Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami : Perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertakwa. (Al-Furqan:74) akhifaizul Blogging Portal


Sunday, October 16, 2005

Rahmat Allah

Alhamdulillah balik dari Pedas hari ini berkesempatan membuka email. Dan dalam mengcheck email-email terjumpa satu tulisan yang amat menarik untuk kita sama-sama ambil ikhtibar. Sebenarnya kisah ni mungkin biasa kita dengar Cuma gaya penyampaiannya agak berbeza sedikit kali ini.

Dari Abu Hurairah ra, bahwa Nabi saw bersabda: "Sesungguhnya yang berselawat kepadaku sekali selawat, nescaya Allah limpahkan sepuluh rahmat kepadanya dengan sebab sekali selawat itu." (Muslim, Tirmizi, Abu Daud, Nasaai, Imam Ahmad dan Hibban)

Muslimin-muslimat yang dirahmati Allah kali ini kita lihat adanya “rahmat” Allah disebut. Mari kita tengok apa yang dikatakan sebagai “rahmat” Allah. Cuba perati ayat 23 Surah al-‘Araaf, yang di dalamnya ada satu doa yang selalu kita sebut selepas solat. Maksudnya, "Wahai Tuhan kami, sesungguhnya kami telah menzalimi diri kami sendiri. Dan jika sekiranya Engkau tidak mengampunkan kami di atas kezaliman yang telah kami lakukan, dan jika sekiranya Engkau tidak memberi rahmat kepada kami, maka nescaya kami akan termasuk dikalangan orang-orang yang rugi di sisi Allah swt.”Ayat ini dirakam Allah ketika Nabi Adam as berdoa dan merintih apabila dia dikeluarkan dari syurga. Dari doa ini kita boleh lihat betapa pentingnya yang kata “rahmat” Allah tu. Sehingga disebut rugi sekiranya kehidupan kita tidak dirahmati oleh Allah swt.

Dalam tafsir Asy-syahid Sayyid Qutb rahimallahu ta`ala berkata bahwa “rahmat” itu adalah gabungan dari dua asma` Allah iaitulah ar-Rahman dan ar-Rahim. Sebab itu kita pernah dengar adanya malaikat yang jaga alam rahim dalam perut ibu sebab di situ adalah antara area yang dirahmati Allah. Disebut alam rahim sebab dengan kasih sayang Allah lah, janin kita yang diberi dengan berbagai-bagai nama sainsnya seperti embriyo, zigot dan sebagainya, dapat makan dan dapat bernafas. Maknanya apabila berlaku sahaja persenyawaan, maka kasih sayang Allah tertumpah; tak kira samada dalam perut ibu muslimah maupun yang bukan Islam.


Apa lagi tuan-tuan nak cerita pasai “rahmat” ni?.Oh ya, cuba tuan-tuan perati kat batu nisan orang mati. Tertera tulisan "sipolan bin/binti sipolan telah kembali ke rahmatullah". Nampak tak tuan-tuan; mungkin orang hat mati tu jahat macam firaun, sembahyang tak pernah, puasa jauh sekali, tapi bila mati saja dia, pasti “rahmat” Allah yang dicarinya juga. Sebab itu disebut “Allahyarham” bermaksud semoga Allah merahmatinya, atau “Almarhum” bermaksud yang dirahmati, kepada orang yang meninggal dunia. Maknanya, dari dalam perut mak sampailah ke kubur, tak boleh putus dari rahmat Allah swt.

Dalam Quran pun begitu banyak contoh-contoh yang telah Allah bentangkan kepada kita menceritakan tentang “rahmat”Nya. Salah satunya kita boleh refer dalam Surah al-Kahfi, dimana dalam surah ini Allah menceritakan tentang bagaimana tujuh orang pemuda yang berani menegur pemerintah yang zalim. Ganjaran cukup besar tuan-tuan kalau kita dibunuh apabila berani menegur pihak pemerintah. Cuba rujuk satu hadith riwayat al-Hakim yang mana walaupun para muhadithin mendhoifkannya tapi pengajaran boleh diambil.

Hadith itu berbunyi, “Penghulu bagi orang yang mati syahid di dalam syurga ada dua golongan. Yang pertamanya ialah Hamzah bin Abdul Muthalib radiallahuanhu. Dan yang keduanya ialah seseorang yang berdiri dihadapan pemerintah yang zalim, lalu mengajak pemerintah kepada amar makruf nahi mungkar, tiba-tiba dia mati dibunuh kerana ajakannya itu maka dia adalah saiyyidul syuhada.”

Inilah yang dibuat oleh as-habul Kahfi terhadap pemerintah mereka seperti yang disebut dalam ayat 14 Surah al-Kahfi, kata Allah, “Dan ingatlah! Ketika tujuh orang pemuda itu berdiri di hadapan raja yang zalim, lalu mereka berkata: Tuhan kami adalah Tuhan yang menguasai langit dan bumi, dan sekiranya kami mengucapkan perkataan yang lain daripada ini, nescaya kami akan menyeleweng dari jalan kebenaran.”Maknanya apa tuan-tuan?

Maknanya ialah ia telah menjadi suatu fitrah bahwa apabila kebenaran disampaikan, maka tunggulah akan datangnya ujian dan cabaran. Inilah yang berlaku kepada as-habul Kahfi. Mereka diburu oleh raja yang zalim sehingga lari ke sebuah gua. Cerita seterusnya mungkin semua kita dah tau kot. Tapi ada satu benda yang ana nak bagitau di sini, iaitu sebelum mereka membaringkan diri masing-masing dalam gua itu, ada satu benda yang mereka buat. Apa yang depa buat tuan-tuan?

Takdak benda lain yang depa buat melainkan meminta doa kepada Allah sepertimana yang dirakam oleh Allah dalam ayat 10 Surah al-Kahfi. Mereka tidak minta supaya malaikat turun dari langit untuk menjaga pintu gua untuk mereka. Tetapi yang mereka minta ialah diturunkan “rahmat” kasih sayang dari Allah kerana mereka tahu bahwa itulah saja yang boleh menyelamatkan mereka. Jadi yang mereka boleh tidur selama 309 tahun itu ialah sebab mereka tidur atas “rahmat” Allah. Nampak tak tuan-tuan, betapa besarnya “rahmat” kasih sayang Allah swt ke atas makhlukNya.

Apa lagi tuan-tuan nak cerita pasai “rahmat” Allah? Okay mai kita tengok satu lagi hadith yang diriwayatkan oleh Imam Muslim rahimallahu ta`ala tentang kemasukan manusia ke dalam syurga Allah. Maksud hadith tersebut berbunyi, kata Nabi saw, "Seseorang diantara kamu tidak akan dapat memasuki syurga Allah hanya kerana amalan kamu.".Tu dia tuan-tuan, apa dah jadi? Nabi kata kita semua tak boleh masuk syurga kalau semata-mata bersandarkan kepada amalan. Maknanya, kita bukan masuk syurga kerana kuat semayang, bukan kerana berani berjihad, bukan kerana rajin berpuasa, bukan kerana haji umrah. Habih kerana apa?Nabi kata, "Tetapi kamu boleh masuk syurga adalah kerana rahmat Allah swt”Tu dia tuan-tuan.

Sebab itu dalam ilmu tasawuf, kalau kita bergantung pada amalan untuk dapat pahala, masih dianggap biadap dan kurang sopan kepada Allah swt. Contohnya bila kita bubuh dalam mindset kita semayang untuk dapat pahala, maka di sisi ulama tasawuf, menganggap apa yang kita lakukan itu masih tidak beradab kepada Allah swt. Bagi kita orang awam yang imannya nipis tara tu ok dah dari tak semayang langsung. Tapi bukan kepada para ulama yang setiap perbuatan mereka bukan berkehendakkan pahala sebab pahala apa semua tu adalah hak Allah. Yang mereka hendak ialah rahmat Allah. Tapi yang kata "amalan" tu tetap kena beramal juga sebab ianya menjadi matlamat penciptaan kita bersama-sama dengan kaum jin. Sepertimana kata Allah dalam Quran, “Tidak Aku cipta jin dan manusia melainkan kena menyembah Aku!”.Ini dia yang kata “amalan” tu tuan-tuan. Dia bukan untuk masuk syurga, sebaliknya hanya sebagai penzahiran matlamat penciptaan manusia. Tu saja.

Okay kita dah bincang apa dia yang dikatakan “rahmat”. Cumanya sekarang, bagaimana caranya nak mencapai “rahmat”?.Salah satu caranya ialah seperti yang diajar Nabi dalam hadith yang dibahaskan kali ini iaitu hanya dengan berselawat ke atas Nabi sekali sahaja, Allah bagi kat kita 10 rahmat. Tabarakallahu ta`ala. Punyalah baiknya Allah.

Lagi satu jalan nak dapat “rahmat” Allah, cuba tuan-tuan tengok Sesungguhnya orang-orang yang beriman, orang-orang yang berhijrah dan berjihad di jalan Allah, mereka itu mengharapkan rahmat Allah, dan Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.” (Al-Baqarah : 218). Dalam ayat ini Allah sebut ada tiga jalan. Yang pertamanya, dengan hanya beriman sudah diberi “rahmat” Allah. Yang keduanya, dengan berhijrah meninggalkan maksiat pun dapat “rahmat”. Dan yang ketiganya ialah dengan cara berjihad di jalan Allah dengan nyawa, harta, pemikiran dan sebagainya juga turut diberi “rahmat”.

Ini dia tuan-tuan, nak bagitau pentingya “rahmat” dalam kehidupan kita. Kalau takdak campurtangan “rahmat” dalam kehidupan seharian, kita akan rasa tak tenteram, jiwa gelisah, mengaji Quran tak sedap, buat apa pun tak sedap. Contoh orang yang hidup mereka penuh “rahmat” selain dari Rasulullah saw, takdak lain, ialah para sahabat radiallahuanhu. Lihat saja Saidina Umar al-Khatab bila dijemput ke kota al-Quds (Baitul Maqdis) setelah berjaya dibebaskan oleh Abu Ubaidah Amir al-Jarrah dari tangan tentera salibiyah.

Dia pi ke sana tu bukannya naik kuda atau unta, tapi naik baghal saja. Baghal time tu kira takdak kelas punya kenderaan. Nampak tak tuan-tuan, ini dia hidup yang dirahmati Allah. Dia tak peduli apa orang nak kata, sedangkan dia tu khalifah. Bukannya dia parking baghal tu jauh-jauh tak bagi orang nampak. Malah dia terus tarik tali baghal tu sampai ke depan pintu kota Baitul Maqdis yang ketika itu dipenuhi oleh orang ramai yang sedang menanti ketibaannya. Abu Ubaidah tak terkata apa sebab dia kenal sangat dengan perangai Umar.

Selepas menyaksikan penyerahan kunci kota Baitul Maqdis, maka bangunlah Saidina Umar memberi ucapan masyhurnya, kata Umar, “Kita dimuliakan oleh Allah kerana kita berpegang kepada Islam. Sebaliknya kalau kita mencari selain dari Islam, kita akan dihina oleh Allah swt.”.Tu dia tuan-tuan, hebatnya ucapan orang yang hidupnya diberkati Allah, sehingga matinya juga dirahmati Allah.

Wallahu ‘alam

Jadual Kuliah
1.Jadual Pengajian sekitar Bandar Baru Bangi dan Kajang bagi Bulan Oktober 2005.
Credit to abang akmal dan keluarga kerana berusaha menyediakan jadual ini untuk kebaikan bersama. Moga Allah membalas jasa baik abang akmal dan keluarga.

--------------------------------------------------------------

Katakanlah: `Jika kamu menyembunyikan apa yang ada dalam hatimu atau kamu melahirkannya, pasti Allah mengetahui, Allah mengetahui apa-apa yang ada di langit dan apa-apa yang ada di bumi. Dan Allah Maha Kuasa atas segala sesuatu. (Ali ‘Imran : 29)

Thursday, October 13, 2005

Ramadhan

Alhamdulillah hari ini merupakan hari yang ke sembilan kita mejalani ibadah puasa dalam bulan Ramadhan al-Mubarak ini. Pejam celik pejam celik dah masuk hari ke 9 dan insyaAllah malam ini kita akan berada di malam ke 10 Ramadhan. Bagaimana yer agaknya Ramadhan kita setakat ini?

Sebenarnya hari ini sekadar ingin berkongsi sedikit rasa gembiraku. Orang tanya apa yang aku gembira? Macam biasa kita pasti akan rasa gembira dengan kehadiran Ramadhan. Selain dari gembira menyambut kehadiran Ramadhan yang mana pada malam harinya dikurniakan kelebihan Solat Sunat Terawikh yang mana solat ini tidak dapat dilakukan di bulan-bulan lain aku turut gembira melihat masyrakat sekelilingku, terutamanya rakyat Malaysia.

Kita sering dihambat dengan pelbagai berita-berita sedih yang sering pelakunya adalah orang Melayu beragama Islam. Mungkin ada sebahagian daripada kita sudah mual dan sedih sangat dengan fenomena ini.

Alhamdulillah kehadiran bulan Ramadhan al-Mubarak ini menampakkan sedikit sinar bahawa rakyat Malaysia sebenarnya tahu untuk menghargai Ramadhan dan berusaha untuk merebut peluang memperbanyakkan amal ibadah di dalam bulan ini.

Secara peribadinya diriku rasa sangat gembira melihat jemaah yang hadir untuk mendirikan solat sunat Terawikh terutamanya di masjid-masjid seperti di Masjid Putrajaya, Masjid Shah Alam dan juga Masjid Uniten.

Hari pertama ku di Masjid Putrajaya, MasyaAllah the crowd was at outstanding figure. In fact those who performed 20 Rakaat was tremendous around 2 ½ saf. Tahun-tahun lepas ku tidak rasa seramai itu jemaah yang melakukan 20 rakaat.


Tapi Masjid Negeri Shah Alam adalah masjid yang paling mengejutkanku. Jemaahnya ramai sungguh seperti solat Jumaat ramainya. Kereta yang parking pon sampai melimpah ruah sehingga ke luar kawasan masjid. Gembira bila tengok orang ramai-ramai macam tu, kena plak tu Masjid Negeri dah berair-cond, hilang penat rasanya bila tengok orang ramai-ramai.

Tatkala upis lain mempercepatkan waktu pejabat upis ku plak melambatkannya. Sedikit tensen den dibueknya, pukul 6 baru habis waktu pejabat. Bagaimana sibuk pon diriku aku akan cuba pulang pada jam 6. Jika diriku berhajat bersolat di Shah Alam, maka diriku akan mengextendkan waktu kerjaku.

Banyak sebenarnya hikmah kerja banyak di bulan Ramadhan nie, dalam diam-diam kita tak sedar masa dah berlalu dengan pantas, alih-alih dah lunch hours, bila lunch hours masa nie biasanya berehat la sokojapkan, lopeh tu sedar-sedar dah kol 3,4,5 dan 6. Pukul 6 dah bulih pulang.

Tapi bilo poie site tu yang agak takut sikit tu, alhamdulillah setakat nie belum perlu ke site dan insyaAllah minggu depan bakal ke Pangkalan TLDM, Lumut. Ya Allah, Ya Tuhanki, permudahkanlah urusan hambamu di site kelak. Ameen.

P/S
Alhamdulillah...hari ini dapat mesej dari kenalan lama menyatakan mereka sudah dikurniakan dengan seorang puteri pada 5th Sepetember 2005. Mabruk buat Mohd Fauzan dan Idaman Pertiwi di atas kelahiran orang baru dalam hidup anda. Moga berjaya membina sebual Baitul Muslim yang sentiasa dalam keredhaanNya... ameeenn.

Jadual Kuliah
1. Jadual Pengajian sekitar Bandar Baru Bangi dan Kajang bagi Bulan Oktober 2005.
--------------------------------------------------------------
Dan bagi Allah jualah kuasa pemerintahan langit dan bumi dan kepada Allah sahaja tempat kembali (sekalian makhluk).(An-Nuur : 42)

Friday, October 07, 2005

6 October 2005

Semakin jauh perjalanan, semakin dekat kematian. Semakin bertambah bebanan, semakin kurang pula keupayaan. Hanya iman dan keyakinan mampu mengayuh perahu kehidupan..

Penuh ketenangan, merempuh ujian. Tuluslah dengan Allah teluslah sesame insan. Berhijrahlah kita ke daerah kebaikan. Moga sentiasa dalam rahmat kasih Ilahi .... Ameennn.

Syukran jazeelan kepada sahabat-sahabat yang menelefon dan mengirim sms kepadaku. Really appreciate it.

Wallahu ‘alam.

Jadual Kuliah
1. Jadual Pengajian sekitar Bandar Baru Bangi dan Kajang bagi Bulan Oktober 2005.
--------------------------------------------------------------
“Kami berfirman kepadanya: "Janganlah engkau takut (wahai Musa)! Sesungguhnya engkaulah yang tertinggi mengatasi mereka dengan kemenangan.” (Taha : 68)

Tuesday, October 04, 2005

Keberkatan sahur

Alhamdulillah, pagi tadi terdengar celoteh Ust Zamri dicorong IKIM.fm, rasa gembira pon ada bila mendengar buah bicara ust Zamri pada pagi ini. Beliau mengingatkan kaum muslim seluruh Malaysia tentang kepalsuan Fadhilat Solat Sunat Terawikh. Sekurang-kurangnya perkara ini diwar-warkan kepada umum agar masyarakat umum lebih peka dengan keadaan ini. Masyrakat kita seolah-olah lupa ada perkara yang lebih penting dari mengejar fadhilat dalam kita beribadah dan bertaqarub kepadaNya, yakni ikhlas dan mencari redhaNya. Alhamdulillah kerana perkara ini diwar-warkan dicorong radio yang mana kukira menjadi saluran pilihan bagi mereka yang suka mendengar perkara-perkara yang bermanfaat.

Ada seorang kenalan blogger yang mempunyai kekuatan untuk memperbetulkan kesalahan imam-imam di kampung kelahirannya mengenai pembudayaan membaca fadhlilat terawikh sebelum terawikh dimulakan telah ditempelak oleh imam di kampungnya. Biarpon tempelak itu tidak kasar tetapi kukira orang dewasa especially mereka-mereka yang telah berusia juga perlu mengambil ilmu tidak kira dari siapa pon individu itu asalkan ianya benar. Tidak perlulah mengatakan “Kamu nie orang muda, itu tak boleh ini tak boleh, apa yang boleh?” Tahniah Anak Dagang kerana mempunyai kekuatan untuk menegur pakcik-pakcik imam itu.

Di sini terasa ingin berkongsi artikel di dalam akhbar Utusan Malaysia hari ini, agak menarik utntuk dibaca agar memori kita direfresh bersama. InsyaAllah.

-------------------------------------------
BERDASARKAN beberapa hadis Rasulullah s.a.w., hukum makan sahur adalah sunat. Hadis riwayat Bukhari dan Muslim, daripada Anas r.a., Baginda bersabda: Bersahurlah kamu, sesungguhnya dalam sahur itu ada berkat.

Dalam riwayat Abdullah bin al-Haris, salah seorang daripada sahabat Rasulullah s.a.w. telah menceritakan ketika beliau masuk ke rumah Nabi, Baginda sedang bersahur lalu bersabda: Sesungguhnya (sahur itu) mempunyai berkat yang diberikan Allah kepada kamu sekalian, maka janganlah kamu meninggalkannya.

“Sahur ialah makan selepas waktu dinihari iaitu antara pukul 3.00 pagi sehingga sebelum terbit fajar bagi orang-orang yang hendak berpuasa pada bulan Ramadan atau pada bulan-bulan yang lain.”

“Bagaimanapun, waktu yang sesuai ialah selepas waktu dinihari iaitu antara pukul 3.00 pagi sehingga sebelum masuk waktu imsak, iaitu 10 minit sebelum waktu Subuh,” jelas Mufti Johor, Datuk Mohd. Nooh Gadot.

Waktu imsak adalah kira-kira 10 minit terakhir sebelum masuk waktu Subuh, iaitu bersamaan dengan bacaan 50 ayat al-Quran.

Riwayat Imam Bukhari dan Imam Muslim bahawa sahabat yang bernama Zaid bin Tsabit berkata: “Kami telah bersahur bersama Nabi Muhammad s.a.w. Kemudian kami mendirikan sembahyang, lalu Anas r.a. bertanya: “Berapakah jarak waktu antara kedua-duanya?” Zaid menjawab: “Kadar membaca lima puluh ayat.”

“Namun, seseorang yang makan dalam waktu imsak perlu berhati-hati dan tidak melebihi waktu terbit fajar kerana ia bertujuan sebagai peringatan kepada orang yang bersahur,” katanya.

Beliau menjelaskan, tidak ada syarat-syarat tertentu untuk bersahur, seperti tidur dahulu dan kemudian bangun untuk bersahur. Begitu juga bersahur sekadar meminum air dan buah kurma. Memadailah jika mendapat berkat daripada amalan bersahur.

Daripada Abu Sa'id al-Khudri, Rasulullah s.a.w. bersabda: “Makan sahur itu berkat, oleh sebab itu jangan kamu meninggalkannya walaupun salah seorang daripada kamu kemudiannya meneguk seteguk air. Maka sesungguhnya Allah s.w.t. berselawat ke atas orang-orang yang bersahur.“ (Hadis riwayat Imam Ahmad)

Sekiranya terdapat buah kurma, ia adalah makanan sahur bagi orang-orang yang beriman sebagai mana riwayat daripada Abu Hurairah, Rasulullah bersabda: Sebaik-baik makanan sahur orang yang beriman ialah buah tamar (kurma). (Hadis riwayat Abu daud)
Dalam riwayat yang lain pula, daripada As-Saib bin Yazid, sabda Rasulullah s.a.w.: Sebaik-baik makanan sahur ialah buah tamar (kurma). Baginda bersabda lagi yang bermaksud: Allah merahmati orang-orang yang bersahur.

“Bagaimanapun, sebagai bekalan tenaga sepanjang hari, disarankan bersahur dengan makanan yang berkhasiat dan berzat supaya dapat menahan diri daripada kelaparan dan mendapat kekuatan,“ jelas beliau lagi.

Hadis riwayat al-Hakim, Rasulullah s.a.w. bersabda: Memohonlah kamu (kepada Allah kekuatan) melalui makan sahur supaya memperoleh kekuatan berpuasa pada siang hari.

Bangun dan berdoa pada waktu sahur sebenarnya mempunyai barakah yang besar dan merupakan ciri-ciri orang yang bertaqwa. Firman Allah s.w.t. dalam surah az-Zariyat, ayat 18, maksudnya: Dan pada waktu akhir malam (sebelum fajar), mereka selalu beristighfar kepada Allah memohon ampun.

“Bangun awal pagi untuk bersahur juga memberi peluang untuk melakukan amal ibadat seperti berwuduk, berzikir, membaca al-Quran dan menunaikan sunat tahajud dan sunat witir bagi yang belum melakukannya,“ ujarnya mengenai hikmah bersahur.

Surah Ali Imran, ayat 17 pula, Allah menjelaskan waktu yang sesuai untuk memohon keampunan daripada Allah s.w.t. Firman-Nya: Dan juga orang-orang yang sabar (dalam menjunjung perintah Allah) dan orang-orang yang benar (perkataan dan hatinya), dan orang-orang yang sentiasa taat (akan perintah Allah), dan orang-orang yang membelanjakan hartanya (pada jalan Allah) dan orang-orang yang beristighfar (memohon ampun) pada waktu sahur.

Sahur juga merupakan salah satu daripada akhlak Rasulullah s.a.w., sebagaimana yang terkandung dalam terjemahan hadis berikut: Tiga perkara yang termasuk antara akhlak para rasul ialah bersegera berbuka puasa, melambatkan sahur dan meletakkan tangan kanan ke atas tangan kiri ketika dalam sembahyang.

Perbezaan antara puasa orang Islam dengan ahli kitab terkandung dalam hadis riwayat Muslim, sabda Baginda: Perbezaan antara puasa kita (umat Islam) dengan puasa ahlul kitab ialah makan sahur.

Menurut Ibn Hajar al-'Asqalani, pengarang kitab Fath al-Bari dan Imam an-Nawawi di dalam kitab Sahih Muslim, bahawa sahur yang memberi keberkatan ialah memperoleh balasan dan ganjaran pahala daripada Allah s.w.t. dan mengikut sunah Nabi Muhammad s.a.w.

“Sahur juga menghalang perbuatan-perbuatan tidak sopan yang dipengaruhi oleh kesan lapar pada siang hari, selain memberi kekuatan untuk beribadat bagi menghadapi rasa lapar dan dahaga pada siang hari,” ujar beliau tentang kelebihan-kelebihan bersahur.

Wallahu ‘alam.

Jadual Kuliah
1. Jadual Pengajian sekitar Bandar Baru Bangi dan Kajang bagi Bulan Oktober 2005.
--------------------------------------------------------------
“Orang-orang yang menghalang dirinya sendiri dan orang lain dari jalan ugama Allah dan berusaha supaya jalan itu menjadi bengkok terpesong, sedang mereka pula ingkarkan hari akhirat;” (Hud : 19)

Monday, October 03, 2005

PMR 2005

Teringat lagi tatkala diriku mengambil peperiksaan PMR.

Antara detik-detik yang tidak dapat kulupakan sepanjang hidup, mungkin? Tatkala peperiksaan PMR bakal menjelma diriku diserang penyakit chicken pox yang berjangkit dari adikku doBot yang sebulan sebelum itu menghidapnya.

Adikku merupakan student MRSM,Terendak tatkala itu, oleh yang demikian pihak sekolah terpaksa menghantarnya pulang untuk berehat kerana bimbang penyakitnya akan berjangkit kepada orang lain. Tapi tanpa disangka-sangka diriku pula yang berjangkit tatkala menduduki peperiksaan PMR. Gatalnya hanya Allah sahaja yang tahu, dibawah tilamku abahku meletakkan daun bamboo yang katanya boleh meredakan kesan-kesan penyakit itu.

Masih segar dalam ingatanku, bondaku lah yang menghantar ku sekolah setiap hari bagi memastikan anak sulungnya tidak kekok dan tidak gabra untuk mengambil peperiksaan. Ketika di dewan peperiksaan aku diasingkan jauh dari pelajar-pelajar lain. Tempat duduk asalku dikosongkan, aku duduk dihujung dewan bagi langkah-langkah pencegahan agar pelajar-pelajar lain tidak berjangkit dengan penyakitku.

Alhamdulillah, result ku bulih dikatakan agak baik. Dengan result yang kuperolehi diriku diterima masuk ke dua buah sekolah berasrama penuh yang menjadi impianku sejak dari form 2 setelah melihat adikku doBot melangkah masuk ke MRSM, Terendak. Dia adalah antara motivatorku untuk bersaing. Aku diterima masuk ke Maktab Tentera Diraja, Sg. Besi dan juga MRSM Serting, aku menolak untuk meneruskan pengajian di MTD.

Hari ini adikku Siti Syaza Syahirah pula menduduki peperiksaan yang sama. Buat seberapa kalinya dalam hidupku diriku terasa gentar akan keupayaannya untuk menduduki peperiksaan. Sama seperti ketika dia menduduki peperiksaan UPSR dulu, Alhamdulillah peperiksaan UPSR nya bulih kukategorikan memuaskan, sungguh tak kusangka dengan pencapaian UPSRnya. Kali ini aku berharap dan memanjatkan du’a baginya agar beroleh satu keputusan yang cemerlang di dalam peperiksaan PMRnya.

Jika tidak lebih bagus, biarlah sekurang-kurangnya beroleh keputusan seperti yang kuperolehi dulu.

Hari ini sepatutnya aku bercuti untuk menghantarnya kesekolah bersama bonda untuk memberi sedikit anjakan motivasi kepadanya untuk menghadapi peperiksaan besar ini. Ku kira pada awalnya aku tidak dapat mengambil cuti kerena terlalu banyak bebanan kerja, Alhamdulillah, urusan cuti ku dipermudahkan, aku berjaya merequest cuti separuh hari. Aku terpaksa mengambil cuti separuh hari kerana ada uruasan di Melaka yang terpaksa kuselesaikan untuk hari ini.

Pada mulanya merancang untk pergi pada sebelah petang, tapi hatiku tergerak untuk pergi sebelah pagi seusai menghantar adikku ke sekolah. Biar cepat abis urusan agar urusan keluarga dapat dilakukan pula. Alhamdulillah urusanku di Melaka selesai segera, dan aku berada di Seremban kembali kira-kira pada sebelah tengahari.

Seawal jam 0705 pagi kami telah pergi menghantar adikku untuk menduduki peperiksaan, takut juga kami, kami plak yang lebih takut. Kira-kira jam 1230 bondaku dan diriku pergi mengambilnya untuk membawa makan tengahari. Seusai makan kami menasihatinya agar solat di Surau sekolah agar lebih mudah. Maklumlah kalau solat di surau sekolah mungkin lebih selesa dan lebih rasa seperti macam ditempat sendiri jika dibandingkan untuk solat disurau public yang lain.

Waktu nak turun dari kereta, kesian pon ada den melihat adik den, macam takut plak nak amik paper seterusnya. Mungkin dek kerana paper pagi tadi yang menurutnya agak susah membuatkannya rasa takut untuk mengambil paper pada sebelah petang nie pula. Siap mintak ma kantar sampai ke kelas. Den dengan selamba cakap, alahai tak payah laa, kesian kek mak nak jalan jauh-jauh. Akhirnya dia mengalah dan beransur ke medan peperiksaan. Kami berdua duk mengingat kan dia untuk memperbanyakkan du’a. Jangan duk jawab tapi tiada pengharapan. Pengharapan pada Allah adalah penting bagi setiap manusia. Berusaha, berdu’a dan bertawakkal.

Alhamdulillah waktu mengambilnya di petang hari muka adikku sedikit memancarkan sinar kegembiraan. Tapi dalam dia memancarkan sinar kegembiraan den pon ado raso takut. Takut dio over-confident plak nanti. Apo lah den nie kan, macam-macam raso, budak tu confident pon den ghisau, budak tu ghisau laie lah den ghisau…ish.ish…ish …

Esok adikku akan menduduki paper yang sedikit tough, iaitu Science, dulu sains dalam bahasa melayu sekarang sains dalam bahasa omputeh, adik den dan rakan-rakannya seMalaysia adalah student pertama bagi peperiksaan PMR menggunakan Bahasa Inggeris untuk subjek science and math.

Jaja, kami sekeluarga akan sentiasa mendu’akan adik berjaya dalam peperiksaan PMR. Lebih dari itu kami sentiasa mendu’akan agar dirimu menjadi seorang muslimah yang ideal (solehah) dan berjaya duniawi wa ukhrawi..insyaAllah. Sejukkanlah hati bonda dan ayahanda kita jaja. Gembirakan lah depa ya wahai adikku. Along and angah percaya adik bulih melakukannya. Moga mumtaz in this examination…

P/S – Alangkai bestnya Jaja kalau hang selalu berpakaian begini, Ustaz pon kato hang lawo pakai camni kan? Ingat tak?

Jadual Kuliah
1.Jadual Pengajian sekitar Bandar Baru Bangi dan Kajang bagi Bulan Oktober 2005.
Terima kasih diucapkan kepada abang akmal dan keluarga kerana berusaha menyediakan jadual ini untuk kebaikan bersama. Moga Allah membalas jasa baik abang akmal dan keluarga.
Jadual kuliah bagi bulan Oktober 2005 adalah dalam format pdf, adalah dicadangkan agar mereka yang berhasrat untuk melihatnya agar dapat mengdownloadkannya tertebih dahulu.
--------------------------------------------------------------

`Ya Tuhanku, tambahkanlah kepadaku ilmu pengetahuan.` (Taha : 114)

Setiap penderitaan - Terkandung kenikmatan

Seusai Solat Maghrib hari ini berehat-rehat sambil membelek-belek akhbar yang berterabur dalam bilikku, dalam duk belek-belek tersua satu artikel menarik oleh Ust Zulkifli. Adakah kita golongan hambaNya yang sentiasa bersyukur. Adakah aku bersyukur dengan hambatan tugas seharianku. Ya Allah ya Tuhanku permudahkanlah daku dalam menjalani hidup sebagai seorang muslin yang diredhaiMu…

---------------------------------
Nikmat

Selepas Allah mengingatkan mereka dengan pelbagai nikmat, lantas Allah menerangkan tentang sikap mereka yang melampau dan keingkaran mereka di samping meminda segala arahan Allah dengan perlakuan maksiat. Sekalipun mereka kufur dan melakukan maksiat, Allah tetap bermadah dengan penuh kasih sayang. Alangkah keji dan hinanya mereka. Seterusnya Firman Allah Taala:

“Dan (ingatlah), ketika kamu berkata: `Hai Musa, kami tidak akan beriman kepadamu sebelum kami melihat Allah dengan terang , karena itu kamu disambar halilintar, sedang kamu menyaksikannya, Setelah itu Kami bangkitkan kamu sesudah kamu mati supaya kamu bersyukur.” (Surah al-Baqarah ayat 55-56)

Firman Allah Taala: `Dan (kenangkanlah) ketika kamu berkata: Wahai Musa!' Iaitu ingatlah Bani Israel ketika kamu keluar bersama Musa untuk minta keampunan kepada Allah dengan sebab menyembah anak lembu, lantas kamu berkata: `Kami tidak akan beriman kepadamu', iaitu kami tidak akan mempercayaimu hanya kerana kami mendengar kalam Allah, `sehingga kami dapat melihat Allah dengan terang (dengan mata kepala kami).'' Iaitu kami dapat melihat Allah secara nyata dan jelas.

Al-Mawardi dalam al-Nukat wa al-`Uyun berkata: `'Ada dua pendapat berhubung `melihat Allah':
1. Secara terang-terangan. Inilah pendapat Ibn Abbas.
2. Secara zat. Inilah pendapat Qatadah.''

Sayid Qutub berkata di dalam tafsirnya, Fi Zilalil Quran: ``Bukti-bukti yang demikian banyak, nikmat-nikmat Ilahi yang melimpah ruah dan nikmat kemaafan dan keampunan Allah, semuanya tidak dapat mengubah tabiat Bani Israel yang kasar, yang tidak beriman melainkan kepada perkara-perkara yang dapat disaksikan oleh pancaindera sahaja, di samping itu mereka terus berdegil, menentang dan enggan menurut perintah melainkan dengan tekanan keseksaan dan penindasan.''

`Maka kerana itu kamu disambar petir', iaitu Allah menurunkan ke atas mereka api dari langit yang membakar mereka. Al-Mawardi berkata: `'Maksudnya kematian.'' Sayid Qutub berkata: ``Dan sekali lagi mereka diselamatkan oleh rahmat Allah dan sekali lagi mereka diberi peluang hidup supaya mereka mengingati Allah dan bersyukur kepada-Nya, dan di sinilah Allah mengingatkan mereka dengan nikmat itu.''

Kematian

Sedang kamu semua melihatnya.' Iaitu apa yang berlaku denganmu. Al-Imam al-Baghawi dalam Ma`alim al-Tanzil berkata: “Sebahagian mereka melihat kepada sebahagian yang lain ketika berlaku kematian, dan dikatakan kamu mengetahuinya. Maksud melihat di sini dengan maksud mengetahui.”

Ibn al-Jauzi mengemukakan tiga pendapat dalam tafsirnya, Zad al-Masir:
1. Maknanya, sebahagian kamu melihat kepada sebahagian yang lain bagaimana seseorang itu mati.
2. Sebahagian kamu melihat cara bagaimana mereka dihidupkan.
3. Kamu melihat bagaimana azab berlaku ke atasmu.

Kemudian tatkala mereka mati, bangkit Musa menangis seraya berdoa: ``Hai Tuhanku, apa yang patut aku katakan kepada Bani Israel, sedangkan kamu membinasakan yang terbaik di kalangan mereka dan sentiasalah ia berdoa kepada Tuhannya sehingga Allah menghidupkan mereka sebagaimana firman Allah, `Kemudian Kami bangkitkan kamu sesudah kamu mati (atau pengsan daripada sambaran petir itu)', iaitu Kami hidupkan kamu selepas kamu mati sehari semalam. Lantas mereka bangun dan hidup melihat sebahagian mereka kepada sebahagian lain, bagaimana mereka dihidupkan.

`Supaya kamu bersyukur'. Supaya kamu benar-benar bersyukur atas segala nikmat kurniaan-Nya ke atasmu dengan membangkitkannya selepas mati. Imam al-Ghazali menyebut di dalam kitabnya, Minhaj al-`Abidin berhubung martabat bersyukur kepada Allah. Berkata Ibn `Abbas r.a: ``Bersyukur adalah taat dengan segenap anggota badan kepada Allah, sama ada secara sembunyi atau secara terang-terangan, dan secara lisan mahupun di dalam hati.''

Bersyukur

Guru kami mengatakan: ``Bersyukur ialah taat zahir dan batin. Kemudian menjauhi segala perbuatan maksiat.'' Ulama lain menyatakan: ``Bersyukur adalah menjaga diri daripada perbuatan maksiat, sama ada zahir mahupun batin.'' Sehingga para guru beranggapan bahawa menjaga diri adalah makna yang tetap, selain menjauhinya jadi harus tetap menjaga, sekali gus menjauhi perbuatan maksiat. Maksud menjauhi maksiat dan perbuatan kufur adalah menolak sewaktu ada ajakan atau dorongan untuk melakukannya.

Berkata guru kami: ``Sesungguhnya syukur itu mengagungkan Allah yang memberi nikmat, yakni mengukur nikmatnya agar kita menjauhkan diri dan bersifat kufur.'' Dengan demikian, tidaklah pantas seseorang yang mendapat nikmat Allah mempergunakannya untuk berbuat maksiat kerana bererti melawan si Pemberi Nikmat. Kewajipan kita adalah bersyukur dan mengagungkan Allah, sehingga kita tidak berbuat maksiat. Seseorang yang telah berbuat demikian bererti benar-benar telah bersyukur. Kemudian bersungguh-sungguh berbakti kepada Allah, dan beramal sesuai dengan kenikmatan yang ada padanya. Setelah itu menjaga dan menjauhkan diri daripada maksiat.

Bila kita harus bersyukur? Kita wajib bersyukur tatkala mendapatkan kenikmatan, sama ada kenikmatan dunia mahupun kenikmatan agama (akhirat ). Sebahagian ulama mengatakan: ``Dalam keadaan menderita (ditimpa musibah ) kita tidak perlu bersyukur, tetapi kewajipan kita bersabar menghadapi musibah itu.'' Kata mereka selanjutnya: ``Di dalam setiap kemudaratan selalu terkandung kenikmatan. Dan kita wajib mensyukuri nikmat itu, meskipun datangnya bersama musibah.''

Ujian

Abdullah bin Umar menyatakan: Setiap kali menerima ujian daripada Allah, aku rasakan di dalamnya terkandung empat kategori kenikmatan:
1. Bahawa musibah itu tidak berhubung dengan agama. Contohnya salah seorang anggota keluarga meninggal dunia. Bukan agama atau iman yang mati!
2. Musibah itu bukanlah mala petaka hebat atau berat. Kerana seberat-berat musibah, masih ada yang lebih berat.
3. Nikmat dikurniakan keredhaan menerima musibah.
4. Nikmat menunggu pahala.
Selain itu kenikmatan yang datang bersama musibah adalah bahawa musibah itu tidak kekal, suatu saat pasti berakhir. Lagi pula musibah itu datang daripada Allah, bukan daripada yang lain, meskipun mungkin penyebabnya adalah makhluk. Apabila seseorang mendatangkan musibah untuk kita, itu bererti keuntungan bagi kita, dan kerugian baginya!

Guru kami menyatakan: ``Penderitaan dunia pada dasarnya harus disyukuri. Sebab semuanya itu akan mendatangkan manfaat besar dan pahala yang melimpah. Sehingga apabila dibandingkan dengan penggantinya, tidaklah bererti semua penderitaan itu.''

Oleh : DR. ZULKIFLI BIN MOHAMAD AL-BAKRI
Wallahu ‘alam …..

Jadual Kuliah
1.Jadual Pengajian sekitar Bandar Baru Bangi dan Kajang bagi Bulan Oktober 2005.
Terima kasih diucapkan kepada abang akmal dan keluarga kerana berusaha menyediakan jadual ini untuk kebaikan bersama. Moga Allah membalas jasa baik abang akmal dan keluarga.
Jadual kuliah bagi bulan Oktober 2005 adalah dalam format pdf, adalah dicadangkan agar mereka yang berhasrat untuk melihatnya agar dapat mengdownloadkannya tertebih dahulu.

--------------------------------------------------------------

Bahkan mereka (yang kafir) telah berkali-kali mengetahui tentang hari akhirat (tetapi mereka tidak meyakininya), bahkan mereka berada dalam syak mengenainya; bahkan matahati mereka buta langsung daripada memikirkannya. (An-Naml : 66)

Saturday, October 01, 2005

Work Load

Alhamdulillah … dapat juga berehat hari ini setelah hampir seminggu kerja yang agak hectic. Work Load sejak kebelakangan ini agak banyak. Kadang-kala sampai tak menang tangan untuk menyelesaikan sesuatu tugasan.

Bersempena dengan work load yang semakin banyak ini, ada dua orang staf di tempat kerjaku meletakkan surat perletakan jawatan. Kedua-duanya bertitle jurutera. Dan kedua-duanya berbangsa cina.

Seorang telah confirm berhenti setelah gagal dipujuk oleh pihak top management dan seorang lagi bakal dipanggil untuk dipujuk agar tidak meninggalkan company. Mungkin kerja yang semakin banyak itu yang membuatkan sesetengan individu kurang selesa.

Tak kurang juga dengan den dan rakan-rakan yang lain, kerja bertambah-tambah, ada baik dan ada tak baiknya bila kerja bertambah. Apa pun den harapkan agar kerja-kerja yang ditugaskan kepadaku dapat kujalankan tanpa mengabaikan kehadiran Ramadhan. Takut pon ada sebenarnya ni.

Di kesempatan ini diriku ingin mengucapkan Salam Ramadhan kepada sahabat-sahabat dan juga pembaca blogku. Marilah kita bersama-sama memanjatkan du’a agar Ramadhan ini yang terbaik buat kita dan dipermudahkanNya untuk melaksanakan amal ibadah. Buat mereka yang masih ada ibubapa mintalah mereka du’akan kita dipermudahkan untuk menempuh Ramadhan ini. Du’a ibubapa amat mustajab.

Wallahu ‘alam …..

--------------------------------------------------------------

Dan Ia memudahkan untuk (faedah dan kegunaan) kamu, segala yang ada di langit dan yang ada di bumi, (sebagai rahmat pemberian) daripadaNya; sesungguhnya semuanya itu mengandungi tanda-tanda (yang membuktikan kemurahan dan kekuasaanNya) bagi kaum yang memikirkannya dengan teliti. (Al-Jaathiyah : 13)