Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami : Perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertakwa. (Al-Furqan:74) akhifaizul Blogging Portal


Wednesday, April 19, 2006

Respon rakyat Malaysia yg Prihatin

Alhamdulillah, beginilah sikap yang patut ditunjukkan oleh setiap individu muslim di negara kita. Moga-moga draf bangang itu tidak menjadi kenyataan. Dibawah sy pastekan tiga surat yang ditulis di dalam ruangan akhbar Berita Harian hari ini.
--------------------------------------------

Pergaulan bebas patut disekat

SAYA tertarik dengan laporan akhbar semalam bahawa pihak berkuasa tempatan (PBT) akan hanya dibenarkan mengambil tindakan terhadap individu atau pasangan yang berbogel atau membuka pakaian untuk melakukan sesuatu yang menjurus kepada perlakuan seksual di tempat awam.

Selaku mahasiswa Islam, saya begitu tersentuh dengan kata-kata Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan yang berkata penguat kuasa PBT hanya boleh mengambil tindakan terhadap mereka yang berbogel atau ‘membuka baju untuk melakukan sesuatu’ kerana ia didefinisikan sebagai perbuatan lucah melampau.

Pada hemat saya, elok kiranya menteri berkenaan merujuk kepada tokoh agama tidak kira Islam mahu pun agama lain sebelum menyiapkan draf itu sepenuhnya. Perkara ini begitu penting kerana draf itu dilihat kurang sensitif kepada dasar agama.

Sebagai contoh dalam Islam, umat Islam dilarang mendekati perbuatan zina. Oleh itu, jika kita lihat secara kasar daripada laporan akhbar semalam seolah-olah ada pula perkara lucah yang ‘halal’ dan ada perkara lucah yang ‘tidak halal’.

Di samping itu, jika diteliti draf berkenaan, ia seolah-olah menggalakkan gejala sosial seperti pergaulan bebas di kalangan masyarakat masa kini. Perkara yang paling saya bimbangkan ialah masyarakat terutama mahasiswa yang boleh menyalahgunakan kenyataan menteri itu dan mereka bebas untuk meraba-raba asalkan tidak berbogel atau membuka baju.

Jika dirujuk pada prinsip pertama Islam Hadhari sendiri pun ia menekankan kepada keimanan dan ketakwaan kepada Allah. Tambahan pula Islam Hadhari juga menjadi teras kepada Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK 9).

Oleh itu, sewajarnya apabila kita hendak menetapkan sesuatu ketetapan mestilah kita merujuk kepada sensitiviti agama terlebih dulu. Saya berharap kementerian berkenaan akan mengambil kira pandangan rakyat terutama masyarakat Islam dalam merangka peraturan itu.

ASHABULYAMIN AYOUB,
Universiti Putra Malaysia.

--------------------------------------------

Abim tak setuju garis panduan

ANGKATAN Belia Islam Malaysia (Abim) memohon kerajaan mengkaji semula draf awal garis panduan yang disediakan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan yang antara lain membenarkan pihak berkuasa tempatan (PBT) mengambil tindakan hanya apabila ada individu atau pasangan yang berbogel atau membuka pakaian untuk melakukan sesuatu yang menjurus kepada perlakuan seksual di tempat awam.

Abim berpendapat draf awal garis panduan itu yang dikemukakan melalui kenyataan media oleh menteri berkenaan tidak selari dengan realiti dan tuntutan budaya dan agama masyarakat Malaysia.

Peruntukan itu boleh disalahtafsirkan kerana ia akan menjurus kepada interpretasi perlakuan seksual. Perlakuan moral yang kurang sesuai boleh juga berlaku tanpa menunggu pelaku membuka baju atau berbogel.

Abim mencadangkan kerajaan mengadakan rundingan yang komprehensif dengan semua pihak, terutamanya badan bukan kerajaan (NGO), tokoh masyarakat, generasi muda dan kelompok strategik bagi mendefinisikan perlakuan lucah.

Realiti masyarakat majmuk di negara ini tidak memungkinkan definisi yang mudah dan bersifat stereo taip, namun kerajaan perlu mengambil kira pandangan arus perdana dan pendapat daripada mereka yang memahami fitrah dan lunas budaya serta agama sebelum garis panduan yang jelas diputuskan.

Rujukan pada instrumen hak asasi manusia antarabangsa hanya akan menjadi relevan selepas realiti dan tuntutan budaya dan agama masyarakat Malaysia diambil kira sepenuhnya.

Bagi masyarakat Islam yang menjadi sebahagian besar penduduk di negara ini, tindakan kawalan moral adalah salah satu cara untuk menjalani kehidupan mengikut batas yang ditentukan agama.

Masyarakat Islam, apabila melihat sesuatu masalah moral atau sosial mempunyai hak mencadangkan tindakan kawalan moral yang bersifat non-punitif. Tindakan ini bagaimanapun harus dilakukan dalam kerangka perundangan sesuatu komuniti dan dengan kebenaran pihak berkuasa.

Setiap orang Islam dan bukan Islam harus mengalu-alukan mana-mana percubaan munasabah untuk memperbaiki kualiti moral masyarakat. Kualiti moral yang terjaga sebenarnya adalah tindakan untuk melindungi masyarakat daripada masalah moral yang lebih serius.

Abim menegaskan kita harus mengelakkan anggota masyarakat daripada terbabit dalam tindakan moral yang tidak dapat diterima hingga terpaksa menurut negara Barat seperti Britain yang terpaksa memperkenalkan Perintah Perlakuan Anti-Sosial untuk mengawal perlakuan yang menimbulkan ketidakselesaan kepada masyarakat umum.

Oleh kerana masyarakat Malaysia masih berhemah tinggi dan mengikut lunas ketimuran dan keagamaan, maka kerajaan seharusnya lebih berhati-hati dalam merangka dan mendefinisi perlakuan lucah agar dasar kebebasan semata-mata tidak menjadi landasan utama penentuan perlakuan lucah.

Sikap pertanggungjawaban dan rasa hormat yang tinggi, toleransi beragama dan kesesuaian perlakuan perlu menjadi kayu ukur di dalam penentuan perlakuan lucah.

Abim percaya masyarakat mendambakan peruntukan undang-undang yang membendung budaya kurang sesuai dengan adab ketimuran dan lunas keagamaan seperti bercium di khalayak ramai, berpeluk dalam suasana yang keterlaluan di antara pasangan belum berkahwin dan sebagainya.

Peruntukan memelihara perlakuan berkenaan di khalayak ramai tidak akan memberi kesan kepada pelancongan tetapi menambahkan lagi rasa hormat masyarakat antarabangsa kepada kita oleh kerana mempunyai jati diri yang bersesuaian dengan realiti dan tuntutan budaya dan keagamaan.

KHAIRUL ARIFIN MOHD MUNIR
Setiausaha Agung
Abim Pusat, Kuala Lumpur.

--------------------------------------------

Kurang sopan ikut tafsir ulama

MERUJUK laporan akhbar bahawa pihak berkuasa tempatan (PBT) akan hanya dibenarkan mengambil tindakan terhadap individu atau pasangan yang berbogel atau membuka pakaian di tempat awam berdasarkan draf awal Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Persatuan Pegawai Agama Negeri Perak berpendapat adalah lebih wajar jika pihak terbabit turut mendapatkan pandangan ulama atau ilmuan Islam dalam menyediakan draf berkenaan.

Kami berpendapat isu berkelakuan tidak sopan di khalayak ramai adalah isu yang akan membabitkan sentimen hidup beragama di negara ini.

Pihak yang bertanggungjawab menyediakan draf berkenaan perlu menghormati pandangan dan pegangan majoriti penduduk negara ini yang beragama Islam dan menghayati wawasan Perdana Menteri melalui gagasan Islam Hadhari. Selain itu Perdana Menteri adalah juga Pengerusi Pertubuhan Persidangan Negara Islam (OIC).

Sudah sampai masanya tanggungjawab untuk melahirkan watak insan yang baik, kompeten, menjaga tatasusila hidup beragama dan adat ketimuran perlu dilihat secara serius untuk digalas bersama-sama dan tidak hanya dibebankan kepada agensi agama saja kerana secara dasarnya tugas amar makruf dan nahi mungkar adalah tanggungjawab setiap individu.

Walaupun penguatkuasaan undang-undang Syariah hanya boleh dikuatkuasakan ke atas umat Islam, orang bukan Islam pun perlu diselamatkan daripada kehancuran akal budinya kerana realitinya kita sama-sama hidup dalam sebuah negara yang sama.

Seperti yang dilaporkan oleh akhbar semalam, draf berkenaan tidak menyentuh mengenai isu bercium atau berpeluk di tempat awam.

Kami berpandangan draf berkenaan perlu diperhalusi lagi kerana unsur berpeluk dan bercium di khalayak ramai adalah gejala tidak sihat dan menyalahi hukum agama serta menjadi contoh tidak baik kepada anak kita.

Kami berpandangan negara ini tidak akan lebih dikenali dan disegani semata-mata terlalu liberal sehingga membiarkan perkara tidak senonoh itu sewenang-wenangnya berlaku di hadapan mata tanpa ada teguran.

Jika tindakan hanya boleh diambil terhadap mereka yang berbogel atau ‘membuka baju untuk melakukan sesuatu’, kami rasa itu sudah terlambat dan amat keterlaluan. Rasanya tiada mana-mana bangsa pun berasa selesa dengan keadaan itu.

Janganlah kerana beriya-iya untuk menarik pelancong asing ke negara ini dan takut menjejaskan Kempen Tahun Melawat Malaysia 2007, kerajaan terpaksa menggadaikan maruah bangsanya sendiri.

Sebaliknya kita boleh membuktikan kepada dunia bahawa kita boleh memajukan negara kita sendiri berdasarkan acuan kita tanpa meniru budaya asing lagi pun yang mereka ingin lihat dari negara kita bukanlah aksi liar di khalayak ramai.

Mereka sudah biasa dengan adegan itu di negara mereka tetapi sebenarnya mereka mahu melihat keunikan negara ini yang berbilang kaum tetapi mampu mempertahankan kesopanan dan kesusilaan sesuai dengan falsafah Rukun Negara.

ZAMRI HASHIM,
Yang Dipertua
Persatuan Pegawai Agama Perak.


Nota Kaki:
1. Jadual Kuliah Sekitar Bandar Baru Bangi dan Kajang untuk Bulan April 2006
2. Jadual Kuliah Dr Asri Zainul Abidin untuk bulan April 2006 di sekitar Lembah Klang.
--------------------------------------------------------------

Lalu Kami (adakan jalan) mengambil Firaun bersama-sama tenteranya, kemudian Kami humbankan mereka ke dalam laut, sedang ia berkeadaan tercela.(Adz-Dzaariyaat:40)

0 Comments:

Post a Comment

Subscribe to Post Comments [Atom]

<< Home