Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami : Perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertakwa. (Al-Furqan:74) akhifaizul Blogging Portal


Thursday, October 26, 2006

Ramadhan dan Syawal yang Ibadat, Bukan Adat.

Sidang Jamaah kaum Muslimin sekalian.

Segala puji bagi Allah, yang telah menghimpunkan kita pada pagi ini, bersama laungan takbir membesarkan-Nya, memuji-Nya dengan pujian yang selayak-layaknya untuk Dia, itulah Allah Tuhan yang kepada-Nya kita menjadi hamba.

Saya bersaksi bahawa tiada keutamaan dalam hidup ini melainkan Allah, Tuhan yang kehendak-Nya mengatasi segala kehendak selain-Nya, Dialah Allah. Ilah tumpuan ibadah kita. Saya bersaksi jua bahawa Muhammad Sallallahu 'alayhi wa Sallam itu Rasul-Nya, yang diutus untuk mengajar kita, bahawa tiada cara untuk beribadah kepada-Nya, melainkan pada Sunnah yang diwariskannya.

Muslimin dan muslimat, rahimakumullah...

Bulan Ramadan telah berlalu. Bulan menguji kesungguhan kita untuk ke Syurga, selepas segala kemudahan diberikan-Nya. Di sepanjang bulan itu, pintu-pintu rahmat dibuka seluas-luasnya, hingga terasa ringan badan dan jiwa untuk beribadah kepada Dia. Pintu-pintu kemurkaan ditutup rapat, sehingga berganda cela dan resah jiwa, bagi yang terfikir untuk mendurhakai-Nya. Bukan sahaja demikian, malah syaitan dirantai untuk mengurangkan potensinya menyesatkan manusia. Semuanya demi membuka peluang, untuk kita berhijrah kepada kebaikan, di bulan yang dipermudahkan jalan kebaikan itu.

Sejauh manakah kita telah peduli kepada peluang itu? Sejauh manakah kita di 1 Syawwal ini sudah berbeza dengan kita di 30 Shaaban itu? Jawapannya terletak pada setiap satu hari di bulan Ramadan yang baru kita tinggalkan, bagaimanakah hari-hari itu kita makmurkan dengan iman, dan muhasabah yang berterusan.

Ketika Allah SWT mengingatkan kepada Adam dan Hawa agar tidak menjamah buah dari pohon larangan di Syurga, Allah SWT telah menyebut di dalam surah al-A'raaf ayat 19: “Dan Wahai Adam! Tinggalah engkau dan isterimu di dalam Syurga serta makanlah dari makanannya semahu apa sahaja yang kamu berdua sukai, dan janganlah kamu hampiri pokok ini. (Jika kamu menghampirinya) maka akan tergolonglah kamu dari orang-orang yang zalim”.

Di dalam suasana Adam dan Hawa itu patuh kepada ketetapan Tuhan, Allah SWT menggunakan perkataan “pohon ini” yang mengisyaratkan kepada dekat. Tetapi lihatlah bagaimana Allah SWT menegur baginda dan isterinya, tatkala mereka terlanjur menjamah buah dari pohon larangan itu:

“Dan Tuhan mereka menyeru mereka: “Bukankah Aku telah melarang kamu berdua dari pokok itu, dan Aku katakan kepada kamu, bahawa Syaitan itu adalah musuh kamu yang nyata?” (Surah al-A'raaf ayat 22)

Ya, di dalam suasana Adam dan Hawa tersilap memilih jalan yang bercanggah dengan kehendak Tuhan, Allah SWT menegur mereka dengan lafaz “pokok itu” yang mengisyaratkan kepada jauh.

Sidang kaum Muslim sekalian,

Inilah hakikat fitrah manusia. Apabila mereka taat dan patuh kepada Allah, mereka akan dekat dengan-Nya. Apabila manusia itu dekat dan hampir dengan Allah, dia akan sentiasa dapat merasai kehadiran Tuhannya itu. Dia mengadab tertibkan perlakuannya seperti seorang yang duduk di hadapan muncung lensa kamera. Gayanya akan dirakam, hasil rakaman itu akan dipertontonkan. Lantas kita membetulkan duduk dan senyum, agar cantik dipandang mata.

Jika kita patuh kepada fitrah manusia dan Ihsan kepada Allah, maka terasanya kita diperhatikan Allah akan menjadikan kita tertib dan berhati-hati, kerana sedar akan setiap perlakuan sedang dirakam, dan bakal dipertontonkan di Mahkamah Mahsyar. Inilah kesan dekatnya hamba kepada Tuhannya.

Akan tetapi, jika manusia melakukan maksiat kepada Allah, mengengkari perintah dan larangan-Nya, maka hakikatnya manusia itu jauh dari Allah. Jauh yang mengundang resah, jauh yang menimpakan rasa sunyi dan terpencil. Atau jauh yang semakin menghilangkan rasa ‘ada’nya Allah dalam hidup ini, lantas jauh itu menambahkan jauh, hingga tiada lagi bantahan untuk manusia itu apabila dia dilemparkan ke neraka Jahannam.

Kerana itulah, ketika Allah menjelaskan tentang hakikat puasa, tentang falsafah dan hukum hakam yang berkaitan dengannya, tiba-tiba di tengah ayat puasa itu, Allah SWT memberitahu: “Dan apabila hamba-hamba-Ku bertanya kepadamu mengenai Aku maka (beritahulah kepada mereka): Sesungguhnya Aku (Allah) sentiasa hampir (kepada mereka); Aku perkenankan permohonan orang yang berdoa apabila ia berdoa kepada-Ku. maka hendaklah mereka menyahut seruanku (dengan mematuhi perintah-Ku), dan hendaklah mereka beriman kepada-Ku supaya mereka beroleh bimbingan." (Al-Baqarah : 186)

Muslimin dan Muslimat sekalian,

Inilah matlamat puasa dan Ramadan. Ia mengajak manusia kembali kepada fitrah asal mereka, iaitu dekat dengan Allah. Di dalam suasana manusia dekat kepada-Nya, mereka akan hidup dengan sedar terhadap adanya Allah. Inilah hakikat Taqwa yang menjadi maksud puasa, iaitu sedar akan Allah dalam setiap perlakuan kita atau disebut sebagaithe Consciousness of the Creator.

Nilaikanlah diri kita di pagi Syawal ini, adakah kita hampir kepada Allah, atau jauh tiada berbeda? Adakah kesan Ramadan itu menjadikan kita semakin teliti di dalam perlakuan seharian lantas sedarnya kita kepada Allah yang dekat itu?

Seandainya kita begitu, maka kitalah sebenarnya golongan ‘Aaideen yang Faa'izeen, iaitu golongan yang pulang kepada Allah dan fitrah penciptaannya, dan mereka itulah pengecap kejayaan hakiki di hari Syawal yang bersyiarkan kemenangan.

Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar.

Kaum Muslimin rahimakumullah,

Di dalam surah al-Baqarah ayat 183, Allah berfirman: “Wahai orang-orang yang beriman! Puasa telah diwajibkan ke atas kamu sebagaimana ia telah diwajibkan ke atas umat sebelum kamu, mudah-mudahan dengan puasa itu kamu bertaqwa”

Di dalam ayat ini, Allah SWT memberitahu kita, bahawa puasa umat Muhammad s.a.w adalah kelangsungan kepada puasa yang juga telah diwajibkan ke atas umat yang terdahulu.

Kesan-kesan amalan berpuasa dari umat yang terdahulu itu, dapat dilihat daripada amalan berpuasa Lent yang diamalkan oleh masyarakat Kristian hari ini. Mari sama-sama kita perhatikan sedikit, bagaimanakah puasa mereka, dan apakah pelajaran yang boleh kita ambil daripadanya.

Sesungguhnya orang Kristian hari ini, mengamalkan puasa Lent itu bermula daripada hari Rabu ke-7 sebelum perayaan Easter. Ini bermakna, mereka berpuasa selama 40 hari bermula daripada Rabu yang dikenali sebagai Ash Wednesday itu, hinggalah kepada Holy Saturday, iaitu hari Sabtu sebelum Easter yang disambut pada sekitar bulan April.

Namun, sebelum mereka mula berpuasa pada Ash Wednesday berkenaan, hari Selasa sebelumnya itu dikenali sebagai Mardi Gras, iaitu perkataan Perancis yang memberikan maksud Fat Tuesday, atau Selasa Gemuk. Dalam erti kata yang lain, hari Selasa itu adalah hari untuk makan dan minum sebanyak dan sepuas-puasnya, sebagai bekalan sebelum 40 hari berpuasa Lent yang bermula keesokan harinya.

Akan tetapi pada hari ini, Mardi Gras itu bukan lagi menjadi hari mereka membanyakkan makan sepuas hati. Ia telah meningkat kepada menjadi hari masyarakat Barat berpesta, berarak di jalanan dengan penuh kemaksiatan, penzinaan dan keaiban. Pada fikiran mereka, hari Selasa mereka berpesta, dan keesokan harinya, mereka berpuasa untuk bertaubat kepada Tuhan.

Alangkah buruknya fikiran seperti ini. Mereka merancang untuk sengaja melakukan dosa, atas kesedaran bahawa dosa itu boleh dihapuskan keesokan harinya melalui amalan tertentu. Perbuatan seperti ini; melakukan dosa dengan sengaja dan kemudian bertaubat tanpa ada sesal terhadap dosa itu, hanya menjadikan seseorang itu semakin lupa dan alpa kepada dosa. Perasaan bersalah terhadap dosa dibunuh, apabila trend mengurangkan rasa berdosa, diterima sebagai biasa yang mengalahkan bisa.

Akhirnya, amalan berpuasa yang datang dari Syariat Taurat dan Injil, tinggal ritual dan berubah dari ibadat kepada adat semata-mata. Ia hanya budaya, dan jauh sekali dari menghasilkan maksud asal puasa itu diwajibkan ke atas manusia.

Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar, Wa Lillahil Hamd,

Sidang jamaah kaum Muslimin sekalian,

Kita umat Islam mungkin berasa sinis dan kesal dengan apa yang menimpa masyarakat Barat itu. Kita mungkin menyindir perlakuan ahli Taurat dan Injil atas kesalahan tersebut. Namun sedarkah kita, bahawa umat Islam hari ini juga amat cenderung dan suka untuk menjejaki perjalanan yang sama.

Al-Bukhari meriwayatkan daripada Abi Said al-Khudri, dari Nabi Sallallahu 'Alayhi wa Salaam yang telah bersabda, “Sesungguhnya kamu pasti akan mengikut langkah-langkah golongan sebelum kamu, sejengkal demi sejengkal, sehasta demi sehasta, hinggakan jika kaum itu masuk ke lubang Dabb sekali pun, kamu akan mengikut mereka”. Aku bertanya, apakah mereka yang diikut itu adalah Yahudi dan Nasrani? Baginda menjawab, “siapa lagi kalau bukan mereka?”

Berapa ramai di kalangan kita yang menyambut Ramadan sebagai ibadat? Berapa ramai pula yang menyambutnya sebagai adat? Berapa ramai di kalangan kita yang meraikan Syawwal sebagai ibadat? Berapa ramai pula yang menghiaskan Syawwal mereka dengan budaya dan adat?

Manusia yang menyambut Ramadan sebagai ibadat akan memenuhkan siang dan malam Ramadan dengan tunduk kepada Allah dan taat. Tetapi manusia yang menyambut Ramadan sebagai adat, mampu berpuasa tanpa sudi mengerjakan Solat. Mereka menunggu waktu berbuka untuk makan, sedangkan Solat Maghrib tidak dipedulikan. Bagaimanakah perlakuan itu boleh diterima sebagai ibadat? Melaksanakan puasa sebagai tingkap dan bumbung Islam, tetapi meninggalkan solat yang menjadi tiang agama? Sungguh ganjil perlakuan itu.

Manusia yang menyambut Syawal sebagai ibadat akan menzahirkan syukurnya kepada Allah dengan Takbir dan Tahmid memuji Allah, dan menimbulkan azam untuk mengekalkan segala perlatihan Ramadan yang telah ditempuh. Akan tetapi, manusia yang menyambut Syawwal sebagai adat, akan mencantas kembali pohon-pohon iman yang telah tumbuh di bulan Ramadan, dengan kembali kepada perhambaan nafsu dan penjajahan syaitan yang membelenggu. Syawwal bukan lagi menjadi gelanggang syukur, malah mengundang syiar engkar dan kufur.

Mana mungkin Syawwal yang ibadat, boleh dipisahkan daripada hak Allah dalam perlaksanaannya? Mana mungkin Syawwal yang ibadat, boleh dipersaudarakan dengan perayaan-perayaan Syirik dan Kufur yang bertentangan dengan kehendak Pemilik Syariat iaitu Allah? Apakah Allah yang disembah melalui Solat, Puasa, Bacaan al-Quran, Tarawih dan Qiyam Ramadan, boleh disatukan dengan tuhan yang disembah melalui berhala, syirik dan kekufuran?

Sesungguhnya Islam menjamin kebebasan beragama, tetapi Islam menentang asimilasi agama. Islam mendidik penganutnya agar tekun melaksanakan perintah agama, dan Islam memberi laluan kepada penganut agama lain mengamalkan kehendak agama mereka.

Akan tetapi, amalan Deeparaya yang dibuat ke atas Deepavali dan Aidilfitri, adalah pengkhianatan kedua-dua penganut agama kepada kepercayaan mereka. Semata-mata atas kehendak perpaduan nasional, prinsip-prinsip agama tidak dihormati dan masing-masing mahu mencorakkan versi baru bagi setiap agama. Apakah demi perpaduan, kita mesti berpadu hingga duduk semangkuk? Tidak mungkinkah perpaduan itu berlaku dengan kita di mangkuk yang berbeza, tersusun di atas satu meja?

“Dan janganlah kamu campur adukkan yang HAQ itu dengan yang BATIL, dan kamu sembunyikan yang benar itu pula padahal kamu semua mengetahuinya.” (Al-Baqarah : 42)

Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar, Wa LillahilHamd.

Muslimin dan Muslimat sekalian.

Perbuatan menukar agama dan ibadat kepada budaya dan adat, bukan sahaja menghilangkan rasa berTuhan dalam kehidupan ini, bahkan ia juga menjurus manusia kepada kekalahan terhadap kehendak hawa nafsu yang membinasakan Tamadun Manusia.

Di akhir-akhir usia Kerajaan Abbasiyah, penduduk Baghdad begitu alpa terhadap agama mereka. Para ulama sibuk mendebatkan perkara yang tidak bermanfaat, malah sebahagian mencipta hadith palsu untuk menampung kehidupan. Rakyat pula begitu tenggelam dalam maksiat, amar makruf dan nahi munkar di abaikan. Mereka begitu ghairah berpesta dan berhibur, hingga sampai ke peringkat kelalaian yang melupakan mereka daripada mengerjakan solat Sunat Aidilfitri, lantas mengqadha'kannya selepas Maghrib pada hari tersebut. Itulah gambaran Baghdad, ibu kota Ummah di era Abbasiyyah.

Tidak lama selepas itu, pada 4 Safar tahun 656H bersamaan dengan 10 Februari tahun 1258M, Kerajaan Abbasiyah yang sedang berada di puncak sains dan teknologi, ketika sedang mewah dengan kehidupan dunia yang penuh dosa, tentera Monggol atau Tatar telah datang dan menghancurkan kota Baghdad serta seluruh bandar dan kampung di sepanjang perjalanan Beijing ke Baghdad, hingga jumlah kematian mencecah 1 juta 800 ribu seperti yang dicatatkan oleh ahli sejarah, atau 1 juta menurut pandangan yang lain.

Inilah teladan sejarah. Budaya hiburan dan pesta menjadikan manusia lupa kepada siapa mereka di hadapan keperkasaan Allah yang Jabbar.

Janganlah diulang sejarah itu. Sebagaimana kita masuk ke bulan Ramadan dengan Iman untuk menghasilkan Taqwa, maka keluarlah dari Ramadan ke bulan Syawwal juga dengan iman dan kualiti Taqwa.

Jika di bulan Ramadan, kita meludah keluar air yang masuk ke mulut ketika mandi, semata-mata atas kesedaran kita terhadap pemerhatian Allah, maka kekalkan keupayaan itu untuk menolak rezeki yang tidak halal untuk kita dalam pekerjaan, biarpun nilainya hanya lima ringgit.

Jika sikap seperti ini boleh wujud hasil Tarbiah puasa, maka tercapailah maksud Ramadan, dan layaklah kita menerima kegembiraan dan kemenangan di pagi Syawwal in.

Abu Saif @ www.saifulislam.com
56000 Kuala Lumpur
1 Syawal 1427H

--------------------------------------------------------------

(Iaitu) orang-orang yang berdoa dengan berkata: "Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya kami telah beriman, oleh itu, ampunkanlah dosa-dosa kami dan peliharalah kami dari azab neraka"(A-li 'Imraan:16)

Kambing Kejang

Kambing yang Pengsan .....

Tuesday, October 24, 2006

FORKAD - Khutbah Khas Aidil Fitri 1427H

Alhamdulillah berpeluang mendapat email ini dari beberapa mailing list untuk kita sama-sama jadikan iktibar dan ambil pengajaran daripada khutbah ini. Walaubagaimanapon khutbah ini telah diedit serba sedikit kerana terdapat sedikit kepincangan dari segi fakta sejarahnya. Perkara ini ini ku kira perlu kulakukan kerana telah menjadi kewajipan kita sebagai seorang Muslim yang tahu untuk memperbetulkan sesuatu yang tidak betul. Mungkin penulis asal khutbah ini tidak berapa aware dengan perkara tersebut dan semoga Allah mengampunkannya jika berlaku kesilapan pada artikel asal penulis khutbah ini.

Isu murtad ini bukanlah suatu isu yg remeh, mungkin ada orang yang melihat ianya sebagai isu yang remeh. Sebenarnya banyak perkara yang kita boleh lakukan untuk menyekat fenomena ini dari terus menerus menular ke dalam masyarakat kita. Pertama diri kita dan keluarga kita, kita pelihara keluarga kita, sesuai dengan perintah Allah dalam surah Tahrim. Kemudian kepimpinan kita perlu mengambil langkah segera bagi menangani masalah ini. Pada hematku yang tidak berapa celik undang-undang ini, bukanlah suatu yg mustahil untuk kerajaan kita menggubal undang-undang tanpa terikat dengan mana-mana desakan orang-orang persendirian ataupon orang luar dari negara kita. Padaku, negara kita, kita yang tadbir. Mungkin dek kerana sikap takut tidak diterima oleh masyrakat antarabangsa yang menyebabkan perkara ini gagal direalisasikan. Lihat sahaja Iran, Korea Utara yang cuba menongkah arus dunia, apa jadi pada mereka. Pelbagai sekatan yg mereka hadapi. Lihat sahaja pada rampasan kuasa aman di Thailand, itupon orang luar nak masuk campur.

Mari sama-sama kita hayati isi khutbah ini.
----------------------------

Khutbah Pertama

Para Hadirin dan Hadirat yang dirahmati Allah sekelian:

Sempena Hari Raya Aidilfitri yang mulia ini marilah sama-sama kita merakamkan kesyukuran yang tak terhingga kepada Allah di atas segala nikmat yang dianugerahkan kepada kita semua terutamanya nikmat Islam dan nikmat Iman. Dalam pada itu marilah kita sama-sama memaksikan satu azam yang tinggi untuk terus kembali kepada fitrah; iaitu Islam, sejajar dengan roh sambutan aidilfitri yang menyarankan kita kembali kepada fitrah Islam dan Iman.

Khatib pada kesempatan khutbah hariraya Aidilfitri 1427H hari ini akan berkhutbah dibawah tajuk “Fenomena Murtad : Ancaman kepada fitrah Muslim masa kini”, satu gejala yang boleh membunuh Iman dan Islam, kuman yang memusnahkan fitrah muslim yang sama-sama kita dokong di hari raya ini.

Menurut Ibn Taimiyah, murtad bermaksud:“Bentuk kekufuran yang berlaku selepas Islam bagi sesiapa yang mengsyirikkan Allah atau menafikan rububiahNya atau salah satu daripada sifat-sifatNya , kitab-kitabNya atau rasul-rasulNya”.

Manakala Kamus Dewan pula mendefinisikan murtad dengan maksud:“Seseorang itu keluar daripada agama Islam samada melalui perbuatan, perkataan atau niat. Orang yang melakukan yang demikian adalah orang yang kafir”

Sementara itu terdapat takrifan lain tentang difinisi murtad yang dilihat lebih relevan dan menepati realiti yang berlaku pada masa kini. Ia dikemukakan oleh Said Hawwa dengan katanya:“Murtad seseorang itu boleh berlaku dengan seseorang itu tunduk dan patuh kepada orang-orang kafir, redha dengan dasar-dasar yang ditentukan oleh mereka walaupun sebahagian kecil daripadanya. Ini kerana ianya membabitkan soal keimanan dan keyakinan seseorang terhadap ajaran Islam yang datang dari Allah”.

Berdasarkan beberapa paparan definisi murtad sebagaimana di atas, maka dapatlah disimpulkan bahawa apa yang dimaksudkan dengan murtad itu ialah tindakan seseorang yang mukallaf, dengan niatnya sendiri tanpa dipaksa oleh sesiapa atau keadaan tiba-tiba keluar dan menganut agama lain, ataupun bertindak samada melalui iktiqad, perkataan ataupun perbuatan yang bercanggah dengan dasar-dasar Islam.

Proses perpindahan agama itu dinamakan “riddah” dan apabila individu itu mula menganut agama baru atau sesuatu bentuk kepercayaan yang bertentangan dengan Islam maka dia disebut sebagai seorang yang murtad.

Di dalam surah al-Baqarah ayat 217 Allah telah menjelaskan ancaman dan risiko kepada sesiapa yang murtad. Firman Allah (SWT) yang bermaksud:“Barang siapa yang murtad di antara kamu dari agamanya, lalu dia mati dalam kekafiran maka mereka itulah yang sia-sia amalannya di dunia dan di akhirat, dan mereka itulah penghuni neraka, mereka kekal di dalamnya”

Para Hadirin dan Hadirat yang dirahmati Allah sekelian:

Tanpa kita menafikan bahawa sejarah murtad telah berlaku semenjak di zaman Rasulullah (SAW). Ia dikesan seawal berlakunya kisah Isra dan Mikraj. Di mana menurut perkiraan sesetengah pihak kedua-dua peristiwa ganjil itu dianggap amat bertentangan dengan lojik akal pemikiran manusia terutama apabila Rasulullah (SAW) dapat sampai ke al-Masjid al-Aqsa di Palestin dari Masjid al-Haram di Kota Mekah dalam tempoh tak sampai sehari semalam, seterusnya naik ke langit dan kemuncaknya bertemu Allah (SWT).

Menurut al-Syahid Syed Qutb, kepada mereka yang terpengaruh dengan hukum alam semata-mata tanpa merujuk kepada kebesaran Allah yang mengatasi segala-galanya maka sudah tentulah peristiwa israk dan mikraj ini mampu menyentap iman seseorang dan akhirnya menjadi murtad. Namun apa yang lebih jelas dari kisah Isra dan Mikraj ialah kejahilan terhadap agama Islam telah mendasari punca sebenar murtad berlaku.

Justeru tidak peliklah jika terdapat kenyataan yang menyatakan bahawa sekarang ini wujudnya kumpulan yang dinamakan “black metal” yang jumlah mereka hampir mencecah 8,000 orang, rata-ratanya melayu Muslim, lantaran kejahilan mereka terhadap Islam telah mula menunjukkan biadap mereka terhadap Islam sehingga sanggup kencing di atas al-Quran, membakar naskhah al-quran, menyalibkan tubuh mereka dengan lambang-lambang salib. Walhal mereka mereka itu beragama Islam. Demi sesungguhnya kita amat rimas dan khuatiri tentang diri mereka kalau-kalau dipenghujungnya menjadi murtad.

Dalam konteks hari ini masalah pengaruh kebendaan telah dikenal pasti sebagai punca murtad berlaku. Fenomena ini menjadi lebih kritikal apabila ia dirancang secara halus oleh massionary kristian dan fanatik hindu. Di mana di antara modus operandi mereka ialah dengan mengumpan belia dan remaja muslim dengan melonggokkan kemewahan harta benda, peralatan berharga seperti pemberian hand-phone berjenama secara percuma, menyediakan kelengkapan spare-part untuk ubahsuai motorsikal bagi golongan remaja & mat rempit, mendampingi pelajar-pelajar yang bermasalah kewangan, menyediakan bayaran perubatan di pusat-pusat perubatan swasta yang mahal, memberikan bantuan makanan-makanan asas dan pelbagai muslihat-muslihat halus yang tidak disedari, namun hakikat sebenarnya ia merupakan satu tipu muslihat dalam usaha memurtadkan mereka daripada Islam.

Allahuakbar, Allahuakbar, Allahuakbar.

Para Hadirin dan Hadirat yang dirahmati Allah sekelian:

Seterusnya punca murtad juga berlaku kerana terpengaruh dengan kehidupan jahiliah. Ini dapat dibuktikan apabila ada sekelompok perempuan yang tinggal di Hadramaut telah memeluk Islam di zaman Rasulullah s.a.w. Serentak dengan itu mereka mulai menjalani corak kehidupan sebagai seorang muslim dan mula meninggalkan adat-adat Jahiliah. Akan tetapi apabila mereka mendengar berita kewafatan Rasulullah s.a.w, kebanyakan wanita ini mulai kembali kepada adat-adat Jahiliah seperti menampar pipi mereka masing-masing, mengoyak baju, meraung, menangis dan memukul duf (gendang). Kononnya perbuatan itu dilakukan sebagai tanda kesedihan, kekecewaan dan ratapan di atas kematian nabi s.a.w sedangkan apa yang mereka lakukan itu merupakan adat dan tradisi Jahiliah. Akhir sekali apabila kepimpinan berpindah tangan kepada Abu Bakar al-Siddiq maka perempuan-perempuan tadi terus murtad dari Islam dan kembali semula ke zaman Jahiliah mereka.

Berpandukan fenomena di atas, menjadikan kita yang ada sekarang dalam suasana rimas dan gundah gulana. Ini kerana susana jahiliah di zaman kini lauh lebih sumbing dan kritikal berbanding dengan apa yang terdapat di zaman silam. Daripada satu sumber yang sahih, khatib cuba menyingkap beberapa angka kajian kuantitatif berkenaan dengan beberapa indeks jahiliah, yang menjadi asas keruntuhan jati diri sebagai seorang muslim. Sebagai contoh; Sepanjang tahun 2005, seramai 32 ribu orang penagih dadah telah dikesan di seluruh negara. Mereka terdiri daripada 15 ribu penagih baru dan 17 ribu penagih lama. manakala jumlah penagih berdaftar yang terkumpul di seluruh negara mulai 1988 hingga 2005 adalah seramai 289 ribu orang.

Manakala bilangan penduduk Malaysia yang dijangkiti HIV & AIDS ialah 51 ribu. Seterusnya jumlah pelacur di Malaysia pula dianggarkan seramai 142 ribu pelacur, dimana mereka bukan sahaja beroperasi di bandar-bandar besar semata-mata, tetapi turut beroperasi di kawasan pekan-pekan kecil.

Dalam pada itu, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) pula mendaftarkan 70 ribu anak luar nikah bagi tempoh lima tahun iaitu daripada 1999 hingga 2003. Berdasarkan statistik mengikut agama, anak luar nikah orang Islam adalah yang paling ramai didaftarkan iaitu 30 ribu orang. Daripada paparan di atas, apakah yang mengamankan hati kecil kita untuk berkata bahawa kumpulan-kumpulan ini masih terus mampu menjaga akidah mereka dari dipesongkan? Apakah mereka mampu menongkah arus murtad yang datang bagaikan tsunami di hadapan mereka? Sedangkan kepincangan akhlak dan moral sebagaimana paparan di atas adalah berpunca daripada kemelesetan akidah. Justeru kumpulan-kumpulan di atas amat berpotensi untuk di penghujungnya menjadi murtad dari Islam seandainya keadaan terus berlarutan.

Menyingkap fenomena-fenomena di atas, tidak pelik apabila Mufti Kerajaan Negeri Perak; Shohibul Samahah Dato Seri Harussani Zakaria memberitahu kini terdapat hampir 250 ribu umat Islam murtad di Malaysia, termasuklah di antara mereka 100 ribu orang Melayu yang mengistiharkan keluar agama Islam. Manakala katanya lagi 100 ribu orang lagi sedang membuat permohonan menunggu murtad. Ini tidak termasuk dengan individu yang langsung tidak solat, tidak berpuasa dan yang menentang hukum Islam, di mana kesemua mereka ini semestinya diragui akan tahap keislaman dan keyakinan mereka terhadap Islam itu sendiri.

Seterusnya kitaran ganas murtad mulai menjadi semakin parah apabila murtad bukan sahaja meragut akidah si jahil semata-mata, tetapi mula memamah iman seseorang yang sudahpun memiliki asas agama. Jangan kita lupa kepada seseorang yang bernama Noraisyah binti Hj Bukhari yang akhirnya menjadi murtad. Beliau adalah seorang muslimah yang lahir dari keluarga yang kuat beragama, beliau seorang yang bukan sahaja mahir membaca al-Quran tetapi mampu menghafaz surah yasin, manakala bapanya adalah seorang guru agama. Namun berakhir dengan murtad. Begitu juga dengan kes Siti Mariam binti Mohd Ismail. Ini membuktikan kepada kita permasalahan murtad ini bukan hanya hinggap pada orang-orang yang kurang pengetahuan Islamnya. Orang yang berpengetahuan luas tentang Islam tetapi dari segi prinsipnya lemah juga boleh terdedah kepada gejala merbahaya ini.

Keadaan nasib akidah umat Islam semakin kritikal apabila kumpulan fanatik Hindu turut bertindak ganas dan samseng sehingga sanggup bertindak memukul seseorang yang mahu menyelamatkan akidah seseorang. Ini boleh dirujuk dalam kes Hartinah binti Hj. Kamarudin, dimana beliau bukan sekadar dimurtadkan oleh sekumpulan fanatik hindu, tetapi sanggup pula membelasah ayahnya sehingga separuh mati lantaran mahu menyelamatkan akidah anaknya yang dimurtadkan.

Allahuakbar, Allahuakbar, Allahuakbar.

Para Hadirin dan Hadirat yang dirahmati Allah sekelian:

Seterusnya tsunami murtad semakin menggila di negara kita apabila cuba menyerang sistem perundangan malaysia untuk akur kepada seorang yang mahu murtad dari Islam tanpa dikenakan apa-apa tindakan undang-undang. Untuk itu, Kumpulan Suruhanjaya Antara Agama (IFC) dan Kumpulan Artikel 11 kini mula bergerak aktif dengan mengadakan seminar dan forum rakyat bagi mencambahkan kekeliruan ummah berhubung dengan hak kebebasan beragama. Malah lebih jauh, apabila mereka jua turut memperjuangkan agar semua kes, termasuk kes agama seperti murtad dan sebagainya, tidak lagi dibicarakan di Mahkamah Syariah tetapi di mahkamah Sivil. Kumpulan IFC, dalam objektif penubuhan mereka jelas menunjukkan perjuangan mereka ke arah memurtadkan ummat Islam di Negara ini. Amat malang sekali wujudnya di kalangan penggerak kumpulan-kumpulan kebebasan beragama ini adalah terdiri daripada mereka yang mengaku berpegang beragama Islam. Ini terserlah melalui beberapa tuntutan mengarut yang dipinta oleh mereka, antaranya;

1. Seseorang anak yg dilahirkan oleh Ibubapa Islam tidak seharusnya secara terus menjadi orang Islam

2. Orang–orang bukan Islam yang telah memeluk agama Islam, hendaklah memberi kebebasan untuk kembali kepada agama asal mereka (murtad) dan tidak boleh dikenakan tindakan undang-undang

3. Sebarang kes pertukaran agama seseorang Islam kepada bukan Islam tidak sepatutnya dikendalikan oleh Mahkamah Syariah tetapi dikendalikan oleh mahkamah Sivil

4. Tidak perlu dicatatkan di dalam kad pengenalan seseorang Muslim bahawa ia beragama Islam.

5. Orang bukan Islam tidak perlu dikehendaki menganut Islam sekiranya ingin berkahwin dengan orang Islam. Orang Islam hendaklah dibenarkan keluar daripada Islam (murtad) sekiranya ingin berkahwin dengan orang bukan Islam tanpa boleh dikenakan apa-apa tindakan undang-undang

6. Seseorang atau pasangan suami Isteri yang menukar agamanya dengan memeluk Islam tidak patut diberikan hak jagaan anak

7. Orang-orang yang bukan Islam yang mempunyai hubungan kekeluargaan dengan seorang yang memeluk Islam, hendaklah diberikan hak menuntut harta pusakanya selepas kematiannya

8. Kerajaan hendaklah menyediakan dana yang mencukupi untuk membina dan menyelenggara rumah-rumah ibadat orang bukan Islam sebagaimana kerajaan menyediakan dana yang sama untuk masjid. Kerajaan juga perlu membenarkan pembinaan rumah-rumah ibadat orang bukan Islam tanpa perlu adanya peraturan tertentu

9. Orang–orang bukan Islam hendaklah dibenarkan dan tidak boleh dihalang daripada menggunakan perkataan-perkataan suci Islam dalam percakapan dan sebagainya

10. Bibel dalam bahasa Malaysia dan bahasa Indonesia sepatutnya dibenarkan untuk diedarkan secara umum secara terbuka

11. Pelajaran agama bukan Islam untuk penganut agama itu hendaklah diajar di semua sekolah

12. Program-program berunsur Islam dalam bahasa ibunda sesuatu kaum hendaklah ditiadakan. Program dakwah agama lain selain Islam pula hendaklah dibenarkan untuk disiarkan dalam bahasa ibunda masing–masing.

13. Orang-orang Islam yang membayar zakat tidak sepatutnya dikecualikan daripada membayar cukai pendapatan dan wang hasil zakat sepatutnya digunakan juga untuk keperluan orang-orang bukan Islam.

14. Sepatutnya Islam tidak disebut sebagai pilihan pertama masyarakat Malaysia seperti dalam soal pakaian menutup aurat kepada pelajar sekolah.


Dalam menrialisasikan 14 perkara di atas, detik kini sedang tertumpu kepada penghakiman kes bekas seorang muslimah kita yang bernama Saudari Azlina binti Jailani, iaitu seorang anak Melayu yang telah dimurtadkan oleh kekasihnya menjadi Kristian, dan telah menukarkan nama beliau kepada Lina Joy. Seandainya beliau menang dalam kes permohonannya untuk murtad dan membuang status Islam daripada kad pengenalannya, bermakna satu demi satu apa yang disebutkan di atas akan datang merempuh dan memulas akidah kaum muslimin di Malaysia yang sememangnya sudah sedia rapuh. Apakah dikala itu bermulanya titik mula kepada hilangnya Melayu Islam di Malaysia?

Kes murtad beliau mendapat perhatian serius satu dunia yang dikepalai oleh negara Amerika Laknatullah & sekutunya yang mengumpulkan pelbagai dana dan perkhidmatan guaman untuk memastikan mereka berjaya mempengaruhi sistem perundangan di Malaysia, dan seterusnya berjaya menreliasasikan kesemua 14 perkara yang disebutkan di atas. Namun kita sebagai seorang umat Islam, dimanakah kita di dalam menghadapi dan menghalang perkara seperti ini dari terus berleluasa???

Sesungguhnya samada kumpulan artikel 11, maupun IFC, mereka sebenarnya telah mengeksploitasi Perlembagaan Persekutuan dalam perkara 3(1), Perkara 11, Fasal (1) bab kebebasan beragama di Malaysia untuk menyokong gerakan terkutuk mereka.

Peruntukan undang-undang Perkara 11, Fasal (1) berbunyi; “Setiap orang adalah berhak menganut dan mengamalkan ugamanya”

Manakala perkara 3 (1), pula menjelaskan: “Agama Islam adalah ugama bagi Persekutuan, tetapi ugama-ugama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana bahagian Persekutuan”

Umum mengetahu bahawa isu yang paling besar di sebalik ungkapan dan kod perundangan ialah bagaimana menafsirkan undang-undang yang termaktub. Maka di sini timbul satu kemushkilan besar iaitu kenapa perkara 3(1) dan Perkara 11, Fasal (1) ditafsir secara pemikiran barat maupun secara sekuler dan bukan secara Islam. Di mana keadaan ini sudah pasti akan berpihak kepada pengacau-pengacau yang sememangnya anti kepada agama Islam. Dua tokoh penggubal undang-undang Inggeris terkenal iaitu Sheridan dan Groves telah menafsirkan bahawa perkara 3 (1) dalam perlembagaan Persekutuan hanyalah menentukan bahawa adat istiadat dan upacara persekutuan hendaklah dibuat mengikut adat istiadat Islam dan ia tidak melibatkan pemakaian undang-undang Islam di peringkat persekutuan

Sedangkan dalam masa yang sama tokoh-tokoh perundangan di Malaysia telah membuat penafsiran yang lebih Islamik dan relevan dengan status Malaysia yang sering dilebalkan konon-kononnya sebuah negara Islam. Umpamanya Bekas Ketua Hakim Negara, Hakim Hashim Yeop Sani dalam tulisannya mengulas dengan mengatakan:

“Saya menentang keras pendapat ini kerana tidak berdasarkan kepada apa-apa penulisan dalam perlembagaan. Oleh sebab perkara 3(1) dan Perkara 11, Fasal (1) Perlembagaan ini sangat jelas dan tidak boleh diputar-belit lagi bahawa agama negara ini ialah Islam, maka mana-mana tafsiran yang mewujudkan satu percanggahan di antara dokumen ciptaan manusia (perlembagaan) dengan perintah Allah (al-Qur’an dan al-Sunnah) maka tafsiran itu tidak dipakai.

Pendapat yang hampir sama dikemukakan oleh Allahyarham Prof. Ahmad Ibrahim (tokoh pengamal undang-undang yang terkenal) dalam masalah ini beliau menegaskan bahawa konflik yang berlaku sehingga menyempitkan peranan Islam dalam menaungi sistem perundangan di Malaysia adalah berpunca daripada sikap sesetengah di kalangan umat Islam sendiri yang masih menerima penafsiran penjajah yang bermatlamat untuk mengekalkan sistem sekuler.

Persoalannya kenapa kita umat Islam harus terus terikat dengan kedudukan penjajah, sedangkan kita sudahpun mengecapi kemerdekaan. Sebaliknya peruntukan perlembagaan yang sedia ada sebenarnya sudah cukup untuk dijadikan asas kepada penguasaan Islam dalam sistem perundangan di Malaysia. Namun malang sekali apabila kita memaksa diri kita sendiri untuk diikat dengan tafsiran yang diambil oleh pihak penjajah. Apakah ini yang dimaksudkan penjajahan era baru yang dimainkan oleh anak-anak watan sehingga menjerut leher akidah bangsanya sendiri???

Inilah persoalan-persoalan yang menghantui umat Islam di Malaysia hari ini yang memerlukan kita berfikir secara lebih serius. Oleh itu marilah kita sama-sama jadikan permasalahan yang dikhutbahkan ini sebagai satu tanggungjawab bersama yang mesti ditangani. Mudah-mudahan dengan kepekaan dan prihatin kita kepada permasalahan ummah akan mempercepatkan pertolongan daripada Allah demi menyelamatkan ummah dari ambang kebinasaan.

Khutbah Kedua

Dalam menangani masalah murtad yang dibincangkan pada khutbah pertama tadi, maka khatib ingin menegaskan bahawa tanggungjawab menyelesaikan masalah ini merupakan satu tanggungjawab bersama yang mesti dipikul secara bersepadu & kolektif. Di peringkat individu mestilah berusaha memperkasa dan terus meningkatkan prestasi keimanan di lubuk hati masing-masing. Manakala di peringkat keluarga pula, ibu dan bapa wajib memainkan peranan mereka sebagai murabbi; yakni pentarbiyyah kepada anak-anaknya.

Pengenalan pertama yang perlu diberikan kepada anak-anak kiata adalah pemahaman & pemantapan aqidah itu sendiri, melampaui dari segala ilmu-ilmu duniawi yang kita bekalkan kepada mereka. Sedarlah wahai ibu dan bapa sekelian! Bahawa masalah besar yang dihadapi oleh sebilangan anak remaja ialah kemelesetan jati diri sebagai warga muslim, kebejatan akhlak dan moral, kegersingan ilmu pengetahuan tentang Islam, serta pengaruh-pengaruh luar yang merosakkan mereka seperti budaya berhibur yang melampau batas, kongkongan media massa yang liberal dalam memaparkan adengan-adengan lucah dan tak bermoral serta sogokan untuk hidup enjoy semata-mata. Justeru, jadikanlah barah-barah yang disebut ini untuk dirawat di peringkat keluarga.

Manakala di peringkat pihak berkuasa dan kerajaan pula hendaklah menyedari bahawa kuasa yang ada pada kamu sebagai pemerintah di dalam negara Malaysia merupakan amanah begitu tinggi daripada Allah (SWT), justeru melaksana syariah dalam sistem pemerintahan merupakan tanggungjawab & jawapan yang paling lunak dan tepat didalam menyelesaikan masalah murtad dan apa jua masalah yang menjadi labialiti ummat Islam masa kini, termasuk masalah ekonomi, sosial, pendidikan dan seumpamanya. Inilah makna kepada firman Allah (SWT) yang bermaksud: Dan hendaklah kamu menjalankan hukum di antara mereka dengan apa yang diturunkan oleh Allah dan janganlah kamu menurut kehendak hawa nafsu mereka dan berjaga-jagalah supaya mereka tidak memesongkan kamu dari sesuatu hukum yang telah diturunkan oleh Allah ke atas kamu”.(Surah al-Ma’idah:49)

Firman Allah lagi yang bermaksud: “Dan sesiapa yang tidak menghukum dengan apa yang diturunkan oleh Allah maka mereka itulah orang-orang kafir”.(Surah al-Ma’idah:44)

Manakala Rasulullah (s.a.w.) bersabda yang bermaksud:“Dengar dan taatlah ketua kamu sekalipun dia hanyalah seorang hamba Habsyi, selagi mana di menegakkan ajaran kitab Allah (syariah) pada kamu semua”.

Para Hadirin dan Hadirat yang dirahmati Allah sekelian:

Yusuf al-Qaradawiy dalam mengulas ketiga-tiga nas di atas menjelaskan bahawa pihak berkuasa yang diberi amanah memegang tampok pemerintahan wajib melaksanakan syariah Islam dalam pemerintahannya demi menyelesaikan sebarang konflik yang berlaku.

Seandainya mereka ini terus bebal dan enggan tunduk kepada syariah Allah, maka menjadi tanggungjawab & amanah setiap warga muslim untuk memilih dan menggantikan dengan kepimpinan yang lebih baik dan bertanggungjawab, terutamanya kepimpinan yang mengistiharkan diri mereka ingin kembali merujuk kepada al-Quran dan al-Sunnah sebagai teras panduan. Ini tidak lain dan tidak bukan demi kebaikan umat Islam dan survival mereka di masa-masa yang akan datang.

Kajian & penyediaan teks oleh;
DR AZHAR BIN YAAKUB
Front Bertindak Anti Murtad (FORKAD)


--------------------------------------------------------------

Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak akan senang kepada kamu hingga kamu mengikuti agama mereka. (Al-Baqarah:120)

Friday, October 20, 2006

Eid Mubarak

Salam Aidilfitri Minal 'aidiin wal faazin dari kami suami dan isteri.



--------------------------------------------------------------

Hadis Abu Said Al-Khudriy r.a: Sesungguhnya Rasulullah s.a.w selalu keluar pada Hari Raya Haji (Aidiladha) dan Hari Raya Puasa (Aidilfitri). Baginda memulai dengan sembahyang. Setelah selesai sembahyang dan memberi salam, baginda berdiri menghadap orang ramai yang masih duduk di tempat sembahyang mereka masing-masing. Jika baginda mempunyai hajat yang ingin disampaikan, baginda tuturkannya kepada orang-ramai ataupun ada keperluan lain, maka baginda akan membuat perintah kepada kaum Muslimin. Baginda pernah bersabda dalam salah satu khutbahnya pada Hari Raya: Bersedekahlah kamu! Bersedekahlah! Bersedekahlah! Kebanyakan yang memberi sedekah adalah kaum wanita. Kemudian baginda beredar [Sahih Muslim]

Monday, October 16, 2006

Mufti: Haram joget campur Aidilfitri

IPOH: Mufti Perak Datuk Seri Harussani Zakaria hari ini berkata Aidilfitri tidak boleh dikaitkan dengan hiburan yang berunsur maksiat seperti konsert atau joget.

Beliau berkata memang tidak dibenarkan menggunakan nama Aidilfitri untuk digabungkan dengan hiburan yang melalaikan kerana ia mencemar hari yang merupakan puncak kepada ibadat berpuasa selama sebulan.

Perbuatan menyambut Aidilfitri dengan pengisian hiburan yang keterlaluan sehingga menjadikan umat Islam lalai “boleh jatuh kepada haram”, katanya kepada pemberita di sini.

”Menyambut Aidilfitri dengan sogokan rancangan bercorak hiburan yang terlalu banyak sehingga melalaikan amatlah tidak sesuai seolah-olah menidakkan hari raya itu sebagai hari kemenangan umat Islam.”

“Islam tidak menghalang hiburan tetapi bukan yang keterlaluan sehingga umatnya lalai semata-mata kerana ingin memuaskan nafsu,” katanya.

Harussani berkata perayaan dalam Islam adalah ibadat tetapi Aidilfitri hilang hikmah dan tujuannya apabila umat Islam terlalu menumpukan kepada hiburan sehingga sehari untuk, malah ada rancangan hiburan yang bermula pada malam menjelang raya.

”Aidilfitri kelihatan sudah dicemari dengan terlalu banyak rancangan hiburan sehingga amalan kunjung-mengunjung semakin dilupakan. Ada yang bergegas tinggalkan masjid kerana nak kejar tengok siaran, bukannya nak ziarah rumah orang,” katanya.

Mufti itu berkata setiap tahun pelbagai rancangan televisyen dirangka untuk memeriahkan Aidilfitri tetapi malangnya di negara ini boleh dikatakan sebahagian besarnya bercorak hiburan.

Orang Melayu begitu tenggelam dalam hiburan. Perkara ini sangat berbeza dengan beberapa negara Islam lain seperti di Indonesia di mana sepanjang bulan Ramadan dan pada Aidilfitri lebih banyak rancangan bercorak keagamaan disiarkan.

”Tidak terkecuali di negara-negara Arab yang banyak menyiarkan cerita berkaitan kesedaran dan bercorak agama tetapi drama di negara kita masih dengan kisah cinta, kahwin, cerai dan sebagainya,” katanya. BERNAMA
--------------------------------------------------------------

Hadis Jabir bin Abdullah r.a: Sesungguhnya Nabi s.a.w berdiri mendirikan sembahyang pada Hari Raya Fitrah. Baginda memulakannya dengan sembahyang sebelum berkhutbah. Sesudah itu barulah baginda mulai berkhutbah kepada orang ramai. Apabila selesai Nabi s.a.w turun dan menghampiri kaum wanita. Baginda memberi peringatan kepada mereka, sambil bertumpang pada tangan Bilal. Bilal membentangkan pakaiannya dan para wanita mulai memberi sedekah. [ Sahih Muslim ]