Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami : Perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertakwa. (Al-Furqan:74) akhifaizul Blogging Portal


Friday, January 26, 2007

Sekelurisme Ancaman Kepada Ummat

Khutbah hari ini berkisarkan Sekularisme, isu yang tidak lekang dibincangkan, isu yang sangat penting untuk kita setiap Muslim tahu. Isu yang penting kita tahu sekurang-kurangnya tahu bagaimana ia bergerak menyelusup masuk dalam masyrakat dan individu dan golongan manakah yang terdedah kepada gejala ini. Selepas kita tahu apa itu sekularisme kita lihat sekitar kita, apakah kita sekarang ini tergolong dalam golongan ini.

Selamat Membaca dan menghayati ……
------------------------------------------
Sidang Jumaat dirahmati Allah s.w.t,

Marilah kita bertakwa kepada Allah s.w.t dengan sebenar-benar takwa, mudah-mudahan kita tergolong dikalangan orang yang beruntung didunia dan juga diakhirat. Firman Allah s.w.t:

"Setelah jelas kesesatan syirik itu, maka hadapkanlah dirimu (engkau dan pengikut-pengikutmu wahai Muhammad) kearah agama yang jauh dari kesesatan, (turutlah terus) "Agama Allah" iaitu Agama yang Allah menciptakan manusia (dengan keadaan bersedia dari semulajadinya lagi) untuk menerimanya, tidaklah patut ada sebarang perubahan pada ciptaan Allah itu, itulah agama yang betul lurus, tetapi kebanyakkan manusia tidak mengetahui". (Ar-Rum ayat 30).

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Berbagai fahaman dan pemikiran telah melanda umat Islam sejak dahulu lagi. Samada ia bertujuan melemahkan umat Islam atau menghancurkan umat Islam , ianya tetap datang dari sumber yang satu iaitu mereka yang memusuhi Islam. Berbagai cara dan akidah telah dibuat untuk membetulkan keadaan ini, tetapi hakikatnya musuh-musuh kita tidak pernah rasa berputus asa. Antara fahaman yang sangat hebat pengarahnya dikalangan umat Islam kini ialah sekularisme.

Fahaman sekularisme ini sebenarnya berasaskan daripada rasa kecewa orang-orang dibarat pada suatu ketika dahulu, terhadap institusi gereja yang disifatkan sebagai mempunyai kuasa ketuhanan yang menyebabkan sebarang pandangan yang berbeza dengan pihak gereja adalah dianggap menentang kepada gereja.

Sikap ini tejadi disebabkan para paderi telah menyelewengkan tafsiran kitab injil dengan sesuka hati mereka. Akibatnya maka muncullah sekularisme, dan secara umumnya merupakan kekalahan dipihak gereja, yang membawa kepada perubahan peranan gereja itu sendiri.

Sidang Jumaat sekalian,

Apa yang membimbangkan kita, individu yang berfahaman seperti ini jelas telah cuba mengubah hak agama daripada peranan yang sepatutnya. Antaranya termasuklah pendapat yang mengatakan adalah tidak sepatutnya agama itu dicampur adukkan dengan sebarang urusan keduniaan.

Ini kerana golongan sekular ini mengatakan agama hanya menjadikan sesuatu bangsa itu mundur dan jumud. Penyataan ini mungkin ada kebenarannya, jika ditujukan kepada agama Islam, sudah tentulah tidak berasas langsung. Ini kerana kehadiran Islam secara jelas atau qatie telah berjaya mengubah kepincangan peradaban institusi gereja, yang hanya menghadirkan zaman kegelapan dikalangan orang barat kerana pandangan sempit mereka tentang tamadun dan kemajuan manusia.

Bukan itu sahaja, malah fahaman sekularisme ini juga, cuba mengeluarkan manusia yang mengamalkan agama dengan memisahkan dari sistem kehidupan dunia. Dalam maksud yang lain sekularisme menganggap agama adalah bersifat amalan-amalan ibadat tertentu sahaja dan merupakan hak individu semata-mata.

Apabila perkara ini terjadi, maka muncullah persepsi agama, bukan lagi panduan kepada kehidupan,tetapi sekularisme mengatakan kehidupanlah yang berhak memainkan peranan agama. Ini membawa maksud agama tidak lagi berhak memainkan peranan dalam menentukan kehidupan dan tindak tanduk manusia itu sendiri.

Akhirnya manusia itu bebas melakukan apa sahaja, termasuklah melakukan perkara-perkara syirik seperti memperlekeh dan menghina Allah s.w.t dan rasulullah, malah golongan sekularisme mengatakan bahawa kitabullah dan sunnah rasulullah adalah suatu yang sudah ketinggalan zaman dan perlu ditinggalkan, sekiranya ingin mencapai kemajuan.

Mereka juga cuba menafikan al-quran dan as-sunnah boleh dijadikan panduan bagi setiap manusia untuk menjalani kehidupan. Hal ini bukan sahaja dilakukan secara sangat licik, malah mereka kini sudah berani mendiayahkannya secara terang-terangan.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Sekularime merupakan fahaman yang bahaya dan boleh diumpamakan seperti dadah yang membunuh. Ini kerana individu-individu yang mengamalkan fahaman ini semakin lama menjadi semakin ketagih, jika dibiarkan maka penghujungnya adalah kehancuran dan kesesatan lagi menyesatkan. Ia bukan sahaja membunuh cara berfikir umat Islam, tetapi cuba membunuh dan menghapuskan akidah Islam itu sendiri.

Satu perkara yang perlu disedari, fahaman ini selalunya dihiasi dengan berbagai perkara menyedapkan hawa nafsu manusia. Muncul fahaman sekularisme, maka muncullah pula kesinambungan fahamannya seperti pluralisme ( menganggap semua agama itu sama), hedonisme (hiburan yang melampau), libralisme (meringan-ringakan agama), komunisme (berfahaman komunis), kapitalisme (bermatlamatkan keuntungan semata-mata), atheisme (tidak mempercayai ketuhanan) dan sebagainya yang semuanya adalah berunsurkan hawa nafsu semata-mata, tanpa ada panduan dan rujukan agama Islam. Sebab itu, tidak hairanlah adanya isu-isu atau fahaman-fahaman lain yang muncul ini akhirnya sekularisme dianggap sebagai suatu yang perlu diamalkan, walaupun ianya jelas adalah topeng dan mekap palsu yang merosakkan dan sangat bercanggah dengan akidah Islam dan fitrah kita sebagai manusia itu sendiri.

Sidang Jumaat sekalian, Ingatlah, sesungguhnya sekularisme ini bukan sahaja akan merubahkan sistem akidah Islam, malah ianya sekaligus memusnahkan sistem ibadat dan akhlak dikalangan umat Islam. Perlu disedari bahawa golongan ini adalah golongan yang memusuhi Islam dan cuba merubah wajah Islam mengikut selera dan keinginan mereka.

Bahkan membelenggu umat Islam berada dalam kecelaruan pemikiran dan kesesatan dalam kehidupan. Maka hasil dari kecelaruan yang timbul, menyebabkan manusia hilang pedoman dan pertimbangan yang akhirnya hiduplah manusia dalam keadaan tidak tenteram, kerana sering dilanda masalah gejala sosial dan kejadian jenayah.

Situasi begini sudah tentu menghilangkan rasa kemanusiaan dan pertimbangan dikalangan manusia, malah hukum halal dan haram dalam agama sudah tidak diambil peduli lagi, hanya yang tinggal adalah kehidupan semata-mata, tanpa adanya rahmat Allah s.w.t. Firman Allah s.w.t : "Sesungguhnya orang-orang yang kufur ingkar kepada Allah dan rasul-rasulnya, dan orang-orang yang hendak membeza-bezakan (iman mereka) diantara Allah dan rasul-rasulnya, dan orang-orang yang berkata : "Kami beriman kepada setengah rasul-rasul itu dan kami kufur ingkar kepada setengahnya yang lain,"serta bertujuan hendak mengambil jalan lain diantara (iman dan kufur) itu : mereka itulah orang-orang yang kafir dengan sebenar-benarnya. Dan kami pula telah menyediakan bagi orang-orang kafir itu azab seksa yang amat menghinakan".

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Pada hari yang mulia ini, marilah sama-sama kita berazam dan berusaha untuk berganding bahu menyekat fahaman sekularime daripada terus meresap dalam setiap jiwa umat Islam. Terutama sekali para ilmuan agama dan Daiyah perlu mempertingkatkan dakwah dan pendidikan serta penyelidikan mereka.

Ini kerana sekularisme sebenarnya telah disebarkan secara sistematik dan tersusun. Sebab itu ada kalangan orang yang berfahaman sekular sendiri tidak sedar dengan kefahaman mereka.Malah tidak keterlaluan, jika mimbar pada hari ini ingin mengingatkan kepada kita semua sesungguhnya sekularisme adalah agen atau alat yang digunakan oleh musuh-musuh Islam untuk melemahkan umat Islam.

Mereka sangat sedar bahawa kehebatan umat Islam adalah kerana kebenaran ajaran Islam itu sendiri. Sebab itu sekularisme dijadikan kaedah utama dalam memecahbelahkan perpaduan umat Islam dengan menyerang aspek pemikiran kita. Dan ternyata usaha ini adalah paling berkesan untuk mencapai sasaran mereka. Oleh yang demikian itu, sudah menjadi kewajipan kita sentiasa berusaha memelihara kesucian dan kebenaran akidah Islam, agar kita tidak terpengaruh dengan propaganda-propaganda yang sering mereka ciptakan. Disamping itu selamatkanlah diri kita, keluarga dan masyarakat daripada terjebak dengan kesyirikan sekularisme yang membelenggu pemikiran umat Islam akhir zaman ini.

Ya-Allah, kurniakan kerahmatan dan keselamatan , penjagaan dan perlindungan, kesuburan dan penghasilan, keatas negeri kami, Negeri Selangor Darul Ehsan. Jadikan rakyatnya bersatu padu, berilmu pengetahuan dan berakhlak mulia,lindungi kami daripada persengketaan,perpecahan,fitnah-memfitnah dan bencana alam. Semoga dengan demikian Negeri Selangor dan rakyatnya bertambah makmur dan berkat.

Khutbah Jumaat JAIS, 26 Januari 2007.
--------------------------------------------------------------
Kita merupakan satu golongan yang dimuliakan oleh Allah dengan Islam. Apabila kita mencari kemuliaan dengan cara hidup selain daripada Islam, Allah akan menimpakan kehinaan ke atas kita.

Labels: ,

0 Comments:

Post a Comment

Subscribe to Post Comments [Atom]

<< Home