Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami : Perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertakwa. (Al-Furqan:74) akhifaizul Blogging Portal


Monday, February 19, 2007

Masjid al-Aqsa simbol persefahaman

Tindakan Israel menggali kawasan suci di Palestin dianggap perbuatan biadab mesti dihalang

SEJAK kelahiran Islam 1440 tahun yang lalu, Masjid al-Aqsa di bawah pemerintahan tiga kuasa agama iaitu Islam, Kristian dan Yahudi. Masjid al-Aqsa di bawah pemerintahan Islam selama 1200 tahun, Kristian (88 tahun) dan Yahudi (59 tahun).

Perlu dinyatakan di sini bahawa Masjid al-Aqsa pernah berada di bawah kuasa konspirasi antarabangsa moden (Inggeris dan sekutunya menerusi Perjanjian Balfour) dari 1917 hingga munculnya Israel pada 1948.

Kawasan Masjid al-Aqsa adalah satu-satunya negeri yang penyerahannya dilakukan oleh khalifah sendiri. Demi menghormati Masjid al-Aqsa dan permintaan penghuni Kristiannya, Khalifah Umar ibn al-Khattab meluangkan waktu dari Madinah pergi menuju Baitulmaqdis menerima kunci kota itu. Beliau turut membuat perjanjian bertulis disebut al-Ahdah al-Umariyah yang menyatakan bahawa orang Kristian mengamanahkan kepada Umar diri mereka, harta, gereja, keturunan, orang sakit, orang sihat dan semua kepercayaan mereka di sana, untuk dijaga dan dipelihara oleh pemerintahan Islam. Dari sinilah bermulanya pemerintahan Islam selama 1200 tahun hingga 1917.

Selepas 400 tahun pembukaan Masjid al-Aqsa oleh Umar, ia jatuh ke tangan pemerintahan Kristian. Ia ditakluki Raymond Tolouse, seorang keluarga diraja dari Toulouse, Perancis. Beliau memimpin tentera Salib menuju al-Quds. Jumlah mereka hanya sekitar 1,000 tentera berkuda dan 5,000 pasukan infantri. Pada 1099M, mereka berhasil memasuki Palestin dengan melalui Acre. Selepas itu mereka menduduki Ramleh, Lod dan Baitulaham. Pada 7 Jun 1099M, pengepungan wilayah al-Quds dimulakan. Iftikhar al-Dawlah adalah penguasa yang dilantik Kerajaan Fatimiyah di sana. Kota ini dikuasai pada 15 Julai 1099.

Tentera Salib terus menyerang umat Islam selama seminggu. Mereka berhasil membunuh lebih 70,000 muslim di dalam Masjid al-Aqsa, termasuk pemimpin, cendikiawan dan orang yang sedang beribadah. Malangnya, Kerajaan Fatimiyah dan Abbasiyyah tidak berbuat apa-apa untuk membantu, mereka hanya diam membisu melihat peristiwa ini. Al-Quds dikuasai oleh tentera Salib, Godfry Gouillon, yang dengan rendah hati menyebut dirinya dengan jolokan Pembela al-Quds.

Lapan puluh lapan tahun kemudian, iaitu pada 1187, Masjid al-Aqsa kembali ke tangan umat Islam di bawah pimpinan Salahuddin al-Ayyubi. Pada 20 September tahun itu, pengepungan ke atas kota al-Quds bermula. Di dalam kota ada seramai 60,000 pasukan Salib yang semuanya memutuskan untuk lebih baik mati daripada menyerahkan wilayah kota berkenaan. Pada masa pengepungan berlaku beberapa pertempuran. Pasukan Islam berusaha untuk merempuh masuk dan menyerang. Akhirnya, tentera Salib Eropah menuntut damai dengan meminta kota itu diserahkan kepada mereka dan apabila permintaan itu tidak dipenuhi mereka mengancam akan membunuh ribuan tawanan Muslim.

Mereka juga mengugut akan membunuh kaum wanita dan keturunan mereka yang Kristian, membakar dan menghancurkan seluruh harta benda, membunuh binatang ternak, merosak Masjid al-Aqsa dan Batu Shahrah, lalu mereka keluar untuk bertempur hingga ke titisan darah terakhir.

Salahuddin yang berbincang dengan sahabatnya kemudian bersetuju untuk berdamai. Lalu diberikan kepada mereka perdamaian. Akhirnya umat Islam mencapai kemenangan ke atas al-Quds pada 2 Oktober 1187M. Di sini nampak jiwa tolak ansur dan kasih sayang Salahuddin yang juga diakui oleh kebanyakan orang Kristian.

Begitulah akhirnya Baitulmaqdis kembali diperintah di bawah bendera Islam selepas 88 tahun dikuasai tentera Salib. Keagungan dan kemuliaan Masjid al-Aqsa dikembalikan, suara azan kembali berkumandang.

Pada 1948 pemerintahan baru menguasai Masjid al-Aqsa selepas tentera Yahudi menaklukinya. Ini diakui seorang wartawan Israel, Gad’on Levy, menerusi artikelnya di akhbar Israel Ha’aretz mendedahkan mengenai kejahatan dan penindasan terancang Israel terhadap tempat suci di Palestin. Dalam artikelnya itu, Levy menulis dengan berdirinya entiti Yahudi Israel di Palestin, mereka mula menodai nilai bangsa lain. Tidak kurang daripada 400 desa Palestin diporak-perandakan pada 1948. Padahal di desa berkenaan ada 400 masjid yang juga dihancurkan dan 400 gereja milik Kristian turut menjadi mangsa kekejaman Israel. Israel tidak meninggalkan jejak sejarah apapun di desa itu dan kubur yang ada didalamnya dibongkar manakala masjid, ada yang dihancurkan dan ada yang dikotori.

Hari ini selepas 59 tahun Masjid al-Aqsa dikuasai tentera Zionis Israel, rancangan tersembunyi dan jahat mereka ke atas Masjid al-Aqsa terdedah dan didedahkan lagi. Seperti dilaporkan awal minggu ini bahawa kegiatan menggali dekat Masjid al-Aqsa atas sebab mencari tinggalan sejarah Yahudi akan diteruskan oleh pihak berkuasa Israel, meskipun Israel menghentikan pembinaan satu laluan ke dalam Kota Lama yang menempatkan rumah ibadat berkenaan.

Walaupun pihak berkuasa Israel menolak kebimbangan al-Aqsa akan rosak termasuk Masjid Omar yang dikatakan dibina kononnya di atas bekas tapak kuil Yahudi purba, umat Islam masih meraguinya. Ketua Mahkamah Palestin, Syaikh Taisir Tamimi meminta kaum Muslimin tidak mudah terlena dengan janji Zionis yang akan menghentikan sementara penggalian di Maghariba, wilayah Masjid Al-Aqsa.

Katanya, apa yang dilakukan Zionis Israel yang menghentikan penggalian di sekitar Masjid al-Aqsa itu mempunyai tujuan lain iaitu menghentikan reaksi kemarahan masyarakat dan kaum Muslimin yang sudah meluas ke seluruh sudut kota Palestin bahkan ke beberapa negara Arab dan Islam, serta mengundang tekanan antarabangsa terhadap penjajah Zionis sendiri.

Syaikh Tamimi dalam keterangannya yang disampaikan kepada Palestine Information Center menegaskan bahawa sehingga saat ini beberapa pertubuhan Zionisme ekstrim sesungguhnya masih tetap melanjutkan penggalian dan menghancurkan kawasan sekitar Masjid al-Aqsa, khususnya pintu Maghariba, secara diam-diam. Beliau meminta masyarakat antarabangsa terus menekan Zionis Israel supaya menghentikan kerja menghancurkan Masjid al-Aqsa.

Pakar Zionisme, Nawwaf al-Zuru dalam tulisannya menyatakan ada 10 fasa menghancurkan Masjid al-Aqsa. Israel tidak hanya pandai membuat teori menghancurkan Masjid al-Aqsa tetapi mereka sudah melakukan 10 fasa untuk merobohkan tempat suci umat Islam itu, kemudian dibangunkan haikal Sulaiman di atas puing-puingnya.

Fasa I: Dilakukan sejak 1967 hingga akhir 1968 dengan menggali terowong 70 meter di selatan Masjid al-Aqsa di belakang menara masjid.

Fasa II: Dilakukan dari 1969 hingga 1970 dengan menggali terowong 80 meter dari pagar Masjid al-Aqsa.

Fasa III: Dilakukan dari 1970 hingga 1973, Israel menggali terowong di bawah Mahkamah Syariah dan di bawah lima pintu masjid al-Aqsa, al-Musalsal, al-Muthahirah, al-Qatthanin, al-Hadid dan Alauddin al-Basyri di samping terowong yang ada di bawah empat masjid dan menara masjid Qaithabi dan Suuq Al-Qatthanin. Penggalian terowong dan aktifak Yahudi ini menyebabkan sebahagian daripada bangunan Mahkamah Syariah berubah menjadi gereja dan peninggalan bersejarah perjuangan suku Kurdi Islam dan sekolah Al-Jauhariah mengalami kerosakan.

Fasa IV-V: Dilakukan sejak 1973 hingga akhir 1975 dengan penggalian daerah bahagian belakang gerbang selatan sepanjang bahagian timur bawah Masjid al-Aqsa, pagar Masjid al-Aqsa bahagian timur sepanjang 80 meter juga mencakupi penggalian bahagian bawah Masjid al-Aqsa.

Fasa VI: Kegiatan dilakukan mulai 1975 dengan tujuan menghilangkan kubur Sahabat Nabi dan mendirikan beberapa tempat pelancongan nasional Israel di atasnya.

Fasa VII: Ini dilakukan sesuai dengan projek Dewan Kementerian Israel pada 1975 yang merampas infrastruktur milik Islam hingga pagar Al-Barraq (al-Mabkaa) dan diteruskan dengan penggalian di bawah bangunan Mahkamah Syariah dan perpustakaan Al-Khalidiah dan pojok Abu Madin al-Ghauts dan semuanya roboh, ditambah 35 rumah warga lainnya.

Fasa VIII: Fasa yang bermula daripada permulaan tahun 80-an dengan slogan mengungkap harta karun Kerajaan Israel ini adalah penggalian yang sangat berbahaya yang pernah di alami oleh Masjid al-Aqsa. Sebab banyak penggalian yang masih dilakukan secara sembunyi oleh Israel. Sebahagian penggalian ini diungkap oleh laporan kepala daerah Um Alfahm, Raid Shalah seperti Lembaga Al-Aqsa dan Jabatan Waqaf di Al-Quds. Pada saat itu sempat terjadi pertentangan antara Israel dengan jemaah. Di tengah-tengah pertentangan ini penggalian dilakukan di bawah Masjid al-Aqsa.

Fasa IX: Dilakukan pada 1981. Pembukaan terowong yang ditemukan Kolonel Inklizi Charles Warn dibuka dan kemudian ditutup semula. Terowong itu bermula di bahagian bawah pintu Al-Muthahharah antara pintu Al-Silsilah dan Al-Qathanin hingga ke pintu Magharibah dan ke bawah Masjid al-Aqsa. Israel mendakwa bahawa tembok yang terdapat di terowong adalah milik Haikal Sulaiman yang mereka sebut dengan terowong Hasyumunaim. Pada fasa ini dilakukan penggalian terowong di bawah bangunan Mahkamah Syariah pada 1987 dan di bawah sekolah Al-Tankiziah. Terowong dibina sehingga ke sebelah utara Masjid al-Aqsa. Akibat kegiatan penggalian ini sejumlah bangunan, sekolah dan bangunan kedai mengalami kerosakan malah ada yang roboh. Penggalian ini juga mengakibatkan gerbang utama Jabatan Waqaf, roboh.

Fasa X: Sebahagian terowong Hasyumunaim yang panjangnya kira-kira 250 meter dibuka selepas hari raya Pengampunan Yahudi pada Isnin 24 September 1999. Pengumuman pembukaan yang dihadiri oleh pejabat tinggi Israel ini menyebabkan perselisihan atau pertentangan antara Israel dan Palestin paling sengit berlaku di Masjid al-Aqsa. Pemerintah Israel tergesa-gesa menutupnya. Israel menggali terowong di bawah Masjid al-Aqsa sepanjang 400 meter dari kampung Barat Arab hingga di tapak tembok Al-Barraq di bahagian utara kampung Islami. Jika tindakan itu diteruskan, sewajarnya kita bimbang Masjid al-Aqsa, kiblat pertama kita dirobohkan? Jika berlaku, sewajarnya orang Kristian juga bimbang dan khuatir tempat suci mereka dirobohkan. Begitu juga, sewajarnya orang Yahudi juga bimbang dan khuatir apabila tempat suci mereka dirobohkannya walaupun Zionis mengatakan lain?

Oleh Abdurrahaman Haqqi, Berita Minggu 18 Februari 2007

-------------------------------------------------------------
Dan telah sempurnalah Kalimah Tuhanmu (Al-Quran, meliputi hukum-hukum dan janji-janjiNya) dengan benar dan adil; tiada sesiapa yang dapat mengubah sesuatupun dari Kalimah-kalimahNya; dan Dia lah yang sentiasa Mendengar, lagi sentiasa Mengetahui.(Al-An'aam:115)

Labels: ,

0 Comments:

Post a Comment

Subscribe to Post Comments [Atom]

<< Home