Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami : Perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertakwa. (Al-Furqan:74) akhifaizul Blogging Portal


Thursday, October 26, 2006

Ramadhan dan Syawal yang Ibadat, Bukan Adat.

Sidang Jamaah kaum Muslimin sekalian.

Segala puji bagi Allah, yang telah menghimpunkan kita pada pagi ini, bersama laungan takbir membesarkan-Nya, memuji-Nya dengan pujian yang selayak-layaknya untuk Dia, itulah Allah Tuhan yang kepada-Nya kita menjadi hamba.

Saya bersaksi bahawa tiada keutamaan dalam hidup ini melainkan Allah, Tuhan yang kehendak-Nya mengatasi segala kehendak selain-Nya, Dialah Allah. Ilah tumpuan ibadah kita. Saya bersaksi jua bahawa Muhammad Sallallahu 'alayhi wa Sallam itu Rasul-Nya, yang diutus untuk mengajar kita, bahawa tiada cara untuk beribadah kepada-Nya, melainkan pada Sunnah yang diwariskannya.

Muslimin dan muslimat, rahimakumullah...

Bulan Ramadan telah berlalu. Bulan menguji kesungguhan kita untuk ke Syurga, selepas segala kemudahan diberikan-Nya. Di sepanjang bulan itu, pintu-pintu rahmat dibuka seluas-luasnya, hingga terasa ringan badan dan jiwa untuk beribadah kepada Dia. Pintu-pintu kemurkaan ditutup rapat, sehingga berganda cela dan resah jiwa, bagi yang terfikir untuk mendurhakai-Nya. Bukan sahaja demikian, malah syaitan dirantai untuk mengurangkan potensinya menyesatkan manusia. Semuanya demi membuka peluang, untuk kita berhijrah kepada kebaikan, di bulan yang dipermudahkan jalan kebaikan itu.

Sejauh manakah kita telah peduli kepada peluang itu? Sejauh manakah kita di 1 Syawwal ini sudah berbeza dengan kita di 30 Shaaban itu? Jawapannya terletak pada setiap satu hari di bulan Ramadan yang baru kita tinggalkan, bagaimanakah hari-hari itu kita makmurkan dengan iman, dan muhasabah yang berterusan.

Ketika Allah SWT mengingatkan kepada Adam dan Hawa agar tidak menjamah buah dari pohon larangan di Syurga, Allah SWT telah menyebut di dalam surah al-A'raaf ayat 19: “Dan Wahai Adam! Tinggalah engkau dan isterimu di dalam Syurga serta makanlah dari makanannya semahu apa sahaja yang kamu berdua sukai, dan janganlah kamu hampiri pokok ini. (Jika kamu menghampirinya) maka akan tergolonglah kamu dari orang-orang yang zalim”.

Di dalam suasana Adam dan Hawa itu patuh kepada ketetapan Tuhan, Allah SWT menggunakan perkataan “pohon ini” yang mengisyaratkan kepada dekat. Tetapi lihatlah bagaimana Allah SWT menegur baginda dan isterinya, tatkala mereka terlanjur menjamah buah dari pohon larangan itu:

“Dan Tuhan mereka menyeru mereka: “Bukankah Aku telah melarang kamu berdua dari pokok itu, dan Aku katakan kepada kamu, bahawa Syaitan itu adalah musuh kamu yang nyata?” (Surah al-A'raaf ayat 22)

Ya, di dalam suasana Adam dan Hawa tersilap memilih jalan yang bercanggah dengan kehendak Tuhan, Allah SWT menegur mereka dengan lafaz “pokok itu” yang mengisyaratkan kepada jauh.

Sidang kaum Muslim sekalian,

Inilah hakikat fitrah manusia. Apabila mereka taat dan patuh kepada Allah, mereka akan dekat dengan-Nya. Apabila manusia itu dekat dan hampir dengan Allah, dia akan sentiasa dapat merasai kehadiran Tuhannya itu. Dia mengadab tertibkan perlakuannya seperti seorang yang duduk di hadapan muncung lensa kamera. Gayanya akan dirakam, hasil rakaman itu akan dipertontonkan. Lantas kita membetulkan duduk dan senyum, agar cantik dipandang mata.

Jika kita patuh kepada fitrah manusia dan Ihsan kepada Allah, maka terasanya kita diperhatikan Allah akan menjadikan kita tertib dan berhati-hati, kerana sedar akan setiap perlakuan sedang dirakam, dan bakal dipertontonkan di Mahkamah Mahsyar. Inilah kesan dekatnya hamba kepada Tuhannya.

Akan tetapi, jika manusia melakukan maksiat kepada Allah, mengengkari perintah dan larangan-Nya, maka hakikatnya manusia itu jauh dari Allah. Jauh yang mengundang resah, jauh yang menimpakan rasa sunyi dan terpencil. Atau jauh yang semakin menghilangkan rasa ‘ada’nya Allah dalam hidup ini, lantas jauh itu menambahkan jauh, hingga tiada lagi bantahan untuk manusia itu apabila dia dilemparkan ke neraka Jahannam.

Kerana itulah, ketika Allah menjelaskan tentang hakikat puasa, tentang falsafah dan hukum hakam yang berkaitan dengannya, tiba-tiba di tengah ayat puasa itu, Allah SWT memberitahu: “Dan apabila hamba-hamba-Ku bertanya kepadamu mengenai Aku maka (beritahulah kepada mereka): Sesungguhnya Aku (Allah) sentiasa hampir (kepada mereka); Aku perkenankan permohonan orang yang berdoa apabila ia berdoa kepada-Ku. maka hendaklah mereka menyahut seruanku (dengan mematuhi perintah-Ku), dan hendaklah mereka beriman kepada-Ku supaya mereka beroleh bimbingan." (Al-Baqarah : 186)

Muslimin dan Muslimat sekalian,

Inilah matlamat puasa dan Ramadan. Ia mengajak manusia kembali kepada fitrah asal mereka, iaitu dekat dengan Allah. Di dalam suasana manusia dekat kepada-Nya, mereka akan hidup dengan sedar terhadap adanya Allah. Inilah hakikat Taqwa yang menjadi maksud puasa, iaitu sedar akan Allah dalam setiap perlakuan kita atau disebut sebagaithe Consciousness of the Creator.

Nilaikanlah diri kita di pagi Syawal ini, adakah kita hampir kepada Allah, atau jauh tiada berbeda? Adakah kesan Ramadan itu menjadikan kita semakin teliti di dalam perlakuan seharian lantas sedarnya kita kepada Allah yang dekat itu?

Seandainya kita begitu, maka kitalah sebenarnya golongan ‘Aaideen yang Faa'izeen, iaitu golongan yang pulang kepada Allah dan fitrah penciptaannya, dan mereka itulah pengecap kejayaan hakiki di hari Syawal yang bersyiarkan kemenangan.

Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar.

Kaum Muslimin rahimakumullah,

Di dalam surah al-Baqarah ayat 183, Allah berfirman: “Wahai orang-orang yang beriman! Puasa telah diwajibkan ke atas kamu sebagaimana ia telah diwajibkan ke atas umat sebelum kamu, mudah-mudahan dengan puasa itu kamu bertaqwa”

Di dalam ayat ini, Allah SWT memberitahu kita, bahawa puasa umat Muhammad s.a.w adalah kelangsungan kepada puasa yang juga telah diwajibkan ke atas umat yang terdahulu.

Kesan-kesan amalan berpuasa dari umat yang terdahulu itu, dapat dilihat daripada amalan berpuasa Lent yang diamalkan oleh masyarakat Kristian hari ini. Mari sama-sama kita perhatikan sedikit, bagaimanakah puasa mereka, dan apakah pelajaran yang boleh kita ambil daripadanya.

Sesungguhnya orang Kristian hari ini, mengamalkan puasa Lent itu bermula daripada hari Rabu ke-7 sebelum perayaan Easter. Ini bermakna, mereka berpuasa selama 40 hari bermula daripada Rabu yang dikenali sebagai Ash Wednesday itu, hinggalah kepada Holy Saturday, iaitu hari Sabtu sebelum Easter yang disambut pada sekitar bulan April.

Namun, sebelum mereka mula berpuasa pada Ash Wednesday berkenaan, hari Selasa sebelumnya itu dikenali sebagai Mardi Gras, iaitu perkataan Perancis yang memberikan maksud Fat Tuesday, atau Selasa Gemuk. Dalam erti kata yang lain, hari Selasa itu adalah hari untuk makan dan minum sebanyak dan sepuas-puasnya, sebagai bekalan sebelum 40 hari berpuasa Lent yang bermula keesokan harinya.

Akan tetapi pada hari ini, Mardi Gras itu bukan lagi menjadi hari mereka membanyakkan makan sepuas hati. Ia telah meningkat kepada menjadi hari masyarakat Barat berpesta, berarak di jalanan dengan penuh kemaksiatan, penzinaan dan keaiban. Pada fikiran mereka, hari Selasa mereka berpesta, dan keesokan harinya, mereka berpuasa untuk bertaubat kepada Tuhan.

Alangkah buruknya fikiran seperti ini. Mereka merancang untuk sengaja melakukan dosa, atas kesedaran bahawa dosa itu boleh dihapuskan keesokan harinya melalui amalan tertentu. Perbuatan seperti ini; melakukan dosa dengan sengaja dan kemudian bertaubat tanpa ada sesal terhadap dosa itu, hanya menjadikan seseorang itu semakin lupa dan alpa kepada dosa. Perasaan bersalah terhadap dosa dibunuh, apabila trend mengurangkan rasa berdosa, diterima sebagai biasa yang mengalahkan bisa.

Akhirnya, amalan berpuasa yang datang dari Syariat Taurat dan Injil, tinggal ritual dan berubah dari ibadat kepada adat semata-mata. Ia hanya budaya, dan jauh sekali dari menghasilkan maksud asal puasa itu diwajibkan ke atas manusia.

Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar, Wa Lillahil Hamd,

Sidang jamaah kaum Muslimin sekalian,

Kita umat Islam mungkin berasa sinis dan kesal dengan apa yang menimpa masyarakat Barat itu. Kita mungkin menyindir perlakuan ahli Taurat dan Injil atas kesalahan tersebut. Namun sedarkah kita, bahawa umat Islam hari ini juga amat cenderung dan suka untuk menjejaki perjalanan yang sama.

Al-Bukhari meriwayatkan daripada Abi Said al-Khudri, dari Nabi Sallallahu 'Alayhi wa Salaam yang telah bersabda, “Sesungguhnya kamu pasti akan mengikut langkah-langkah golongan sebelum kamu, sejengkal demi sejengkal, sehasta demi sehasta, hinggakan jika kaum itu masuk ke lubang Dabb sekali pun, kamu akan mengikut mereka”. Aku bertanya, apakah mereka yang diikut itu adalah Yahudi dan Nasrani? Baginda menjawab, “siapa lagi kalau bukan mereka?”

Berapa ramai di kalangan kita yang menyambut Ramadan sebagai ibadat? Berapa ramai pula yang menyambutnya sebagai adat? Berapa ramai di kalangan kita yang meraikan Syawwal sebagai ibadat? Berapa ramai pula yang menghiaskan Syawwal mereka dengan budaya dan adat?

Manusia yang menyambut Ramadan sebagai ibadat akan memenuhkan siang dan malam Ramadan dengan tunduk kepada Allah dan taat. Tetapi manusia yang menyambut Ramadan sebagai adat, mampu berpuasa tanpa sudi mengerjakan Solat. Mereka menunggu waktu berbuka untuk makan, sedangkan Solat Maghrib tidak dipedulikan. Bagaimanakah perlakuan itu boleh diterima sebagai ibadat? Melaksanakan puasa sebagai tingkap dan bumbung Islam, tetapi meninggalkan solat yang menjadi tiang agama? Sungguh ganjil perlakuan itu.

Manusia yang menyambut Syawal sebagai ibadat akan menzahirkan syukurnya kepada Allah dengan Takbir dan Tahmid memuji Allah, dan menimbulkan azam untuk mengekalkan segala perlatihan Ramadan yang telah ditempuh. Akan tetapi, manusia yang menyambut Syawwal sebagai adat, akan mencantas kembali pohon-pohon iman yang telah tumbuh di bulan Ramadan, dengan kembali kepada perhambaan nafsu dan penjajahan syaitan yang membelenggu. Syawwal bukan lagi menjadi gelanggang syukur, malah mengundang syiar engkar dan kufur.

Mana mungkin Syawwal yang ibadat, boleh dipisahkan daripada hak Allah dalam perlaksanaannya? Mana mungkin Syawwal yang ibadat, boleh dipersaudarakan dengan perayaan-perayaan Syirik dan Kufur yang bertentangan dengan kehendak Pemilik Syariat iaitu Allah? Apakah Allah yang disembah melalui Solat, Puasa, Bacaan al-Quran, Tarawih dan Qiyam Ramadan, boleh disatukan dengan tuhan yang disembah melalui berhala, syirik dan kekufuran?

Sesungguhnya Islam menjamin kebebasan beragama, tetapi Islam menentang asimilasi agama. Islam mendidik penganutnya agar tekun melaksanakan perintah agama, dan Islam memberi laluan kepada penganut agama lain mengamalkan kehendak agama mereka.

Akan tetapi, amalan Deeparaya yang dibuat ke atas Deepavali dan Aidilfitri, adalah pengkhianatan kedua-dua penganut agama kepada kepercayaan mereka. Semata-mata atas kehendak perpaduan nasional, prinsip-prinsip agama tidak dihormati dan masing-masing mahu mencorakkan versi baru bagi setiap agama. Apakah demi perpaduan, kita mesti berpadu hingga duduk semangkuk? Tidak mungkinkah perpaduan itu berlaku dengan kita di mangkuk yang berbeza, tersusun di atas satu meja?

“Dan janganlah kamu campur adukkan yang HAQ itu dengan yang BATIL, dan kamu sembunyikan yang benar itu pula padahal kamu semua mengetahuinya.” (Al-Baqarah : 42)

Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar, Wa LillahilHamd.

Muslimin dan Muslimat sekalian.

Perbuatan menukar agama dan ibadat kepada budaya dan adat, bukan sahaja menghilangkan rasa berTuhan dalam kehidupan ini, bahkan ia juga menjurus manusia kepada kekalahan terhadap kehendak hawa nafsu yang membinasakan Tamadun Manusia.

Di akhir-akhir usia Kerajaan Abbasiyah, penduduk Baghdad begitu alpa terhadap agama mereka. Para ulama sibuk mendebatkan perkara yang tidak bermanfaat, malah sebahagian mencipta hadith palsu untuk menampung kehidupan. Rakyat pula begitu tenggelam dalam maksiat, amar makruf dan nahi munkar di abaikan. Mereka begitu ghairah berpesta dan berhibur, hingga sampai ke peringkat kelalaian yang melupakan mereka daripada mengerjakan solat Sunat Aidilfitri, lantas mengqadha'kannya selepas Maghrib pada hari tersebut. Itulah gambaran Baghdad, ibu kota Ummah di era Abbasiyyah.

Tidak lama selepas itu, pada 4 Safar tahun 656H bersamaan dengan 10 Februari tahun 1258M, Kerajaan Abbasiyah yang sedang berada di puncak sains dan teknologi, ketika sedang mewah dengan kehidupan dunia yang penuh dosa, tentera Monggol atau Tatar telah datang dan menghancurkan kota Baghdad serta seluruh bandar dan kampung di sepanjang perjalanan Beijing ke Baghdad, hingga jumlah kematian mencecah 1 juta 800 ribu seperti yang dicatatkan oleh ahli sejarah, atau 1 juta menurut pandangan yang lain.

Inilah teladan sejarah. Budaya hiburan dan pesta menjadikan manusia lupa kepada siapa mereka di hadapan keperkasaan Allah yang Jabbar.

Janganlah diulang sejarah itu. Sebagaimana kita masuk ke bulan Ramadan dengan Iman untuk menghasilkan Taqwa, maka keluarlah dari Ramadan ke bulan Syawwal juga dengan iman dan kualiti Taqwa.

Jika di bulan Ramadan, kita meludah keluar air yang masuk ke mulut ketika mandi, semata-mata atas kesedaran kita terhadap pemerhatian Allah, maka kekalkan keupayaan itu untuk menolak rezeki yang tidak halal untuk kita dalam pekerjaan, biarpun nilainya hanya lima ringgit.

Jika sikap seperti ini boleh wujud hasil Tarbiah puasa, maka tercapailah maksud Ramadan, dan layaklah kita menerima kegembiraan dan kemenangan di pagi Syawwal in.

Abu Saif @ www.saifulislam.com
56000 Kuala Lumpur
1 Syawal 1427H

--------------------------------------------------------------

(Iaitu) orang-orang yang berdoa dengan berkata: "Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya kami telah beriman, oleh itu, ampunkanlah dosa-dosa kami dan peliharalah kami dari azab neraka"(A-li 'Imraan:16)

0 Comments:

Post a Comment

Subscribe to Post Comments [Atom]

<< Home