Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami : Perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertakwa. (Al-Furqan:74) akhifaizul Blogging Portal


Sunday, October 16, 2005

Rahmat Allah

Alhamdulillah balik dari Pedas hari ini berkesempatan membuka email. Dan dalam mengcheck email-email terjumpa satu tulisan yang amat menarik untuk kita sama-sama ambil ikhtibar. Sebenarnya kisah ni mungkin biasa kita dengar Cuma gaya penyampaiannya agak berbeza sedikit kali ini.

Dari Abu Hurairah ra, bahwa Nabi saw bersabda: "Sesungguhnya yang berselawat kepadaku sekali selawat, nescaya Allah limpahkan sepuluh rahmat kepadanya dengan sebab sekali selawat itu." (Muslim, Tirmizi, Abu Daud, Nasaai, Imam Ahmad dan Hibban)

Muslimin-muslimat yang dirahmati Allah kali ini kita lihat adanya “rahmat” Allah disebut. Mari kita tengok apa yang dikatakan sebagai “rahmat” Allah. Cuba perati ayat 23 Surah al-‘Araaf, yang di dalamnya ada satu doa yang selalu kita sebut selepas solat. Maksudnya, "Wahai Tuhan kami, sesungguhnya kami telah menzalimi diri kami sendiri. Dan jika sekiranya Engkau tidak mengampunkan kami di atas kezaliman yang telah kami lakukan, dan jika sekiranya Engkau tidak memberi rahmat kepada kami, maka nescaya kami akan termasuk dikalangan orang-orang yang rugi di sisi Allah swt.”Ayat ini dirakam Allah ketika Nabi Adam as berdoa dan merintih apabila dia dikeluarkan dari syurga. Dari doa ini kita boleh lihat betapa pentingnya yang kata “rahmat” Allah tu. Sehingga disebut rugi sekiranya kehidupan kita tidak dirahmati oleh Allah swt.

Dalam tafsir Asy-syahid Sayyid Qutb rahimallahu ta`ala berkata bahwa “rahmat” itu adalah gabungan dari dua asma` Allah iaitulah ar-Rahman dan ar-Rahim. Sebab itu kita pernah dengar adanya malaikat yang jaga alam rahim dalam perut ibu sebab di situ adalah antara area yang dirahmati Allah. Disebut alam rahim sebab dengan kasih sayang Allah lah, janin kita yang diberi dengan berbagai-bagai nama sainsnya seperti embriyo, zigot dan sebagainya, dapat makan dan dapat bernafas. Maknanya apabila berlaku sahaja persenyawaan, maka kasih sayang Allah tertumpah; tak kira samada dalam perut ibu muslimah maupun yang bukan Islam.


Apa lagi tuan-tuan nak cerita pasai “rahmat” ni?.Oh ya, cuba tuan-tuan perati kat batu nisan orang mati. Tertera tulisan "sipolan bin/binti sipolan telah kembali ke rahmatullah". Nampak tak tuan-tuan; mungkin orang hat mati tu jahat macam firaun, sembahyang tak pernah, puasa jauh sekali, tapi bila mati saja dia, pasti “rahmat” Allah yang dicarinya juga. Sebab itu disebut “Allahyarham” bermaksud semoga Allah merahmatinya, atau “Almarhum” bermaksud yang dirahmati, kepada orang yang meninggal dunia. Maknanya, dari dalam perut mak sampailah ke kubur, tak boleh putus dari rahmat Allah swt.

Dalam Quran pun begitu banyak contoh-contoh yang telah Allah bentangkan kepada kita menceritakan tentang “rahmat”Nya. Salah satunya kita boleh refer dalam Surah al-Kahfi, dimana dalam surah ini Allah menceritakan tentang bagaimana tujuh orang pemuda yang berani menegur pemerintah yang zalim. Ganjaran cukup besar tuan-tuan kalau kita dibunuh apabila berani menegur pihak pemerintah. Cuba rujuk satu hadith riwayat al-Hakim yang mana walaupun para muhadithin mendhoifkannya tapi pengajaran boleh diambil.

Hadith itu berbunyi, “Penghulu bagi orang yang mati syahid di dalam syurga ada dua golongan. Yang pertamanya ialah Hamzah bin Abdul Muthalib radiallahuanhu. Dan yang keduanya ialah seseorang yang berdiri dihadapan pemerintah yang zalim, lalu mengajak pemerintah kepada amar makruf nahi mungkar, tiba-tiba dia mati dibunuh kerana ajakannya itu maka dia adalah saiyyidul syuhada.”

Inilah yang dibuat oleh as-habul Kahfi terhadap pemerintah mereka seperti yang disebut dalam ayat 14 Surah al-Kahfi, kata Allah, “Dan ingatlah! Ketika tujuh orang pemuda itu berdiri di hadapan raja yang zalim, lalu mereka berkata: Tuhan kami adalah Tuhan yang menguasai langit dan bumi, dan sekiranya kami mengucapkan perkataan yang lain daripada ini, nescaya kami akan menyeleweng dari jalan kebenaran.”Maknanya apa tuan-tuan?

Maknanya ialah ia telah menjadi suatu fitrah bahwa apabila kebenaran disampaikan, maka tunggulah akan datangnya ujian dan cabaran. Inilah yang berlaku kepada as-habul Kahfi. Mereka diburu oleh raja yang zalim sehingga lari ke sebuah gua. Cerita seterusnya mungkin semua kita dah tau kot. Tapi ada satu benda yang ana nak bagitau di sini, iaitu sebelum mereka membaringkan diri masing-masing dalam gua itu, ada satu benda yang mereka buat. Apa yang depa buat tuan-tuan?

Takdak benda lain yang depa buat melainkan meminta doa kepada Allah sepertimana yang dirakam oleh Allah dalam ayat 10 Surah al-Kahfi. Mereka tidak minta supaya malaikat turun dari langit untuk menjaga pintu gua untuk mereka. Tetapi yang mereka minta ialah diturunkan “rahmat” kasih sayang dari Allah kerana mereka tahu bahwa itulah saja yang boleh menyelamatkan mereka. Jadi yang mereka boleh tidur selama 309 tahun itu ialah sebab mereka tidur atas “rahmat” Allah. Nampak tak tuan-tuan, betapa besarnya “rahmat” kasih sayang Allah swt ke atas makhlukNya.

Apa lagi tuan-tuan nak cerita pasai “rahmat” Allah? Okay mai kita tengok satu lagi hadith yang diriwayatkan oleh Imam Muslim rahimallahu ta`ala tentang kemasukan manusia ke dalam syurga Allah. Maksud hadith tersebut berbunyi, kata Nabi saw, "Seseorang diantara kamu tidak akan dapat memasuki syurga Allah hanya kerana amalan kamu.".Tu dia tuan-tuan, apa dah jadi? Nabi kata kita semua tak boleh masuk syurga kalau semata-mata bersandarkan kepada amalan. Maknanya, kita bukan masuk syurga kerana kuat semayang, bukan kerana berani berjihad, bukan kerana rajin berpuasa, bukan kerana haji umrah. Habih kerana apa?Nabi kata, "Tetapi kamu boleh masuk syurga adalah kerana rahmat Allah swt”Tu dia tuan-tuan.

Sebab itu dalam ilmu tasawuf, kalau kita bergantung pada amalan untuk dapat pahala, masih dianggap biadap dan kurang sopan kepada Allah swt. Contohnya bila kita bubuh dalam mindset kita semayang untuk dapat pahala, maka di sisi ulama tasawuf, menganggap apa yang kita lakukan itu masih tidak beradab kepada Allah swt. Bagi kita orang awam yang imannya nipis tara tu ok dah dari tak semayang langsung. Tapi bukan kepada para ulama yang setiap perbuatan mereka bukan berkehendakkan pahala sebab pahala apa semua tu adalah hak Allah. Yang mereka hendak ialah rahmat Allah. Tapi yang kata "amalan" tu tetap kena beramal juga sebab ianya menjadi matlamat penciptaan kita bersama-sama dengan kaum jin. Sepertimana kata Allah dalam Quran, “Tidak Aku cipta jin dan manusia melainkan kena menyembah Aku!”.Ini dia yang kata “amalan” tu tuan-tuan. Dia bukan untuk masuk syurga, sebaliknya hanya sebagai penzahiran matlamat penciptaan manusia. Tu saja.

Okay kita dah bincang apa dia yang dikatakan “rahmat”. Cumanya sekarang, bagaimana caranya nak mencapai “rahmat”?.Salah satu caranya ialah seperti yang diajar Nabi dalam hadith yang dibahaskan kali ini iaitu hanya dengan berselawat ke atas Nabi sekali sahaja, Allah bagi kat kita 10 rahmat. Tabarakallahu ta`ala. Punyalah baiknya Allah.

Lagi satu jalan nak dapat “rahmat” Allah, cuba tuan-tuan tengok Sesungguhnya orang-orang yang beriman, orang-orang yang berhijrah dan berjihad di jalan Allah, mereka itu mengharapkan rahmat Allah, dan Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.” (Al-Baqarah : 218). Dalam ayat ini Allah sebut ada tiga jalan. Yang pertamanya, dengan hanya beriman sudah diberi “rahmat” Allah. Yang keduanya, dengan berhijrah meninggalkan maksiat pun dapat “rahmat”. Dan yang ketiganya ialah dengan cara berjihad di jalan Allah dengan nyawa, harta, pemikiran dan sebagainya juga turut diberi “rahmat”.

Ini dia tuan-tuan, nak bagitau pentingya “rahmat” dalam kehidupan kita. Kalau takdak campurtangan “rahmat” dalam kehidupan seharian, kita akan rasa tak tenteram, jiwa gelisah, mengaji Quran tak sedap, buat apa pun tak sedap. Contoh orang yang hidup mereka penuh “rahmat” selain dari Rasulullah saw, takdak lain, ialah para sahabat radiallahuanhu. Lihat saja Saidina Umar al-Khatab bila dijemput ke kota al-Quds (Baitul Maqdis) setelah berjaya dibebaskan oleh Abu Ubaidah Amir al-Jarrah dari tangan tentera salibiyah.

Dia pi ke sana tu bukannya naik kuda atau unta, tapi naik baghal saja. Baghal time tu kira takdak kelas punya kenderaan. Nampak tak tuan-tuan, ini dia hidup yang dirahmati Allah. Dia tak peduli apa orang nak kata, sedangkan dia tu khalifah. Bukannya dia parking baghal tu jauh-jauh tak bagi orang nampak. Malah dia terus tarik tali baghal tu sampai ke depan pintu kota Baitul Maqdis yang ketika itu dipenuhi oleh orang ramai yang sedang menanti ketibaannya. Abu Ubaidah tak terkata apa sebab dia kenal sangat dengan perangai Umar.

Selepas menyaksikan penyerahan kunci kota Baitul Maqdis, maka bangunlah Saidina Umar memberi ucapan masyhurnya, kata Umar, “Kita dimuliakan oleh Allah kerana kita berpegang kepada Islam. Sebaliknya kalau kita mencari selain dari Islam, kita akan dihina oleh Allah swt.”.Tu dia tuan-tuan, hebatnya ucapan orang yang hidupnya diberkati Allah, sehingga matinya juga dirahmati Allah.

Wallahu ‘alam

Jadual Kuliah
1.Jadual Pengajian sekitar Bandar Baru Bangi dan Kajang bagi Bulan Oktober 2005.
Credit to abang akmal dan keluarga kerana berusaha menyediakan jadual ini untuk kebaikan bersama. Moga Allah membalas jasa baik abang akmal dan keluarga.

--------------------------------------------------------------

Katakanlah: `Jika kamu menyembunyikan apa yang ada dalam hatimu atau kamu melahirkannya, pasti Allah mengetahui, Allah mengetahui apa-apa yang ada di langit dan apa-apa yang ada di bumi. Dan Allah Maha Kuasa atas segala sesuatu. (Ali ‘Imran : 29)

0 Comments:

Post a Comment

Subscribe to Post Comments [Atom]

<< Home