduan umat Islam dengan menyerang aspek pemikiran kita. Dan ternyata usaha ini adalah paling berkesan untuk mencapai sasaran mereka. Oleh yang demikian itu, sudah menjadi kewajipan kita sentiasa berusaha memelihara kesucian dan kebenaran akidah Islam, agar kita tidak terpengaruh dengan propaganda-propaganda yang sering mereka ciptakan. Disamping itu selamatkanlah diri kita, keluarga dan masyarakat daripada terjebak dengan kesyirikan sekularisme yang membelenggu pemikiran umat Islam akhir zaman ini.

Ya-Allah, kurniakan kerahmatan dan keselamatan , penjagaan dan perlindungan, kesuburan dan penghasilan, keatas negeri kami, Negeri Selangor Darul Ehsan. Jadikan rakyatnya bersatu padu, berilmu pengetahuan dan berakhlak mulia,lindungi kami daripada persengketaan,perpecahan,fitnah-memfitnah dan bencana alam. Semoga dengan demikian Negeri Selangor dan rakyatnya bertambah makmur dan berkat.

Khutbah Jumaat JAIS, 26 Januari 2007.
--------------------------------------------------------------
Kita merupakan satu golongan yang dimuliakan oleh Allah dengan Islam. Apabila kita mencari kemuliaan dengan cara hidup selain daripada Islam, Allah akan menimpakan kehinaan ke atas kita.

Labels: ,

Saturday, January 20, 2007

Mufti Perlis Berbicara

Alhamdulillah, sejak menjadi Mufti Kerajaan Negeri Perlis ini, Dr Asri semakin banyak mendapat ruang di dada-dada akhbar utama Malaysia.

Sehinggakan ada sesetengah golongan yang tidak faham dengan apa yg diutarakan DMAZA cuba menangguk di air yang keruh. Bagi mereka yang mengikuti perkembangan DMAZA sejak beliau dipinjamkan oleh USM sebagai Mufti Kerajaan Perlis pasti faham apa yang diriku maksudkan.

Alhamdulillah, di penghujung temuabual ini beliau ada menjelaskan keadaan. Mari kita sama-sama baca artikel dibawah ini dengan hati yang terbuka. Jangan biar kejumudan menguasai diri kita. Tiada siapa yang tidak terlepas dari melakukan kesilapan, begitu juga dengan DMAZA. Acapkali di kuliah beliau, beliau mengingatkan mereka yang hadir agar tidak mengkhinzir buta mengikut apa yang dikatakan oleh beliau. Kita dikurniakan akal oleh Allah untuk berfikir. Maka sama-samalah kita berfikir. Bukan ambil bulat-bulat. Dibawah ini rencana dari Berita Minggu 14 januari 2007. Baca sambil menilai, bukan baca tp ambil bulat-bulat.

Akidah luntur punca masyarakat Islam mundur

Ilmu tauhid cetek, pemikiran ulama dipengaruhi falsafah Greek sebabkan iman Muslim celaru

SEJAK pandangannya mengenai isu khalwat, Mufti Perlis Dr Mohd Asri Zainul Abidin terus mendapat perhatian. Pelbagai cemuhan dan pujian diterima daripada pelbagai pihak termasuk parti politik. Wartawan Berita Minggu, Tuan Nazuri Tuan Ismail menemubual beliau bagi mendapatkan pandangan mengenai masalah yang melanda umat Islam seluruh dunia selain mengupas isu semasa.

Apakah pandangan Dr Asri mengenai masalah sebenar yang melanda umat Islam seluruh dunia ketika ini?


Dunia Islam yang sepatutnya menerajui tamadun pembangunan insan dan kebendaan kini semakin mundur dan hilang peranan. Hasil daripada hilangnya akidah yang menjadi asas tamadun umat, maka hilanglah tamadun. Bahkan sebahagian masyarakat Islam hidup dalam kesyirikan dan khurafat yang tebal. Lihat saja apa yang wujud di Indonesia, Mesir dan Maghribi. Mereka bukan saja ketinggalan zaman, mereka juga ketinggalan Islam yang tulen.

Ada istiadat dan pegangan bangsa yang bercanggah syarak menggantikan tempat agama. Wanita Islam di Pakistan umpamanya, dinafikan hak sebagai wanita, bahkan sebagai insan. Anak perempuan bagaikan hak dagangan bapanya yang mempunyai kuasa mutlak mengahwinkan dia kepada sesiapa yang dikehendakinya tanpa diizinkan sebarang bantahan daripada empunya tubuh. Isteri pula bagaikan hamba abdi suami. Isteri dipukul dan diseksa dan ini seperti sudah menjadi budaya setempat.

Wajah buruk bangsa yang menganut Islam ini benar-benar menconteng keindahan Islam di mata dunia. Ali Tantawi pernah berkata, “Majoriti Muslimin hari ini, disebabkan kecuaian mereka dengan kewajipan agama ini, maka mereka berada di belakang umat yang lain, mereka menjadi hujah untuk musuh Islam (menghina Islam).”

Apakah faktor yang menjadikan umat Islam begitu lemah, ditindas dan bergaduh sesama sendiri. Malah, kebanyakan negara miskin dan mundur adalah negara Islam.

Secara umumnya, kemunduran ini berpunca daripada beberapa faktor. Jika difokuskan kepada pemikiran hukum atau perkembangan pegangan syariat di dunia Islam, faktor itu ialah hilangnya teras akidah dalam penyampaian syariat Islam. Hilang kefahaman yang betul terhadap tuntutan dua kalimah syahadat. Islam tidak difahami bermula daripada persoalan akidah.

Pada hal itu adalah teras dan asas. Maka syirik serta khurafat berleluasa dalam dunia Islam. Syirik, tahyul dan khurafat menghilangkan Islam tulen yang menjadi teras kepada ketamadunan. Bermula dari tangkal, mentera syirik sehingga kepada meyakini sistem yang lain setanding dengan Islam.

Muhammad Qutb pernah berkata dalam karyanya Mauqifuna min al-Hadarat al-Gharbiyyat:... (berpunca) daripada kemunduran akidah, timbullah segala macam kemunduran yang menimpa dunia Islam... kemunduran ilmu, ketamadunan, ekonomi, peperangan, pemikiran dan kebudayaan...

Bagaimana Dr Asri melihat ajaran yang menyimpang daripada ajaran Islam tulen turut menjadi faktor kepada kejatuhan dan kemunduran umat dan negara Islam?

Ramai Muslim yang akidah mereka menyimpang dan menuju kesesatan, bahkan mungkin ke arah murtad. Di sesetengah negeri pengajaran mengenai perkara yang membatalkan wuduk, solat, puasa dan beberapa tajuk fekah yang lain lebih diutamakan dibandingkan pengajaran mengenai perkara yang membatalkan akidah.

Hasilnya, ramai Muslim mengetahui perkara yang membatalkan wuduk, solat, puasa dan seumpamanya, namun jahil mengenai perkara yang membatalkan iman.

Umat Islam juga mudah dipengaruhi falsafah Greek lama yang kadangkala perbincangannya tidak membawa sebarang kekuatan kepada akidah, bahkan membawa kepada kepenatan akal dan kecelaruan. Ia seperti sifat Allah, ada lawannya tiada, dengar lawannya pekak, melihat lawannya buta, tidak berjisim, tidak berjirim dan seumpamanya. Kemudian diikuti dengan falsafahnya yang memeningkan. Sehingga guru yang mengajar pun tidak faham.

Untuk mengelakkan guru dipersoalkan pelajar, guru itu akan berkata: "Siapa banyak bertanya maka lemah imannya. Maka, akidah sebenar hilang dalam kepincangan perbahasan falsafah warisan Greek dan Yunan.

Akidah yang diajar Nabi Muhammad SAW adalah akidah yang bersih dan mudah difahami. Dalam ajaran Islam, persoalan tauhid dan akidah adalah perkara paling mudah dan senang untuk difahami semua lapisan umat. Persoalan akidah mesti difahami mereka yang buta huruf, badawi di padang pasir sehingga kepada golongan yang terpelajar dan cerdik pandai.

Kalaulah perbahasan akidah begitu sukar, bagaimana golongan awam yang buta huruf atau tidak memiliki kecerdasan akal yang tinggi untuk memahaminya?

Pengaruh Yunani dalam pemikiran sebahagian umat Islam menyebabkan mereka menjadikan ilmu itu sebagai akidah dan meminggirkan persoalan asasi dalam akidah Islamiah.

Bagaimana pula dengan ancaman bidaah dalam syariah Islam.

Kemasukan fahaman karut, dianggap melemah dan merosakkan wajah Islam yang tulen. Amalan bidaah menghilangkan fokus umat terhadap pembangunan minda dan kefahaman yang jitu.

Seperti kata Abu al-Hasan 'Ali al-Nadwi dalam karya Madha Khasira al-'Alam bi Inhitat al-Muslimin: "Halangan syirik, kejahilan dan kesesatan hampir menutupi tauhid Islam yang bersih. Maka, masuk ke dalam sistem agama bidaah yang mengambil tempat yang luas dalam kehidupan Muslimin.

Adakah Dr Asri berpendapat golongan agama yang lemah dari pelbagai segi turut menjadikan umat Islam seluruh dunia juga lemah.

Dalam sejarah Islam, golongan agama adalah tonggak kepada kebangkitan umat. Islam yang syumul membentuk pemikiran ulama supaya kritis, maju dan membangun. Golongan ulama yang berkualiti ini terus wujud sepanjang zaman. Namun, jumlah dan penguasaan mereka berbeza dari satu zaman ke satu zaman. Jumlah ulama yang berkualiti seperti disebut dalam hadis ini adalah kurang.

Selain kurang, pemikiran ulama juga dipengaruhi pemikiran Greek dari ilmu kalam yang tidak berguna dan bermanfaat. Lebih daripada itu ilmu kalam menukarkan pengajian akidah kepada perkara yang menyusahkan minda, tidak berguna dan menyusahkan.

Pelajar agama juga bertukar menjadi penghafal bukan pemikir. Seseorang pelajar kelihatan berilmu hanya dengan kadar apa yang dia hafal daripada teks, syarahan dan nota kaki. Namun, dia tidak dapat berfikir untuk dirinya dan tidak juga dapat berfikir secara sendiri. Ia menyebabkan ulama kehilangan keaslian ilmu dan menjadi golongan taklid yang hanya memetik daripada orang lain.

Lebih teruk, mereka menjadi golongan taksub mazhab yang berjihad untuk mazhabnya semata-mata untuk membuktikan mazhab dan syeikhnya melebihi mazhab dan syeikh orang lain lalu mereka membela mazhab melebihi daripada membela Islam. Golongan ini juga terpencil dari dunia luar akibat diracun pemikiran kesufian yang melampau. Ia sama seperti tindakan gereja yang membawa kebangkitan Revolusi Industri atau Revolusi Perancis.

Orang Melayu umpamanya, menganggap anak yang kurang kemampuan akademik, dihantar ke pengajian agama atau pondok. Akhirnya lahir golongan ustaz dan tok guru yang lemah kekuatan minda dan analisisnya.

Skop Islam yang disempitkan golongan beragama yang memberi fokus kepada perkara tertentu saja dikatakan punca umat Islam terus mundur.

Ketika ini, hukum syarak hanya digambarkan berkisar mengenai taharah, haid dan nifas, solat, puasa, zakat dan haji. Akhirnya umat Islam mulai jahil mengenai kesyumulan sistem Islam yang menyeluruh.

Hasilnya, negara Islam kelihatan begitu miskin dan lemah. Kotor, tidak berperaturan, rasuah, mundur dan diperbodohkan. Sedangkan umat Islam memiliki bumi yang subur dan kedudukan yang strategik.

Dr Yusuf al-Qaradawi pernah berkata, "Kekuatan ekonomi kita terbengkalai. Kita hidup di bumi Allah yang paling strategik, paling baik dan subur. Bumi yang paling banyak galian yang tersimpan dalam perutnya dan kekayaan yang bertebaran di atasnya. Malangnya kita tidak menggerakkan kekayaan kita, tidak bertani di bumi kita, tidak menghasilkan keluaran daripada galian sedangkan bahan mentahnya dikeluarkan dari bumi kita... jadilah kita dalam banyak keadaan pengguna bukan pengeluar, pengimpot bukan pengilang.

Sesetengah dunia Islam yang tidak berkualiti, mereka terpaksa meminta sedekah untuk mendapatkan senjata, pengangkutan dan makanan.

Pemerintah dan raja negara umat Islam kelihatan mewah dengan hasil bumi yang dijual atau disamun Barat.

Negara Islam terus berada dalam kemunduran teknologi dan minda, manakala rakyat ramai yang miskin, buta huruf dan tidak terurus.


Berbalik isu semasa, Dr Asri dituduh sebagai tali barut Umno kerana mengkritik pembangkang. Mengapa Dr seperti sengaja membabitkan diri dalam kancah politik dengan membuat kenyataan mengaitkan pembangkang.

Saya bukan ahli politik. Saya tidak ada sebarang minat dalam bidang politik, malah saya tidak menyebut mana-mana politik dalam wawancara itu sebaliknya saya menyebut secara umum.

Komen saya bukan bertujuan menyerang mana-mana parti politik. Tetapi, selepas isu khalwat, ada parti politik begitu aktif menyerang saya.

Kenyataan saya itu adalah sebagai tindak balas kepada serangan yang dibuat terhadap saya bukan kerana saya mahu masuk politik. Selepas itu, ada laman web yang mengkritik dan menuduh saya dengan pelbagai tuduhan yang sangat tidak wajar.

Saya percaya komen dan kritikan itu bukan datang daripada pucuk pimpinan parti berkenaan sebaliknya dilakukan orang atau kumpulan berfahaman Syiah dalam parti itu.

Saya antara orang yang mengkritik Syiah. Pengikut fahaman Syiah dalam parti politik ini menggunakan pandangan saya mengenai isu khalwat untuk menyerang saya. Saya tahu perkara ini.

Jika pembangkang hayati pandangan saya, ia lebih kepada saranan untuk parti pemerintah supaya melakukan perubahan untuk memajukan umat Islam di Malaysia.

Kenyataan itu bukan ditujukan kepada pembangkang, tetapi saranan seorang mufti yang dilantik kerajaan supaya pemerintah mengubah beberapa perkara yang wajar diberi perhatian. Saya tidak faham mengapa pembangkang ‘berasa’ dengan kenyataan saya ini.

Adakah Dr Asri berpendapat pembangkang dikuasai pengikut fahaman Syiah?
Pembangkang di Malaysia dikuasai kumpulan dan fahaman, tetapi yang saya tahu kumpulan Syiah paling aktif. Saya bekerja di Perlis yang mengamalkan Sunnah Wal-Jamaah dan saya bukan ekstremis. Tetapi, saya memberikan pandangan terhadap aliran yang mengkafirkan Saidina Abu Bakar, Saidina Omar, Saidina Osman, sahabat Nabi dan menolak imam hadis.

Itu mustahil untuk saya terima. Saya percaya kritikan yang dibuat terhadap saya dibuat kerana perasaan marah pengikut fahaman Syiah yang menguasai sayap satu parti politik tertentu.

Sentimen ini bukan antara saya dengan parti politik berkenaan, tetapi sentimen kumpulan Syiah dalam parti berkenaan yang tidak senang dengan pandangan saya. Isu khalwat itu hanyalah alasan mereka untuk menyerang saya.

Kesimpulan Dr Asri selepas dituduh sebagai tali barut Umno dan tukang kipas Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim.

Apa yang boleh saya katakan ialah, ada sesetengah orang jika dia berbudi bahasa kita kehairanan. Jadi saya tidak hairan jika budaya menuduh menjadi budaya hidup mereka.

Setiap pandangan saya mendapat restu dan sudah dibincangkan terlebih dulu dengan kepemimpinan kerajaan negeri dan Jabatan Agama Islam Perlis (JAIPs). Saya tidak pernah dan tidak boleh membuat pandangan melangkaui pimpinan negeri. Contohnya isu khalwat yang terlebih dulu dibincangkan kerajaan negeri. Saya hanya bercakap dan membuat pandangan bagi pihak kerajaan Perlis sebagai mufti kerajaan negeri.

Kritikan dan pandangan terbuka berhubung isu agama Islam menyebabkan ada pihak yang menyamakan Dr Asri dengan Sisters In Islam (SIS). Apa komen Dr?

Saya tiada sebarang hubungan dan tidak pernah berhubung dengan mana-mana pemimpin dalam SIS. Ketika SIS membangkitkan isu poligami, saya antara orang yang tidak bersetuju pandangan mereka. Kalau ada yang mendakwa saya ada kaitan dengan SIS, dakwaan itu tidak benar sama sekali.

Bagi saya, SIS yang bukan di kalangan sarjana Islam perlu mendapatkan pandangan atau mengadakan perbincangan dengan ulama sebelum membuat kenyataan mengenai sesuatu isu supaya hujah yang dibuat itu berasaskan al-Quran dan Sunnah.

Sarjana Islam dan ulama pula jangan cepat melatah atau menjawab isu yang dibangkitkan SIS dengan emosi, sebaliknya memberi penerangan dengan jelas dan secukupnya.

Ada setengah isu yang dibangkitkan SIS ada kebenarannya seperti hak wanita membabitkan kes cerai dan tuntutan nafkah yang lambat diselesaikan. Saya bimbang, SIS terlalu mengikut acuan Barat yang bertentangan dengan Islam seperti isu poligami dan etika berpakaian, yang sudah tertulis dalam Nas dan tidak boleh dinafikan.

Saya berasa isu dibangkitkan SIS menjadi lebih keliru kerana sikap jumud ulama dan sarjana Islam sendiri yang tidak memberikan hujah berdasarkan persekitaran semasa dan tidak berpegang kepada al-Quran dan Sunnah.

Jika SIS membangkitkan sesuatu isu, saya berharap ulama dapat menjawab dengan penuh kesarjanaan bukan menggunakan emosi. Jangan menuduh orang kafir jika isu dibangkitkan berbeza dengan pandangan ulama.

Lagi Artikel di dalam Surat Khabar berkisar DMAZA.

1. Countering the scary view of Islam NST, 9 December 2006
2. Point Blank: Presenting Islam in its modern face by Johan Jaaffar

-------------------------------------------------------------
Oleh sebab itu jika mereka berhujah (menyangkal dan) membantahmu (wahai Muhammad), maka katakanlah: Aku telah berserah diriku kepada Allah dan demikian juga orang-orang yang mengikutku. Dan bertanyalah (Wahai Muhammad) kepada orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang diberi Kitab dan orang-orang yang Ummi (orang-orang musyrik Arab): Sudahkah kamu mematuhi dan menurut (agama Islam yang aku bawa itu)? Kemudian jika mereka memeluk Islam, maka sebenarnya mereka telah memperolehi petunjuk dan jika mereka berpaling (tidak mahu menerima Islam), maka sesungguhnya kewajipanmu hanyalah menyampaikan (dakwah Islam itu) dan (ingatlah), Allah sentiasa Melihat (tingkah laku) sekalian hambaNya..( A-li 'Imraan:20)

Labels: ,

Sunday, January 14, 2007

Syeikh Umar al-Mukhtar

Lelaki bertubuh sasa, tegap dan gagah perkasa yg tlh ditelan usia itu melangkah longlai tenang menuju ke tiang gantung. Kedua belah tangannya terbelenggu di belakang. Namun matanya masih tetap bersinar menaruh keyakinan terhadap masa depan negara dan rakyatnya. Raut mukanya tdk menampakkan rasa gentar atau takut menghadapi suasana kematian. Beliau begitu gagah walaupun maut sedang menantinya tdk beberapa saat lagi. Beliau tersenyum mengimbau kembali peristiwa-peristiwa yg dilalui sehingga tertangkap dan dihukum di tali gantung. Pengorbanannya terhadap negaranya yg tercinta. Beliau berpuas hati apa yg tlh lakukan selama ini. Beliau redha jalan yg dipilihnya sendiri. Sebentar tadi ketika beliau dibenarkan bersolat subuh, beliau sujud begitu lama sehingga darah yg menyelinap ke seluruh anggotanya terasa kebas-kebas mengadu dan berdoa ke hadrat Allah SWT supaya Allah mengampuni segala dosa-dosanya selama ini dan memohon kepadaNya supaya negara dan rakyat bebas dr belenggu penjajah. Beliau tlh bersedia menemui Penciptanya sekarang.

Suasana hening di pagi yg sejuk menikam kalbu, kedengaran tangis sendu menyelubungi orang-orang yg berada di sekelilingnya. Mereka menatap lelaki berusia 80 tahun itu dgn wajah muram. Air mata masing-masing tdk dapat ditahan, luruh bagaikan mutiara berguguran. Bagi mereka yg berada di sekitar kawasan penjara dan di tempat-tempat lain, turut merasainya, semua mereka sedar bahawa sudah sampai ketika dan waktunya beliau akan menjalani hukuman gantung sampai mati pd pagi itu. Beritanya tersebar ke seluruh pelusuk negara. Masing-masing mengangkat tangan menadah ke langit memohon keampunan dr Allah Maha Besar dan memberi darjat yg tinggi kpd beliau dan ditempatkan bersama-sama dgn para solehin dan para anbiya’. Tdk beberapa saat berlalu, suasana pagi yg hening kesejukan pagi itu dipecahkan dgn jerit pekik tangis bersahut-sahutan.

Ketika mereka melihat lingkaran tali tiang gantung menjerut leher pahlawan mereka, Umar al-Mukhtar. Singa Padang Pasir itu tlh kembali kpd penciptanya pd 16 September 1931 di Kota Solouq. Selesai sudah perjuangannya melawan penjajahan Itali, tetapi perjuangannya itu akan tetap diteruskan oleh anak watan.

Umar al-Mukhtar memang dipandang sebagai simbol kepahlawanan menentang penjajahan Itali bagi rakyat Libya, sejak Itali mula mencengkam negara tersebut pd Oktober 1911. Ia tlh menjadi perintis mencetuskan semangat rakyat Libya menyalakan bara perjuangan rakyat menentang penjajahan Itali.
Syahid di Tiang Gantung

Gelora perjuangannya juga menambat hati rakyat Libya lainnya dan berjaya melahirkan ramai para mujahid seperti Ramadan as-Swaihli, Mohammad Farhat az-Zawi, al-Fadeel Bo-Umar, Solaiman al-Barouni dan Silima an-Nailiah.

Usaha Itali menguasai Libya dilakukan dgn menyerang dan menguasai kota-kota di sebelah pantai seperti Tripoli, Benghazi, Misrata dan Derna secara berturut-turut, satu demi satu jatuh ke tangan penjajah Itali. Meski pun demikian, Umar kerap kali menjadi batu halangan kpd mereka. Beliau mampu membangkitkan semangat perjuangan rakyat Libya menentang Itali dgn semangat perjuangan yg kental.

Perjuangan mereka tlh menciptakan beberapa pertempuran yg hebat. Misalnya pertempuran yg terjadi di al-Hani dekat Tripoli pd 23 Oktober 1911, ar-Rmaila dekat Misrata, al-Fwaihat dekat Benghazi pd Mac 1912 dan Wadi as-Shwaer dekat Derna.

Perjuangan rakyat Libya menghasilkan kejayaan yg cemerlang. Pejuang-pejuang pimpinan Umar pernah terlibat dalam pertempuran besar di al-Gherthabiya, dekat Sirt pd bulan April 1915. Itali kehilangan ribuan tentera. Pertempuran-pertempuran seperti ini sering berlaku membuatkan penjajah Itali terpaksa membelas serangan yg memakan masa yg panjang, tahun demi tahun utk menguasai negara ini.

Meski pun begitu pd akhirnya, wilayah-wilayah yg dipertahankan oleh para mujahidin jatuh ke tangan penjajah. Jatuhnya wilayah demi wilayah membuat para pejuang meninggalkan rumahnya dan menuju ke pergunungan. Mereka tdk pernah berdiam diri terus merancang pelbagai strategi menyerang balas.

Pd tahun 1922 Umar tlh membentuk satu kumpulan para mujahidin dan menggegarkan kembali operasi perjuangan menentang penjajahan Itali ke atas negaranya. Ia mengumpulkan kembali mujahidin di The Green Mountain (al-Jabal al-Akdar), di bahagian Tenggara Libya. Perkara ini terjadi setelah tamatnya Perang Dunia pertama dan pd masa itu penjajah Itali terfikir bahawa mereka mampu utk membenamkan sepenuhnya perjuangan rakyat Libya. Jangkaan Itali ternyata silap.

Perjuangan yg tercetus kembali itu membuat pihak berkuasa Itali merasakan mereka berada dalam suasana yg amat tertekan, bahaya tiba-tiba datang sering mengancam keselamatan. Mereka tdk mahu membiarkan perjuangan menuntut kebebasan ini semakin merebak. Lalu pemerintah pusat Itali, Badolio yg terkenal dgn kekejamannya yg sering kehausan darah rakyat Libya utk diratahnya tlh mengambil tindakan ketenteraan utk merendam bara perjuangan tersebut.

Badolio bukan sahaja ditugas utk menumpaskan Umar al-Mukhtar dan pasukannya, bahkan ia juga diberikan keizinan utk membunuh rakyat Libya yg memberi sokongan dan membantu para mujahidin di mana jua mereka berada.

Tdk beberapa lama kemudian diktator Musollini mengirimkan komandan yg berperilaku lebih zalim drp Badolio. Ia mengambil alih tugas Badolio dan membentuk pasukan tugas khas utk menumpaskan gerakan yg diketuai oleh Umar dan bertindak membunuh lebih ramai rakyat Libya yg tdk berdosa. Komandan yg dihantar oleh Musollini ini pd fikirannya boleh menyelesaikan masalah Libya secara langsung adalah Rodolfo Grasiani. Malah kabinet Musollini tlh dimaklumkan bahawa kedatangan khas Grasiani akan membuat suasana di Libya dapat dikawal sepenuhnya.

Grasiani bersetuju pergi ke Libya dgn syarat tdk ada peraturan yg dapat menghalangnya dr melakukan berbagai tindakan ke atas Libya termasuk peraturan –peraturan antarabangsa. Ia boleh melakukannya tanpa halangan dan sekatan mengikut kehendak hatinya bagi kepentingan Itali. Sebelum ditugaskan ke Libya, ia pergi ke Morj, Switzerland utk merancang serangan terhadap Libya.

Rancangan Grasiani dipersetujui sepenuhnya oleh Musollini sebab ia berpegang kpd prinsip ''jika tdk bersamaku, maka mereka adalah lawanku''. Dgn demikian utk menguasai Libya pelbagai kaedah dan cara dihalalkan, tdk lagi mempedulikan sebanyak mana kos yg terlibat dan berapa banyak mangsa yg tdk berdosa terpaksa dikorbankan.

Tindakan pertama Grasiani di Libya ialah memutus, menyekat dan mencegah segala bentuk hubungan dgn mujahidin dan dgn negara-negara jiran yg memberi bantuan membekalkan senjata dan juga maklumat kpd para pejuang Libya. Ia membina kawat berduri sepanjang 300 km, tinggi 2 meter dan lebar 3 meter dr pelabuhan Bardiyat Slaiman Libya Utara sampai al-Jagboub di Libya Tenggara.

Beliau juga membina kem berpusat yg dikawal rapi di mana ribuan rakyat Libya mesti hidup dalam pengawasan tentera Itali. Ia membina banyak kem-kem seumpama ini di al-Aghaila, al-Maghroun, Solouq, dan al-Abiyar. Keseluruhan rakyat Libya merasa tertekan dan tertindas akibat perbuatan Grasiani ini. Mereka hidup seperti haiwan di kandang tdk ada kebebasan.

Pd akhir bulan November 1929 sebahagian besar rakyat Libya dipaksa hidup di kem-kem di al-Jabal al-Akdar, Mortaf-Aat at-Thahir dr Beneena Utara sampai as-Shlaithemiya Selatan, dr Tawkera ke bahagian selatan padang pasir Balt Abdel-Hafeeth.

Kehidupan rakyat Libya di kem-kem ini sangat mengerikan. Ribuan rakyat Libya mati kelaparan, banyak juga yg mati kerana ditembak atau digantung sebab disyaki membantu perjuangan para mujahidin pimpinan Umar al-Mukhtar.

Pd tahun 1933, Ketua Jabatan Kesihatan Angkatan Tentera Darat Itali, Dr. Todesky menulis dalam bukunya bertajuk ‘Cerinaica Today’. Dalam bukunya itu ia menyebutkan bahawa dr bulan Mei hingga bulan September 1930, lebih drp 80 ribu rakyat Libya dipaksa meninggalkan tanah kelahirannya dan hidup di kem-kem ini.

Setiap kumpulan rakyat Libya yg berjumlah 300 orang sekali jalan mendapat kawalan ketat dr tentera Itali. Todesky berkata bahawa pd akhir tahun 1930 semua rakyat Libya dipaksa utk hidup di kem-kem ini. Sebanyak 55 peratus dr 80 ribu rakyat Libya meninggal di kem-kem tersebut.

Seorang sejarawan Libya, Mahmoud Ali at-Taeb menyatakan bahawa pd bulan November 1930 paling tdk terdapat 17 acara pengebumian dalam sehari terjadi di kem-kem tersebut akibat kelaparan, penyakit dan tekanan mental yg maha hebat yg tdk tertanggung oleh manusia normal.

Di luar kem-kem ini, mujahidin yg bertahan di daerah pergunungan terus berjuang menentang penjajahan Itali. Namun, pd tahun 1931 mujahidin kehabisan stok makanan dan bekalan perubatan. Pemimpin mujahidin, Umar al-Mukhtar, jatuh sakit dan banyak para mujahidin memintanya utk berhenti berjuang dan meninggalkan Libya dan berselindung di negara jiran yg bersimpati dgn perjuangan mereka buat sementara waktu sehingga kesihatannya pulih seperti sedia kala dan kembali menyusun perjuangan seterusnya. Namun, beliau menolak tawaran tersebut dan tetap meneruskan perjuangan menentang tentera Itali.

Atas kegigihan dan keberanian melawan penjajahan Itali, maka beliau digelar sebagai ‘Singa Padang Pasir’. Meski pun pd akhirnya, usia senja tdk mampu membuatnya bertahan utk memikul senjata meneruskan perjuangan. Beliau ditangkap dan dijatuhi hukuman gantung. Pendakwaan dan hukuman tetap dilakukan tanpa mempedulikan undang-undang antarabangsa seperti mana yg ditetapkan dalam Perjanjian Geneva, dalam soal mempertimbangkan tahap kesihatan Umar al-Mukhtar dan usianya yg sudah lanjut membolehkan beliau dikecualikan dr hukum tali gantung.

Semakin redupnya bara kepahlawanan memberi peluang kpd Itali meneruskan cita-citanya dan akhirnya Itali dapat menguasai Libya setelah melakukan pertempuran selama 20 tahun. Itali hanya mampu berkuasa di Libya sehingga tahun 1943 sahaja akibat kekalahannya di Perang Dunia Kedua. Libya kemudian berada di bawah kekuasaan pasukan sekutu hingga 24 Disember 1951. Itali memerdekakan Libya pd 21 Disember 1951. Sekarang Libya di bawah pentadbiran Kolonel Muammar Abu Minyar al-Qadhafi yg merampas kuasa pd 1 September 1969 dan membentuk sebuah negara kombinasi di antara sosialis dan Islam. Libya terasing drp dunia luar akibat sekatan oleh PBB yg mana Amerika Syarikat menjadi dalangnya ekoran peristiwa Lockerbie dan pd bulan September 2003 sekatan ekonomi terhadap Libya dilonggarkan kerana Qadhafi memberi kerjasama dalam kes Lockerbie.

Begitulah serba ringkas kisah Umar al-Mukhtar yg berjuang ke titisan darah terakhir. Kisah beliau ini tlh difilemkan. Sejarah menuntut kemerdekaan ini sering bertukar tdk pernah padam selagi ada bumi dan matahari, hanya yg bertukar ialah penjajahan dalam bentuk baru iaitu penjajahan dalam bentuk politik, ekonomi, pendidikan, sosial, kebudayaan dan sebagainya dan menjadikan pemimpin tempatan sebagai boneka kpd tuannya. Ini berlaku di Iraq, di Afghanistan, di Kashmir, di Chechnya dan lain-lain negara umat Islam yg terpaksa tunduk dgn negara kuffar iaitu Amerika Syarikat yg menjadi negara kuasa besar tunggal atau polis dunia tanpa saingan selepas kehancuran Soviet Union pd tahun 80an. Maka tamatlah perang dingin yg menjadi pengimbang di antara dua kuasa besar yg berjaya mempengaruhi politik dan ekonomi dunia ketika itu. Ada lagikah kepahlawanan seperti yg ditunjukkan oleh Umar al-Mukhtar ini di negara umat Islam sekarang ini?
-------------------------------------------------------------
Katakanlah (wahai Muhammad):"Di antara orang-orang yang beriman itu, ada yang bersikap benar menunaikan apa yang telah dijanjikannya kepada Allah (untuk berjuang membela Islam); maka di antara mereka ada yang telah selesai menjalankan janjinya itu (lalu gugur syahid), dan di antaranya ada yang menunggu giliran dan mereka pula tidak mengubah (apa yang mereka janjikan itu) sedikitpun.".(Al-Ahzab:23)

Labels: ,