Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami : Perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertakwa. (Al-Furqan:74) akhifaizul Blogging Portal


Monday, February 19, 2007

Masjid al-Aqsa simbol persefahaman

Tindakan Israel menggali kawasan suci di Palestin dianggap perbuatan biadab mesti dihalang

SEJAK kelahiran Islam 1440 tahun yang lalu, Masjid al-Aqsa di bawah pemerintahan tiga kuasa agama iaitu Islam, Kristian dan Yahudi. Masjid al-Aqsa di bawah pemerintahan Islam selama 1200 tahun, Kristian (88 tahun) dan Yahudi (59 tahun).

Perlu dinyatakan di sini bahawa Masjid al-Aqsa pernah berada di bawah kuasa konspirasi antarabangsa moden (Inggeris dan sekutunya menerusi Perjanjian Balfour) dari 1917 hingga munculnya Israel pada 1948.

Kawasan Masjid al-Aqsa adalah satu-satunya negeri yang penyerahannya dilakukan oleh khalifah sendiri. Demi menghormati Masjid al-Aqsa dan permintaan penghuni Kristiannya, Khalifah Umar ibn al-Khattab meluangkan waktu dari Madinah pergi menuju Baitulmaqdis menerima kunci kota itu. Beliau turut membuat perjanjian bertulis disebut al-Ahdah al-Umariyah yang menyatakan bahawa orang Kristian mengamanahkan kepada Umar diri mereka, harta, gereja, keturunan, orang sakit, orang sihat dan semua kepercayaan mereka di sana, untuk dijaga dan dipelihara oleh pemerintahan Islam. Dari sinilah bermulanya pemerintahan Islam selama 1200 tahun hingga 1917.

Selepas 400 tahun pembukaan Masjid al-Aqsa oleh Umar, ia jatuh ke tangan pemerintahan Kristian. Ia ditakluki Raymond Tolouse, seorang keluarga diraja dari Toulouse, Perancis. Beliau memimpin tentera Salib menuju al-Quds. Jumlah mereka hanya sekitar 1,000 tentera berkuda dan 5,000 pasukan infantri. Pada 1099M, mereka berhasil memasuki Palestin dengan melalui Acre. Selepas itu mereka menduduki Ramleh, Lod dan Baitulaham. Pada 7 Jun 1099M, pengepungan wilayah al-Quds dimulakan. Iftikhar al-Dawlah adalah penguasa yang dilantik Kerajaan Fatimiyah di sana. Kota ini dikuasai pada 15 Julai 1099.

Tentera Salib terus menyerang umat Islam selama seminggu. Mereka berhasil membunuh lebih 70,000 muslim di dalam Masjid al-Aqsa, termasuk pemimpin, cendikiawan dan orang yang sedang beribadah. Malangnya, Kerajaan Fatimiyah dan Abbasiyyah tidak berbuat apa-apa untuk membantu, mereka hanya diam membisu melihat peristiwa ini. Al-Quds dikuasai oleh tentera Salib, Godfry Gouillon, yang dengan rendah hati menyebut dirinya dengan jolokan Pembela al-Quds.

Lapan puluh lapan tahun kemudian, iaitu pada 1187, Masjid al-Aqsa kembali ke tangan umat Islam di bawah pimpinan Salahuddin al-Ayyubi. Pada 20 September tahun itu, pengepungan ke atas kota al-Quds bermula. Di dalam kota ada seramai 60,000 pasukan Salib yang semuanya memutuskan untuk lebih baik mati daripada menyerahkan wilayah kota berkenaan. Pada masa pengepungan berlaku beberapa pertempuran. Pasukan Islam berusaha untuk merempuh masuk dan menyerang. Akhirnya, tentera Salib Eropah menuntut damai dengan meminta kota itu diserahkan kepada mereka dan apabila permintaan itu tidak dipenuhi mereka mengancam akan membunuh ribuan tawanan Muslim.

Mereka juga mengugut akan membunuh kaum wanita dan keturunan mereka yang Kristian, membakar dan menghancurkan seluruh harta benda, membunuh binatang ternak, merosak Masjid al-Aqsa dan Batu Shahrah, lalu mereka keluar untuk bertempur hingga ke titisan darah terakhir.

Salahuddin yang berbincang dengan sahabatnya kemudian bersetuju untuk berdamai. Lalu diberikan kepada mereka perdamaian. Akhirnya umat Islam mencapai kemenangan ke atas al-Quds pada 2 Oktober 1187M. Di sini nampak jiwa tolak ansur dan kasih sayang Salahuddin yang juga diakui oleh kebanyakan orang Kristian.

Begitulah akhirnya Baitulmaqdis kembali diperintah di bawah bendera Islam selepas 88 tahun dikuasai tentera Salib. Keagungan dan kemuliaan Masjid al-Aqsa dikembalikan, suara azan kembali berkumandang.

Pada 1948 pemerintahan baru menguasai Masjid al-Aqsa selepas tentera Yahudi menaklukinya. Ini diakui seorang wartawan Israel, Gad’on Levy, menerusi artikelnya di akhbar Israel Ha’aretz mendedahkan mengenai kejahatan dan penindasan terancang Israel terhadap tempat suci di Palestin. Dalam artikelnya itu, Levy menulis dengan berdirinya entiti Yahudi Israel di Palestin, mereka mula menodai nilai bangsa lain. Tidak kurang daripada 400 desa Palestin diporak-perandakan pada 1948. Padahal di desa berkenaan ada 400 masjid yang juga dihancurkan dan 400 gereja milik Kristian turut menjadi mangsa kekejaman Israel. Israel tidak meninggalkan jejak sejarah apapun di desa itu dan kubur yang ada didalamnya dibongkar manakala masjid, ada yang dihancurkan dan ada yang dikotori.

Hari ini selepas 59 tahun Masjid al-Aqsa dikuasai tentera Zionis Israel, rancangan tersembunyi dan jahat mereka ke atas Masjid al-Aqsa terdedah dan didedahkan lagi. Seperti dilaporkan awal minggu ini bahawa kegiatan menggali dekat Masjid al-Aqsa atas sebab mencari tinggalan sejarah Yahudi akan diteruskan oleh pihak berkuasa Israel, meskipun Israel menghentikan pembinaan satu laluan ke dalam Kota Lama yang menempatkan rumah ibadat berkenaan.

Walaupun pihak berkuasa Israel menolak kebimbangan al-Aqsa akan rosak termasuk Masjid Omar yang dikatakan dibina kononnya di atas bekas tapak kuil Yahudi purba, umat Islam masih meraguinya. Ketua Mahkamah Palestin, Syaikh Taisir Tamimi meminta kaum Muslimin tidak mudah terlena dengan janji Zionis yang akan menghentikan sementara penggalian di Maghariba, wilayah Masjid Al-Aqsa.

Katanya, apa yang dilakukan Zionis Israel yang menghentikan penggalian di sekitar Masjid al-Aqsa itu mempunyai tujuan lain iaitu menghentikan reaksi kemarahan masyarakat dan kaum Muslimin yang sudah meluas ke seluruh sudut kota Palestin bahkan ke beberapa negara Arab dan Islam, serta mengundang tekanan antarabangsa terhadap penjajah Zionis sendiri.

Syaikh Tamimi dalam keterangannya yang disampaikan kepada Palestine Information Center menegaskan bahawa sehingga saat ini beberapa pertubuhan Zionisme ekstrim sesungguhnya masih tetap melanjutkan penggalian dan menghancurkan kawasan sekitar Masjid al-Aqsa, khususnya pintu Maghariba, secara diam-diam. Beliau meminta masyarakat antarabangsa terus menekan Zionis Israel supaya menghentikan kerja menghancurkan Masjid al-Aqsa.

Pakar Zionisme, Nawwaf al-Zuru dalam tulisannya menyatakan ada 10 fasa menghancurkan Masjid al-Aqsa. Israel tidak hanya pandai membuat teori menghancurkan Masjid al-Aqsa tetapi mereka sudah melakukan 10 fasa untuk merobohkan tempat suci umat Islam itu, kemudian dibangunkan haikal Sulaiman di atas puing-puingnya.

Fasa I: Dilakukan sejak 1967 hingga akhir 1968 dengan menggali terowong 70 meter di selatan Masjid al-Aqsa di belakang menara masjid.

Fasa II: Dilakukan dari 1969 hingga 1970 dengan menggali terowong 80 meter dari pagar Masjid al-Aqsa.

Fasa III: Dilakukan dari 1970 hingga 1973, Israel menggali terowong di bawah Mahkamah Syariah dan di bawah lima pintu masjid al-Aqsa, al-Musalsal, al-Muthahirah, al-Qatthanin, al-Hadid dan Alauddin al-Basyri di samping terowong yang ada di bawah empat masjid dan menara masjid Qaithabi dan Suuq Al-Qatthanin. Penggalian terowong dan aktifak Yahudi ini menyebabkan sebahagian daripada bangunan Mahkamah Syariah berubah menjadi gereja dan peninggalan bersejarah perjuangan suku Kurdi Islam dan sekolah Al-Jauhariah mengalami kerosakan.

Fasa IV-V: Dilakukan sejak 1973 hingga akhir 1975 dengan penggalian daerah bahagian belakang gerbang selatan sepanjang bahagian timur bawah Masjid al-Aqsa, pagar Masjid al-Aqsa bahagian timur sepanjang 80 meter juga mencakupi penggalian bahagian bawah Masjid al-Aqsa.

Fasa VI: Kegiatan dilakukan mulai 1975 dengan tujuan menghilangkan kubur Sahabat Nabi dan mendirikan beberapa tempat pelancongan nasional Israel di atasnya.

Fasa VII: Ini dilakukan sesuai dengan projek Dewan Kementerian Israel pada 1975 yang merampas infrastruktur milik Islam hingga pagar Al-Barraq (al-Mabkaa) dan diteruskan dengan penggalian di bawah bangunan Mahkamah Syariah dan perpustakaan Al-Khalidiah dan pojok Abu Madin al-Ghauts dan semuanya roboh, ditambah 35 rumah warga lainnya.

Fasa VIII: Fasa yang bermula daripada permulaan tahun 80-an dengan slogan mengungkap harta karun Kerajaan Israel ini adalah penggalian yang sangat berbahaya yang pernah di alami oleh Masjid al-Aqsa. Sebab banyak penggalian yang masih dilakukan secara sembunyi oleh Israel. Sebahagian penggalian ini diungkap oleh laporan kepala daerah Um Alfahm, Raid Shalah seperti Lembaga Al-Aqsa dan Jabatan Waqaf di Al-Quds. Pada saat itu sempat terjadi pertentangan antara Israel dengan jemaah. Di tengah-tengah pertentangan ini penggalian dilakukan di bawah Masjid al-Aqsa.

Fasa IX: Dilakukan pada 1981. Pembukaan terowong yang ditemukan Kolonel Inklizi Charles Warn dibuka dan kemudian ditutup semula. Terowong itu bermula di bahagian bawah pintu Al-Muthahharah antara pintu Al-Silsilah dan Al-Qathanin hingga ke pintu Magharibah dan ke bawah Masjid al-Aqsa. Israel mendakwa bahawa tembok yang terdapat di terowong adalah milik Haikal Sulaiman yang mereka sebut dengan terowong Hasyumunaim. Pada fasa ini dilakukan penggalian terowong di bawah bangunan Mahkamah Syariah pada 1987 dan di bawah sekolah Al-Tankiziah. Terowong dibina sehingga ke sebelah utara Masjid al-Aqsa. Akibat kegiatan penggalian ini sejumlah bangunan, sekolah dan bangunan kedai mengalami kerosakan malah ada yang roboh. Penggalian ini juga mengakibatkan gerbang utama Jabatan Waqaf, roboh.

Fasa X: Sebahagian terowong Hasyumunaim yang panjangnya kira-kira 250 meter dibuka selepas hari raya Pengampunan Yahudi pada Isnin 24 September 1999. Pengumuman pembukaan yang dihadiri oleh pejabat tinggi Israel ini menyebabkan perselisihan atau pertentangan antara Israel dan Palestin paling sengit berlaku di Masjid al-Aqsa. Pemerintah Israel tergesa-gesa menutupnya. Israel menggali terowong di bawah Masjid al-Aqsa sepanjang 400 meter dari kampung Barat Arab hingga di tapak tembok Al-Barraq di bahagian utara kampung Islami. Jika tindakan itu diteruskan, sewajarnya kita bimbang Masjid al-Aqsa, kiblat pertama kita dirobohkan? Jika berlaku, sewajarnya orang Kristian juga bimbang dan khuatir tempat suci mereka dirobohkan. Begitu juga, sewajarnya orang Yahudi juga bimbang dan khuatir apabila tempat suci mereka dirobohkannya walaupun Zionis mengatakan lain?

Oleh Abdurrahaman Haqqi, Berita Minggu 18 Februari 2007

-------------------------------------------------------------
Dan telah sempurnalah Kalimah Tuhanmu (Al-Quran, meliputi hukum-hukum dan janji-janjiNya) dengan benar dan adil; tiada sesiapa yang dapat mengubah sesuatupun dari Kalimah-kalimahNya; dan Dia lah yang sentiasa Mendengar, lagi sentiasa Mengetahui.(Al-An'aam:115)

Labels: ,

Sunday, February 18, 2007

TV3

Alhamdulillah, sejak kebelakangan ini Stesen TV3 ada menyiarkan serba sedikit derita rakyat Palestin di kaca TV. Diriku yakin pasti ramai di antara kita yang tersentuh bila melihat saudara seIslam kita yang serba daif. Yang terpaksa menumpang tanahair orang untuk meneruskan kehidupan. Tidak keterlaluan jika aku katakana pasti ada di antara kita yang mengalirkan air mata bila melihat visual-visual yang dipaparkan di TV3.

Pertama-tamanya aku ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada TV3 dan juga syabas buat TV3 yang menyediakan laporan ini. Sekurang-kurangnya adalah sedikit usaha pihak TV3 untuk menyiarkan kesengsaraan rakyat Palestin untuk tatapan kita semua. Untuk kita renungkan, dan yang paling penting untuk kita usahakan sesuatu untuk membantu saudara seAqidah kita di sana.

Tapi apa yang masih kurang dalam usaha untuk membantu rakyat Palestin ini adalah kurangnya promosi untuk bantuan terutama bantuan dari segi kewangan. Pihak TV3 boleh mengwar-warkan tabung-tabung yang membantu rakyat negara Palestin ini ataupon TV3 sendiri boleh wujudkan satu Tabung Khas untuk membantu rakyat Palestin ini seperti mereka mewujudkan tabung banjir tempoh hari yang mendapat kolobrasi dengan Maybank2u.com.

Jika kita lihat, tabung-tabung bantuan kepada rakyat Palestin ini jarang dapat di buat secara online (maksudku Maybank – Maaf yer Maybank sbb terlalu direct, kpd rakan-rakan di Maybank dapatlah kiranya di buat sesuatu), jika kita hendak menghulurkan bantuan kewangan kita perlu pergi ke Bank berkenaan. Namakan apa sahaja pertubuhan, AMAN Palestine, JIM atau apa shj pertubuhan lain yang mungkin diriku terlepas pandang, ianya pasti tidak dapat dilakukan secara online di Maybank2u.com. Alasan yang pernah diberikan kepadaku adalah Ini adalah pertubuhan dan jika encik hendak transfer kan duit, encik perlu ke bank kami. atas dasar apa ianya tidak boleh dilaksanakan atas talian aku tidak mengerti. Cuma diriku belum pernah mencuba kaedah IBG (Inter Bank Giro). Can anybody clarify this to me? Is it possible?

Oleh itu wahai sahabat-sahabatku dan juga pembaca-pembaca blogku, marilah sama-sama kita menyimpan beberapa nombor akaun pertubuhan-pertubuhan yang menyalurkan bantuan kepada saudara seIslam kita di Palestin ini di dalam wallet kita, di dalam PDA kita, di dalam diari kita supaya bila kita terasa hendak menghulur dan kita ternampak bank yang berkenaan kita boleh terus masuk ke dalam bank itu dan teruskan aktiviti mengdepositkan wang ke dalam akaun-akaun pertubuhan-pertubuhan ini.
-------------------------------------------------------------
"Kalau kamu zahirkan sedekah-sedekah itu (secara terang), maka yang demikian adalah baik (kerana menjadi contoh yang baik) dan kalau pula kamu sembunyikan sedekah-sedekah itu serta kamu berikan kepada orang-orang fakir miskin, maka itu adalah baik bagi kamu dan Allah akan menghapuskan dari kamu sebahagian dari kesalahan-kesalahan kamu dan (ingatlah), Allah Maha Mengetahui secara mendalam akan apa yang kamu lakukan."(Al-Baqarah:271)

Labels: ,

Monday, February 12, 2007

Usaha Zionis Robohkan al-Aqsa

Rasanya ramai yang telah membaca buku Al-aqsa dalam Bahaya tulisan Ust Maszlee Malik. Untuk entry ini den letakkan video talk beliau. Kebanyakan perkara yang diperkatakan di dalam video ini lebih kurang sama dengan apa yang terdapat di dalam buku yang ditulis beliau. Dengar dan membaca dua perkara yang lain. InsyaAllah ada manfaatnya jika dengar butir bicara beliau di dalam video ini.

Labels: ,

Biadap

Lihatlah kebiadapan Israel. Dunia mengecam pembinaan jambatan yang diimpikan, mereka buat tak tahu dan terus sahaja melaksanakannya. Tidak hirau dengan bantahan dunia, mereka seolah-oleh berkuasa mutlak. Hinggakan hendak bersolat pon dilarang. Langsung tiada kebebasan buat saudara-saudara kita di sana. Apa yang kita buat untuk mereka? Sama-sama kita renungkan.
-----------------------------
Israel teruskan projek ke Masjidil al-Aqsa

BAITULMAQDIS: Israel terus menjalankan projek pembinaan di laluan menuju ke Masjidil al-Aqsa meskipun projek itu dibantah dunia Islam dan dua hari selepas bantahan ganas Palestin, termasuk serangan ke atas bas pelancong Kanada.

Dengan dikawal ketat polis Israel, pekerja kembali ke tapak binaan di kawasan tembok Kota Lama selepas cuti sehari kelmarin.

Suasana tegang terus memuncak di bandar itu sejak minggu lalu apabila Israel memulakan projek berkenaan di kawasan Tanah Haram manakala Yahudi menganggap kawasan itu sebagai Temple Mount.

Israel mahu membina kawasan pejalan kaki baru bagi menggantikan tanjakan asal yang diperbuat daripada tanah dan mengalami kerosakan sejak tiga tahun lalu selepas dilanda ribut salji.

Jurucakap polis, Micky Rosenfeld berkata, tiada sebarang insiden semalam dan menegaskan, kerja pembinaan itu akan diteruskan sepanjang hari.

Katanya polis dan anggota tambahan seramai lebih 2,000 akan terus ditempatkan di dalam dan sekitar Baitulmaqdis Timur selain melarang Muslim bawah 45 tahun memasuki masjidil al-Aqsa.

Ketika berucap menjelang mesyuarat mingguan Kabinet, Perdana Menteri Israel, Ehud Olmert mengecam golongan dalam dunia Arab antarabangsa yang mempunyai kepentingan kerana menjadikan isu itu sebagai alasan mengapi-apikan lagi kebencian dan permusuhan terhadap rejim Yahudi itu.

Tanjakan sedia ada kata Olmert, perlu dibaik pulih kerana strukturnya sudah dianggap bahaya dan kerja binaan dilakukan adalah di kawasan tanggungjawab mutlak Israel serta dikawal rapi.

Jumaat lalu, kira-kira 200 polis anti rusuhan melemparkan bom renjatan dan gas pemedih mata ke arah penunjuk perasaan yang melontar batu selepas lebih 3,000 penduduk Palestin berhimpun menunaikan solat di al-Aqsa.

Kelmarin, remaja Palestin melempar batu ke arah polis Israel selain membakar bendera Zionis serta menyerang bas pelancong Kanada dengan batu.

Kawasan tembok terbabit, sudah beberapa kali mencetuskan intifada Palestin. Kawasan terbabit dianggap suci oleh Islam kerana dikatakan menjadi tempat Nabi Muhammad mikraj ke langit manakala Yahudi menganggap tempat itu menjadi rumah ibadat mereka.

Mengulas mengenai pembentukan kerajaan campuran Palestin menerusi deklarasi Makkah, Olmert berkata, kerajaan baru Palestin mesti mengiktiraf negara Israel seperti yang dituntut dalam proses damai tajaan Barat, selain menghentikan serangan terhadap rejim Yahudi itu. – AP

Sumber : Berita Harian, 12 Februari 2007
-------------------------------------------------------------
Dan tiadalah bagi mereka sebarang penolong - yang lain dari Allah - yang dapat memberikan pertolongan kepada mereka; dan sesiapa yang disesatkan oleh Allah (disebabkan pilihannya yang salah) maka tidak ada baginya sebarang jalan (untuk mendapat hidayah petunjuk).(Asy-Syuura : 46)

Labels: ,

Sunday, February 11, 2007

Al-Aqsa: Tindakan Israel diragui

JORDAN dan Palestin menyuarakan kebimbangan berhubung kerja penggalian di sekitar Masjid Al-Aqsa yang dilakukan oleh pihak berkuasa Israel.

Dunia Islam pun pasti turut bimbang terhadap perkara ini. Bukan itu saja, dunia juga mesti prihatin terhadap perkara ini.

Kalau dunia Islam sering kali menegaskan bahawa punca akar keganasan adalah masalah Palestin, maka soal Masjid Al-Aqsa inilah merupakan teras kepada ancaman keselamatan dunia.

Manakan tidak, agenda Israel untuk memusnahkan kebenaran dan digantikan dengan kepalsuan fahaman mereka menjadi ancaman kepada persefahaman hubungan antara bangsa dan agama di dunia.

Pihak berkuasa Israel menyatakan bahawa kerja-kerja penggalian itu dilakukan untuk membina satu laluan baru bagi menggantikan tempat yang menjadi lalu-lalang para pengunjung kerana dikatakan telah rosak dan buruk.

Bolehkah Israel dipercayai? Tentunya dunia Islam tidak dapat mempercayai Israel. Bukan saja dari segi rekod, malah dari segi prinsip dan kepercayaan, Israel tidak dapat dipercayai.

Dalam hal ini, perlu dilihat perbezaan antara Yahudi, Zionis dan Israel berhubung dengan Baitulmaqdis serta Masjid Al-Aqsa.

Yahudi membawa kepada dua konsep iaitu agama dan bangsa. Zionisme membawa konsep ideologi. Sementara Israel membawa konsep politik negara bangsa.

Dalam agama Yahudi, terdapat pelbagai mazhab, yang antaranya mengimpikan pembinaan balik Rumah Ibadat Raja Sulaiman.

Mereka berasa bertanggungjawab untuk membina semula Rumah Ibadat Raja Sulaiman, atau King Solomon Temple yang didirikan pada tahun 953 sebelum Masihi oleh Nabi Sulaiman.

Rumah ibadat ini dianggap oleh penganut agama Yahudi sebagai tempat paling agung telah dimusnahkan oleh tentera Babylon. Kemudian ia dibina balik dan dikenali sebagai Rumah Ibadat Kedua oleh Raja Herod. Sebahagian daripada tembok yang dibina itulah kini dikenali sebagai Tembok Ratapan atau Wailing Wall di mana penganut-penganut Yahudi menziarahinya dan meratap di situ mengenangkan nasib bangsa mereka ketika ditakluki.

Penakluk Rom kemudian memusnahkan lagi Rumah Ibadat Kedua itu dan orang Yahudi bertebaran ke seluruh empayar Rom di sekitar negara-negara Laut Mediterranean.

Orang Rom kemudian membina sebuah Kuil Jupiter untuk meraikan dewa Jupiter di satu tapak tidak jauh dari Rumah Ibadat Raja Sulaiman itu.

Setelah empayar Rom menjadi Kristian, maka maharajanya membina sebuah gereja besar Church of Holy Sepulchre tidak jauh dari Kuil Jupiter yang kemudian dimusnahkan.

Bagi orang Islam, Rumah Ibadat Raja Sulaiman itu dianggap sebagai Masjid Al-Aqsa. Masjid dalam erti kata, tempat sujud, atau rumah ibadat.

Walaupun konsep masjid sebagai rumah ibadat orang Islam hanya timbul setelah munculnya agama Islam tetapi jika diambil pengertian bahawa agama Islam adalah merujuk kepada semua agama yang benar termasuk agama yang sebelumnya gerakan dakwah Rasulullah s.a.w., maka agama yang dibawa oleh Nabi Ibrahim, Nabi Sulaiman dan Nabi Isa yang dikenali juga dengan agama Hanif, agama Yahudi asal dan Nasrani, maka konsep masjid juga merujuk kepada rumah-rumah ibadat agama sebenar ini.

Justeru Masjidilharam di Mekah yang dibina oleh Nabi Ibrahim dan juga Masjid Al-Aqsa yang dibangunkan oleh Nabi Sulaiman adalah disebut juga sebagai masjid walaupun ketika Rasulullah belum lahir.

Maka dalam Israk dan Mikraj Rasulullah yang masa itu masih berada di Mekah dan belum lagi dibina mana-mana masjid oleh orang Islam, baginda sampai di Masjid Al-Aqsa sebelum berangkat ke Sidratul Muntaha.

Masjid Al-Aqsa inilah juga menjadi kiblat pertama umat Islam sebelum berubah ke Masjidilharam.

Apabila Sayidina Omar sampai di Baitulmaqdis sebagai panglima tentera Islam yang membebaskan Palestin, tempat pertama yang beliau cari ialah tapak Masjid Al- Aqsa. Tidak ada lagi bangunan di situ. Yang ada menurut riwayat sejarah adalah tempat pembuangan sampah.

Baginda kemudian membersihkan tempat itu yang dianggap sebagai tempat suci memandangkan ia merupakan tapak Masjid Al-Aqsa dan mengarahkan pembinaan Masjid Al-Aqsa seperti yang ada pada hari ini.

Tetapi itu bukanlah bermakna keseluruhan bangunan Masjid Al-Aqsa yang ada itu dibina oleh Sayidina Omar sebagai khalifah kedua.

Menambah bangunan

Pada tahun-tahun kemudian, khalifah-khalifah telah membaiki dan menambah bangunan Masjid Al-Aqsa hingga menjadi bentuk pada hari ini.

Toleransi pemerintahan khalifah jelas apabila gereja yang tidak jauh dari situ terus dibenarkan digunakan. Bagaimanapun dengan melihat kehebatan Sayidina Omar, maka ramailah penduduk Palestin pada zaman itu berduyun-duyun memeluk agama Islam lebih-lebih lagi sebelumnya semasa pemerintahan Rom Bizantin, mereka menanggung pemerintahan kejam.

Selepas beberapa ratus tahun kemudian, semasa pemerintahan khalifah ke-9 Umaiyah, Khalifah Malik ibni Marwan mengarahkan pembinaan sebuah masjid yang lebih cantik tidak jauh dari Masjid Al-Aqsa dan gereja besar itu.

Masjid yang dikenali sebagai Masjid Omar atau Kubah Al-Sakhra, atau Dome of the Rock (Kubah batu) mempunyai seni bina yang cantik dan gemilang hingga ia menjadi terkenal hingga ke hari ini sebagai simbol bukan saja Baitulmaqdis tetapi Palestin.

Banyak orang keliru bahawa Dome of the Rock ini adalah Masjid Al-Aqsa. Tetapi ia merupakan masjid indah dan menjadi simbol kegemilangan Islam hingga ada kalangan orientalis yang membuat andaian bahawa pembinaan masjid itu oleh Khalifah Umaiyah adalah untuk menegaskan keagungan agama Islam mengatasi Kristian, iaitu untuk mengatasi gereja Church of Holy Sepulchre.

Pada masa itu, pemerintahan Islam iaitu khalifah Umaiyah berpusat di Damsyik dan Palestin terletak di pemerintahan langsung dari Damsyik.

Perlu diingat bahawa semasa pemerintahan Khalifah-au-Rasyidin yang empat, Palestin terletak di bawah pentadbiran wilayah Syam dengan ibu wilayah di Damsyik.

Damsyik pula sebelum diperintah oleh Islam adalah juga ibu wilayah Rom bagi Syam yang meliputi Palestin. Melihat sejarah yang sebegini tidak hairanlah kini Syria yang mempunyai ibu negara di Damsyik cenderung untuk memainkan peranan ke atas masalah Palestin.

Semasa Damsyik menjadi ibu wilayah empayar Rom Bizantin yang beragama Kristian, terdapat gereja paling besar di Asia Barat terletak di kota itu.

Pada masa itu, tamadun Rom berada di peringkat jauh lebih tinggi daripada orang Arab. Maka apabila orang islam dapat menguasai Damsyik dan Syam, mereka mewarisi tamadun Rom dan menjadikannya sebahagian daripada peradaban Islam.

Sayidina Muawiyah yang menjadi gabenor Islam di Damsyik menjadi perintis kepada proses ketamadunan Islam.

Lebih-lebih lagi selepas beliau menjadi khalifah kelima Islam dan khalifah pertama daripada kerajaan Umaiyah, maka jelas segala kegemilangan Rom diwarisi oleh Islam.

Gereja besar Damsyik diambil alih untuk dijadikan Masjid Umaiyah utama seperti yang ada pada hari ini. Untuk memajukan kerajaan besar Islam, khalifah-khalifah Umaiyah telah menyerap orang Yahudi ke dalam jentera kerajaan.

Ada yang memeluk agama Islam, tidak kurang pula yang terus kekal berada dalam agama Yahudi.

Namun begitu, dari segi budaya, orang Yahudi yang pandai menulis ini telah menjadi bahagian penting dalam tamadun Islam. Kepentingan peranan orang Yahudi dalam tamadun Islam bukan saja berlaku dalam pemerintahan Umaiyah di Damsyik tetapi juga kerajaan Umaiyah di Andalusia.

Mereka kemudian terus diberi tempat dalam kerajaan Uthmaniah di Istanbul.

Pihak yang meminggirkan Yahudi adalah orang Rom dan kemudiannya Kristian, termasuk golongan tentera Salib.

Semasa Perang Salib, golongan Kristian dari mazhab Katolik sampai ke Baitulmaqdis dan Palestin. Ketika mereka masuk ke Baitulmaqdis, kota itu berlumuran darah kerana hampir semua penduduknya dibunuh, bukan saja orang Islam, tetapi juga Yahudi dan Kristian. Tentera Salib turut memusuhi orang Kristian yang bukan daripada mazhab mereka. Maka yang menjadi mangsa iaitu selain daripada orang Islam dan Yahudi, ialah Kristian Ortodoks.

Semasa pemerintahan kerajaan-kerajaan Kristian dan tentera Salib, mereka amat berminat mengenai apa yang terkandung di bawah tanah sekitar masjid Al-Aqsa. Muncul sekumpulan yang dikenali sebagai Pahlawan Templar atau Knights of the Templar yang dikatakan dapat memasuki kawasan-kawasan purba di bawah Masjid Al-Aqsa dan gereja Church of Holy Sepulchre. Sebagai tempat bersejarah tentunya ia mengandungi banyak rahsia dan pelbagai misteri serta mitos dikaitkan dengannya.

Malah Knights of Templar juga dikatakan mempunyai rahsia tersendiri yang dikatakan berkait dengan Nabi Isa. Kisah-kisah berkaitan rahsia ini mendorong banyak pihak khususnya ahli sejarah membuat kajian, baik daripada kalangan ahli arkeologi profesional mahupun amatur.

Tetapi dalam banyak-banyak kisah ini, terdapat penulis fiksyen dan rekaan turut serta membuat pelbagai cerita, maka antaranya muncullah novel seperti The Da Vinci Code yang sudah pun dijadikan filem.

Bagaimanapun, kemudiannya Palestin dan Baitulmaqdis kembali ke tangan orang Islam melalui usaha, antaranya Salahuddin Al-Ayubi, seorang sultan Kurdis yang memerintah dari Kaherah. Kemudian Baitulmaqdis dan Palestin berada pula di bawah pemerintahan kerajaan Uthmaniah.

Zaman moden

Menjelang zaman moden, iaitu apabila munculnya Enlightenment di Eropah diikuti dengan Revolusi Sains dan Industri, orang Yahudi didapati menjadi sebahagian daripada Eropah walaupun mereka disisihkan, dihina dan ditindas serta dipaksa tinggal dalam daerah-daerah sempit dikenali sebagai ghetto.

Dalam keadan tertindas ini, orang Yahudi terus cemerlang dalam bidang intelektual dan kewangan. Antara hasil daripada pemikiran ini, maka muncul fahaman Zionisme, yang secara ringkas mencita-citakan sebuah negara untuk orang Yahudi.

Pada awalnya Zionisme bukannya fahaman keagamaan. Ia lebih berbentuk politik dalam fahaman sekularisme, nasionalisme dan sosialisme. Mereka tidak begitu mencita-citakan sebuah negara Yahudi di Palestin. Bagi mereka, sudah cukup baik jika terdapat satu wilayah di mana-mana di muka bumi, walaupun di Eropah untuk dijadikan negara Yahudi.

Kesatuan Soviet pernah memperuntukkan sebuah republik Yahudi di bawah Persekutuan Soviet Sosialis Rusia (FRSSR).

Bagaimanapun, dengan keruntuhan khalifah Uthmaniah dan kekalahan pakatan Jerman-Turki dalam Peperangan Dunia Pertama, mereka mendapat peluang bertapak di Palestin. Dengan menggunakan gerakan terorisme, mereka dapat merampas tanah Arab untuk dijadikan wilayah Yahudi.

Tetapi hanya selepas berlaku Holocaust dan Perang Dunia Kedua, barulah golongan Zionis diberi wilayah untuk dijadikan Israel. Pada mulanya Britain mahu memberikan Uganda di Afrika sebagai negara bagi orang Yahudi.

Tetapi atas menanggung kesalahan orang Kristian dan Eropah terhadap apa yang mereka melakukannya kepada orang Yahudi, maka Palestin dijadikan Israel. Selepas perang tahun 1967, mereka berjaya menawan Baitulmaqdis, Masjid Al-Aqsa dan Dome of the Rock.

Hanya selepas itu, mereka bercita-cita untuk membangunkan semula Rumah Ibadat Raja Sulaiman di atas tapak Masjid Al-Aqsa. Model untuk itu sudah pun dibuat. Usaha penggalian arkeologi serta pelbagai helah dibuat untuk merosakkan Masjid Al-Aqsa.

Artikel asal oleh : Zin Mahmud, Mingguan Malaysia 11 Februari 2007

Labels: ,