Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami : Perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertakwa. (Al-Furqan:74) akhifaizul Blogging Portal


Wednesday, March 09, 2005

Rekod 17A1 SPM


Alhamdulillah ……
Pencapaian yang menarik dari seorang muslim…


NUR AMALINA menerima ucapan tahniah daripada ibunya, Sabariah.Muka depan akhbar sisipan Berita Harian, Minda Pelajar & Skor edisi 30 Jun - 6 Julai 2004 (gambar bawah) pernah melaporkan keazaman pelajar berkenaan mencatat 17A.

Oleh Srihanasham Noordin (Berita Harian)

JOHOR BAHRU: Tujuh bulan lalu, Nur Amalina Che Bakri dari Sekolah Menengah Ulu Tiram di sini, mencabar dirinya untuk menjadi pelajar Melayu pertama mencipta rekod baru dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), dengan mengambil 17 mata pelajaran.

Hari ini, gadis berusia 17 tahun itu, bukan saja berjaya menyahut cabaran itu, malah mencipta sejarah apabila secara rasmi diumumkan sebagai pelajar terbaik SPM 2004 dengan mendapat 17A1.

Subjek yang diambilnya ialah Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Sejarah, Matematik Moden, Biologi, Kimia, Fizik, Ekonomi Asas, Perdagangan, Prinsip Akaun, Sains Asas, Pendidikan Seni, Tasawur Islam, Kesusasteraan Melayu, Bahasa Inggeris Teknologi, Pendidikan Islam, Matematik Tambahan dan Bahasa Inggeris 1119.

Nur Amalina, yang baru kembali dari program pertukaran pelajar Malaysia-Itali, mengetahui keputusan itu dua hari lalu.

Menteri Pelajaran, Datuk Hishammuddin Hussein dijadual mengumumkan keputusan SPM di sekolahnya petang ini.

Ketika ditemui di rumahnya di Taman Sri Saujana, Kota Tinggi semalam, Nur Amalina berkata, keinginan mencipta rekod baru dalam SPM dengan memperoleh 17A1 menerusi 17 subjek Sains dan Sastera, mendorongnya mencabar diri sendiri untuk membuktikan kemampuan dalam akademik.

Beliau menyifatkan kejayaannya memperoleh keputusan cemerlang itu adalah ganjaran kepada usaha keras dan pengorbanannya dalam menuntut ilmu selama ini.

“Saya bercita-cita tinggi. Saya pernah menonton televisyen pelajar dapat 15A dan 16A (dalam SPM). Jadi, saya ingin cabar diri sendiri untuk dapat 17A. Saya mahu catat rekod baru. Saya memang suka kepada cabaran dan berusaha sedaya upaya untuk mencapainya,” katanya.

Dinding rumahnya dipenuhi bingkai yang mengisi pelbagai sijil kemenangan, penyertaan pertandingan dan keratan akhbar mengenai kejayaannya. Selain berjaya dalam akademik, Nur Amalina aktif dalam pertandingan pidato dan pernah menjuarai Pertandingan Pidato Kelab Pelaburan Bijak Permodalan Nasional Berhad, April tahun lalu.

Nur Amalina turut dipilih sebagai Tokoh Nilam 2004 kerana minatnya membaca buku.

Anak tunggal kepada guru sekolah, Sabariah Hassan 45, dan jurutera Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, Che Bakri Che Mod itu mendapat 5A dalam Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) dan 8A menerusi Penilaian Menengah Rendah (PMR).

Beliau yang gemar membaca, pernah belajar di Kolej Tunku Kursiah, Seremban dan Sekolah Tun Fatimah, Johor Bahru, tetapi kemudiannya mengambil keputusan ke sekolah biasa supaya dapat tinggal bersama ibu dan bapa tirinya, Tukiman Kalam.

“Ramai rakan yang tidak percaya dan kata saya gila kerana hendak ambil 17 subjek tetapi saya tetapkan impian saya. Mahatma Ghandi pernah berkata ‘kepuasan terletak pada usaha, bukan pencapaian’.

“Kalau gagal, tidak perlu takut dan kegagalan banyak mengajar mengenai kehidupan ini,” katanya.

Menceritakan petuanya untuk memastikan minda cerdas, Nur Amalina berkata, dia tidak mengambil minuman bergas, makanan segera dan hidangan daripada organ dalaman haiwan.

“Sebelum mula menjawab soalan peperiksaan, saya akan berselawat dan membaca Bismillah. Saya juga buat solat hajat dan apabila tahu berjaya dapat 17A1, saya tunaikan sujud syukur. Syukur kepada Allah,” katanya.

Nur Amalina yang baru menyambut ulang tahun ke-17 Disember lalu bercita-cita untuk menjadi doktor pakar sakit puan dan menyimpan hasrat melanjutkan pelajaran ke Universiti Oxford, England.

Katanya, beliau juga pernah menyimpan impian untuk menjadi Perdana Menteri wanita yang pertama di negara ini.

Nur Amalina berkata, beliau membuat jadual untuk diri sendiri dan memastikannya dipatuhi dengan penuh disiplin serta menyiapkan semua kerja rumah sebelum mengulang kaji pelajaran.

“Setiap pagi sebaik bangun tidur, saya tetapkan apa yang ingin dibuat hari itu. Contohnya, jika ingin belajar bab tiga Biologi dan tidak akan tidur selagi bab itu tidak selesai diulangkaji,” katanya.

Selain menjadi pengawas sekolah, beliau juga mempunyai masa bersama rakan-rakan seperti remaja lain dengan menonton wayang, berbasikal, melayari internet serta mempunyai ramai rakan dari luar negara yang dikenali menerusi laman sembang.

“Saya suka bertukar pendapat dengan rakan di laman sembang terutama mengenai politik dan peperangan,” katanya.

Mengenai rutin hariannya selepas selesai SPM, Nur Amalina yang baru pulang dari Itali untuk program pertukaran pelajar selama dua bulan, berkata dia banyak menghabiskan masa membaca buku dan novel.

“Saya rasa kosong apabila peperiksaan tamat dan nasib baik bapa saudara saya yang juga seorang doktor memberi beberapa buku perubatan untuk dibaca sebelum masuk universiti,” katanya.

Wallahu ‘alam.
--------------------------------------------------------------
" Dari Abu Hurairah r.a katanya, Nabi SAW pernah bersabda ; “Orang mukmin yang paling sempurna imannya ialah mereka yang paling baik akhlaknya. " (HR Bukhari dan Muslim).

0 Comments:

Post a Comment

Subscribe to Post Comments [Atom]

<< Home