Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami : Perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertakwa. (Al-Furqan:74) akhifaizul Blogging Portal


Wednesday, February 14, 2007

Perlu ikhlas dalam berdoa

Firman Allah: Apabila hamba-hambaku bertanya kepada-Ku tentang Aku (maka jawablah) bahawa Aku sangat hampir (kepada mereka) Aku menyambut permohonan orang yang berdoa apabila dia berdoa kepada-Ku. (al-Baqarah:186)

Sebab turunnya ayat ini bahawa Nabi s.a.w mendengar orang Islam berdoa kepada Allah dengan suara yang yang tinggi di dalam peperangan Khaibar.

Lantas Nabi s.a.w bersabda kepada mereka yang bermaksud: Hai manusia, perlahankan suara kamu dalam berdoa kerana kamu tidak berdoa kepada yang pekak dan tidak kepada yang ghaib. Sesungguhnya kamu berdoa kepada yang Maha mendengar, dekat dan bersamamu. Di sini Ibn al-Jauzi menyebut pendapat yang lain berkenaan turunnya ayat ini selain di atas:

1. Seorang Badwi datang bertemu Nabi Muhammad s.a.w dan bertanya: Adakah Tuhan kita hampir untuk munajat atau jauh untuk menyeru? Kemudian turunnya ayat ini. Seperti riwayat Alsalt bin Hakim daripada ayahnya daripada datuknya.

2. Yahudi Madinah bertanya: Hai Muhammad! Bagaimana Tuhan kami mendengar doa kami, sedangkan kamu sangka antara langit perjalanan lima ratus tahun? Kemudian turunnya ayat ini. Inilah riwayat Abu Soleh daripada Ibn Abbas.

3. Mereka berkata: Hai Rasulullah! Kalau kami tahu waktu yang disukai oleh Allah untuk kami berdoa kepada-Nya. Lantas turunnya ayat ini, seperti pendapat Ata’.

4. Sahabat Nabi bertanya Rasulullah: Di manakah Allah? Lantas turunnya ayat ini. Seperti kata al-Hasan.

Firman Allah: Aku sangat hampir (kepada mereka) Aku menyambut permohonan orang yang berdoa apabila dia berdoa kepada-Ku. Sheikh al-Maghari berkata: Dekatnya Allah dengan hambanya bermaksud: Penguasaan ilmu dengan sesuatu ialah dia mendengar segala ucapan dan melihat perbuatan mereka.

Dinyatakan di sini beberapa adab berdoa, antaranya:
1. Berdoa dengan penuh keikhlasan dan pengharapan kepada Allah s.w.t.

2. Memulakan dengan pujian kepada Allah s.w.t dan diikuti dengan selawat ke atas Rasulullah s.a.w.

3. Menutup doa dengan pujian kepada Allah s.w.t dan selawat kepada Rasulullah s.a.w. Imam al-Nawawi berkata bahawa para ulama telah sepakat (ijmak) bahawa doa itu dimulai dengan kalimah memuji Allah s.w.t kemudian selawat kepada Rasulullah s.a.w. Demikian juga penutup doa, diakhiri dengan pujian dan selawat. (Al-Azkar dalam Bab Pembukaan dan Penutup Doa. Ibn Hajar mengatakan sanadnya adalah jayyid, (Sahih al-Tirmizi).

4. Berdoa dengan khusyuk, tadharru’ dan disertai dengan penuh pengharapan.

5. Berdoa dengan sabar menanti dimakbulkan Allah s.w.t.

6. Tidak berdoa untuk keburukan seperti kecelakaan dan memutuskan silaturrahim.

7. Berdoa dengan mengucapkan Ya Rabb sebanyak tiga kali. Dari riwayat daripada Atha’ r.a beliau berkata: Tidaklah seseorang hamba mengatakan Ya Rabb sebanyak tiga kali melainkan Allah s.w.t akan mendengar akan permintaannya. Al-Imam Malik pernah ditanya tentang panggilan kepada Allah s.w.t dalam doa tentang wajarkah atau tidak diseru dengan nama Sayyid. Jawab beliau: Katakanlah: Ya Rabb, kerana itulah panggilan para nabi a.s kepada Allah s.w.t dalam munajat mereka. (Fiqh al-Doa: Bab Doa Makbul).

8. Mengadap kiblat. Mengangkat kedua-dua belah tangan semasa berdoa kerana berdasarkan dalil: Anas bin Malik.

9. Berdoa dalam keadaan berwuduk.

10. Menyeru Allah s.w.t dengan nama-namanya yang mulia iaitu Asmaulhusna.

11. Makanan dan minuman mestilah dari sumber yang halal dan bersih.

12. Hendaklah melakukan amal makruf dan nahi mungkar. Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: Demi Allah s.w.t yang jiwaku berada dalam tangan-Nya hendaklah kalian menyeru kepada yang makruf dan mencegah daripada melakukan perkara yang mungkar. Jika kalian tidak melakukannya Allah s.w.t akan menurunkan seksa kepada kalian dan apabila kalian berdoa kepadanya nescaya tidak akan dimakbulkan. Hadis ini diriwayatkan oleh al-Turmuzi dan dianggap sebagai hasan.

13. Menghimpunkan kesemua anak jari melainkan ibu jari ini berdasarkan sebuah hadis sahih.

15. Menyapu muka dengan tangan setelah selesai berdoa. Dalilnya Ibn Abbas berkata: Apabila kamu memohon kepada Allah s.w.t mohonlah dengan tapak-tapak tangan dan jangan memohon dengan belakang tapak tangan kamu dan sapulah muka kamu dengan tapak tangan kanan. (riwayat Abu Daud, Ibn Majjah dan al-Hakim).
Saad bin Majid menceritakan daripada bapanya memberitahu bahawa apabila Rasulullah berdoa, baginda akan menadah kedua belah tapak tangannya, kemudian menyapu dengan kedua belah tangan tersebut. Hadis ini diriwayatkan oleh Abu Daud.

Umar bin Al-Khatab pula menceritakan, apabila baginda mengangkat kedua belah tangannya ketika berdoa, baginda tidak akan menjatuhkannya sehinggalah disapu mukanya dengan kedua belah tangan tersebut. Hadis ini diriwayatkan oleh al-Tirmizi dan al-Hakim.

16. Mengaminkan doa yang dibaca.

Sebahagian adab doa ini diambil daripada buku 101 Doa Para Nabi dan Rasul dalam al-Quran; Khasiat dan Kaifiat Beramal oleh Zahazan Mohamed.

Firman Allah: Oleh itu hendaklah mereka menyambut seruan-Ku dan beriman kepada-Ku supaya mereka mendapat jalan yang banyak. Orang yang arif dengan syariat Allah dan sunah Allah terhadap makhluknya tidaklah bermaksud doanya kecuali hidayahnya dengan sebab kepada penghasilan segala matlamat dan mencapai maksud.

Sebagai contoh: Apabila seseorang memohon kepada Allah supaya rezeki bukan bermaksud turun hujan ke atasnya hujan emas dan perak. Apabila memohon sembuh penyakit, bukan bermaksud dia mencari adab sebaliknya untuk taufik kepada rawatan yang membawa kepada penyembuhan.

Ditegaskan oleh Sheikh al-Maghari: Siapa yang meninggalkan usaha sebaliknya menuntut untuk didatangkan apa yang dihajati tanpa sebarang ushaa, maka ia dianggap tidak berdoa sebaliknya jahil. Ini kerana ia membatalkan segala sunah yang telah disunahkan Allah mengikut hukumnya terhadap makhluk.

Seperti yang diketahui, doa merupakan tuntutan serta bertawajuh dengan Allah dengan hati akan terkesan betapa perlu-Nya. Orang yang mengingati kebesaran Allah pasti mencapai matlamat doa. Sebab itulah Nabi s.a.w menamakan doa sebagai otak segala ibadah.

Dalam ayat ini Allah memperakukan penerimaan dengan syarat beriman dan yakin kepada-Nya. Orang yang mempunyai sifat tersebut sudah pasti mendapat petunjuk Allah s.w.t.

Iktibar dan pengajaran ayat:
1. Dekatnya Allah s.w.t dengan hamba untuk memberi pertolongan dan mengetahui keadaan mereka.
2. Doa merupakan otak ibadat dan senjata yang ampuh bagi orang Islam.
3. Bagi mentahqiqkan penerimaan doa hendaklah dilaksanakan dua syarat:
- Beriman.
- Melaksanakan segala arahannya sama ada yang fardu atau sunat dan meninggalkan segala larangannya.

Artikel Oleh : Dr. Zulkifli al-Bakri.
-------------------------------------------------------------
"Dan adakah orang yang mati (hatinya dengan kufur), kemudian Kami hidupkan dia semula (dengan hidayat petunjuk) dan Kami jadikan baginya cahaya (iman) yang menerangi (sehingga dapatlah dia membezakan antara yang benar dengan yang salah, dan dapatlah) dia berjalan dengan suluhan cahaya itu dalam masyarakat manusia, (adakah orang yang demikian keadaannya) sama seperti yang tinggal tetap di dalam gelap-gelita (kufur), yang tidak dapat keluar sama sekali daripadanya? Demikianlah (sebagaimana iman itu diperlihatkan keelokannya kepada orang-orang yang beriman), diperlihatkan pula pada pandangan orang-orang yang kafir itu akan keelokan apa yang mereka telah lakukan (dari perbuatan kufur dan segala jenis maksiat). "(Al-An’aam:122)

Labels: ,

0 Comments:

Post a Comment

Subscribe to Post Comments [Atom]

<< Home