Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami : Perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertakwa. (Al-Furqan:74) akhifaizul Blogging Portal


Friday, February 16, 2007

Membenteras Rasuah

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Marilah sama-sama kita mempertingkatkan ketakwaan kepada Allah s.w.t dengan menunaikan segala perintahnya dan menjauhkan diri daripada segala larangannya, mudah-mudahan kita tergolong dikalangan orang-orang yang bertakwa didunia ini.

Sidang Jumaat yang berbahagia,

Sempena dengan sambutan bulan hijrah pada kali ini, marilah sama-sama kita mencari kehidupan yang diberkati Allah s.w.t dan kita hidup dengan sumber rezeki yang halal serta jauhilah rasuah, kerana rasuah adalah wabak penyakit yang telah menular dan menjadi darah daging dalam masyarakat klasik (dahulu) atau masyarakat kotemporari (semasa) didunia sekarang. Rasuah telah mendominasi (mengusai) kehidupan,ekonomi,politik,pendidikan,sukan dan lain-lain.

Wabak ini amat sukar dibendung,kerana ia terselindung dan dilindungi oleh tangan-tangan kotor yang begitu licik, tetapi mempunyai nama dan kedudukan. Ia juga dibalut dan dibungkus dengan nama-nama indah seperti komisen,duit kopi,pelincir,wang ekstra,hadiah penghargaan dan lain-lain nama yang sangat bagus dan indah bagi produk yang sama,sehingga dikala ini ia dipandang sebagai sangat wajar dan biasa. Pada hal, walau sekecil mana sekali pun, ia boleh memusnahkan sebuah negara dan melenyapkan tamadun sesuatu ummat.

Wabak ini telah merentasi sejarah, zaman dan sempadan geografi dengan begitu pantas sekali. Tidak kira bila dan dimana, ia tetap sebagai simbol pengkhianatan,keperibadian yang buruk dan hina, kerana rela menggadai agama,bangsa,negara dan ummat demi wang ringgit,Dolar,Rupiah,Rial dan lain-lain lagi.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Mari kita renung satu kisah iaitu Puteri Balqis,seorang ratu kerajaan Saba' dalam era kenabian Sulaiman a.s,pernah menghantar satu deligasi mengadap Nabi Sulaiman a.s dengan membawa barang-barang hadiah setelah menerima surat dakwah Nabi Sulaiman a.s menyeru beliau dan rakyatnya menyembah dan mengesakan Allah s.w.t, dengan anggapan bahawa Nabi Sulaiman a.s boleh dipengaruhi dan dibeli serta membiarkan ratu Saba' itu dalam kemusyrikannya. Nabi Sulaiman a.s menolak dengan tegas,malah mengusir deligasi tersebut. Peristiwa ini dipaparkan oleh Allah s.w.t dalam al-quran dengan firmannya:

"Kembalilah kepada mereka (jika mereka tidak juga mahu beriman) maka demi sesungguhnya kami akan mendatangi mereka dengan angkatan tentera, yang mereka tidak akan terdaya menentangnya, dan kami akan mengeluarkan mereka dari negeri Saba' dengan keadaan hina,menjadi orang-orang tawanan".(An-Naml :37)

Ibnu Khasam dalam kitab sirahnya pernah meriwayatkan bahawa Uthbat bin Robiat seorang tokoh yang berpengaruh dalam masyarakat Qurais datang menemui Rasulullah s.a.w dengan menawarkan harta yang boleh menjadikan Nabi Muhammad s.a.w seorang yang paling kaya dikalangan mereka. Beliau juga menawarkan jawatan ketua yang berkedudukan paling tinggi, atau wanita-wanita cantik,sekiranya itulah yang Nabi Muhammad s.a.w inginkan dalam perjuangan agama baru yang dibawanya. Nabi Muhammad dengan tenang tetapi tegas menolak segala tawaran yang tidak bermaruah itu, kerana bukanlah itu yang diperjuangkannya.

Rasuah juga adalah sebagai amalan tradisi bagi bangsa-bangsa Yahudi. Dimana mereka sering mengagungkan kebatilan, kedustaan serta mengamalkan rasuah. Ini telah diperjelaskan oleh Allah s.w.t dengan firmannya :

"Mereka sangat suka mendengar berita-berita dusta,sangat suka memakan segala yang haram (rasuah dan sebagainya), oleh itu kalau mereka datang kepadamu, maka hukumlah diantara mereka (dengan apa yang telah diterangkan oleh Allah), atau berpalinglah dari mereka, dan kalau berpaling dari mereka, maka mereka tidak akan dapat membahagiakanmu sedikit pun, dan jika engkau menghukum,maka hukumlah diantara mereka dengan adil, kerana sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil".( Al-Maidah ayat 42)

Sidang Jumaat yang mulia,

Rasuah dalam perspektif hukum feqah Islam hukumnya adalah haram, walaupun ada ulamak yang berlainan pendapat tentang pengambilan rasuah untuk menolak kezaliman (darurat dan terpaksa). Hukum haramnya rasuah itu tetap qot'i berdasarkan kepada dalil-dalil syar'i dari al-quran, as-sunnah dan ijmak ulamak.

Dalam al-quran banyak terdapat ayat-ayat yang mengisyaratkan tentang rasuah. Berdasarkan firman Allah s.w.t :

"Dan janganlah kamu makan (atau mengambil) harta (orang-orang lain) diantara kamu dengan jalan yang salah, dan janganlah kamu menghulurkan harta kamu dengan (memberi rasuah) kepada hukum-hukum, kerana hendak memakan (atau mengambil) sebahagian dari harta manusia dengan (berbuat) dosa, pada hal kamu mengetahui (salahnya)". (Al-Baqarah ayat 188)

Ketetapan as-sunnah pula meriwayatkan berdasarkan sabda rasulullah s.a.w : "Pemberi rasuah dan penerima rasuah akan masuk kedalam neraka". (Riwayat At-Tabrani)

Hadirin yang berbahagia,

Jenayah rasuah sering berlaku adalah disebabkan :

1- Hilangnya nilai keimanan dalam diri dan kehidupan setiap individu.

2- Syariat Allah tidak diamalkan dalam kehidupan nyata manusia. Situasi ini akan membuatkan manusia begitu nekad melakukan jenayah dan menghalalkan semua cara.

3- Ingin menjadi cepat kaya dan hidup berbagai, sehingga tidak mempedulikan halal atau haramnya harta yang diperolehi.

4- Kegagalan dalam mengimbangi antara pendapatan dan perbelanjaan dengan keperluan hidup semasa.

5- Rasulullah s.a.w bersabda : "Tibanya suatu masa dimana manusia ketika itu tidak lagi peduli tentang apa yang mereka ambil (belanjakan ) samada daripada sumber yang halal atau pun yang haram".

Sidang Jumaat yang mulia,

Merebaknya rasuah dalam kehidupan masyarakat meninggalkan padah dan gejala yang sangat buruk dan negetif. Ia dapat memutarbelitkan kebenaran, malah kebatilan dapat menjadi kenyataan. Ia meracuni nilai akhlak yang mulia, menghakis potensi dan kualiti.Sebaliknya orang yang berpotensi tinggi, dan manusia yang punya hubungan rapat dengan agama akan terpinggir, kerana tidak mampu menyogok atau memberi sedikit habuan.

Oleh itu sebagai renungan, marilah kita ikuti kata-kata Imam Nawawi dalam kitabnya Al-Majmuk :

"Merebaknya rasuah dikalangan pemegang kuasa adalah bala dan petaka bagi si pelaku sendiri dan masyarakat umum. Dengan menerima rasuah, kepekaan rohaniahnya akan mati, hatinya menjadi batu dan wajahnya menjadi hantu, sedangkan orang awam,orang-orang yang lemah tidak dapat meneruskan urusannya, anak-anak yatim piatu dan para balu akan terkapai-kapai, kerana tidak dapat mengalas perut".


Meskipun rasuah belum ditemui titik noktahnya, namun ia bukanlah satu mistik dialam misteri. Sesungguhnya kanser sosial ini wajib dibanteras, kerana ia mengundang akibat yang sangat konfliks dalam kehidupan masyarakat duniawi dan ukhrawi. Malah sejarah telah membuktikan bahawa gejala rasuah boleh merugikan negara dan negara akan jatuh muflis, sekiranya gejala buruk tersebut tidak dibanteras hingga keakar umbinya. Justeru, semua pihak bermula daripada individu hinggalah kepada yang mempunyai kedudukan dan kekuasaan, termasuk menyedia dalam semua bentuknya, lebih-lebih lagi dalam era globilisasi dan kemajuan sistem informasi ini, wajiblah memainkan peranan masing-masing dalam usaha mengadakan gerakan pencegahan yang tepat dan teratur bermula dengan diri masing-masing, antaranya hendaklah mengamalkan perkara-perkara berikut :

1- Menghayati ajaran Allah s.w.t dalam kehidupan.

2- Menanam dan mengamalkan nilai-nilai murni dalam diri seperti beramanah dan bertanggungjawab.

3- Menguruskan perbelanjaan secara berhemah.

Ya-Allah, kurniakan kerahmatan dan keselamatan , penjagaan dan perlindungan, kesuburan dan penghasilan, keatas negeri kami,Negeri Selangor Darul Ehsan. Jadikan rakyatnya bersatu padu, berilmu pengetahuan dan berakhlak mulia, lindungi kami daripada persengketaan, perpecahan,fitnah memfitnah dan bencana alam. Semoga dengan demikian Negeri Selangor dan rakyatnya bertambah makmur dan berkat.

Khutbah Jabatan Agama Islam Selangor, 16 Februari 2007
--------------------------------------------------------------
Tuhan yang mentadbirkan tujuh petala langit dan bumi serta apa yang ada di antara keduanya, Tuhan Yang Maha Pemurah, tidak ada sesiapapun diberi kuasa berkata-kata denganNya (untuk memohon pertimbangan tentang balasan atau pengurniaan itu);(An-Naba' : 37)

Labels: ,

0 Comments:

Post a Comment

Subscribe to Post Comments [Atom]

<< Home