Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami : Perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertakwa. (Al-Furqan:74) akhifaizul Blogging Portal


Monday, February 14, 2005

Perbuatan Manusia & Takdir Mu’allaq


Takdir dikategorikan kepada dua bahagian. Yakni Takdir Mubram dan juga takdir Mu’allaq. Takdir yang dikatakan takdir mubram ialah qadha dan qadar yang tidak dapat untuk dielakkan, ianya pasti terjadi pada diri manusia. Ianya telah ditetapkan oleh Yang Maha Pencipta, yang kita tidak mempunyai kesempatan untuk memilihnya.

Yang dimaksudkan dengan takdir mu'allaq ialah qadha dan qadar yang bergantung kepada ikhtiar seseorang, atau usaha menurut kemampuan yang ada pada manusia.

Dalam menghadapi takdir ini, manusia wajib berikhtiar dan berusaha mengikut kemampuannya merubah keadaan supaya menjadi lebih baik menurut yang dikehendakinya. Dengan pertimbangan akal fikirannya, manusia mencurahkan segala usahanya untuk mencapai cita citanya dengan melengkapi syarat syarat ke arah tercapainya tujuannya itu.

Tentu saja soal berhasil atau tidaknya usaha tersebut adalah bergantung kepada pertolongan Allah. Namun hal ini tidak menjadikan alasan untuk berputus asa, sebab berusaha dan berikhtiar itu memang sudah meniadi kewajipan manusia.

Manusia yang mempunyai akal sihat pasti berkeinginan untuk memecahkan segala masalah yang dihadapinya, berusaha untuk menjawab tentangan yang menghalanginya. Hal ini merupakan sesuatu, yang biasa dalam kehidupan.

Bangsa yang dijajah akan berusaha untuk merdeka. Orang yang termasuk dalam lumpur berusaha naik ke tempat yang kering. orang yang sakit pergi berubat supaya lekas sihat. Kesemuanya itu adalah suatu usaha manusia untuk merubah keadaannya yang semula menuju ke arah yang lebih baik dan sempurna. Sebagaimana yang dijelaskan oleh Allah dalam firman Nya:

Ertinya:

“Sesungguhnya Allah tidak akan merubah keadaan (nasib) sesuatu bangsa sehingga bangsa itu mahu merubah keadaan (nasib) mereka sendiri (Ar Ra'ad : 11)

Pada manusia itu telah dilengkapi alat berupa akal fikiran untuk mempertimbangkan perkara perkara Yang bermanfaat bagi dirinya serta diberi kemahuan untuk melaksanakan pilihannya itu serta diberi anugerah dan telah diberi jalan yang benar melalui Para Rasul Nya, maka dengan sendirinya, manusia harus rnempertanggungjawabkan segala perbuatannya.

Sebagaimana yang telah dijelaskan di atas, bahawa dengan pertimbangan akal ftkian, manusia akan dapat mengetahui sesuatu yang baik dan yang buruk.

Sebagai contoh, bagi seseorang yang telah mengetahui bahawa api itu panas, lalu dimasukkan tangannya ke dalam api tersebut, maka hanguslah ia. Dalam hal ini siapakah yang salah? Bukankah sebelumnya dia sudah mengetahui akan bahaya api, serta Tuhan pun telah memperingatkan dan melarang untuk mencelakakan diri?

Kalau manusia telah mengetahui, bahawa mencuri itu adalah perbuatan yang dilarang, kemudian ia masih tetap melakukannya, maka dia ditangkap dan dihukum, dalam hal ini, siapakah yang salah? Dirinya sendiri atau negara yang menghukumnya?

Begitu juga kalau manusia yang telah diberi petunjuk oleh Tuhan di dalam kitab dan Sunnah Rasul Nya kemudian ia melakukan perbuatan perbuatan yang dilarang oleh Allah, atas perbuatan itu maka dia dimasukkan ke dalam neraka, di dalam perkara ini siapa pulakah yang salah? Tuhankah atau manusia itu sendiri? Padahal dia sudah diberi petunjuk, patutkah dia menyalahkan Tuhan dengan alasan bahawa perbuatannya itu atas ketentuan Tuhan?

Justeru itu, sebagai makhluk yang berakal, sebenarnya manusia harus bertanggungjawab terhadap segala apa sahaja yang diperbuat, kerana segala perbuatannya itu dilakukan dengan kesedaran dan pertimbangan akalnya. yang sihat. Maka sudah sepatutnyalah, kalau Allah menghukum kepada orang yang berbuat salah.

Dengan demikian, dapatlah kita ketahui bahawa perbuatan manusia itu adalah tennasuk takdir ma’allaq. Sebagaimana firman Allah:

Ertinya:

"Apa saja nikmat yang kamu perolehi adalah dari Allah, dan apa saja bencana yang menimpamu, maka dari (kesalahan) dirimu sendiri. (An Nisa': 79)

Ayat Al Quran di atas menjelaskan kepada kitab bahawa apa sahaja kenikmatan dan kebaikan yang diperoleh manusia adalah anugerah Allah, akan tetapi nasib yang menimpa manusia tidak terlepas daripada kesalahan memilih, salah langkah, salah jalan, salah usaha, baik dengan sengaja mahuupun tidak.

Firman Allah :

“Dan apa saja musibah yang menimpa kamu maka adalah disebabkan oleh perbuatan tanganmu sendiri, dan Allah memaafkan sebahagian besar (dari kesalahan kesalahanmu).”(Asy Syura: 30)

Memang Allah telah berjanji, bahawa barangsiapa yang berbuat baik akan masuk syurga dan barangsiapa yang berbuat buruk akan dimasukkan ke dalam neraka. Akan tetapi tahukah kita bahawa, nanti kita akan dimasukkan ke dalam neraka? Tentulah tidak tahu. Justeru itu sama-samalah berbuatlah kebaikan dan melakukan amal soleh, supaya kita nanti akan mendapat tempat yang baik, iaitu syurga, kerana janji Allah pasti akan ditepati.

Untuk lebih jelasnya lagi sama-samalah kita perhatikan firman Allah ini.
Ertinya:

"Barangsiapa mengerjakan perbuatan baik maka kebaikannya adalah untuk dirinya sendiri, dan barangsiapa yang mengerjakan perbuatan buruk maka keburukannya akan menimpa pada dirinya sendiri pula, kemudian kepada Tuhanmulah kamu akan kembali.” (Al Jasiyah : 15)

“Bila kamu semua berbuat baik, maka bererti kamulah berbuat kebaikan untuk dirimu sendiri, dan bila kamu berbuat buruk, maka keburukan itu bererti untuk dirimu sendiri.” (Al Isra' : 7)

Ayat di atas ini menjelaskan, bahawa bila manusia itu berbuat kebaikan dan keburukan, hal itu adalah merupakan sesuatu yang timbul dari kesedaran sepenuhnya sebagai manusia yang bertanggungjawab atas tingkah laku perbuatannya. Maka bila seseorang itu berbuat kebaikan, bererti dia tahu bahawa kebaikan Yang dilakukanya itu adalah sesuatu yang bermanfaat bagi dirinya. Sebaliknya bila ia berbuat kejahatan, tentulah dia tahu, bahawa perbuatan yang dilakukannya itu adalah salah, kadangkala sangatlah disayangkan, di antara manusia ada yang sanggup melawan suara hati nuraninya sendiri.

Penjelasan di atas inilah, yang memberikan jawapan dari pertanyaan: Apakah tingkah laku perbuatan manusia itu termasuk takdir mubram atau takdir mu’allaq? Maka jawapannya ialah, bahawa tingkah-laku manusia itu termasuk takdir mu'allaq. Akan tetapi perlu pula diingat, bahawa hal yang demikian itu tidaklah mutlak, kerana manusia tidak mengetahui seluruh rahsia daripada sebab sebab yang menimbulkan tujuan atau akibat dari hukurm sunnatullah.

Dengan berdasarkan keterangan-keterangan di atas, maka dapatlah difahami bahawa di dalam menghadapi cubaan atau musibah yang datangnya dari Allah, ada perkara perkara yang harus kita terima apa adanya kerana ianya tidak dapat untuk dirubah dan kita harus menerimanya dengan penuh rasa kesabaran dan kerelaan. Namun ada pula ketentuan yang dituntut kepada kita supaya berikhtiar untuk merubahnya. Dalam hal ini jika kita tidak berusaha untuk merubahnya ke arah yang lebih baik, maka kesalahan akan ditimpakan kepada diri kita sendiri.

Tahun berganti tahun, dalam peredaran masa hendaklah kita sama-sama berusaha untuk memperbaiki diri kita. Hanya menyalahkan takdir semata-mata bukanlah ciri-ciri orang yang beriman. Sama-samalah kita berusaha menjadi mukmin yang lebih baik dari semalam.

Wallahu ‘alam.

Sumber : Buku Rahmat di Sebalik Dugaan
--------------------------------------------------------------
Janganlah kamu berputus dari rahmat Allah, sesungguhnya tidak berputus asa dari rahmat Allah melainkan orang-orang yang kafir. (Yusuf : 87)

1 Comments:

Blogger Beruhuy Loeka'as said...

Assalamu alaikum....bang,,,,,nie ana dpet pertanyaan yng membingungkan nie...

"tentang prbuatan tuhan dan prbuatan manusia"
Tuhan itu mngkin lah brbuat jahat kpda manusia, apa alasan nya? sedangkan tuhan kan yg menggerak'kan manusia.

yang kedua
kalau manusia berbuat jahat apakah bisa dikatakan perbuatan tuhan juga?

mohon pencerahannya bang,,,,syukran katsir,,,,,,

29/6/12 15:27  

Post a Comment

Subscribe to Post Comments [Atom]

<< Home