Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami : Perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertakwa. (Al-Furqan:74) akhifaizul Blogging Portal


Tuesday, March 29, 2005

Suara JAKIM: Agenda Amina Wadud persenda hukum Islam




Ana sekadar copy and paste dari akhbar Berita Harian hari Ahad lalu.
DALAM sejarah moden Islam, kita melihat muncul pelbagai nama yang menimbulkan kontroversi seperti Mirza Ghulan Ahmad mendakwa ia sebagai Rasul Allah terakhir. Serpihan pengikut Mirza telah mewujudkan ajaran Qadiyani yang memfatwakan sebagai agama baru.

Kemunculan Mirza di Pakistan mendapat sokongan kuat penjajah British ketika menjajah Pakistan dan India. Kemudian muncul pula Salman Rashdie yang mendakwa al-Quran sebagai ayat syaitan dan diberi perlindungan hebat oleh masyarakat Barat.

Di Bangladesh pernah muncul Taslima Nasreen yang menulis novel berasaskan mencaci al-Quran. Di negara kita sendiri pernah wujud sekelompok umat Islam tidak mengaku Sunnah Rasulullah dan menerbitkan pula kitab BACAAN.

Persoalan besar timbul ialah apakah kontroversi yang dikeluarkan oleh orang Islam jahil silih berganti itu menjadi agenda pihak-pihak tertentu atau komplot untuk menghakis peranan ulama dan fuqaha dalam menjaga kesucian dan kekuatan nilai ajaran Islam?

Pada 18 Mac lalu, umat Islam terkejut dengan laporan berita luar negara yang menyebutkan seorang wanita menjadi imam dan membaca khutbah sembahyang Jumaat yang diadakan di sebuah gereja di Manhattan New York Amerika Syarikat.

Wanita yang menjadi imam itu ialah Amina Wadud seorang profesor dalam bidang pengajian Islam di Universiti Commonwealth Virginia Amerika Syarikat. Beliau seorang ibu tunggal dan mempunyai lima anak.

Tindakan kontroversi Amina Wadud mengenai amalan ajaran Islam bukanlah perkara pelik baginya. Beliau pernah menjadi pensyarah di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dari 1989-1992 tetapi perkhidmatannya tidak dilanjutkan kerana pandangannya selalu kontroversi.

Dalam satu Persidangan Perundingan Kepemimpinan Islam Peringkat Antarabangsa Berhubung HIV/Aids di Kuala Lumpur pada 20 Mei 2003, beliau mencaci al-Quran dan Sunnah kerana mendakwa ajarannya berkaitan pendidikan seks menyebabkan HIV/Aids merebak.

Isu utama dalam tindak tanduk terbaru Amina Wadud ialah menjadi imam sembahyang Jumaat, membaca khutbah dan setiap saf-saf sembahyang Jumaat itu bercampur aduk lelaki dan wanita.

Tindakan Amina Wadud menjadi wanita Islam pertama di dunia menjadi imam sembahyang Jumaat dan membaca khutbah menerima kecaman ulama di seluruh dunia, antaranya Syeikh Yusuf al-Qardhawi.

Menurut Syeikh Yusuf al-Qardhawi, fuqaha bersependapat wanita diharamkan menjadi imam sembahyang Jumaat dan membaca khutbah. Pendapat ini berdasarkan pengajaran dan bukan berdasarkan adat sesuatu kaum seperti mana yang didakwa, ketika memberi ulasan lanjut kepada agensi berita Islam Online tentang wanita diharamkan menjadi imam sembahyang kepada makmum lelaki ialah:
• Tidak pernah terjadi dalam sejarah Islam seorang wanita menjadi imam solat Jumaat dan membaca khutbah;
• Tidak ada seorang Fuqaha pun bersetuju membenarkan wanita menjadi imam solat Jumaat dan membaca khutbahnya;
• Sembahyang dalam Islam membabitkan perbuatan pelbagai pergerakan zahir dan batin. Ia tidak mengandungi semata-mata upacara keagamaan serta tidak bercampur aduk antara lelaki dan wanita. Ibadah sembahyang dalam Islam memerlukan tumpuan penuh minda, perasaan dan penyerahan hati khusyuk kepada Allah swt.
• Islam menggariskan beberapa peraturan untuk menentukan umatnya beribadah kepada Allah swt secara tertib dan beradab bagi mencapai kekhusyukan dalam menunaikan ibadah kepada Allah.

Selari dengan kehebatan ibadah sembahyang, maka Islam menetapkan beberapa garis panduan dalam melaksanakannya.

Dalam peraturan menunaikan sembahyang berjemaah lelaki dan perempuan Rasulullah bersabda: “Sebaik-baik saf bagi lelaki ialah saf yang pertama dan seburuk-buruknya saf yang terakhir manakala sebaik-baik saf bagi wanita ialah saf yang paling belakang dan seburuk-buruknya adalah saf yang pertama.” – (Riwayat: Muslim).

Hadis ini adalah hadis sahih. Ini adalah peraturan dan disiplin sembahyang berjemaah dalam beribadah kepada Allah.

Islam membenarkan wanita menjadi imam kepada makmum wanita saja. Beberapa hadis yang diriwayatkan oleh al-Baihaqi dan Darqatani menyatakan Aisyah dan Ummu Salamah (isteri-isteri Rasulullah) menjadi imam kepada jemaah wanita saja.

Tempat duduk bagi imam wanita pula adalah dalam saf yang pertama sebaris dengan makmum, tidak terkedepan seperti mana peraturan kedudukan imam lelaki. Tidak ada hadis yang menyebut langsung mengenai wanita boleh menjadi imam sembahyang Jumaat dan membaca khutbah.

Islam memberi persamaan hak berdasarkan keadilan kepada lelaki dan perempuan. Peraturan pengasingan lelaki dengan wanita dalam ibadah sembahyang menunjukkan Islam adalah agama yang tersusun dan bersistem. Ia sebenarnya memberi kebaikan dan kesejahteraan kepada semua pihak. Mereka menunaikan sembahyang untuk mencapai kekhusyukan sepenuh dan diredai Allah swt. Allah swt menyebut dalam al-Quran bahawa orang Islam yang berjaya ialah mereka yang khusyuk dalam sembahyang (Al-Mukminum:1) dan orang yang lalai dalam sembahyang adalah orang yang kerugian besar. – (al-Maaun: 4).

Dalam hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim pula menyebut kehebatan dan kecemerlangan sembahyang akan menentukan seseorang itu ahli syurga atau neraka. Ternyata bahawa ibadah sembahyang adalah satu ibadah yang paling hebat dan memberi nikmat besar kepada individu yang mencapai kekhusyukan dalam sembahyang. Ketinggian martabat dan hakikat sembahyang dalam pembentukan peribadi umatnya amat nyata apabila Allah swt menyerah sendiri kepada Rasulullah saw mengenai perintah melaksanakan ibadah sembahyang semasa peristiwa Israk-Mikraj.

Tindakan kontroversi seorang wanita menjadi imam sembahyang Jumaat dan membaca khutbah jelas sekali tidak mengambil kira ketinggian martabat dan kehebatan hakikat sembahyang itu. Oleh itu tindakan tersebut jelas dilihat sebagai tindakan wanita untuk memperjuangkan hak asasi wanita sebagai:
• Memperjuangkan hak sama-rata lelaki dan perempuan seperti mana yang diamalkan dalam kebebasan pergaulan lelaki dan perempuan seperti mana yang terdapat dalam upacara sembahyang agama lain.
• Berusaha melanggar disiplin ilmu yang dipegang oleh ulama dan fuqaha yang menjadi benteng kekuatan pegangan nilai umat Islam. Jika usaha ini berjaya maka peranan ulama dan fuqaha dalam mempertahankan nilai Islam akan terhakis.

Dengar datangnya sesuatu peristiwa baru, umat Islam hendaklah berfikir secara terbuka sebelum menerimanya. Ia juga hendaklah dinilai dan diselidiki dengan ilmu dan panduan yang jelas sebelum mengikutinya.

Firman Allah swt di dalam surah al-Hujuraat ayat 6 yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang telah kamu lakukan”.

– Rencana sumbangan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) –

Perbincangan ini di ahkam.net

--------------------------------------------------------------
"Segala yang ada di langit dan di bumi tetap mengucap tasbih kepada Allah dan Dialah Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.(al-Hasyr:1)

Saturday, March 26, 2005

Keprihatinan


Assalamualaikum warahmatullah ….

Pihak akhbar sepatutnya lebih prihatin dalam mengedit suatu petikan. Lebih-lebih lagi yang ada mafhum ayat-ayat al-Quran.

Rabu lalu sewaktu duduk makan tengahari sementara menanti sambungan site visit di KEV, SJSSAA berkesempatan membaca akhbar Berita Harian. Di dalamnya terdapat sedikit kesilapan dalam menterjemah satu ayat al-Quran.

Harapnya biarlah kelemahan ini dapat diatasi dan tidak berulang di masa hadapan hendaknya. Bukanlah suatu perkara yang sukar sangat untuk membuka tafsir pimpinan Ar-Rahman bagi memastikan ayat yang dinyatakan itu betul mafhumnya atau tidak.

Jika tidak memiliki tafseer, di alam siber pon dah ada translation Al-Quran yang bagus seperti di al-islam.com.

Bukannya perlu dibaca tafseeran atau pemahaman secara menyeluruh pada satu ayat, kalau mampu lagi bagus, cuma periksa terjemahannya terlebih dahulu sebelum dipublish.

Wallahu ‘alam….

--------------------------------------------------------------
Sebenarnya sembahyang dan ibadat malam lebih kuat kesannya (kepada jiwa) dan lebih tetap betul bacaannya. (Al-Muzzammil : 6)

Thursday, March 24, 2005

Cinta oh Cinta .....


Sebelum melelapkan mata kuluangkan sedikit masa untuk membaca email-email yang dipost ke email address officeku. Di pejabat tidak berpeluang untuk membaca email-email ini kerana sedikt sibuk dengan tugasan.

Sekejap diluar office, sekejap di office. Di luar attend site visit, buat masa ini belum ada site yang perlu kujaga seperti beberapa bulan yang lepas.

Di sini ingin berkongsi sebuah coretan yang kuperolehi dari sebuah mailing list yang disubscribe. Agak menarik penulisnya menulis dan ada sedikit yang kutambah untuk memberi kekuatan baru kepada resipi penulisan penulis ini.

Di Sebuah Taman Kota Kosmopolitan 2001.
Para pekerja yang sibuk membersihkan kawasan taman rekreasi gempar. Raungan bunyi ambulan begitu mengejutkan ketika pagi yang masih terlalu awal ini. Kelihatan beberapa petugas paramedik begitusibuk memberi pertolongan kepada sepasang muda-mudi yang terperangkap di dalam sebuah kereta ditaman tersebut. Nahas bagi pasangan merpati dua sejoli itu, malaikat maut telah mencabut nyawamereka dalam keadaan yang sungguh tragik.

Apa yang terjadi sebenarnya?

Ternyata sepasang muda-mudi itu nekad membunuh diri dengan menutup saluran ekzos kereta dengankeadaan enjin kereta masih terpasang. Akibatnya mereka mati dalam keadaan berpelukan dan saling berciuman sehingga begitu sukar pihak bertanggungjawab memisahkan antara dua jasad tersebut.

Begitu 'mengharukan'!. Didalam kereta tersebut ditemui selembar kertas yang telah mereka tandatangani. Antara kandungannya; tolong jangan pisahkan mayat kami dan terus dikebumikan bagi membuktikan cinta abadi kami sehidup semati. Dan di bahagian akhir surat tersebut tercatat bahawa mereka melakukan ini demi menyelamatkan cinta 'sejati' yang 'suci' ini kerana orang tua tidak merestui hubungan cinta mereka. Astaghfirullah.!


Di sebuah rumah di Jazirah Arab 1400 tahun yang lampau.

Abdullah bin Abu Bakar RA baru saja melangsungkan pernikahan dengan Atikah binti Zaid, seorang wanita cantik rupawan dan berbudi luhur. Dia seorang wanita berakhlak mulia, berfikiran cemerlang dan berkedudukan tinggi. Sudah tentu Abdullah amat mencintai isteri yang sebegitu sempurna menurut pandangan manusia.

Pada suatu hari, ayahnya Abu Bakar RA lalu di rumah Abdullah untuk pergi bersama-sama untuk solat jemaah di masjid. Namun apabila beliau dapati anaknya sedang berbual-bual dengan Atikah dengan lembut dan mesra, beliau membatalkan niatnya dan meneruskan perjalanan ke masjid.

Setelah selesai menunaikan solat Abu Bakar RA sekali lagi melalui jalan di rumah anaknya. Alangkah kesalnya Abu Bakar RA apabila beliau dapati anaknya masih begurau senda dengan isterinya sebagaimana sebelum beliau menunaikan solat di masjid. Lantas

Abu Bakar RA segera memanggil Abdullah, seterusnya bertanya : " Wahai Abdullah, adakah kamu solat berjemaah ?" Tanpa berhujah panjang Abu Bakar berkata : ""Wahai Abdullah, Atikah telah melalaikan kamu dari kehidupan dan pandangan hidup malah dia juga telah melengahkan kamu dari solat fardhu, ceraikanlah dia!"Demikianlah perintah Abu Bakar kepada Abdullah. Suatu perintah ketika Abu bakar dapati anaknya mula melalaikan hak Allah. Ketika beliau dapati Abdullah mula sibuk dengan isterinya yang cantik. Ketika beliau dapati Abdullah terpesona keindahan dunia sehingga menyebabkan semangat juangnya semakin luntur.

Lalu bagaimana tanggapan Abdullah? Tanpa berdolak dalih apatah lagi cuba membunuh diri, Abdullah terus menyahut perintah ayahandanya dan menceraikan isteri yang cantik dan amat dicintainya. Subhanallah!!!

Dari dua petikan kisah di atas, marilah kita sama-sama merenung tentang hakikat dan bagaimana cinta sejati , tulus dan suci itu sebenarnya. Sesungguhnya perjalanan hidup manusia akan sentiasa dipenuhi dengan warna-warna cinta. Malah boleh kita ungkapkan bahawa kehadiran manusia di muka bumi ini disebabkan Allah SWT mencampakkan suatu perasaan di dalam jiwa manusia, itulah CINTA.

Membicarakan tentang cinta ibarat menuras air lautan dalam yang kaya dengan pelbagai khazanah alam. Tak kan pernah habis dan kita akan sentiasa menemui berjuta macam benda. Dari sekecil-kecil ikan hingga ikan paus yang terbesar. Dari kerang sampai mutiara malah jika diizinkan Allah, kita mungkin menemui bangkai kapal dan bangkai manusia!!!

Usia sejarah cinta seumur dengan sejarah manusia itu sendiri. Jika di suatu tempat ada 000 manusia maka di situ ada 1000 kisah cinta. Dan jika di muka bumi ini ada lebih 5 million manusia, maka sejumlah itu pulalah kisah cinta akan digelar.

Walau berapa banyak pun nuansa cinta yang menjelma menjadi sebuah syair, drama, filem, lagu dan berbagai bentuk hasil seni lain, namun pada hakikatnya cinta itu hanya ada dua buah versi sahaja. Versi cinta nafsu (syahwat) dan cinta Rabbani.

Yang menjadi persoalan sekarang adalah mampukah kita membezakan yang mana cinta syahwat dan mana cinta Rabbani?

Derasnya arus ghazwul fikr (serangan pemikiran) dalam kesenian terutamanya, telah mampu membungkus cinta syahwat sehingga ia tampil sebagai cinta "suci" yang mesti diperjuangkan, dimenangkan dan diraih seterusnya untuk dinikmati.

Manusia seakan lupa pada sejarah. Lupa pada kisah-kisah tragik yang berakhir di hujung pisau atau dalam segelas 'penawar' rumpai. Mereka semua rela diseret dan dijeremuskan ke dalam lubang 'neraka' hanya untuk mengejar salah satu rasa dari sekian banyak rasa yang ada disudut hati manusia, itulah cinta.

Cinta memiliki kekuatan luar biasa. Dan kekuatan cinta (the power of love) mampu menjadikan manusia peribadi yang sangat nekad atau sangat taat. Nekad dalam konteks sangat berani dalam melanggar peraturan-peraturan Allah seperti berkhalwat (berdua-duaan dengan bukan mahram),berkasih-kasihan lelaki dan perempuan, berpegangan tangan, mempertontonkan adegan berahi percuma di khalayak ramai apatah lagi dalam sembunyi. Atau jika cinta tak mendapat restu dari orang tua,pasangan akan nekad, terus lari dari rumah atau berzina (na'udzubillah min dzalik). Dan tidak sedikit pula yang begitu nekad sanggup melakukan perbuatan yang dilaknat Allah iaitu membunuh diri
demi cinta.

Peribadi-peribadi nekad seperti ini menjadikan cinta sebagai tujuan bukan sebagai sarana mencapai tujuan, yang mana sepatutnya cinta sebagai sarana untuk mencapai tujuan Oleh itu tidak hairanlah jika kita temui pelbagai kelakuan aneh para pencari cinta yang tak masuk akal. Sebab apa yang mereka tuju adalah suatu yang abstrak, tidak jelas dan bukan perkara yang pokok. Mereka sibuk mencari dan mengertikan makna cinta sementara lalai terhadap Dzat yang menganugerahkan cinta. Dzat yang menumbuh suburkan rasa cinta. Dzat yang memberikan kekuatan cinta. Dzat yang paling layak dicintai, kerana Dia juga Empunya nikmat cinta. Allah Rabbul'Alamin.

Kisah tragik di awal tulisan ini memberikan gambaran jelas sikap manusia yang rela mengorbankan diri demi sepotong cinta. Muda-mudi yang nekad bunuh diri dengan pelbagai cara ini pada dasarnya belum mengenali hakikat cinta. Cinta yang mereka kenal selama ini adalah cinta yang ditunggangi oleh nafsu syahwat. Dan joki penunggangnya adalah syaitan laknatulllah. Pada momen ini syaitan berteriak keriangan sambil mengibar-ngibarkan bendera kemenangan kerana berhasil menjerumuskan anak cucu Nabi Adam dalam neraka jahannan dengan dalih cinta yang begitu murah nilainya.

Sebuah kisah lain tentang tragedi cinta dan kebodohan manusia yang amat memalukan berlaku diDhaka. Menurut laporan berita salah satu akhbar ibu kota di negeri tersebut, seorang ayah dan anaknya mati saling tikam menikam hanya kerana merebut cinta seorang gadis.

Tragedi bermula apabila si gadis tidak tahu bahawa dua lelaki yang sering menjadi teman asmaranya pada waktu yang berbeza adalah ayah dan anak. Sampailah pada suatu saat mereka terserempak pada waktu yang sama. Maka tragedi pun bermula. Kedua-duanya sangat marah sehingga membawa kepada pertengkaran dan akhirnya pergelutan dan perkelahian yang berakhir dengan si ayah mati akibat tertusuk diperutnya.Namun sebelum rebah ia berjaya menancapkan belati di jantung anaknya. Matilah keduanya. Dan pastilah neraka tempat kembalinya.

Itulah tragedi cinta. Cinta memang tak kenal warna. Cinta tak kenal baik-buruk. Cinta tak kenal rupa dan pertalian darah. Memang begitulah adanya. Kerana yang mampu mengenal warna dan baik-buruk adalah pelaku-pelaku cinta yang menggunakan akal fikirannya.

Sebaliknya cinta juga mampu melahirkan peribadi-peribadi yang mengagumkan. Peribadi yang tak takut kehilangan suatu apa pun walau ia amat cinta pada sesuatu. Namun kerana cinta yang hadir dipenuhi dengan nuansa keimanan, maka mereka rela mengorbankan apa saja yang mereka amat cintai demi memperolehi keredhaan Dzat Pemberi cinta. Jiwa mereka tidak gundah gulana kerana kehilangan cinta duniawi kerana Allah sebagai Dzat pemberi ketenteraman Peribadi-peribadi taat ini amat menyedari bahawa cinta hanyalah sebagai sarana mencapai tujuan. Mereka yakin kenikmatan cinta tak ada ertinya tanpa ada restu Allah sebagai Pemberi cinta. Maka yang mereka cari adalah redha dan cinta Allah, bukan cinta yang bersifat sementara.

Kisah Abdullah putera Abu Bakar RA menjadi contoh kematangan pemuda yang mengenal erti cinta. Bayangkan!! Dia memiliki isteri yang amat cantik, berakhlak mulia, berkedudukan tinggi dan berharta. Namun apabila ayahandanya memerintahkan untuk menceraikan isterinya, dengan alasan isterinya telah melalaikan Abdullah dalam menunaikan hak Allah seterusnya akan melengahkan Abdullah berjihad di jalan Allah.

Maka apa reaksi Abdullah? Abdullah tidak marah langsung pada ayahnya. Atau berusaha mengambil pedang dan ingin memenggal kepala si ayah yang berusaha memisahkan jalinan cinta yang memang sudah sah itu. Sekali lagi tidak!! Pemuda yang bernama Abdullah melihat perintah itu dengan kacamata cinta yang diberikan Allah. Ia rela menceraikan isteri yang dicintainya demi mempererat hubungan cinta dengan Allah. Subhanallah. Masih adakah pemuda-pemuda seperti peribadi Abdullah di zaman globalisasi kini?

Begitulah cinta. Ia mampu melambungkan manusia pada derajat kemuliaan yang tak terhingga. Manakala frekuensi atau gelombang cintanya juga sudah selari dengan frekuensi atau gelombang cinta yang Allah kehendaki. Semuanya akan senada seirama. Tak ada dengung sumbang, tak ada nada ternoda. Demikian indah dan asli irama cinta sejati

Ucapan terima kasih kepada penulis yang menggunakan nama pena God’s slave yang telah sudi berkongsi hasil penulisan ini untuk tatapan kita bersama… Syukran …

Wallahu ‘alam….

--------------------------------------------------------------
Orang-orang yang beriman dan beramal soleh, beroleh kebahagiaan yang amat menggembirakan dan tempat kembali yang sebaik-baiknya.(Ar-Ra’ad : 29)

Tuesday, March 22, 2005

Salah Faham terhadap Islam


Assalamualaikum warahmatullah ….

Hari nie pulang lewat sedikit dari office kerana ada tugas yang hendak diselesaikan.

Hari ini terasa ingin berkongsi satu buku yang agak menarik.
Buku yang dikarang oleh Muhammad Qutb: Salah Faham terhadap Islam.

Dulu pernah mendownload buku ini di alam siber, di Bahan Tarbiyah, since kini bahan tarbiyah tidak boleh diakses ada baiknya rasa nya kukongsi buku ini di sini.

Terasa ingin berkongsi buku ini bersama dengan rakan-rakan yang lain yang berminat untuk membacanya.

Download buku Salah Faham terhadap Islam oleh Muhammad Qutb.

Sama-samalah kita mengambil manfaat darinya.insyaAllah.

Wallahu ‘alam.
--------------------------------------------------------------
Salam alaik Saidina Ali berkata: “Wahai manusia, jagalah wasiatku. Jika kamu memegangnya erat-erat dengan segala kesiapan sehingga kamu dapat melaksanakannya, kamu tidak akan dapat keuntungan yang lebih besar darinya. Wasiat itu adalah : 1.Hendaklah kamu tidak berharap kecuali kepada Tuhanmu. 2.Hendaklah kamu tidak takut kecuali kepada dosa-dosamu. 3.Hendaklah kamu tidak malu untuk belajar jika tidak tahu. 4.Hendaklah orang yang alim berkata : “Aku tidak tahu, “ apabila dia memang tidak tahu. sama2 kita ambik iktibar dan ingatan kita sepanjang masa... Moga Diberkati dan dirahmati Allah setiap masa... salam alaik

Monday, March 21, 2005

Fenomena Ekuinoks


Assalamualaikum warahmatullah ….

Fenomena ekuinoks dijangkakan akan dirasai oleh negara-negara yang berada di garisan khatulistiwa.

Mungkin ramai yang dah tahu apa itu fenomena ekuinoks yang bakal berlaku hari ini. Cuaca terpanas Malaysia bakal berlaku hari ini, dan berkemungkinan besar siang di Malaysia juga akan menjadi lebih lama dari biasa.

Semalam sewaktu menanti abiku pulang sempat diriku dan ustaz berbual tentang fenomena ekuinoks ini.

Mengikut perkiraan kami, jika waktu siang sudah menjadi agak panjang, sudah pasti waktu solat juga berubah. Seperti yang dialami oleh sahabat-sahabat di luar negara yang mengalami empat musim. Ini bermakna matahari juga agak lewat gelincir, agak lewat terbenam, bermakna waktu solat juga akan masuk sedikit lewat. Please correct me if our assumption is not rite.

Soalnya sekarang tiada siapa yang mengwar-warkan perkara ini ke pengetahuan umum. Kami bimbang ada yang bersolat dalam waktu haram plak nanti. Seperti yang semua orang tahu solat adalah tiang agama, kenapa dalam perkara pokok tiada siapa yang mengwar-warkannya, bab perkara lain macam Konsert Force of Nature ramai plak yang war-warkan….tensen betul den. Masa sure heboh, heboh betol TV3.

Diriku berharap jika apa yang diperkatakan ini tidak menepati apa yang berlaku dapat kiranya pembaca blogku yang lebih arif akan hal ini memperbetulkan apa yang silap. Sekadar ilmu ku yang serba sedikit ini, itulah assumption yang dapat kami utarakan malam tadi.

Wallahu ‘alam.
--------------------------------------------------------------
"Segala yang ada di langit dan di bumi tetap mengucap tasbih kepada Allah dan Dialah Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.(al-Hasyr:1)

Monday, March 14, 2005

Tanpa tajuk ...


Assalamualaikum warahmatullah ….

Sejak kebelakangan ini hambatan tugas di pejabat membuatkan diriku tidak sempat untuk menulis sesuatu di dalam blog yang dah hampir bersawang den tinggal kan ini.

Kepada pengunjung2 blogku…seribu kemaafan ku pohon kerana tidak berpeluang untuk mengupdate blog. Kerja di pejabat, jadual kuliah dan assignment yang banyak tertangguh. Maxis Nationwide Refilling Report pon membuatkan diriku dan seorang lagi rakan pejabatku jadi kelam-kabut sedikit dibuatnya.

Ada juga beberapa orang sahabat yang ingin diriku kupas mengenai isu yang agak hangat diperkatakan tempoh hari. Isu Jeslina Hashim. Bukan tidak mahu mengupas, kesempatan yang agak terbatas membuat diriku tidak sempat untuk mengupas, alhamdulillah dapat juga meneliti buah fikiran rakan-rakan sefikrah di dalam mailing list yang berkongsi idea mengenai isu ini. Mungkin kepada sahabat-sahabat yang ingin bacaan lanjut dan terasa ingin tahu mengenai isu ini bulih lah mencuba join yahoogroups islah-net, suaraulama atau ar-ruh mailing list. Harap maaf bebanyak wahai sahabatku kerana tidak berkesempatan mengupas isu tersebut.

Kepada sahabat yang mengutus email dan tidak sempat untukku membalas, sepuluh jari ku mohon kemaafaan. Kepada sahabat-sahabat yang menghantar sms dan tidak berjawab atau lambat berbalas juga ku mohon kemaafan.

Hari ini sewaktu memeriksa kotak email, ada satu email yang menarik untuk dikongsi. Satu email dari Saharom Abd Aziz, salah seorang editor Majalah i. Di sini ingin mengambil peluang untuk mengwar-warkan satu seminar yang akan diadakan pada 21 Mei 2005 (Sabtu). Iklannya telah ada pada keluaran Mac 2005, tetapi butirannya belum lengkap.

Seminar Bahaya Islam Liberal. Seminar akan dibarisi oleh Ustaz Mohd Asri Zainul Abidin, Dr, Fauzi Deraman dan Adrian Husaini. Borang untuk menghadiri seminar ini boleh dimuat turun dari halaman ini atau mungkin boleh diperolehi dari majalah I edisi April 2004.

Borang Seminar Bahaya Islam Liberal

Dulu den pernah download satu e-book di al-ahkam.net mengenai Islam Liberal nie. Tapi bila cari balik kek al-ahkam.net dah tak jumpo lak. Alhamdulillah ada simpan dalam notebook den nie, jadi bulih lah den kongsikan bersama e-book berkenaan.

Kepada sahabat-sahabat yang berminat untuk membaca kandungan e-book bolehlah mengdownloadnya dan mengsavenya dari sini. File ini adalah file format zip, jadi anda kena lah etract dulu yer, dan jangan risau ianya memang executable file. Bukan executable yang ado virus yer…

E-Book Islam Liberal oleh al-ahkam.net

InsyaAllah hujung bulan nie den akan bergelumang dengan final exam. Doa kan den mumtaz yo in my imtihan. Syukran ……

Wallahu ‘alam….

--------------------------------------------------------------
Orang-orang yang beriman dan beramal soleh, beroleh kebahagiaan yang amat menggembirakan dan tempat kembali yang sebaik-baiknya.(Ar-Ra’ad : 29)

Wednesday, March 09, 2005

Rekod 17A1 SPM


Alhamdulillah ……
Pencapaian yang menarik dari seorang muslim…


NUR AMALINA menerima ucapan tahniah daripada ibunya, Sabariah.Muka depan akhbar sisipan Berita Harian, Minda Pelajar & Skor edisi 30 Jun - 6 Julai 2004 (gambar bawah) pernah melaporkan keazaman pelajar berkenaan mencatat 17A.

Oleh Srihanasham Noordin (Berita Harian)

JOHOR BAHRU: Tujuh bulan lalu, Nur Amalina Che Bakri dari Sekolah Menengah Ulu Tiram di sini, mencabar dirinya untuk menjadi pelajar Melayu pertama mencipta rekod baru dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), dengan mengambil 17 mata pelajaran.

Hari ini, gadis berusia 17 tahun itu, bukan saja berjaya menyahut cabaran itu, malah mencipta sejarah apabila secara rasmi diumumkan sebagai pelajar terbaik SPM 2004 dengan mendapat 17A1.

Subjek yang diambilnya ialah Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Sejarah, Matematik Moden, Biologi, Kimia, Fizik, Ekonomi Asas, Perdagangan, Prinsip Akaun, Sains Asas, Pendidikan Seni, Tasawur Islam, Kesusasteraan Melayu, Bahasa Inggeris Teknologi, Pendidikan Islam, Matematik Tambahan dan Bahasa Inggeris 1119.

Nur Amalina, yang baru kembali dari program pertukaran pelajar Malaysia-Itali, mengetahui keputusan itu dua hari lalu.

Menteri Pelajaran, Datuk Hishammuddin Hussein dijadual mengumumkan keputusan SPM di sekolahnya petang ini.

Ketika ditemui di rumahnya di Taman Sri Saujana, Kota Tinggi semalam, Nur Amalina berkata, keinginan mencipta rekod baru dalam SPM dengan memperoleh 17A1 menerusi 17 subjek Sains dan Sastera, mendorongnya mencabar diri sendiri untuk membuktikan kemampuan dalam akademik.

Beliau menyifatkan kejayaannya memperoleh keputusan cemerlang itu adalah ganjaran kepada usaha keras dan pengorbanannya dalam menuntut ilmu selama ini.

“Saya bercita-cita tinggi. Saya pernah menonton televisyen pelajar dapat 15A dan 16A (dalam SPM). Jadi, saya ingin cabar diri sendiri untuk dapat 17A. Saya mahu catat rekod baru. Saya memang suka kepada cabaran dan berusaha sedaya upaya untuk mencapainya,” katanya.

Dinding rumahnya dipenuhi bingkai yang mengisi pelbagai sijil kemenangan, penyertaan pertandingan dan keratan akhbar mengenai kejayaannya. Selain berjaya dalam akademik, Nur Amalina aktif dalam pertandingan pidato dan pernah menjuarai Pertandingan Pidato Kelab Pelaburan Bijak Permodalan Nasional Berhad, April tahun lalu.

Nur Amalina turut dipilih sebagai Tokoh Nilam 2004 kerana minatnya membaca buku.

Anak tunggal kepada guru sekolah, Sabariah Hassan 45, dan jurutera Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, Che Bakri Che Mod itu mendapat 5A dalam Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) dan 8A menerusi Penilaian Menengah Rendah (PMR).

Beliau yang gemar membaca, pernah belajar di Kolej Tunku Kursiah, Seremban dan Sekolah Tun Fatimah, Johor Bahru, tetapi kemudiannya mengambil keputusan ke sekolah biasa supaya dapat tinggal bersama ibu dan bapa tirinya, Tukiman Kalam.

“Ramai rakan yang tidak percaya dan kata saya gila kerana hendak ambil 17 subjek tetapi saya tetapkan impian saya. Mahatma Ghandi pernah berkata ‘kepuasan terletak pada usaha, bukan pencapaian’.

“Kalau gagal, tidak perlu takut dan kegagalan banyak mengajar mengenai kehidupan ini,” katanya.

Menceritakan petuanya untuk memastikan minda cerdas, Nur Amalina berkata, dia tidak mengambil minuman bergas, makanan segera dan hidangan daripada organ dalaman haiwan.

“Sebelum mula menjawab soalan peperiksaan, saya akan berselawat dan membaca Bismillah. Saya juga buat solat hajat dan apabila tahu berjaya dapat 17A1, saya tunaikan sujud syukur. Syukur kepada Allah,” katanya.

Nur Amalina yang baru menyambut ulang tahun ke-17 Disember lalu bercita-cita untuk menjadi doktor pakar sakit puan dan menyimpan hasrat melanjutkan pelajaran ke Universiti Oxford, England.

Katanya, beliau juga pernah menyimpan impian untuk menjadi Perdana Menteri wanita yang pertama di negara ini.

Nur Amalina berkata, beliau membuat jadual untuk diri sendiri dan memastikannya dipatuhi dengan penuh disiplin serta menyiapkan semua kerja rumah sebelum mengulang kaji pelajaran.

“Setiap pagi sebaik bangun tidur, saya tetapkan apa yang ingin dibuat hari itu. Contohnya, jika ingin belajar bab tiga Biologi dan tidak akan tidur selagi bab itu tidak selesai diulangkaji,” katanya.

Selain menjadi pengawas sekolah, beliau juga mempunyai masa bersama rakan-rakan seperti remaja lain dengan menonton wayang, berbasikal, melayari internet serta mempunyai ramai rakan dari luar negara yang dikenali menerusi laman sembang.

“Saya suka bertukar pendapat dengan rakan di laman sembang terutama mengenai politik dan peperangan,” katanya.

Mengenai rutin hariannya selepas selesai SPM, Nur Amalina yang baru pulang dari Itali untuk program pertukaran pelajar selama dua bulan, berkata dia banyak menghabiskan masa membaca buku dan novel.

“Saya rasa kosong apabila peperiksaan tamat dan nasib baik bapa saudara saya yang juga seorang doktor memberi beberapa buku perubatan untuk dibaca sebelum masuk universiti,” katanya.

Wallahu ‘alam.
--------------------------------------------------------------
" Dari Abu Hurairah r.a katanya, Nabi SAW pernah bersabda ; “Orang mukmin yang paling sempurna imannya ialah mereka yang paling baik akhlaknya. " (HR Bukhari dan Muslim).

Thursday, March 03, 2005

Tidak Hina Orang Yang Merendah Diri


Sombong, bongkak, angkuh, atau takbur mempunyai satu pengertian yang sama iaitu satu sifat-sifat mazmumah (sifat-sifat tercela atau keji). Sifat ini, walaupun sedikit, menjadi kebencian dan kemurkaan Allah. Dan boleh menghalang kita mendapat Syurga.

Sifat sombong atau takbur boleh dibahagi kepada dua: takbur zahir dan takbur batin. Takbur zahir boleh dilihat melalui percakapan dan tindakannya. Gayanya angkuh, mulutnya tajam, mudah menghina orang yang dianggapnya lebih rendah daripadanya. Kadangkala ia boleh dilihat melalui percakapan seperti tidak mahu mengaku kalah, menganggap dirinya sentiasa benar dan tidak mahu mendengar atau mengikut nasihat. Imam Al-Ghazali berkata: “Orang yang takbur ialah apabila ditegur dia marah, sedangkan kalau menegur orang lain, caranya keras dan kasar.”

Takbur batin ialah membesarkan diri dalam hati. Inilah maksiat hati yang dicela. Contohnya iblis menganggap dirinya lebih baik dan mulia daripada Nabi Adam. Lalu dengan angkuhnya dia enggan tunduk kepada Nabi Adam sehingga menyebabkan Allah melaknat Iblis dan seluruh keturunannya.

Takbur boleh dibahagi kepada tiga iaitu takbur terhadap Allah, takbur terhadap Rasul-Nya, dan takbur sesama manusia. Takbur kepada Allah ialah tidak memperdulikan perintah Allah, tidak menghiraukan ancaman-Nya dan memandang rendah segala syariat dan peraturan-Nya.

Takbur dengan Rasulullah ialah enggan mengikut petunjuknya. Orang Quraisy pada zaman Rasulullah enggan mengikutnya kerana baginda anak yatim piatu. Sedangkan orang Yahudi enggan kerana baginda bukan daripada keturunan Bani Israel. Berasa diri lebih tinggi daripada orang lain ialah takbur sesama manusia. Ia sering memandang rendah terhadap orang lain kerana menganggap dirinya berilmu, kaya dan berpangkat.

Takbur ialah penyakit hati yang bahaya. Orang yang berpenyakit ini tidak boleh menjadi pendakwah. Ditakuti melalui tindak-tanduknya akan menampakkan akhlaknya yang buruk. Lebih bahaya lagi jika dia mewakili jemaah kerana nama jemaah akan turut buruk.

Imam Ghazali telah memberi beberapa panduan untuk mengelakkan sikap takbur ini. Apabila berjumpa kanak-kanak, anggaplah mereka lebih mulia daripada kita kerana anak-anak belum dibebani dosa. Apabila berhadapan dengan orang tua pula, anggaplah juga mereka lebih mulia kerana lebih lama beribadah daripada kita. Ketika berjumpa orang alim, anggaplah beliau lebih mulia kerana banyak ilmu dan apabila melihat orang jahil anggaplah juga mereka lebih mulia kerana berbuat dosa disebabkan kejahilan sedangkan kita berbuat dosa dalam keadaan mengetahuinya.

Jika berjumpa orang jahat, jangan anggap kita mulia. Tetapi, katakanlah mungkin orang jahat itu akan bertaubat pada masa tuanya, sedangkan kita belum tahu akhirnya. Begitu juga apabila bertemu orang kafir. Katakan, belum tentu dia akan kafir selama-lamanya.

Lawan sifat sombong ialah tawaduk atau rendah diri. Sekiranya seseorang itu berjaya mengikis sifat sombongnya, akan datanglah sifat tawaduk iaitu sifat terpuji dan disukai oleh Allah s.a.w. Daripada Ibnu Abbas, bersabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud: “Tidak seorang pun kecuali di kepalanya terdapat dua rantai. Satu rantai sampai ke langit ke tujuh, dan satu rantai yang lain sampai ke bumi yang ketujuh. Apabila seseorang itu merendah diri, Allah mengangkatnya dengan rantai ke langit ketujuh dan apabila dia sombong, Allah merendahkannya dengan rantai ke bumi ketujuh.”

Oleh sebab itu, marilah kita bersama-sama belajar bertawaduk kerana ia tidak sedikit pun mengurangkan atau menghina harga diri kita. Allah telah memuji hamba-Nya yang bertawaduk dan mengangkat darjat mereka.

Kupilan daripada mymasjid.com.my – April 2003

P/S : Best jugak yer ghupanya belajo marketing and management nie yer.

Wallahu ‘alam….

--------------------------------------------------------------
Untuk orang-orang yang berusaha menjadikan amalnya baik dikurniakan segala kebaikan serta satu tambahan yang mulia dan air muka mereka pula (berseri-seri) tidak diliputi oleh sebarang kesedihan dan kehinaan. Mereka itulah ahli Syurga, mereka kekal di dalamnya selama-lamanya. (Yunus : 26)