Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami : Perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertakwa. (Al-Furqan:74) akhifaizul Blogging Portal


Saturday, February 03, 2007

Kelahiran

Setelah melalui tempoh masa tertentu, lazimnya 9 bulan. Maka kandungan seorang ibu itu akan dilahirkan. Pasangan ibubapa akan menunggu saat kelahiran dengan rasa cemas, gembira dan syukur.

Di dalam syariat Islam terdapat beberapa perkara yang dianjurkan ketika menyambut kelahiran bayi. Antara perkara-perkara sunat yang dianjurkan dalam menyambut kelahiran bayi adalah seperti berikut ;-

1. Azan dan Iqamah
Disunatkan azan ditelinga kanan dan iqamah di telinga kiri. Hal ini dilakukan sendiri oleh Baginda SAW seperti hadis yang diriwayatkan oleh Ubaidillah Ibni Abi Rafi’ katanya yang bermaksud “Saya telah melihat Rasulullah SAW mengazankan di telinga Hussin Ibn Ali ketika dilahirkan oleh ibunya Fatima.”

Dalam hadis lain riwayat al-Baihaqi daripada hadis Hassan Ibn Ali baginda bersabda yang bermasksud: “Sesiapa yang memperolehi kelahiran cahaya mata maka hendaklah diazankan di telinga kanan dan diiqamahkan di telingan kiri, nescaya terlepas dari ummu sibyan atau dari angin tiupan syaitan.”

Sunat dibacakan pada telinga kanan bayi tersebut dengan doa yang bermaksud “Bahawasanya, aku pohonkan perlindungan Engkau (Ya Allah) diri anak ini dan zuriat keturunannya kelak daripada tipu daya syaitan

2. Memberitahu Jiran dan Sahabat Handai
Kepada pasangan yang dikurniakan cahaya mata oleh Allah, disunatkan buat mereka mengwar-warkan kelahiran anak pada jiran tetangga dan juga sahabat handai, ini bagi tujuan menzahirkan rasa bersyukur dengan anak kurniaan Allah. Tidak semua manusia diberi peluang oleh Allah untuk melaksanakan tanggungjawab ini.

Bagi sahabat handai pula yang menerima berita gembira ini, disunatkan buat mereka untuk mengucapkan ucapan tahniah. Disunatkan bagi mereka yang menerima berita gembira ini untuk mendoakan pasangan yang baru dikurniakan anak dengan doa ini “Semoga Allah memberkati kurniaannya, syukurilah atas pemberian ini, penuhilah keperluannya dan rezekikanlah masa depannya.”

Kemudian dibalas dengan mendoakan kebaikan buat mereka.

3. Melakukan Tahnik
Setelah seorang bayi selamat dilahirkan oleh ibunya, selain daripada azan dan iqamah, kita disunatkan agar dapat mentahnik anak yang baru dilahirkan. Tahnik dilakukan dengan cara meletakkan sedikit isi buah tamar di atas jari telunjuk serta memasukkannya ke dalam mulut bayi, perlahan-lahan menggerakkan jari itu dari kanan ke kiri mulut bayi. Ini dilaksanakan sehingga isi buah tamar tersebut menyentuh keseluruhan mulut bayi tadi dan tamar tersebut akan masuk ke dalam rongga tekak bayi berkenaan.

Kira sukar mendapatkan tamar, maka bolehlah digantikan dengan apa sahaja yang ada unsur manis. Lebih afdal jika bertahnik ini dilaksanakan oleh orang-orang yang soleh.

4. Mencukur Rambut
Di antara perkara yang sunat dilakukan kepada bayi yang baru dilahirkan ialah mencukut rambut. Ini dilakukan sebaik-baiknya pada hari ketujuh selepas dilahirkan, kemudian disunatkan pula bersedekah dengan perak seberat timbangan rambut yang dicukurkan itu kepada fakir miskin jika berkemampuan. Atau jika tidak maka atas sekadar yang mampu sahaja.

Rasulullah SAW bersabda ketika mana anaknya Fatimah melahirkan Hassan dan juga Hussein. Sabda Baginda SAW yang bermaksud “Timbanglah rambut Hussein dan sedekahlah seberat timbangan perak.” Dan ketika Fatimah melahirkan Hassan pula Baginda SAW bersabda lagi yang bermaksud “Cukurlah rambutnya, sedekahlah seberat timbangan (rambutnya itu) daripada perak.”

Sumber :
Pendidikan Anak-anak Dalam Islam, Abdullah Nasih Ulwan dan Majalah Anis

-------------------------------------------------------------
Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari Neraka yang bahan-bahan bakarannya: Manusia dan batu (berhala); Neraka itu dijaga dan dikawal oleh malaikat-malaikat yang keras kasar (layanannya); mereka tidak menderhaka kepada Allah dalam segala yang diperintahkanNya kepada mereka, dan mereka pula tetap melakukan segala yang diperintahkan..(At-Tahrim:6)

Labels: ,

0 Comments:

Post a Comment

Subscribe to Post Comments [Atom]

<< Home