Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami : Perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertakwa. (Al-Furqan:74) akhifaizul Blogging Portal


Saturday, July 10, 2004

Orang Melayu dan Doa

In The Name of Allah The Most Gracious Most Merciful

Masyarakat melayu yang rata-ratanya beragama Islam adalah begitu sinonim dengan doa. Kita sebagai umat Islam dituntut memperbanyakkan doa. Malahan hampir setiap aktiviti yang kita laksanakan dianjurkan agar dimulakan dengan doa. Bangun seawal pagi untuk mendirikan solat ada doanya, masuk ke dalam tandas ada donya, keluar tandas ada doanya, makan ada doanya, menaiki kenderaan ada doanya, hampir semua aktiviti yang kita laksanakan ada anjuran doanya, antara mahu atau tidak sahaja untuk kita menghafaznya.

Doa muqaddimah dalam majlis-majlis. Adakah ia perlu? Perlu dan tidak perlu adalah jawapannya. Kedua-duanya adalah jawapan yang sesuai untuk menjawab satu persoalan yang pendek ini. Doa dimulakan di dalam sesuatu majlis ilmu bagi mendapat keberkatan dan keredhaan Allah dari ilmu yang dituntut.
Terpanggil untuk menulis darihal doa dalam entry ini adalah untuk berkongsi pendapat saudara Abdul Jalil dalam tulisan beliau yang bertajuk Orang Melayu dan doa. Sebagai umat Islam kita dituntut untuk memperbanyakkan doa. Doa dipohon dengan penuh rasa khusyuk dan tawadhu' dan yakin ianya akan diperkenankan oleh Allah. Dan antara perkara lain yang boleh dikatakan penting dalam berdoa selain 2 perkara yang dinyatakan tadi ialah biarlah perkara yang kita doakan itu perkara yang membawa kebaikan, kita dilarang memohon doa atas perkara keburukan dan kemungkaran. Selain 3 perkara itu, kita diajar adab-adab berdoa. Doa merupakan senjata setiap mukmin.

Doa bukan sahaja dijadikan bahan perantara di antara insan dan al-Khaliq sewaktu kita berada di dalam kesusahan sahaja. Biarlah dalam berdoa kita sentiasa beristiqamah. Tidak kira sewaktu kita susah atau senang kerana kita sebagai manusia sememangnya memerlukan Allah. Kita tidak dapat lari dari hakikat itu. Kita dijadikan olehNya untuk beribadat kepadaNya dan sentiasa mengingatiNya. Apabila manusia ditimpa kesusahan, ia memohon kepada Kami, tengah berbaring, tengah duduk atau tengah berdiri. Tetapi tatkala Kami hilangkan kesusahan itu, lalu ia seolah-olah tiada memohonkan kepada Kami atas kesusahan yang menimpanya. Demikianlah dihiaskan (pandangan baik) kepada orang-orang yang berlebihan terhadap apa-apa yang mereka kerjakan (Yunus : 12)

Ayat ini memperihalkan kekusutan jiwa manusia. Tatkala dalam kesusahan barulah memohon pada Allah, tatkala hajat tercapai mereka lupa hajat mereka dicapai dengan izin Allah. Tanpa keizinan Allah tidak mungkin sesuatu perkara boleh berlaku. Lihat sahajalah saintis-saintis barat yang kufur. Mereka lupa satu elemen yang kejayaan mereka itu merupakan dengan izin Allah. Mari kita lihat, Edison dalam proses mencipta lampunya, dia telah mencuba sebanyak 399 kali, percubaannya yang ke 400 berjaya mendapat keputusan seperti yang dikehendakinya. Setelah berusaha sebanyak 400 kali baru beroleh kejayaan. Tapi Edison lupa bahawa kejayaan yang dimilikinya itu adalah dengan izin Allah. Jika tanpa izin Allah mana mungkin ia berlaku. Di sini mari kita lihat, jika Edison berjaya atas usahanya sendiri, mengapa kejayaan tidak muncul pada percubaannya yang pertama, kedua atau yang ketiga. Mengapa pada percubaan yang ke 400 baru berjaya? Bukankah percubaan memerlukan masa dan perkara ini (mengulangi exp) adalah suatu yang memakan masa. Ini adalah kerana Allah mengizinkan perkara itu berlaku pada percubaan ke 400. Golongan kafir cuba mengabaikan aspek ini. Mereka percaya bahawa kejayaan mereka adalah kejayaan mutlak mereka. Adakah kita mahu menjadi seperti mereka? Sudah pasti tidak.

Berbalik kita pada masyarakat Melayu. Masyarakat Melayu memang mementingkan doa sejak dari zaman dahulu lagi. Pantang ada majlis hampir pasti doa akan dipohon dan dibacakan. Upacara menepung tawar kapal dan jentolak baru pun dimulakan dengan doa, padahal sudah jelas menepung tawar, merencis kunyit dan perkara-perkara yang seumpama dengannya bertentangan dengan ajaran Islam.

Kewajaran berdoa dalam majlis-majlis yang ada unsur-unsur maksiat patut diberi perhatian oleh kita masyarakat Melayu. Sebagai contoh majlis perkahwinan yang diselitkan unsur-unsur maksiat didalamnya adalah sangat tidak wajar dimulakan dengan doa. Contohnya majlis perkahwinan yang diselitkan dengan aktiviti maksiat adalah seperti mengadakan joget lambak, tetamu yang hadir berpakain bertentangan dengan ajaran Islam. Bagaimanakah halnya permohonan kita akan dikabulkan jika terdapat perkara mungkar di dalam majlis yang kita jalankan? Pada dasarnya perkahwinan merupakan suatu perkara yang baik, tiada siapa yang dapat menafikan perkara ini, tetapi ianya boleh bertukar menjadi perkara yang diselubungi maksiat apabila kita terlalu terpengaruh dengan tuntutan masyarakat yang telah mengamalkannya sejak sekian lama. Tuan rumah atau orang yang dijemput untuk membaca doa mendoakan pasangan pengantin beroleh keberkatan dalam mengharungi hidup sebagai suami isteri, tetapi pada masa yang sama majlis itu diselubungi perkara yang dimurkai oleh Allah. Bagaimana ya? Apabila hambaKu bertanya kepada engkau tentang halKu, maka sesungguhnya Aku hampir. Aku memperkenankan doa orang yang meminta, bila ia meminta kepadaKu, tetapi hendaklah ia mengikut perintahKu, serta beriman kepadaKu, mudah-mudahan mereka mendapat petunjuk (al-Baqarah : 186)

Mari kita lihat ayat ini, Allah hampir kepada kita dan Dia memperkenankan doa hamba-hambaNya, TETAPI bersyarat!!!!! Syaratnya seperti yang dinyatakan di atas. Mengikut perintahKu dan beriman kepadaKu. Adakah dalam majlis seperti dinyatakan diatas boleh dikategorikan sebagai mengikut perintahNya. Sama-samalah kita renungkan dan mengambil pengajaran dari beberapan keping wahyu ini. Jangan kita jadikan contoh perkahwinan sahaja dalam berdoa ini. Dalam kehidupan seharian kita juga hendaklah kita berusaha bersungguh-sungguh mengikut perintahNya. Mungkin doa kita tidak diangkat oleh Allah kerana kesilapan kita dalam melaksanakan tuntutan ajaran Islam.

Satu lagi contoh klasik yang diketengahkan oleh saudara Abdul Jalil ialah ; sebelum memotong riben pada majlis perasmian satu ekspo perdagangan, doa dibacakn oleh tokoh agama. Antara isi kandungan doa ialah memohon kesempurnaan, keselamatan dan keberkatan sepanjang ekspo berjalan. Apa agaknya status doa berkenaan apabila sepanjang ekspo selama sebulan itu acara-acara hiburan termasuk memilih ratu ekspo, juga ada pelbagai permainan yang berbentuk perjudian? Mungkin setelah membaca ayat al-Baqarah 186 kita dapat menafsirkan status doa yang dibacakan. Walau apa pun tafsiran kita, termakbulnya sesuatu doa adalah hak mutlak Allah. Kita manusia hendaklah kita sentiasa mengingatiNya dan memohon kepadaNya.

Semoga kita muslimin dan muslimat sentiasa beroleh taufik dan hidayahNya….. ameennn..

HOME

0 Comments:

Post a Comment

Subscribe to Post Comments [Atom]

<< Home