Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami : Perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertakwa. (Al-Furqan:74) akhifaizul Blogging Portal


Tuesday, October 04, 2005

Keberkatan sahur

Alhamdulillah, pagi tadi terdengar celoteh Ust Zamri dicorong IKIM.fm, rasa gembira pon ada bila mendengar buah bicara ust Zamri pada pagi ini. Beliau mengingatkan kaum muslim seluruh Malaysia tentang kepalsuan Fadhilat Solat Sunat Terawikh. Sekurang-kurangnya perkara ini diwar-warkan kepada umum agar masyarakat umum lebih peka dengan keadaan ini. Masyrakat kita seolah-olah lupa ada perkara yang lebih penting dari mengejar fadhilat dalam kita beribadah dan bertaqarub kepadaNya, yakni ikhlas dan mencari redhaNya. Alhamdulillah kerana perkara ini diwar-warkan dicorong radio yang mana kukira menjadi saluran pilihan bagi mereka yang suka mendengar perkara-perkara yang bermanfaat.

Ada seorang kenalan blogger yang mempunyai kekuatan untuk memperbetulkan kesalahan imam-imam di kampung kelahirannya mengenai pembudayaan membaca fadhlilat terawikh sebelum terawikh dimulakan telah ditempelak oleh imam di kampungnya. Biarpon tempelak itu tidak kasar tetapi kukira orang dewasa especially mereka-mereka yang telah berusia juga perlu mengambil ilmu tidak kira dari siapa pon individu itu asalkan ianya benar. Tidak perlulah mengatakan “Kamu nie orang muda, itu tak boleh ini tak boleh, apa yang boleh?” Tahniah Anak Dagang kerana mempunyai kekuatan untuk menegur pakcik-pakcik imam itu.

Di sini terasa ingin berkongsi artikel di dalam akhbar Utusan Malaysia hari ini, agak menarik utntuk dibaca agar memori kita direfresh bersama. InsyaAllah.

-------------------------------------------
BERDASARKAN beberapa hadis Rasulullah s.a.w., hukum makan sahur adalah sunat. Hadis riwayat Bukhari dan Muslim, daripada Anas r.a., Baginda bersabda: Bersahurlah kamu, sesungguhnya dalam sahur itu ada berkat.

Dalam riwayat Abdullah bin al-Haris, salah seorang daripada sahabat Rasulullah s.a.w. telah menceritakan ketika beliau masuk ke rumah Nabi, Baginda sedang bersahur lalu bersabda: Sesungguhnya (sahur itu) mempunyai berkat yang diberikan Allah kepada kamu sekalian, maka janganlah kamu meninggalkannya.

“Sahur ialah makan selepas waktu dinihari iaitu antara pukul 3.00 pagi sehingga sebelum terbit fajar bagi orang-orang yang hendak berpuasa pada bulan Ramadan atau pada bulan-bulan yang lain.”

“Bagaimanapun, waktu yang sesuai ialah selepas waktu dinihari iaitu antara pukul 3.00 pagi sehingga sebelum masuk waktu imsak, iaitu 10 minit sebelum waktu Subuh,” jelas Mufti Johor, Datuk Mohd. Nooh Gadot.

Waktu imsak adalah kira-kira 10 minit terakhir sebelum masuk waktu Subuh, iaitu bersamaan dengan bacaan 50 ayat al-Quran.

Riwayat Imam Bukhari dan Imam Muslim bahawa sahabat yang bernama Zaid bin Tsabit berkata: “Kami telah bersahur bersama Nabi Muhammad s.a.w. Kemudian kami mendirikan sembahyang, lalu Anas r.a. bertanya: “Berapakah jarak waktu antara kedua-duanya?” Zaid menjawab: “Kadar membaca lima puluh ayat.”

“Namun, seseorang yang makan dalam waktu imsak perlu berhati-hati dan tidak melebihi waktu terbit fajar kerana ia bertujuan sebagai peringatan kepada orang yang bersahur,” katanya.

Beliau menjelaskan, tidak ada syarat-syarat tertentu untuk bersahur, seperti tidur dahulu dan kemudian bangun untuk bersahur. Begitu juga bersahur sekadar meminum air dan buah kurma. Memadailah jika mendapat berkat daripada amalan bersahur.

Daripada Abu Sa'id al-Khudri, Rasulullah s.a.w. bersabda: “Makan sahur itu berkat, oleh sebab itu jangan kamu meninggalkannya walaupun salah seorang daripada kamu kemudiannya meneguk seteguk air. Maka sesungguhnya Allah s.w.t. berselawat ke atas orang-orang yang bersahur.“ (Hadis riwayat Imam Ahmad)

Sekiranya terdapat buah kurma, ia adalah makanan sahur bagi orang-orang yang beriman sebagai mana riwayat daripada Abu Hurairah, Rasulullah bersabda: Sebaik-baik makanan sahur orang yang beriman ialah buah tamar (kurma). (Hadis riwayat Abu daud)
Dalam riwayat yang lain pula, daripada As-Saib bin Yazid, sabda Rasulullah s.a.w.: Sebaik-baik makanan sahur ialah buah tamar (kurma). Baginda bersabda lagi yang bermaksud: Allah merahmati orang-orang yang bersahur.

“Bagaimanapun, sebagai bekalan tenaga sepanjang hari, disarankan bersahur dengan makanan yang berkhasiat dan berzat supaya dapat menahan diri daripada kelaparan dan mendapat kekuatan,“ jelas beliau lagi.

Hadis riwayat al-Hakim, Rasulullah s.a.w. bersabda: Memohonlah kamu (kepada Allah kekuatan) melalui makan sahur supaya memperoleh kekuatan berpuasa pada siang hari.

Bangun dan berdoa pada waktu sahur sebenarnya mempunyai barakah yang besar dan merupakan ciri-ciri orang yang bertaqwa. Firman Allah s.w.t. dalam surah az-Zariyat, ayat 18, maksudnya: Dan pada waktu akhir malam (sebelum fajar), mereka selalu beristighfar kepada Allah memohon ampun.

“Bangun awal pagi untuk bersahur juga memberi peluang untuk melakukan amal ibadat seperti berwuduk, berzikir, membaca al-Quran dan menunaikan sunat tahajud dan sunat witir bagi yang belum melakukannya,“ ujarnya mengenai hikmah bersahur.

Surah Ali Imran, ayat 17 pula, Allah menjelaskan waktu yang sesuai untuk memohon keampunan daripada Allah s.w.t. Firman-Nya: Dan juga orang-orang yang sabar (dalam menjunjung perintah Allah) dan orang-orang yang benar (perkataan dan hatinya), dan orang-orang yang sentiasa taat (akan perintah Allah), dan orang-orang yang membelanjakan hartanya (pada jalan Allah) dan orang-orang yang beristighfar (memohon ampun) pada waktu sahur.

Sahur juga merupakan salah satu daripada akhlak Rasulullah s.a.w., sebagaimana yang terkandung dalam terjemahan hadis berikut: Tiga perkara yang termasuk antara akhlak para rasul ialah bersegera berbuka puasa, melambatkan sahur dan meletakkan tangan kanan ke atas tangan kiri ketika dalam sembahyang.

Perbezaan antara puasa orang Islam dengan ahli kitab terkandung dalam hadis riwayat Muslim, sabda Baginda: Perbezaan antara puasa kita (umat Islam) dengan puasa ahlul kitab ialah makan sahur.

Menurut Ibn Hajar al-'Asqalani, pengarang kitab Fath al-Bari dan Imam an-Nawawi di dalam kitab Sahih Muslim, bahawa sahur yang memberi keberkatan ialah memperoleh balasan dan ganjaran pahala daripada Allah s.w.t. dan mengikut sunah Nabi Muhammad s.a.w.

“Sahur juga menghalang perbuatan-perbuatan tidak sopan yang dipengaruhi oleh kesan lapar pada siang hari, selain memberi kekuatan untuk beribadat bagi menghadapi rasa lapar dan dahaga pada siang hari,” ujar beliau tentang kelebihan-kelebihan bersahur.

Wallahu ‘alam.

Jadual Kuliah
1. Jadual Pengajian sekitar Bandar Baru Bangi dan Kajang bagi Bulan Oktober 2005.
--------------------------------------------------------------
“Orang-orang yang menghalang dirinya sendiri dan orang lain dari jalan ugama Allah dan berusaha supaya jalan itu menjadi bengkok terpesong, sedang mereka pula ingkarkan hari akhirat;” (Hud : 19)

0 Comments:

Post a Comment

Subscribe to Post Comments [Atom]

<< Home