Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami : Perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertakwa. (Al-Furqan:74) akhifaizul Blogging Portal


Saturday, November 18, 2006

Jangan putus asa berdoa

Daripada Abu Hurairah bahawa Nabi SAW bersabda bermaksud: "Allah sentiasa memperkenankan doa seseorang hamba selama doa itu tidak mengandungi (perkara) dosa, (perkara yang) memutuskan silaturahim dan selama tidak meminta supaya cepat-cepat diperkenankan."

Lalu Baginda ditanya oleh seseorang: "Apa maksudnya meminta dicepatkan?"

Jawab Baginda: "Umpamanya seseorang itu berkata dalam doanya:"Aku berdoa, aku berdoa tetapi aku belum melihat doaku diperkenankan. Lalu aku putus asa dan berhenti berdoa." (Hadis Riwayat Muslim)
-------------------------------------------------------------
"Dan tidaklah ada yang lebih zalim daripada orang yang mereka-reka perkara-perkara yang dusta terhadap Allah, atau mendustakan kebenaran setelah kebenaran itu disampaikan kepadanya. Bukankah (telah diketahui bahawa) dalam neraka Jahannam disediakan tempat tinggal bagi orang-orang yang kafir?"(Al'Ankabuut : 68)

Thursday, November 16, 2006

Peristiwa suatu Suboh

Sekembali dari surau seusai mendirikan solat suboh pagi Selasa lalu dan ketika berbual dengan zaujah tercinta deringan telefon berbunyi.

Pelik di kala suboh hari orang menalifon rumah kami, jarang sekali orang membuat panggilan seawal jam ini. Kuangkat talipon dan alangkah terkejutnya ianya panggilan dari seorang sahabat di UK yang kukira lama juga tidak berhubung. Kali terakhir kami berhubung adalah sekitar Februari lalu. Itu pon hanya panggilan pendek. Tapi panggilan pagi itu memang benar-benar lama.

Bukan sekadar lama yang kosong, tp perbualan yang penuh kata-kata nasihat dan advise. Tatkala hati-hati kami sedang rungsing, Allah kurniakan seseorang untuk menasihati kami. Aku tidak mampu untuk berkata apa setelah usai berbual dengan teman seMRSM ku itu selain menzahirkan rasa syukurku pada Allah yang mengurniakan nikmat yang tidak disangka-sangka. Walaupon ianya hanya sekadar kata-kata, ianya bukan kata-kata biasa. Kata-kata teman seMRSM ku itu mampu membuatkan kami berfikir, berfikir dan terus berfikir. Alhamdulillah. Thank You Hamidon Yusof, moga kalian sekeluarga senantiasa adalam limpah rahmat dan kasih sayang Allah, ameenn …

Batu Pahat, Johor Darul Takzim
2230
-------------------------------------------------------------
"Dia lah yang mengetahui perkara-perkara yang ghaib dan yang nyata; Dia lah jua Yang Maha Besar, lagi maha Tinggi (Yang mengatasi segala-galanya)."(Ar-R'ad:9)

Berzina dengan hati suci dan ikhlas

Dunia pada hari ini sedang dilanda krisis. Satu di antaranya ialah krisis nilai. Krisis nilai inilah yang menjadi sebab keruntuhan Empayar Rom. Edward Gibbon dalam bukunya The History of Decline and Fall of the Roman Empire telah menulis bahawa: Segala dasar-dasar akhlak dan moral di Rom telah runtuh sehingga ramai orang memilih jalan untuk hidup bebas.....Di akhir abad keenam, Kerajaan Romawi Timur sedang berada diambang keruntuhan yang paling dahsyat sekali!

Nabi datang untuk selamatkan kita dari kehancuran yang seperti itu. Nabi bersabda, Sesungguhnya aku diutuskan untuk menyempurnakan akhlak yang mulia. (Hadis riwayat Ahmad & Baihaqi)

Nilai akhlak inilah yang merupakan landasan dan kayu pengukur yang penting bagi kita. Akhlak tidak menghalang kehendak-kehendak fitrah. Ia mencantikkannya. Sebagai contoh, Islam tidak pernah menyuruh kita menutup nafsu seks, sebaliknya menyalurkannya kepada suatu yang murni, selamat dan mendamaikan. Perkahwinan adalah salurannya.

Alangkah indahnya firman Allah yang bermaksud: Isterimu adalah lading bagimu maka datangilah isterimu dengan cara mana yang kamu mahu! (Al-Baqarah : 223) Dalam bahasa mudah, selepas berkahwin, puaskanlah nafsumu dengan isterimu sesuka hatimu, melainkan dengan cara yang jelas telah diharamkan kerana kemudaratannya.

Saya harus mengatakan bahawa nilai pada hari ini banyak diasaskan kepada konsep Machiavellianisme yang dipopularkan oleh seorang pemikir dari Florence , Italy yang bernama Niccolo Machiavelli. Machiavelli, dalam bukunya The Prince telah menekankan konsep the end justifies the means ataupun niat membersihkan cara. Asalkan niat kita baik, berzinalah, menipulah, khianatilah, menyamunlah dan begitulah seterusnya. Semua adalah halal bagi Machiavelli.

Laporan akhbar 6 Ogos 1999 juga ada perkaitan dengan krisis nilai ini apabila seorang tokoh koporat berpangkat Datuk, telah menceritakan di mahkamah tentang hubungan seksnya dengan seorang pembaca berita RTM. Beliau mengatakan bahawa niatnya adalah suci kerana bertujuan untuk mengahwininya. Itulah nilai yang sedang melanda dunia sekarang: Seks adalah suci walaupun tanpa perkahwinan! Sungguh menakutkan dan sungguh memalukan perkara ini berlaku di negara kita. Masih ada orang yang boleh mengatakan perkara sedemikian. Sungguh memalukan dan sungguh mengaibkan.

Memang ada yang mengatakan bahawa pergaulan dan seks bebas ini adalah lambing kemajuan dan kemodenan. Nilai agama dan akhlak adalah kolot. Jika demikian, mari kita perhatikan hasil dan sumbangan seks bebas kepada dunia.

Seks bebas telah berjaya merebakkan penyakit AIDS, contohnya di Thailand, sehinggakan akhbar Der Spiegel pernah menjadikan tajuk AIDS in Asia – Killer Epidemic in Sex Paradise (AIDS di Asia - Wabak Pembunuh di Syurga Seks), sebagai tajuk muka depannya.

Di California, hampir 61,000 bayi luar nikah dilahirkan pada tahun 1997. Kajian oleh Jabatan Perkhidmatan Kesihatan dan Kemanusiaan Amerika mendapati bahawa anak-anak luar nikah ini mempunyai lebih daripada dua kali ganda kemungkinan diserangi masalah emosi di dalam hidup mereka, berbanding dengan anak-anak lain (Rujukan:California Teenage Pregnancy Statistics).

Kita di Malaysia juga telah dimalukan dengan penonjolan kes pembuangan bayi luar nikah di kalangan remaja-remaja kita. Semua ini bukanlah sumbangan yang membanggakan bagi dunia moden.

Islam menekankan bahawa niat dan cara perlu betul. Niat kena ikhlas, cara kena mengikut syariat. Syariat mengharamkan zina. Nabi kita bersabda, Selepas dosa syirik kepada Allah, tidak ada dosa yang lebih besar daripada seseorang meletakkan air maninya ke faraj yang tidak halal baginya! (Hadis riwayat Ahmad& Thabrani)

Kaum Lut hancur kerananya. Kota Pompei hancur kerananya. Empayar Rom juga
hancur keranannya. Justeru, kembalilah ke pangkal jalan.

Nukilan Dr. Danial bin Zainal Abidin
-------------------------------------------------------------
"Dan (ingatlah) ketika kami berfirman kepada malaikat: Tunduklah (beri hormat) kepada Nabi Adam". Lalu mereka sekaliannya tunduk memberi hormat melainkan Iblis; ia enggan dan takbur, dan menjadilah ia dari golongan yang kafir."(Al- Baqarah : 34)

Monday, November 13, 2006

Mahu Bahagia

Mahu Bahagia? Sesungguhnya sesiapa yang tidak bahagia dirumahnya, pasti tidak akan mendapat kebahagian di tempat lain. Sesiapa yang tidak dicintai keluarganya, pasti tidak mendapat cinta sesiapa pun. Sesiapa yang menyia-nyiakan hari ini, pasti hari esoknya akan sia-sia. - Dr 'Aidh al-Qarni

-----------------------------------------------------------------------------------------
Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu menjadi seperti orang-orang (Yahudi) yang telah mencaci Nabi Musa, lalu Allah membersihkannya dari segala cacian yang mereka katakan; dan adalah dia seorang yang mulia di sisi Allah. (Al-Ahzaab : 69)

Risau

Ya Allah betapa risaunya aku. Tatkala family berziarah rumah sepupuku di Bangi aku hanya mampu duduk di rumah. Planning untuk pergi shopping pon terpaksa ku tangguh ke satu tarikh kemudian. Rasa risau bercampur baur. Ya Allah berilah kami kekuatan.
--------------------------------------------------------------
Dan setelah ia (meninggalkan Mesir dalam perjalanan) menuju ke negeri Madyan, berdoalah ia dengan berkata: "Mudah-mudahan Tuhanku menunjukkan jalan yang benar kepadaku. (Al-Qasas : 22)

Sunday, November 12, 2006

Audio

Di sini terdapat satu audio kuliah berkisar sekitar isu Azlina Jailani. Untuk memuat turunkannya sila klik pada link di bawah kemudian savekan di dalam cakera keras anda. Ianya sebagai ikhtibar dan tindakan kepada kita, dengar dengan berfikir. Bukan dengar tanpa berfikir. Selamat mendengar.

Audio Berkisar sekitar Azlina Jailani
--------------------------------------------------------------
mereka (orang-orang kafir itu) sentiasa memerangi kamu hingga mereka (mahu) memalingkan kamu dari agama kamu kalau mereka sanggup (melakukan yang demikian) dan sesiapa di antara kamu yang murtad (berpaling tadah) dari agamanya (agama Islam), lalu dia mati sedangkan dia tetap kafir, maka orang-orang yang demikian, rosak binasalah amal usahanya (yang baik) di dunia dan di akhirat dan mereka itulah ahli Neraka, mereka kekal di dalamnya (selama-lamanya). (Al-Baqarah : 217)

Saturday, November 11, 2006

Syukur Jangan Kufur

Assalamulaikum wbt. Tuan-tuan & puan-puan, para peminat Mutiara FM yang dimuliakan. Dalam Al-quran seringkali Allah menceritakan tentang iblis dan syaitan. Allah mengatakan, iblis ini di kutuk dan di laknati Allah disebabkan ia sombong dan takbur kepada Allah. Allah swt pernah menyuruh iblis sujud kepada Adam tetapi iblis enggan sujud. Dalam surah Al-Baqarah Allah menceritakan tentang sikap iblis ini. Iblis enggan mematuhi perintah Allah agar ia sujud kepada Adam. Lantaran ia sombong maka ia termasuk dalam golongan orang-orang yang kafir. Natijahnya ialah iblis mendapat laknat seumur hidup dan akan diseksa Allah seumur hidup.

Kita sebagai manusia perlu mengiktibarkan kisah-kisah seperti ini tetapi seringkali kita lupa. Lantas apabila Allah memberikan kurniaan dalam bentuk kesenangan dan nikmat kepada kita, kita lupa bahawa yang memberikan itu ialah Allah. Anda masih ingat kisah kapal Titanic. Anda masih belum melupakan kisah ini saya rasa.
 
Kapal Titanic ini memang terkenal sehingga di filemkan beberapa kali. Kapal ini merupakan suatu yang dibanggakan oleh British pada awal abad ke-20. Kapal Titanic ini merupakan sebuah kapal yang paling canggih pada awal abad ke-20 sebelum ini. Panjangnya 900 kaki. Beratnya 46,000 tan. Pakar-pakar yang mencipta Titanic mengatakan, It was virtually unsinkable - kapal ini tidak mungkin tenggelam. Andaikata ia mendapat kemalangan ia tidak mungkin karam sebab jika ia karam ia akan memakan masa selama 2 hari. Dalam masa 2 hari kita dapat membantu, menolong dan akhirnya ia tak akan tenggelam juga.

Ia tak mungkin tenggelam. Kata mereka ketika itu. Ia akan dapat diselamatkan walaupun apa saja yang berlaku keatas kapal Titanic. Pada bulan April 1912 dalam pelayarannya yang pertama ia tenggelam dalam jangkamasa tidak sampai 3 jam dan selepas ia tenggelam, bangkai kapal titanic tak di temui selama lebih kurang 3 suku abad. Ia!! manusia sombong.
 
Manusia berkata kapal itu tidak mungkin tenggelam tetapi ia tenggelam dalam pelayarannya yang pertama. Jadi hebat mana kita. Kita ada pangkat besar dan boleh membuat rumah sesuka hati kita. Kita berjawatan tinggi sehingga tidak perlu menghadiri mesyuarat. Kita di gelar datuk dan seumpamanya sehingga boleh membatalkan apa-apa projek yang kita suka. Kita pemimpin yang kononnya boleh buat apa yang kita mahu. Kita, kita dan kita ini perlu belajar dari kisah iblis dan kapal titanic yang di cipta manusia dan akhirnya tenggelam pada pelayarannya yang pertama.

Justeru Allah swt. menyuruh kita mencontohi sebagai contohnya Nabi Allah Sulaiman. Nabi Allah Sulaiman yang kaya raya dan kekayaannya tidak ada tolok bandingannya. Nabi Allah Sulaiman tidak sombong. Lantas kita boleh kaya. Islam tidak menghalang kita mencari kekayaan asalkan cara yang halal.
 
Nabi Allah Sulaiman kaya raya tetapi Nabi Allah Sulaiman berdoa kepada Allah. Anda boleh melihat doa yang indah ini dalam surah An-Naml ayat 19 yang bermaksud, "Tuhanku, ilhamkanlah kepadaku tentang cara terbaik untuk aku mengsyukurimu kerana nikmat yang kamu berikan kepadaku ". Itu permintaan Nabi Allah Sulaiman yang kaya raya, yang hebat kekuasaannya bermohon kepada Allah agar ditunjukkan tentang cara terbaik untuk mengsyukuri Allah.

Baginda sudah pasti mensyukuri Allah tetapi nak minta Allah tunjukkan lagi apa yang sepatutnya baginda lakukan untuk bersyukur kepadanya secara yang lebih halus. Kemudian baginda meneruskan doa dengan berkata, "Dan ilhamkan kepadaku agar aku sentiasa beramal soleh dan amal soleh itu kamu redho".
 
Nabi Allah Sulaiman minta kepada Allah kekuatan untuk sentiasa beramal soleh tuan-tuan & puan-puan. Apa yang anda dan kita minta hari ini tuan-tuan & puan-puan. Minta untuk beramal soleh ?. Nabi Allah Sulaiman meminta agar amal soleh itu di redhoi. Bukan sekadar beramal soleh. Minta amal itu Allah redhoi. Bukan amal soleh yang orang redho. You are good, you are great, you are fantastic, bukan itu yang baginda mahu. Manusia tidak redho biarkan. Aku mahu kamu ya Allah redho.

Inilah kisah-kisah daripada quran. Kisah-kisah yang sepatutnya kita amati. Kisah yang sepatutnya kita berikan keperihatinan kita di era dimana manusia sombong, berlagak, salah guna kuasa, salah guna jawatan tinggi dan manusia tidak sedarkan diri.
 
Maka disaat seperti ini marilah kita kembali kepada Quran. Ambil contoh-contoh baik daripadanya sebagai contoh Nabi Allah Sulaiman agar insyaallah menjadi orang yang sentiasa mengsyukuri nikmat Allah secara yang betul dan kita juga menjadi orang yang sentiasa beramal soleh dimana saja kita berada dengan niat amal itu diredhoi oleh Allah swt bukan sangat diredhoi oleh makhluk-makhluk yang lemah seperti kita.

Semoga insyaAllah tenggelamnya kapal titanic tidak menyebabkan kita juga tenggelam. Semoga Allah berikan kekuatan kepada kita bersama insyaAllah

Dari Dr Danial bin Zainal Abidin dalam ruangan Motivasi Mutiara pada 6 November 2006, hari Isnin jam 7.30 pagi di Mutiara FM pulau Pinang 95.7 MHz
-----------------------------------------------------------------------------------------
Sesuatu yang bernyawa tidak akan mati melainkan dengan izin Allah, sebagai ketetapan yang telah ditentukan waktunya. Barang siapa menghendaki pahala dunia, niscaya Kami berikan kepadanya pahala dunia itu, dan barang siapa menghendaki pahala akhirat, Kami berikan (pula) kepadanya pahala akhirat itu. Dan kami akan memberi balasan kepada orang-orang yang bersyukur. ( Al-i`Imran : 145)

Palestinian PM

View the video till end, insyaAllah we will see something valuable.

Friday, November 10, 2006

Mimbar Jumaat : Ikhlaskah Kita?

Sidang Jumaat yang dihormati Allah,
Sesungguhnya kepunyaan Allah s.w.t agama yang suci, tetapi orang yang menganggap selain daripadanya beberapa tuhan (berkata): "Kami tidak sembah mereka melainkan supaya mereka hampirkan kami satu kehampiran kepada Allah s.w.t", sesungguhnya Allah akan menghukum diantara mereka dalam apa yang mereka perselisihkan padanya, sesungguhnya Allah tidak memimpin seorang yang pendusta, yang sangat kufur.(AZ-Zumar:2-3)

Sidang Jumaat sekalian,
Minbar hari ini ingin menghuraikan secara ringkas tentang ikhlas yang membawa maksud rela, jujur, tulus, atau suci hati. Dengan maksud yang demikian setiap individu muslim tidak akan mempunyai sedikit pun muslihat duniawi ketika melakukan sesuatu amalan, perbuatan atau tindakan samada ianya berbentuk ibadah khusus atau perbuatan umum yang lain, mereka hanya mengharapkan keredhaan Allah s.w.t semata-mata.

Amalan seseorang muslim yang ikhlas mesti melibatkan unsur rohani dan jasmani atau batin dan zahir. Daripada segi batin, setiap amalan atau perbuatan-perbuatan dilakukan hendaklah menepati Manhaj Syara' dan sunnah Rasulullah s.a.w. Berdasarkan kenyataan tadi, sebarang amalan atau perbuatan yang dilakukan walaupun kelihatannya jernih, baik atau ikhlas tetapi jika tidak menepati sunnah, maka ianya tidak akan diterima. Begitulah sebaliknya jika menepati sunnah tetapi tidak ikhlas juga tidak diterima, apatah lagi jika amalan itu dilakukan dengan tidak menepati hukum syara', maka ianya juga tidak akan diterima.

Sebab itu perbuatan seseorang yang mencuri walaupun dilakukan dengan ikhlas kerana untuk membantu orang miskin melalui hasil mencuri tadi, ianya tetap dikira melakukan perbuatan yang salah dan berdosa kerana perbuatan mencuri bertentangan dengan hukum syara'.

Alangkah malangnya mereka yang menderma melalui majlis konsert amal, malam amal mesra, amal kebajikan, amal anak-anak yatim, amal ukhuwah, amal Ramadhan, amal Aidulfitri atau bermacam amal lain, yang bertentangan dengan ajaran Islam, maka tetap tidak diterima, malahan ianya tetap dikira sebagai perbuatan mungkar. Kenyataan ini adalah merujuk kepada kaedah Feqah yang berhasil dari sebuah hadis iaitu:"Apabila berhimpun halal dengan haram dikira haram".

Lebih mendukacitakan lagi ialah apabila kalimah suci agama ini, seperti perkataan amal tadi telah disalah gunakan, terseleweng, maknanya apabila digunakan untuk perkara-perkara keduniaan yang mengandungi kemungkaran.

Termasuk juga perbuatan seseorang yang membina masjid, surau, sekolah, tetapi mempunyai maksud yang tidak baik, ia tetap tidak akan diterima dan berdosa. Dalam hubungan ini terdapat kisah masjid Dhirar yang ditolak oleh Allah s.w.t, kerana ia dibina bertujuan untuk membahayakan keselamatan umat Islam ketika itu yang diceritakan oleh Al-Quran dalam surah At-Taubah ayat 107-108. Dan (di antara orang-orang munafik juga ialah) orang-orang yang membina masjid dengan tujuan membahayakan (keselamatan orang-orang Islam) dan (menguatkan) keingkaran (mereka sendiri) serta memecah-belahkan perpaduan orang-orang yang beriman dan juga untuk (dijadikan tempat) intipan bagi orang yang telah memerangi Allah dan RasulNya sebelum itu dan (apabila tujuan mereka yang buruk itu ketara), mereka akan bersumpah dengan berkata: Tidaklah yang kami kehendaki (dengan mendirikan masjid ini) melainkan untuk kebaikan semata-mata. Padahal Allah menyaksikan, bahawa sesungguhnya mereka adalah berdusta. Jangan engkau sembahyang di masjid itu selama-lamanya, kerana sesungguhnya masjid (Quba' yang engkau bina wahai Muhammad), yang telah didirikan di atas dasar takwa dari mula (wujudnya), sudah sepatutnya engkau sembahyang padanya. Di dalam masjid itu ada orang-orang lelaki yang suka (mengambil berat) membersihkan (mensucikan) dirinya dan Allah Mengasihi orang-orang yang membersihkan diri mereka (zahir dan batin).

Contoh seterusnya ialah seorang yang berjihad jika dilakukan dengan bertujuan untuk menunjuk-nunjuk, berlagak berani dan didorong oleh semangat memperjuangkan 'Asobiah semata-mata, tetap tidak akan diterima oleh Allah s.w.t, sekalipun mereka telah berjuang, membunuh atau dibunuh.

Cubalah renungkan maksud hadis dari Abu Musa Al-Asy'ar mengenai seorang Arab Badawi yang bertanya kepada Rasulullah s.a.w: “Ya Rasululllah, manakah antara tiga orang ini yang berjuang "Fi Sabilillah": orang yang berjuang kerana ingin mendapat harta rampasan perang, orang yang berjuang untuk kemasyhuran atau orang yang berjuang untuk menunjukkan keberanian." Baginda Rasulullah s.a.w menjawab:Barang siapa yang berjuang untuk mendaulatkan kalimah Allah s.w.t itulah orang yang berjuang "Fi Sabilillah".(Riwayat Bukhari dan Muslim)

Ikhlas bukanlah sesuatu yang mudah untuk dilaksanakan. Bukan semua orang boleh mencapainya dengan senang. Sesiapa yang menganggap ikhlas mudah dicapai adalah suatu pandangan yang silap. Sesungguhnya amat payah bagi seseorang untuk membebaskan diri dari runtunan nafsu yang meluap-luap samada zahir mahupun batin yang memang tersembunyi di dalamnya. Keinginan dan tujuan yang bersifat kebendaan dan keduniaan.

Memang menjadi seorang manusia suka kepada habuan dan pujian. Oleh itu setiap individu muslim mestilah mendisiplinkan diri dan berusaha keras untuk melawan pelbagai tipu helah syaitan yang sentiasa melakukan rancangan jahatnya untuk memesongkan niat seseorang.

Maka untuk mencapai keikhlasan yang tulen, setiap amalan hendaklah dilakukan dengan niat yang suci dan mujahidah yang berterusan, kerana akan menempuhi pelbagai godaan nafsu dan syaitan. Jika ada niat yang bercampur-aduk adalah dikhuatiri amalan tadi tidak diterima oleh Allah s.w.t . Setiap niat yang bercampur akan bertarung sesama sendiri bergantung kepada mana yang lebih kuat. Rugilah seseorang yang melakukan amalan tidak ikhlas. Apalah ertinya amalan yang telah dilakukan dengan susah-payah sedangkan ianya tidak dipandang dan tidak diterima oleh Allah s.w.t.

Justeru setiap umat Islam mesti peka dengan peranan niat, sunnah dan syara' ketika melakukan sesuatu amalan. Perkara ini amat penting supaya setiap amal yang kita lakukan diterima dan tidak menjadi sebaliknya iaitu sia-sia dan malahan berdosa.

Para Jumaat yang dirahmati sekalian,

Khatib ingin menjelaskan pada hari ini akan beberapa tanda sesuatu amal atau perbuatan itu adalah ikhlas dan diterima oleh Allah s.w.t. Diantara tanda-tanda tersebut ialah:

Pertama, takut terkenal dan popular
Seseorang yang benar-benar ikhlas takut untuk menjadi terkenal atau popular kerana bimbang kesan dan pengaruhnya terhadap diri dan agama. Sebab itu seseorang yang ikhlas sentiasa ingat dan yakin bahawa Allah s.w.t tidak melihat rupa wajah, tetapi melihat hakikat yang terdapat di dalam hati seseorang. Sebab itu kalaupun namanya masyhur keseluruh negara, tetapi jika niatnya tidak suci ketika melakukan sesuatu amal perbuatan ia tetap akan mendapat celaan dan kemurkaan Allah s.w.t .

Cubalah renungkan kata-kata tokoh zuhud yang terkenal, Ibrahim Bin Adham."Orang yang mengejar kemasyhuran memang tidak jujur dengan Allah s.w.t".

Kemasyhuran itu sendiri memang tidak tercela, tetapi yang tercela ialah perbuatan orang yang mengejar kemasyhuran, gila kemegahan dan rakus untuk mendapatkan kemuliaan. Lebih menyedihkan lagi apabila ada di antara individu yang sanggup melakukan apa sahaja tindakan walaupun bertentangan dengan syara' kerana ingin terkenal.

Kedua, sering menyalahkan diri sendiri.
Orang yang ikhlas setiap masa akan menyalahkan dirinya apabila ia lalai dan cuai dalam menunaikan dan melaksanakan perintah Allah s.w.t. Hatinya tidak dikuasai oleh rasa riya' dan ujub terhadap sebarang kebaikan yang pernah dilakukannya. Sebaliknya ia sentiasa merasa bimbang jika amalannya tidak diterima dan dosanya tidak diampunkan oleh Allah s.w.t.

Cuba renungkan kisah seorang soleh yang menangis ketika sakit tenat, orang yang menziarahinya bertanya: "Bukankah anda telah berjuang, berpuasa, bersolat malam, bersedekah menunaikan haji dan umrah, mengajar dan memberi tazkirah" beliau menjawab : "Bagaimana saya hendak tahu samada kesemua amal saya itu diterima atau ditolak oleh Allah s.w.t".

Ketiga, beramal secara senyap-senyap.
Orang yang ikhlas suka melakukan amal bakti kepada masyarakat dengan cara yang senyap, tidak suka disebut-sebut. Mereka tidak mahu dikenali dan diketahui. Amal mereka umpama asas binaan kepada sesebuah bangunan. Ia kukuh dibawah bumi yang sekaligus mengukuhkan bangunan. Orang mungkin boleh melihat kecantikan dinding atau anjung atau tingkap bangunan tadi, tetapi tidak dapat melihat asasnya yang mendasari kebumi.

Keempat, tidak mengejar pujian.
Menyedari akan hakikat sebenar tentang dirinya, orang yang ikhlas tidak akan dahagakan pujian manusia . Sebaliknya jika diberikan pujian atau gelaran, mereka tidak pula mudah terpesona, tertipu atau menjadi angkuh, sombong dan membesar diri. Ibnu Atha Allah dalam kitab hakamnya telah menyatakan: “Orang lain memuji anda kerana apa yang disangkanya ada pada diri anda. Oleh itu jadilah anda pula penguji pada diri anda sendiri, kerana apa yang anda tahu hakikat sebenarnya pada diri anda. Orang yang paling jahil ialah orang yang menyakini sangkaan orang lain tetapi meninggalkan keyakinan sendiri terhadap dirinya.”

Kelima: Bekerja tanpa mengira kedudukan
Seorang yang ikhlas sentiasa Istikomah segala amalnya asalkan mendapat keredaan Allah s.w.t. Mereka melakukannya tanpa mengira kedudukan, baik sebagai pemimpin mahu pun pengikut. Hatinya tidak ditawan oleh perangai suka menonjolkan diri, contoh dalam situasi ini ialah apabila Khalid bin Alwalid seorang panglima besar tentera islam yang sentiasa memperoleh kemenangan dalam setiap peperangan dipecat dari jawatannya.

Beliau langsung tidak berkecil hati, tidak memprotes, tidak mewujudkan kumpulan sendiri atau mempertikai tindakan tersebut. Sebaliknya beliau menerima keputusan tersebut dengan perasaan tenang dan malah dengan serta merta menyatakan ketaatannya kepada panglima yang baru dilantik iaitu Abu Ubaidiah bin Aljarraha.

Begitulah sedikit daripada huraian ,cara mendapatkannya dan tanda-tanda amal yang ikhlas. Semoga kita semua dapat menjadikan khutbah hari ini sebagai panduan untuk menilai setiap amal yang telah, sedang dan akan terus dilakukan sentiasa mendapat keredaan Allah s.w.t Insya Allah .

Katakanlah wahai Muhammad, mahukah kami khabarkan kepada kamu akan orang-orang yang rugi, serugi-ruginya amal perbuatannya?, iaitu orang-orang yang telah sia-sia amal usahanya dalam kehidupan dunia ini, sedang mereka menyangka bahawa mereka sentiasa betul dan baik pada apa sahaja yang mereka lakukan.(Surah Al-Kahfi : 103-104)

Khutbah Jumaat
Jabatan Agama Islam Selangor.
28 Mei 2001

--------------------------------------------------------------
Dengan sebab (mereka menjaga diri dari kesalahan), maka Allah selamatkan mereka dari kesengsaraan hari yang demikian keadaannya, serta memberikan kepada mereka keindahan yang berseri-seri (di muka), dan perasaan ria gembira (di hati). (Al-Insaan : 11)

Diari Mujahid

Alhamdulillah,Alhamdulillah,Alhamdulillah. Dengan linangan air mata aku gembira mendapat tahu Mujahid memaklumkan kepada abi dan umminya yang dia kini sudah bulih dirasai, walaupon perjalanannya masih 166 hari, insyaAllah. Lebih kurang jam 0900H 10 November 2006 mujahid memaklumkan kepada abi dan umminya.

Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan solat dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku. (Ibrahim:40)

--------------------------------------------------------------
Dan Ia telah mengajarkan Nabi Adam, akan segala nama benda-benda dan gunanya, kemudian ditunjukkannya kepada malaikat lalu Ia berfirman: "Terangkanlah kepadaKu nama benda-benda ini semuanya jika kamu golongan yang benar". (Al- Baqarah:31)

Wednesday, November 08, 2006

Kejam

Sedih bilamana ku dengar berita ini. Lepas satu dosa, ke satu dosa yang lain.

Seorang pemikir, seorang professional seorang yang selayaknya dihormati oleh masyarakat sekeliling tetapi melakukan jenayah yang sangat kejam. Trip ke Mongolia disusuli dengan penambahan bintik hitam di hati. Dari dosa zina ke dosa membunuh. Dari satu dosa ke satu dosa. Dari dosa seorang diri kepada dosa yang melibatkan ramai orang.

Tidak terfikirkah dia jika ahli keluarganya diperlakukan seperti demikian. Tidak ada rasa gentar sedikitkah pada janji-janji Allah tentang azabnya jika melakukan dosa. Jika benarlah hamba Allah ini melakukan jenayah ini maka selayaknya dia dihukum bunuh.

Si penerima arahan untuk melaksanakan misi ini juga kelihatan seperti seorang yang tidak punya akal. Hanya melaksanakan arahan pihak atasan tanpa berfikir. Tidak takutkah mereka akan akibatnya. Mungkin mereka fikir jenayah mereka di bumi ini dapat di sembunyikan, al-maklumlah anggota pihak keselamatan tapi bagaimanapula mereka hendak menjawab di Mahkamah Allah azzawa jalla kelak?

Alhamdulillah kisah ini diketengahkan oleh pihak media. Bayangkan jika kisah ini tidak diketengahkan oleh pihak media, mungkin juga perkara ini akan disenyapkan atau mungkin juga kes ini akan terus berkubur. Al-maklumlah kes ini melibatkan kes VIP, bilamana ianya melibatkan pihak VIP maka ianya kadang-kala seperti tidak diendahkan oleh sesetengah pihak hanya kerana hendak menjaga nama VIP berkenaan.

Teringat satu kisah seorang ‘abid akhirnya mati dalam kekufuran dek kerana wanita. Kisahnya lebih kurang beginilah gamaknya.

Link lanjutan untuk membaca kisah Pembunuhan kejam ini ;

1. Penganalisis ditahan -- Bantu siasatan kes wanita warga Mongolia dibunuh kejam
2. Guna 3 Bom untuk Letupkan Mangsa
3. Mangsa upah Penyiasat Persendirian untuk menjejaki
4. Cif Inspektor, dua konstabel ditahan reman

--------------------------------------------------------------

Hadis Abdullah bin Mas'ud r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: Tidak dihalalkan darah seorang muslim yang telah bersaksi bahawa tidak ada tuhan melainkan Allah dan bersaksi bahawa aku adalah utusan Allah kecuali salah satu di antara tiga perkara ini: Iaitu seorang janda yang berzina, seseorang yang membunuh orang lain dan orang yang meninggalkan agamanya iaitu orang yang memisahkan dirinya dari jemaah. (HR Muslim)

Sunday, November 05, 2006

Ujian

Pertama : Hard Disk Notebook telah rusak, maka dengan itu notebook ini tidak beroperasi selama untuk beberapa hari, alhamdulillah setelah diganti baru hard disknya dan diusahakan pembaikannya oleh adinda terchenta dr doBot maka ianya beroperasi kembali.

Kedua : Keretaku dilanggar lari dikawasan parking. Dilanggar dibahagian co-pilot. Sewaktu hendak pergi mengerjakan solat Jumaat baru kusedar ianya telah kemek. Itupon dikhabarkan oleh abang azami yang menumpang keretaku untuk sama-sama pergi menunaikan solat Jumaat.

Ketiga : TM Net terus tidak memberi respon kepada permintaanku walaupon sudah masuk minggu kedua aku mengaktifkan akaunku. Accountnya sudah diaktifkan, tapi portnya masih belum ok. Buktinya bila aku login di rumah ayahanda bonda account ku bulih digunakan, tp bila mencuba di rumah kami, usahaku gagal.

Hari ini sekadar mencoret ujian-ujian yang aku lalui. Sebenarnya setiap ujian yg kita lalui ada hikmahnya, cuma kita tidak nampak secara tersurat. Kita akah cuba muhasabah apa kesilapan yg kita lakukan. Setiap kali ujian-ujian menimpa cuba kita muhasabah. Sememangnya muhasabah perlu dilaksanakan setiap hari tetapi bila ujian-ujian yang tidak diduga berlaku ke atas diri kita, kita akan lebih keras memerah otak untuk memikir apa kesilapan kita, bagaimana untuk memperbaiki kesilapan kita dan bagaimana hendak kita hadapi situasi tersebut.

Bila kita ketemui cara-cara untuk mengatasi permasalahan situasi berkenaan, ianya merupakan satu hikmah yang kita sering lupa dan sering kita lupa untuk syukuri.

Contohnya bila kita marah. Bila mana kita sakit hati sangat, kita akan tercari-cari bagaimana caranya untuk melembutkan hati kita yang marah. Berbagai cara kita bulih lakukan. Kita boleh senyapkan diri, kita boleh asingkan diri dari orang sekeliling kita dan dari banyak2 cara yang kita laksanakan itu kita juga seharusnya berusaha untuk mencari penyelesaian berdasarkan Al-Quran dan As-Sunnah.

Kita cari dalil-dalil membantu kita mengatasi nafsu amarah, geram, sakit hati dan sebagainya. Tatkala inilah kita mempraktikkan teori yang kita pelajari. Berkata-kata memang mudah, melaksananya belum pasti lagi. Tapi lebih rugi lagi jika kita belajar tapi kita tidak praktikkan atau ingati kembali apa yang kita pelajari. Jika kita gagal berfikir sewaktu diselubungi keresahan, kegelisahan atau kemarahan bermakna akal kita telah dipengaruhi oleh nafsu. Sama-sama jangan kita biarkan akal kita tidak berfungsi dengan sewajarnya apabila kita menghadapi ujian.

-------------------------------------------------------------

“Dan juga (lebih baik dan lebih kekal bagi) orang-orang yang menjauhi dosa-dosa besar serta perbuatan-perbuatan yang keji dan apabila mereka marah (disebabkan perbuatan yang tidak patut terhadap mereka), mereka memaafkannya.”( Asy-Syura:37)