Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami : Perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertakwa. (Al-Furqan:74) akhifaizul Blogging Portal


Monday, February 21, 2005

Hakim kembali ke Australia



Alhamdulillah, semalam berpeluang menghantar pulang seorang sahabat blogku kembali ke negara pengajian beliau. Berkesempatan menghantar Hakim (hukamak) untuk pulang ke Oz bagi meneruskan pengajiannya di sana.

InsyaAllah lagi setahun di sana. Moga urusan Hakim dipermudahkan di sana….ameeenn. Dalam duk sembang-sembang ngan ayah hakim, ghupa-ghupanya ayah hakim kenal dengan kebanyakan ahli keluarga sebelah ayah ku. What a small world. Dan ayah akim juga merupakan seorang pesara tentera macam ayahku juga. Siap bulih tahu kedudukan kedai ayahku di Seremban lagi. Terasa betul-betul dunia ini kecil.

Rupa-rupanya ayah hakim satu batch dengan Pak Tam ku sewaktu zaman persekolahan mereka. To be honest malam tadi lebih banyak berbual dengan ayah hakim dari berbual dengan hakim.

Biasalah tu. Waktu hantar seorang sahabat tempoh hari pon lebih banyak berbual dengan ayah sahabatku itu dari berbual dengannya.

Kepada Hakim, sahabat-sahabatku yang masih belajar dan yang telah bekerja, kepada pembaca-pembaca blog den (macam glamer jerk an?) sementara masih ada peluang untuk menambah ilmu, marilah kita bersama-sama berusaha untuk menambahkannya. Ilmu adalah pelita yang menyuluh kehidupan.

Selamat Maju Jaya Hukamak, dan teruskan usaha menulis anda.
Wallahu ‘alam.
--------------------------------------------------------------
Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu (yang sempurna imannya) ialah mereka yang apabila disebut nama Allah (dan sifat-sifatNya) gementarlah hati mereka dan apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayatNya, menjadikan mereka bertambah iman dan kepada Tuhan mereka jualah mereka berserah. (Al-Anfal : 2)

Sunday, February 20, 2005

Tanpa tajuk ...


Alhamdulillah, minggu lepas berpeluang menghadiri dua majlis ilmu. Syukur kelas pada malam selasa dibatalkan. Pembatalan kelas pada hari Selasa (15 Februari 2005) membolehkan diriku menghadiri Forum Perdana Ehwal Islam anjuran Surau An-Nur, Bangi. Majlis diadakan bersempena dengan Sambutan Ma’al Hijrah 1426. Topik perbincangan berkisar “Rahsia di Sebalik Tsunami” yang dikupas oleh tiga orang penalis, Tn Guru Ust Harun Din, Ust Ismail Kamus dan juga Dato’ Ishak Baharom dan majlis dipengerusikan oleh Ust Ridzuan Mohd Nor.

Majlis dimulakan dengan persembahan nasyid yang dibawakan khas oleh kumpulan SKALA, kumpulan yang berasal dari Banda Aceh. Salah seorang anggota kumpulan SKALA ini sendiri telah menemui Maha Pencipta dalam peristiwa 26 Disember. First time dengan suara depa nie waktu tengah drive pulang ‘idul adha tempoh hari, tatkala stranded in traffic jam di sepanjang highway. SKALA dijemput bersama-sama anggota Hijjaz oleh Radio IKIM.fm. Kalau orang Tanya best ker depa, den ghaso macam best jer, vocal depa memang best dan depa nie terrer buek accapella.

Tsunami 26 Disember, ada orang yang kurang ilmu katakan ianya hanya lah fenomena alam yang tiada kena-mengena dengan kita manusia. Betulkah? Secara peribadinya diriku bersetuju dengan Dato’ Ishak Baharom yang menyatakan ianya bukan terjadi semata-mata kerana fenomena alam. Asbabnya berlaku peristiwa 26 Disember adalah kerana kemungkaran yang dilakukan oleh manusia di muka bumi. Fenomena alam hanyalah method yang dilaksanakan oleh Al-Khaliq dalam memberi peringatan kepada kita. Membuktikan bagaimana mudahnya Allah Rabbul ‘Izzati untuk menggegarkan alam ini. Dengan sedikit gegaran manusia berada dalam kelam-kabut.

Apa ibrahnya (pengajaran) daripada peringatan Allah ini? Dalam sejarah moden, adakah satu fenomena alam yang sebegini hebat? Sebegini banyak negara yang terlibat sama. Indonesia, India, Malaysia, Thailand, Sri Lanka, Maldives, Sierra Leon dan beberapa negara lagi yang terlibat sama. Biasanya jika satu bencana alam menimpa ianya lebih bersifat endemic, tidak melibatkan sebegini banyak negara.

Lain pula dengan peristiwa tsunami 26 Disember, melibatkan beberapa buah negara? Kenapa ya perkara ini terjadi? Subhanallah….Allah memperlihatkan kepada setiap makhluk ciptaanNya, bahawa sesungguhnya kiamat itu suatu yang pasti, tiada suatu pun yang sukar untuk dilaksanakan Allah. Hanya dengan kalimah jadilah, maka terjadilah sesuatu perkara itu.

Allah memberi kita satu medium untuk kita berfikir dan mengambil pengajaran dengan peristiwa ini. Mediumnya adalah peristiwa tsunami, tsunami memperlihatkan kepada kita betapa tangan-tangan kita sering alpa dengan hidup. Kita lupa dengan persiapan hari kemudian. Sudahkah kita bersedia untuk menghadapi kiamat? Kiamat yang pasti berlaku, kita pasti akan merasa kiamat, tidak kira sama ada kiamat sughra atau pun qubra. Peristiwa ini seharusnya membuka minda kita bahawa kita semua adalah hamper dengan kematian.
Peristiwa ini merangsang minda untuk berfikir tentang kiamat, minda sub-consious pula sepatutnya menggerakkan kita agar lebih hampir kepada Al-Khaliq. Ini adalah antara pendapat yang diutarakan oleh al-fadhil Ust Harun Din.

Pengajian Sairus Salikin diteruskan pada hari Khamis lepas di Darul Syifa’, Bangi. Al-Fadhil ust banyak membicarakan soal zirullah.

Semalam waktu melihat news tatkala makan di kedai makan terasa jealous melihat PM kita mengerjakan umrah, siap kawalan rapi lagi tu. Dan part yang paling best gambar beliau mengucup Hajarul Aswad jugak ditunjukkan di kaca tv. Tatkala solat sunat di Makam Nabi Ibrahim a.s juga dikawal rapi.

Tiada idea untuk menyambung coretan. Petang nie insyaAllah akan menghantar seorang rakan pulang ke negara pengajiannya.

Wallahu ‘alam….

--------------------------------------------------------------
Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu (yang sempurna imannya) ialah mereka yang apabila disebut nama Allah (dan sifat-sifatNya) gementarlah hati mereka dan apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayatNya, menjadikan mereka bertambah iman dan kepada Tuhan mereka jualah mereka berserah. (Al-Anfal : 2)

Monday, February 14, 2005

Hari Kekasih tradisi penganut Kristian


SETIAP Februari, merentasi benua, pasangan kekasih, suami-isteri dan mereka yang berjiwa romantis akan saling bertukar hadiah, kad ucapan, bunga-bungaan atau makan malam. Tidak kurang berhibur dan menari semalaman di disko dan kelab malam sempena merayakan suatu hari yang dikenali sebagai ‘Saint Valentine’s Day’ atau Hari Kekasih.

Siapakah dia St Valentine dan mengapakah beliau dikaitkan dengan perayaan Hari Kekasih di seluruh dunia ini?

Ada pelbagai versi asal asul Hari Kekasih . Pihak gereja Katholik mengenal pasti sekurang-kurangnya tiga paderi bernama Valentine @ Valentinus yang dikaitkan dengan mitos ini. Ketiga-tiga paderi ini menerima pengakhiran hidup yang sama iaitu mati dibunuh.

Versi pertama menceritakan mengenai St Valentine yang dikatakan sebagai seorang paderi yang berkhidmat dengan kerajaan Rom pada kurun ke-3 Masihi. Maharaja Claudius III mengeluarkan arahan melarang pemuda berkahwin dengan alasan pemuda bujang dapat memberi komitmen, taat setia dan khidmat yang lebih baik sebagai tentera Rom. St Valentine menganggap arahan Maharaja tidak adil. Lalu, secara rahsia terus mengahwinkan pasangan muda-mudi yang bercinta. Apabila kegiatan paderi ini terbongkar, Maharaja Claudius III memerintahkan beliau dihukum bunuh.

Versi kedua pula menyebut bahawa St Valentine dibunuh atas cubaan membebaskan tahanan beragama Kristian daripada kekejaman dan keganasan penjara kerajaan Rom. Sewaktu di penjara, dia bersahabat rapat dengan seorang gadis anak kepada pegawai penjara itu. Sebelum dibunuh, St Valentine menulis surat kepada kekasihnya itu dan menandatanganinya dengan ungkapan From Your Valentine.

Mengapakah 14 Februari dipilih sebagai merayakan perayaan hari memperingati kekasih ini?

Tanggal 14 Februari 269 Masihi adalah tarikh St Valentine dijatuhi hukuman mati. Lalu, untuk mengingati dan menghormati dirinya yang dianggap sebagai wira cinta, tokoh yang dikaitkan dengan sifat kasih sayang serta sanggup berkorban demi persahabatan, Pope Gelasius, pada 496 Masihi mengisytiharkan 14 Februari sebagai ‘St Valentine’s Day’.

Sejarah St Valentine telah lama berlalu walaupun masih terus diselubungi misteri. Namun, sesuatu yang pasti, sambutan Hari Kekasih ini berkait rapat dengan tradisi penganut agama Kristian dan kepercayaan masyarakat Rom kuno.

Sambutan hari memperingati kekasih tidak ada kena mengena dengan adat resam dan budaya Melayu atau tata susila orang Timur. Jauh sekali bersumber daripada ajaran agama Islam yang suci.

Malangnya, orang Islam pada hari ini, terutama remaja, hatta pasangan suami isteri, begitu ghairah dan tanpa usul periksa membudayakan sambutan Hari Kekasih dalam kehidupan mereka. Keseronokan ini disemarakkan lagi oleh pelbagai pihak yang mengambil kesempatan meraih keuntungan.

Renungi firman Allah bermaksud: “Orang Yahudi dan Nasara (Kristian) tidak akan senang kepada kamu sehingga kamu mengikuti agama mereka. Katakanlah, ‘Sesungguhnya petunjuk Allah itulah petunjuk (yang benar).’ Dan sesungguhnya jika kamu mengikuti keadaan mereka setelah pengetahuan datang kepadamu, maka Allah tidak lagi menjadi pelindung dan penolong bagimu.” (Surah al-Baqarah, ayat 120)

Daripada Anas, Nabi Muhammad saw bersabda bermaksud: “Tiga sifat yang sesiapa memilikinya akan merasakan kelazatan iman.

“Pertama, jika dia mencintai Allah dan Rasulullah lebih daripada lain-lainnya. Kedua, jika dia mencintai sesama manusia semata-mata kerana Allah. Ketiga, enggan kembali kepada kekafiran setelah diselamatkan Allah daripadanya, sebagaimana enggan dimasukkan ke dalam neraka.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim).

Abu Hurairah berkata, bersabda Rasulullah bermaksud : “Demi Allah yang jiwaku di tangan-Nya, kamu tidak dapat masuk syurga selagi tidak beriman, dan tidak beriman selagi tidak berkasih sayang sesama manusia. Sukakah saya tunjukkan perbuatan yang kalau kamu kerjakan dapat menimbulkan kasih sayang? Sebarkanlah salam antara kamu.” (Hadis riwayat Muslim)

Umat Islam sewajarnya mengambil iktibar daripada peristiwa pengorbanan Nabi Ibrahim dan Ismail dalam sambutan Aidiladha yang baru saja berlalu.

Kisah kecekalan hati seorang ayah dan kesabaran serta keredaan seorang anak dalam menunaikan perintah Allah itu dirakamkan dalam firman-Nya bermaksud : “Maka tatkala anak itu sampai (pada umur sanggup) berusaha bersama-sama (Nabi) Ibrahim, Ibrahim berkata : “Hai anakku, Sesungguhnya aku melihat dalam mimpi bahawa aku menyembelihmu. Maka, fikirkanlah apa pendapatmu.” Dia (Nabi Ismail) menjawab: Hai ayahku! Kerjakanlah apa yang perintahkan kepadamu, insya-Allah kamu akan mendapatiku termasuk orang yang sabar.” (Surah as-Saffat, ayat 102-103)

Ayat seterusnya merakamkan ketabahan dan kecekalan hati kedua-duanya dalam menjunjung perintah Allah walaupun ternyata begitu berat dan hampir tidak mampu dilakukan, melainkan dengan keimanan kukuh dan kecintaan yang mendalam terhadap Rabb-nya.

Hayati lagi kisah mereka menerusi firman Allah bermaksud : “Tatkala kedua-duanya telah berserah diri dan Ibrahim membaringkan anaknya atas pelipis(nya), (nyatalah kesabaran kedua-dua kamu telah membenarkan mimpi itu), sesungguhnya demikianlah Kami memberi balasan kepada orang yang berbuat baik. Sesungguhnya ini benar-benar suatu ujian yang nyata. Dan Kami tebus anak itu dengan seekor sembelihan yang besar.” (Surah as-Saffat, ayat 103-107)

Peristiwa besar itu diangkat martabatnya oleh Allah, lalu mewajibkan mereka yang mampu untuk melakukan ibadah korban setiap tahun pada Aidiladha, ketika berjuta-juta umat Islam seluruh dunia menunaikan ibadah haji.

Itulah lambang keimanan dan kasih sayang sejati iaitu melakukan sesuatu hanya kerana mengharapkan ganjaran dan keredaan Allah semata-mata.

Dalam suasana umat Islam masih berduka cita lantaran kesengsaraan dan musibah yang melanda, terutamanya di bumi Aceh, Palestin, Iraq dan seumpamanya. Marilah, kita menghulurkan bantuan demi kasih sayang sesama insan. Pastinya bantuan kita itu tidak sia-sia kerana pahala sedekahnya akan dinikmati sepanjang hayat selagi insan yang menerima sumbangan itu memanfaatkannya.
Wallahu ‘alam.

Sumber : Slot WWI Berita Harian, 14 Februari 2005

Lagi Bahan Bacaan :
1. Valentine's Day from an Islamic Perspective
2. Ada Apa Dengan Valentine's Day
3. Fatwa menyambut Valentine's Day
4. Fikrah : Hari kekasih boleh rosakkan akidah

--------------------------------------------------------------
“Sesiapa yang melakukan perbuatan yang menyerupai sesuatu kaum itu, maka dia turut termasuk bersama golongan itu.” (HR Abu Daud dan Ahmad)

Perbuatan Manusia & Takdir Mu’allaq


Takdir dikategorikan kepada dua bahagian. Yakni Takdir Mubram dan juga takdir Mu’allaq. Takdir yang dikatakan takdir mubram ialah qadha dan qadar yang tidak dapat untuk dielakkan, ianya pasti terjadi pada diri manusia. Ianya telah ditetapkan oleh Yang Maha Pencipta, yang kita tidak mempunyai kesempatan untuk memilihnya.

Yang dimaksudkan dengan takdir mu'allaq ialah qadha dan qadar yang bergantung kepada ikhtiar seseorang, atau usaha menurut kemampuan yang ada pada manusia.

Dalam menghadapi takdir ini, manusia wajib berikhtiar dan berusaha mengikut kemampuannya merubah keadaan supaya menjadi lebih baik menurut yang dikehendakinya. Dengan pertimbangan akal fikirannya, manusia mencurahkan segala usahanya untuk mencapai cita citanya dengan melengkapi syarat syarat ke arah tercapainya tujuannya itu.

Tentu saja soal berhasil atau tidaknya usaha tersebut adalah bergantung kepada pertolongan Allah. Namun hal ini tidak menjadikan alasan untuk berputus asa, sebab berusaha dan berikhtiar itu memang sudah meniadi kewajipan manusia.

Manusia yang mempunyai akal sihat pasti berkeinginan untuk memecahkan segala masalah yang dihadapinya, berusaha untuk menjawab tentangan yang menghalanginya. Hal ini merupakan sesuatu, yang biasa dalam kehidupan.

Bangsa yang dijajah akan berusaha untuk merdeka. Orang yang termasuk dalam lumpur berusaha naik ke tempat yang kering. orang yang sakit pergi berubat supaya lekas sihat. Kesemuanya itu adalah suatu usaha manusia untuk merubah keadaannya yang semula menuju ke arah yang lebih baik dan sempurna. Sebagaimana yang dijelaskan oleh Allah dalam firman Nya:

Ertinya:

“Sesungguhnya Allah tidak akan merubah keadaan (nasib) sesuatu bangsa sehingga bangsa itu mahu merubah keadaan (nasib) mereka sendiri (Ar Ra'ad : 11)

Pada manusia itu telah dilengkapi alat berupa akal fikiran untuk mempertimbangkan perkara perkara Yang bermanfaat bagi dirinya serta diberi kemahuan untuk melaksanakan pilihannya itu serta diberi anugerah dan telah diberi jalan yang benar melalui Para Rasul Nya, maka dengan sendirinya, manusia harus rnempertanggungjawabkan segala perbuatannya.

Sebagaimana yang telah dijelaskan di atas, bahawa dengan pertimbangan akal ftkian, manusia akan dapat mengetahui sesuatu yang baik dan yang buruk.

Sebagai contoh, bagi seseorang yang telah mengetahui bahawa api itu panas, lalu dimasukkan tangannya ke dalam api tersebut, maka hanguslah ia. Dalam hal ini siapakah yang salah? Bukankah sebelumnya dia sudah mengetahui akan bahaya api, serta Tuhan pun telah memperingatkan dan melarang untuk mencelakakan diri?

Kalau manusia telah mengetahui, bahawa mencuri itu adalah perbuatan yang dilarang, kemudian ia masih tetap melakukannya, maka dia ditangkap dan dihukum, dalam hal ini, siapakah yang salah? Dirinya sendiri atau negara yang menghukumnya?

Begitu juga kalau manusia yang telah diberi petunjuk oleh Tuhan di dalam kitab dan Sunnah Rasul Nya kemudian ia melakukan perbuatan perbuatan yang dilarang oleh Allah, atas perbuatan itu maka dia dimasukkan ke dalam neraka, di dalam perkara ini siapa pulakah yang salah? Tuhankah atau manusia itu sendiri? Padahal dia sudah diberi petunjuk, patutkah dia menyalahkan Tuhan dengan alasan bahawa perbuatannya itu atas ketentuan Tuhan?

Justeru itu, sebagai makhluk yang berakal, sebenarnya manusia harus bertanggungjawab terhadap segala apa sahaja yang diperbuat, kerana segala perbuatannya itu dilakukan dengan kesedaran dan pertimbangan akalnya. yang sihat. Maka sudah sepatutnyalah, kalau Allah menghukum kepada orang yang berbuat salah.

Dengan demikian, dapatlah kita ketahui bahawa perbuatan manusia itu adalah tennasuk takdir ma’allaq. Sebagaimana firman Allah:

Ertinya:

"Apa saja nikmat yang kamu perolehi adalah dari Allah, dan apa saja bencana yang menimpamu, maka dari (kesalahan) dirimu sendiri. (An Nisa': 79)

Ayat Al Quran di atas menjelaskan kepada kitab bahawa apa sahaja kenikmatan dan kebaikan yang diperoleh manusia adalah anugerah Allah, akan tetapi nasib yang menimpa manusia tidak terlepas daripada kesalahan memilih, salah langkah, salah jalan, salah usaha, baik dengan sengaja mahuupun tidak.

Firman Allah :

“Dan apa saja musibah yang menimpa kamu maka adalah disebabkan oleh perbuatan tanganmu sendiri, dan Allah memaafkan sebahagian besar (dari kesalahan kesalahanmu).”(Asy Syura: 30)

Memang Allah telah berjanji, bahawa barangsiapa yang berbuat baik akan masuk syurga dan barangsiapa yang berbuat buruk akan dimasukkan ke dalam neraka. Akan tetapi tahukah kita bahawa, nanti kita akan dimasukkan ke dalam neraka? Tentulah tidak tahu. Justeru itu sama-samalah berbuatlah kebaikan dan melakukan amal soleh, supaya kita nanti akan mendapat tempat yang baik, iaitu syurga, kerana janji Allah pasti akan ditepati.

Untuk lebih jelasnya lagi sama-samalah kita perhatikan firman Allah ini.
Ertinya:

"Barangsiapa mengerjakan perbuatan baik maka kebaikannya adalah untuk dirinya sendiri, dan barangsiapa yang mengerjakan perbuatan buruk maka keburukannya akan menimpa pada dirinya sendiri pula, kemudian kepada Tuhanmulah kamu akan kembali.” (Al Jasiyah : 15)

“Bila kamu semua berbuat baik, maka bererti kamulah berbuat kebaikan untuk dirimu sendiri, dan bila kamu berbuat buruk, maka keburukan itu bererti untuk dirimu sendiri.” (Al Isra' : 7)

Ayat di atas ini menjelaskan, bahawa bila manusia itu berbuat kebaikan dan keburukan, hal itu adalah merupakan sesuatu yang timbul dari kesedaran sepenuhnya sebagai manusia yang bertanggungjawab atas tingkah laku perbuatannya. Maka bila seseorang itu berbuat kebaikan, bererti dia tahu bahawa kebaikan Yang dilakukanya itu adalah sesuatu yang bermanfaat bagi dirinya. Sebaliknya bila ia berbuat kejahatan, tentulah dia tahu, bahawa perbuatan yang dilakukannya itu adalah salah, kadangkala sangatlah disayangkan, di antara manusia ada yang sanggup melawan suara hati nuraninya sendiri.

Penjelasan di atas inilah, yang memberikan jawapan dari pertanyaan: Apakah tingkah laku perbuatan manusia itu termasuk takdir mubram atau takdir mu’allaq? Maka jawapannya ialah, bahawa tingkah-laku manusia itu termasuk takdir mu'allaq. Akan tetapi perlu pula diingat, bahawa hal yang demikian itu tidaklah mutlak, kerana manusia tidak mengetahui seluruh rahsia daripada sebab sebab yang menimbulkan tujuan atau akibat dari hukurm sunnatullah.

Dengan berdasarkan keterangan-keterangan di atas, maka dapatlah difahami bahawa di dalam menghadapi cubaan atau musibah yang datangnya dari Allah, ada perkara perkara yang harus kita terima apa adanya kerana ianya tidak dapat untuk dirubah dan kita harus menerimanya dengan penuh rasa kesabaran dan kerelaan. Namun ada pula ketentuan yang dituntut kepada kita supaya berikhtiar untuk merubahnya. Dalam hal ini jika kita tidak berusaha untuk merubahnya ke arah yang lebih baik, maka kesalahan akan ditimpakan kepada diri kita sendiri.

Tahun berganti tahun, dalam peredaran masa hendaklah kita sama-sama berusaha untuk memperbaiki diri kita. Hanya menyalahkan takdir semata-mata bukanlah ciri-ciri orang yang beriman. Sama-samalah kita berusaha menjadi mukmin yang lebih baik dari semalam.

Wallahu ‘alam.

Sumber : Buku Rahmat di Sebalik Dugaan
--------------------------------------------------------------
Janganlah kamu berputus dari rahmat Allah, sesungguhnya tidak berputus asa dari rahmat Allah melainkan orang-orang yang kafir. (Yusuf : 87)

Trip to Penang


Hari ini merupakan hari pertama kerja selepas seminggu bercuti Tahun Baru Cina. Cuti yang agak panjang kukira. Server duk tengah down, nie yang mengambil kesempatan untuk menulis posting. Harap-harap bila server dah ok bulih lah antar posting nie.

Sepanjang cuti seminggu ini banyak sungguh majlis walimah yang dilangsungkan. Alhamdulillah, 3 orang rakan semasa menuntut dan seorang sepupuku mengadakan majlis walimah masing-masing.

Majlis walimah rakan-rakan universiti tidak dapat kuhadiri kerana menghadiri majlis walimah sepupuku di Penang. Kami memulakan perjalanan ke Utara tanahair pada hari Rabu, bertolak ketika masih dalam waktu Asar.

Bila sampai Penang, ramai di antara saudara-maraku yang telah tidoq. Merehatkan badan bagi persiapan untuk hari pernikahan sepupuku pada esoknya di Mata Air, Perlis Indera Kayangan.

Minggu lepas bulih dikatakan minggu tour Northern Region bagi diriku sekeluarga. Alhamdulillah, majlis aqad nikah sepupuku berjalan lancar. Seusai majlis aqad nikah di Masjd Mata Air kami berangkat di rumah persinggahan yang disediakan oleh zaujah sepupuku sebelum ke rumah zaujah sepupuku untuk menikmati hidangan tengahari.

Memang cuti ini hari berjalan-jalan di utara tanahair. Seusai santapan tengahari di rumah zaujah sepupuku, kami sekeluarga dan rombongan memulakan perjalanan pulang ke Penang, rombongan kami singgah sebentar di rumah kakak pengantin setelah mendapat perkhabaran keadaan trafik yang kurang menyenangkan sepanjang perjalanan pulang ke Penang, terutamanya di Jambatan Pulau Pinang.

Andaikata trafik smooth moving sekalipon sudah pastinya adikku dan diriku mahukan putstop kerana kami agak kepenatan. Adikku memandu kereta lain, dan diriku bawa sebuah kereta yang dipinjamkan oleh rakan mak lang (ibu pengantin) ku.

Majlis santapan sepupuku diadakan pada hari Sabtu, iaitu selepas satu hari berehat pada hari Jumaat. Alhamdulillah, majlis berjalan lancar.

Kami sekeluarga sebenarnya bercadang untuk pulang pada wal malam hari Sabtu selepas usai majlis walimah sepupuku. Alhamdulillah, entah macam mana terdapat sumber-sumber berita yang mengatakan keadaan lalu-lintas yang agak sibuk. Jadi kami tundakan sedikit kepada lewat malam. Kami sekeluarga memulakan perjalanan agak lewat sedikit. Lebih kurang jam satu pagi.

Waktu nak memulakan perjalanan pulang adalah beberapa anak-anak sepupuku yang merajuk. Duk buat tarik muka cembeng. Siap melekat depan kereta kami lagi. Sian nengok budak tu. Comei sangat. Selalu suruh den buek dio jadi superman. Nasib baiklah abi dio berjaya amik dio selepas orang lain gagal memujuknya.

Alhamdulillah kami selamat tiba di Seremban lebih kurang jam 8:30 pagi, walaupun kereta kami sebenarnya ada minor problem yang boleh jadi major problem jika perjalanan kami terkandas di dalam kesesakan lalu lintas.

Wallahu ‘alam.
--------------------------------------------------------------
" Dari Abu Hurairah r.a katanya, Nabi SAW pernah bersabda ; “Orang mukmin yang paling sempurna imannya ialah mereka yang paling baik akhlaknya. " (HR Bukhari dan Muslim).

Tuesday, February 08, 2005

5 syarat nak buat maksiat



Suatu hari ada seorang lelaki yang menemui Ibrahim bin Adham. Dia berkata, "Wahai Aba Ishak! Selama ini aku gemar bermaksiat. Tolong berikan aku nasihat." Setelah mendengar perkataan tersebut Ibrahim berkata, "Jika kamu mahu menerima lima syarat dan mampu melaksanakannya, maka boleh kamu melakukan maksiat." Lelaki itu dengan tidak sabar-sabar bertanya. "Apakah syarat-syarat itu, wahai Aba Ishak?"

Ibrahim bin Adham berkata, "Syarat pertama, jika kamu bermaksiat kepada Allah, jangan memakan rezekinya." Mendengar itu dia mengernyitkan kening seraya berkata, "Dari mana aku mahu makan? Bukankah semua yang ada di bumi ini rezeki Allah?" "Ya!" tegas Ibrahim bin Adham. "Kalau kamu sudah memahaminya, masih mampukah memakan rezekinya, sedangkan kamu selalu berkeinginan melanggar larangan-Nya?"

"Yang kedua," kata Ibrahim, "Kalau mahu bermaksiat, jangan tinggal di bumi-Nya!" Syarat ini membuat lelaki itu terkejut setengah mati. Ibrahim kembali berkata kepadanya, "Wahai Abdullah, fikirkanlah, apakah kamu layak memakan rezeki-Nya dan tinggal di bumi-Nya, sedangkan kamu melanggar segala larangan-Nya?"

"Ya! Anda benar." kata lelaki itu. Dia kemudian menanyakan syarat yang ketiga. Ibrahim menjawab, "Kalau kamu masih mahu bermaksiat, carilah tempat tersembunyi yang tidak dapat terlihat oleh-Nya!" Lelaki itu kembali terperanjat dan berkata, "Wahai Ibrahim, ini nasihat macam mana? Mana mungkin Allah tidak melihat kita?" "Ya, kalau memang yakin demikian, apakah kamu m asih berkeinginan melakukan maksiat?" kata Ibrahim.

Lelaki itu mengangguk dan meminta syarat yang keempat.Ibrahim melanjutkan, "Kalau malaikat maut datang hendak mencabut rohmu, katakanlah kepadanya, 'Ketepikan kematianku dulu. Aku masih mahu bertaubat dan melakukan amal soleh'." Kemudian lelaki itu menggelengkan kepala dan segera tersedar, "Wahai Ibrahim, mana mungkin malaikat maut akan memenuhi permintaanku?" "Wahai Abdullah, kalau kamu sudah meyakini bahawa kamu tidak boleh menunda dan mengundurkan datangnya kematianmu, lalu bagaimana engkau boleh lari dari kemurkaan Allah?"

"Baiklah, apa syarat yang kelima?" Ibrahim pun menjawab, "Wahai Abdullah kalau malaikat Zabaniyah datang hendak mengiringmu ke api neraka di hari kiamat nanti, jangan engkau ikut bersamanya."

Perkataan tersebut membuat lelaki itu insaf. Dia berkata, "Wahai Aba Ishak, sudah pasti malaikat itu tidak membiarkan aku menolak kehendaknya." Dia tidak tahan lagi mendengar perkataan Ibrahim. Air matanya bercucuran. "Mulai saat ini akut bertaubat kepada Allah." katanya sambil terisak-isak.

Sekadar berkongsi. Wallahu 'alam

--------------------------------------------------------------
Diriwayatkan daripada Anas bin Malik r.a,daripada Nabi s.a.w Baginda bersabda : Permudahkanlah dan janganlah kamu menyulitkan, gembirakanlah dan janganlah kamu menakut-nakutkan.(Hadis disepakati bersama oleh Imam Bukhari dan Muslim).

Sunday, February 06, 2005

‘Orang agama’ jangan hanya petah berceramah


Minggu lepas merupakan minggu yang agak hectic buat diriku. Cuma dalam kesibukan tugasan dan pembelajaran terbaca satu artikel di dalam akhbar Berita Harian yang agak menyinggung perasaan. Kalau tak silap akhbar hari Rabu 2 Februari 2005.

Tajuknya sahaja sudah membuatkan diriku rasa tak best.‘Orang agama’ jangan hanya petah berceramah. Artikel ini mungkin hanya mampu bertahan sehingga hari Rabu 9 Februari 2005, lepas tu masuk archives.

Terlalu banyak poin yang diutarakan oleh penulis kurasakan terlalu menghampakan, seperti tidak membuat homework ketika menulis. Tak buat homework satu hal, accusing yang melampau pon satu hal. Kenyataan dalam tulisan berwarna biru adalah tulisan yang dihasilkan oleh penulis artikel berkenaan. Manakala tulisan kaler hitam tulisan den lah tu.

Sikap ‘golongan orang yang kuat pegangan’ mereka kepada agama ini, amat bertentangan sekali dengan tindakan puak gereja Kristian yang berduyun-duyun berada bersama mangsa sejak awal lagi baik di Aceh, Sri Lanka, India atau di mana saja kawasan teruk dilanda bencana bukan saja untuk menghulurkan bantuan tetapi memberikan kata perangsang dan kaunseling kepada mangsa.

Disini diriku melihat penulis cuba menyalahkan golongan agama kerana tidak turut sama dalam usaha kerja-kerja amal bagi meringankan beban golongan yang ditimpa musibbah. Pada pandanganku, penulis terlupa untuk membuat kajian mengapa golongan ini tidak turut serta? Adakah golongan agama memang tidak berhati perut untuk tidak menyertai kerja-kerja amal?

Penulis tidak sepatutnya mendakwa sedemikian, kita tahu saudara seIslam kita sedang diuji oleh Allah dengan musibbah yang melanda. Pada pandanganku golongan agama sebenarnya memang berniat untuk membantu, malahan bukan sahaja golongan agama sahaja yang berhasrat untuk membantu, kita semua ingin membantu, tetapi peluang untuk membantu sehingga ke Aceh, Sri Lanka, India dsb mungkin tidak kita perolehi.

Jika ditanya mengapa puak-puak mubaligh kristian dari awal-awal lagi sudah berada di sana, jawapannya mudah sahaja. Kerana mereka ada bantuan kewangan yang kuat, kuat tak bermakna hebat. Kuat sekadar bermakna mereka mempunyai keupayaan untuk berada di sana pada waktunya.

Jika penulis pernah terlibat dalam gerak kerja dakwah, penulis pasti akan dapat merasakan bahawa sumber kewangan merupaka satu elemen yang tidak kurang pentingnya dalam melaksanakan gerak kerja dakwah selain dari ilmu yang dimiliki oleh para daie yang mendokong gerak kerja ini, elemen kewangan juga merupakan factor terpenting dalam gerak kerja dakwah. Malahan untuk ke pejabat juga memerlukan sumber kewangan.

Tetapi kita juga tidak senang dengan kerja puak gereja Kristian ini yang menghulurkan bantuan dengan harapan dapat berjinak dengan mangsa termasuk rakyat Islam di Aceh sendiri sebagai suatu usaha jangka panjang untuk mengkristian mereka itu.

Siapakah yang senang hati dengan usaha pihak kuffar untuk mengkristiankan orang-orang Islam. Adakah penulis senang hati, pada pandanganku, penulis sendiri mungkin tidak senang hati dengan tindakan golongan ini. Susulan daripada peristiwa ini Majlis Ulama Indonesia (MUI) telah mengambil beberapa tindakan bagi memastikan bahawa anak-anak Aceh ini tidak diambil oleh pihak gereja ini. Tiada siapa yang suka dengan tindakan mereka ini. Yang pastinya tindakan mereka ini mendapat kecaman dari seluruh Umat Islam, mereka cuba mengambil kesempatan susulan peristiwa tersebut.

Sebenarnya pertubuhan Islam dan ‘orang agama’ harus menyalahkan diri mereka sendiri kerana tidak memainkan peranan yang lebih aktif menghulurkan bantuan dan kaunseling.

This is the worst statement, the writer shall not put a blames to this group of ppl, this people are people who are trying hard to persuade ppl to Islam. This ppl are ppl who are trying hard to ensure that virtue of Islam is uphold. The right way to ease their workload is to give opinion, not to accuse this ppl with such a statement. Entahlah apo nak jadi den pon tak tahu.

Selain Angkatan Belia Islam (ABIM) dan akhir-akhir ini Perkim di samping Mercy dan Aman Malaysia serta beberapa pertubuhan yang tidak berteraskan agama dari Malaysia, tidak ada pertubuhan Islam yang bergiat melakukan kerja amal di Aceh.

Bak bahasa pasarnya, kalau tak tahu jangan pandai-pandai main cakap jer. Ini satu lagi ststement tanpa asas. Sebenarnya banyak pergerakan berteraskan Islam dari Malaysia yang menjalankan kerja-kerja amal di Aceh. Statement, “Tidak ada pertubuhan Islam yang bergiat melakukan kerja amal di Aceh” tu memang tak benar sama sekali. Mereka membantu bukan untuk dicanangkan ke seluruh dunia. Tidak perlu lah dicanangkan ke seluruh dunia dengan kerja amal yang mereka laksanakan.

Hari nie diriku mendapat email dari Pertubuhan Al-Nidaa’ yang memaklumkan perkembangan terkini kerja-kerja amal Pertubuhan Al-Nidaa’ di Aceh. Kerja-kerja amal yang dilaksanakan oleh Al-Nidaa’ di Aceh di ketuai oleh Ustaz Shofwan Badrie bin Ahmad Badrie. Setakat ini kutipan berupa kewangan telah terkumpul hampir RM250,000. Mungkin nampak kecil jika dibandingkan dengan tabung NST dan sebagainya. Pertubuhan ini bukan sekadar menyalurkan bantuan kewangan sahaja. Tetapi mereka juga telah menyalurkan bantuan makanan dan minuman juga di sana.

Usaha-usaha bantuan ini adalah susulan dari langkah yang telah diambil sebelumnya yang terdiri daripada:
(a)Pelancaran Tabung Mangsa Bencana pada 29 Disember 2004.
(b)Hantaran 668 karton air mineral melalui kapal TLDM KD Mahawangsa pada 5 Januari 2005.
(c)Hantaran kira-kira dua tan makanan melalui Transmile Air pada 6 Januari 2005.
(d)Lawatan pasukan peninjau 3 orang ke Banda Acheh pada 5 hingga 8 Januari 2005.

Ikatan Siswazah Muslim Malaysia (ISMA) juga telah menghantar pasukannya yang diketuai oleg Dr. Zainur Rashid dalam melakukan kerja-kerja amal di Banda Aceh. Kita tak boleh main serkap jarang jer buat tuduhan seperti yang dikatakan oleh penulis. Masih ramai diantara kita yang berusaha untuk membantu saudara-saudara kita di sana walaupun kita mempunyai sumber-sumber yang terhad.

Jika hendak dikomen setiap buah fikiran penulis artikel ini memang agak panjang. Mungkin sekadar ini sahaja yang dapat diriku komen. Number one rules if we would like to comment about something, try to be in the shoe of the ppl that we wish to comment. Bila kita dah pakai kasut orang yang kita nak komen, barulah kita nampak. Bukan sekadar serkap jarang sahaja bila menulis. Penulisan boleh mendatangkan impak yang besar kepada masyarakat kita, lebih-lebih lagi golongan muda-mudi atau pon golongan yang sedang berusaha untuk berubah.

Jika statement sebegini dibaca oleh mereka yang cetek pemikirannya, bayangkan apa akan mereka cernakan dari artikel ringkas ini.

Di sini ingin ditekankan, kita seharusnya menghormati golongan agama ini. Menghormati bukan bermakna taklid buta. Menghormati ilmu yang mereka miliki, mengambil peluang dengan ilmu yang mereka miliki, tanpa mereka mungkin kita tidak ke tahap ini. Tanpa mereka mungkin penguasan ilmu kita tidak sehingga tahap sekarang.

Tidak kira sama ada kita seorang engineer ker, doctor ker, arkitek ker, guru ker atau apa2 sahaja, kita seharusnya ada rasa hormat kepada golongan ini. Jangan dengan selamba kita melemparkan tohmahan kepada mereka.

Sekadar berkongsi rasa.

Wallahu ‘alam.

--------------------------------------------------------------
Kalau kamu zahirkan sedekah-sedekah itu (secara terang), maka yang demikian adalah baik (kerana menjadi contoh yang baik) dan kalau pula kamu sembunyikan sedekah-sedekah itu serta kamu berikan kepada orang-orang fakir miskin, maka itu adalah baik bagi kamu dan Allah akan menghapuskan dari kamu sebahagian dari kesalahan-kesalahan kamu dan (ingatlah), Allah Maha Mengetahui secara mendalam akan apa yang kamu lakukan.. (Al-Baqarah : 271)

3 Sebab Mengapa Allah Menguji Manusia


1. Kifarah
Kifarah adalah ujian ke atas orang yang baik tetapi terlanjur melakukan kejahatan. Maka ketika ketika itulah ia diuji oleh Allah. Tuhan menjadikan kesusahan dalam ujian itu sebagai ‘tebusan’ untuk menghapuskan dosa dan keterlanjurannya. Ertinya, Tuhan membalas kesalahannya di dunia untuk melepaskannya dari balasan di Akhirat. Ini adalah lebih baik kerana azab di dunia adalah lebih ringan berbanding azab di Akhirat. Dengan kifarah ‘orang baik’ itu akan mendapat peringatan dan amaran atas kesalahan dan keterlanjurannya lalu bertaubat kepada Allah.

“Dan Kami timpakan kepada mereka azab supaya mereka kembali ke jalan yang benar”(Az-Zukhruf : 48)

2. Bala
Yakni ujian ke atas orang jahat yang sedang melakukan kejahatan. Allah jadikan ujian itu sebagai hukuman di dunia sebelum dihukum di Akhirat dengan hukuman yang lebih berat. Dengan kemurkaanNya Allah turunkan kepedihan di dunia lagi sebelum diazab di neraka. Mereka akan diazab dua kali, pertama di dunia dan kedua di negeri Abadi. Ringkasnya, bala ialah bentuk ujian ke atas ‘orang jahat yang sedang melakukan kejahatan’. Umat Nabi Nuh ditenggelamkan banjir, Firaun ditelan Laut merah, Qarun ditelan bumi, kaum ‘Aad, Tsamud oleh hujan batu dan bencana alam yang lain.

“Dan jika mereka berpaling (ingkar), Allah akan menyeksa mereka dengan azab seksa yang tidak terperi sakitnya di dunia dan di akhirat dan mereka tidak akan mendapat sesiapa pun di bumi ini, yang akan menjadi pelindung dan juga yang menjadi penolong.” (At-Taubah : 74)

3. Ibtila’
Ini adalah ujian terhadap orang baik yang sedang melakukan kebaikan. Ini adalah tanda kasih-sayang Allah kepada hambaNya yang taat. Justeru dengan Ibtila’ hamba itu akan mendapat pahala dan ditinggikan pula darjatnya di sisi Tuhan. Jika tidak diuji, bagaimana hamba yang taat itu hendak mendapat pahala sabar, syukur, reda, pemaaf, qanaah dari Tuhan. Maka dengan ujian bentuk inilah ada kalangan para Rasul ditingkatkan ke darjat Ulul Azmi – yakni mereka yang paling gigih, sabar dan berani menanggung ujian.

Ringkasnya, Ibtila’ ialah ujian ke atas ‘orang baik yang sedang melakukan kebaikan. Golongan para Nabi, siddiqqin, syuhadaq dan solehin adalah mereka yang sentiasa diuji dalam bentuk Ibtila’ ini.

“Adakah patut kamu menyangka bahawa kamu akan masuk Syurga, padahal belum sampai kepada kamu (ujian dan cubaan) seperti yang telah berlaku kepada orang-orang yang terdahulu daripada kamu? Mereka telah ditimpa kepapaan (kemusnahan harta benda) dan serangan penyakit serta digoncangkan (oleh ancaman bahaya musuh), sehingga berkatalah Rasul dan orang-orang yang beriman yang ada bersamanya: Bilakah (datangnya) pertolongan Allah? Ketahuilah sesungguhnya pertolongan Allah itu dekat (asalkan kamu bersabar dan berpegang teguh kepada agama Allah). (Al-Baqarah : 214)

Oleh
Pahrol Mohamad Juoi

--------------------------------------------------------------
Dan kalau kamu memberi pinjaman kepada Allah, sebagai pinjaman yang baik (ikhlas), nescaya Allah akan melipat gandakan balasanNya kepada kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu dan Allah amat memberi penghargaan dan balasan kepada golongan yang berbuat baik, lagi Maha Penyabar (untuk memberi peluang kepada golongan yang bersalah supaya bertaubat). (At-Taghbun :17)

Tuesday, February 01, 2005

Maha Suci Allah


Subhanallah…. Maha suci Allah.
Pagi nie sebelum memulakan tugas, berkesempatan membuka akhbar Berita Harian Online.

Di dalam Majalah i bulan Februari 2005 banyak memaparkan isu berkaitan sekitar tsunami. ”Bicara Tuhan Melalui Tsunami”. Dapatkan naskhah Majalah i bulan Februari sementara masih ada di pasaran.

Di sini ana sekadar cut and paste, untuk simpanan ana di masa hadapan. Maklumlah, Berita Harian nie beritanya hanya ada seminggu sahaja di dalam talian secara free, lepas tu masuk archives depa. Bila dah masuk archives kenalah bayar kalau nak baca balik.

Dua mayat pelajar kita ditemui belum reput
Daripada Mohd Azis Ngah di Aceh

DUA mayat wanita dipercayai pelajar Malaysia, ditemui dalam keadaan duduk dan sedang berdoa serta lengkap berpakaian purdah atau telekung serba hitam, selepas lebih sebulan bencana gempa bumi dan ombak tsunami memusnahkan wilayah ini.

Kedua-dua mayat itu yang masih belum reput, ditemui tertimbus di celah runtuhan bangunan dalam operasi mencari mangsa tsunami di Perkampungan Desa Bilang Krueng, Aceh Besar, Sabtu lalu.

Kedua-duanya pelajar itu dipercayai menyewa rumah berhampiran rumah sewa seorang pelajar lelaki, dikenali sebagai Ali juga dipercayai rakyat Malaysia, tetapi sehingga kini masih dilaporkan hilang.

Mayat kedua-dua pelajar itu ditemui kira-kira 100 meter dari rumah sewa mereka.

Mangsa dikenal pasti oleh seorang penduduk yang memang mengenali pelajar berkenaan dan kerap memanggilnya dengan gelaran ‘cewek Malaysia’.

Perkara itu sudah dimaklumkan kepada Polis Republik Indonesia (Polri) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk urusan pengebumian.

Saksi yang dikenali sebagai Mohd Rizal, 30, berkata ketika mayat kedua-dua mangsa ditemui, mereka lengkap memakai purdah atau telekung serta dalam keadaan sedang berdoa.

Penolong Pegawai Medan PDRM, Deputi Superintendan Mohd Isa Yahya, mengesahkan menerima laporan mengenai penemuan kedua-dua mayat itu, tetapi masih memerlukan maklumat lanjut berhubung kerakyatan mangsa.

“Berdasarkan maklumat awal, mereka dikatakan pelajar Pusat Pengajian di Banda Aceh Besar, tetapi kami belum mempunyai identiti kedua-duanya.

“Jika benar kedua-duanya rakyat Malaysia, kami mohon kerjasama semua pihak termasuk Wisma Putra bagi mengesan waris mereka. Mungkin mereka mempunyai maklumat yang boleh membantu,” katanya ketika ditemui di kem PDRM di sini, petang semalam.

Mayat kedua-dua pelajar itu sudah dikebumikan di tanah perkuburan beramai-ramai mangsa tsunami, tetapi sehingga kini PDRM belum dapat mengesahkan lokasi sebenar tanah perkuburan itu.

Wisma Putra bagaimanapun sebelum ini mengesahkan tiada pelajar Malaysia di Aceh dilaporkan hilang atau terkorban dalam bencana 26 Disember lalu.

Wallahu ‘alam.
--------------------------------------------------------------
" Hadis Abu Zar r.a katanya: Aku pernah bertanya Rasulullah s.a.w: Wahai Rasulullah! Apakah amalan yang paling utama? Rasulullah s.a.w bersabda: Beriman kepada Allah dan berjuang pada jalan-Nya. Aku bertanya: Hamba yang bagaimanakah paling utama? Rasulullah s.a.w bersabda: Hamba yang paling baik menurut pemiliknya dan paling banyak harganya. Aku bertanya lagi: Bagaimana Jika aku tidak bekerja? Rasulullah s.a.w bersabda: Engkau boleh membantu orang yang bekerja atau bekerja untuk orang yang tidak memiliki pekerjaan. Aku bertanya lagi: Wahai Rasulullah! Apa pendapatmu jika aku tidak mampu melakukan sebahagian dari amalan? Rasulullah s.a.w bersabda: Engkau hendaklah memberhentikan kejahatanmu terhadap orang lain kerana, hal itu merupakan sedekah darimu kepada dirimu " (HR Muslim).