Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami : Perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertakwa. (Al-Furqan:74) akhifaizul Blogging Portal


Sunday, April 02, 2006

Berjimat tapi jangan sampai kedekut

FIRMAN Allah Taala bermaksud: "Dan janganlah kamu jadikan tanganmu terbelenggu pada lehermu dan janganlah kamu terlampau menghulurkannya, kerana itu kamu menjadi tercela dan menyesal. Sesungguhnya Tuhanmu melapangkan rezeki kepada siapa yang Dia kehendaki dan menyempitkannya; sesungguhnya Dia Maha Mengetahui lagi Maha Melihat akan hamba-hamba-Nya." (al-Isra':29-30)

Ayat ini mengajar umat Islam agar dapat mengurus kehidupan ekonomi mereka dengan sebaik-baiknya iaitu dengan cara berbelanja secara berjimat-cermat dan sederhana, tidak bersifat boros membazir dan juga bakhil kedekut.

Ungkapan (jadikan tanganmu terbelenggu pada lehermu) dalam ayat di atas adalah bermaksud bakhil kedekut, sementara ungkapan (terlampau menghulurkannya) pula bermaksud boros membazir. Di sini jelas menunjukkan bahawa Islam tidak menggalakkan umatnya bersikap melampau terutama dalam soal berbelanja. Terlampau sempit iaitu bakhil dan terlampau luas iaitu boros, kedua-duanya sifat buruk dan negatif pada pandangan Islam.

Yang baiknya ialah pertengahan di antara kedua-duanya iaitu bersifat sederhana.

Rasulullah SAW dalam sebuah hadisnya menyatakan bahawa : “Tiada miskin orang yang berjimat cermat”. [Hadis riwayat Imam Ahmad melalui Abdullah bin Mas'ud].

Berjimat cermat bukanlah bererti bakhil, kerana bakhil itu dicela dalam Islam. Antara dalil yang membuktikan bahawa bakhil itu tidak disukai Islam ialah sabda Rasulullah saw bermaksud: “Pada setiap hari akan turun dari langit kepada hamba-hamba Allah dua Malaikat yang salah satunya berdoa: Ya Allah Engkau berilah kepada orang yang berbelanja (hartanya pada jalan Allah) gantinya, dan satu Malaikat lagi berdoa: Ya Allah, Engkau berilah kepada orang yang bakhil itu kebinasaan.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim melalui Abu Hurairah) dan sabdanya lagi bermaksud:

“Jauhilah kamu daripada kedekut, kerana binasanya umat sebelum kamu, disebabkan mereka menyuruh bersikap bakhil, memutus silaturahim dan melakukan kejahatan.“ (Hadis riwayat Abdullah bin Umar)

Sebaliknya Islam menggalakkan kita berbelanja dan bersedekah, sabda Nabi saw bermaksud: “Tiada kurang harta dengan sebab sedekah, dan pasti Allah akan menambahkan ketinggian kepada seorang hamba yang berbelanja, dan sesiapa yang merendah diri kerana Allah, pasti Allah akan meninggikannya.”(Hadis riwayat Muslim)

Daripada penjelasan di atas dapatlah disimpulkan bahawa Islam adalah agama yang bukan hanya mementingkan akhirat semata-mata, tanpa mengambil kira kehidupan dunia seseorang. Justeru itu, ia mengajar dan mendidik manusia agar berhemat dalam berbelanja supaya hidupnya tidak tercela. Sekiranya ia bakhil kedekut, dia akan dicela semua orang dan tiada yang suka kepadanya.

Sebaliknya juga sekiranya dia terlalu boros membazir, berbelanja di luar batas kemampuannya sehingga akhirnya jatuh miskin, akibatnya ditimpa penyesalan. Sekali gus, al-Quran mengingatkan kita bahawa segala harta yang ada di tangan kita itu adalah milik Allah, merupakan amanah-Nya yang perlu dijaga dan ditunaikan kepada yang berhak. Kita wajib berbelanja sepenuhnya mengikut panduan yang diberikan-Nya tanpa rasa syak dan ragu-ragu. Justeru kerana itu, Allah menegaskan melalui ayat-Nya di atas ( Sesungguhnya Dia melapangkan rezeki kepada siapa yang Dia kehendaki dan menyempitkannya).

Dialah Maha memberi rezeki, meluas dan menyempitkannya, Mengurus segala makhluk ciptaan-Nya dengan apa yang dikehendaki-Nya. Dia berhak memberi kekayaan kepada siapa yang dikehendaki-Nya, dan juga memfakirkannya, mengikut hikmah yang ada pada-Nya. Sebagaimana terdapat sebuah hadis yang bermaksud:" Sesungguhnya antara hamba-hamba-Ku ada mereka yang tidak sesuai baginya melainkan kefakiran, sekiranya Aku memberikannya kekayaan nescaya ia merosakkan agamanya. Dan ada di antara hamba-hamba-Ku yang tidak sesuai baginya melainkan kekayaan, sekiranya Aku memiskinkannya, nescaya ia akan merosakkan agamanya".

Kadang-kadang kekayaan itu pada setengah orang sebagai tipu-daya dan kefakiran pula sebagai seksaan dan balasan Allah. Semoga Allah SWT menjauhkan kita daripada kedua-dua keadaan itu.

Artikel OlehDr Abdul Rashid Ahmad

Nota Kaki:
1. Jadual Kuliah Sekitar Bandar Baru Bangi dan Kajang untuk Bulan April 2006
2. Jadual Kuliah Dr Asri Zainul Abidin untuk bulan April 2006 di sekitar Lembah Klang.
--------------------------------------------------------------

(Ingatlah), ketika orang-orang munafik dan orang-orang yang ada penyakit di dalam hatinya berkata: `Mereka itu (orang-orang mu`min) ditipu oleh agamanya`. (Allah berfirman): `Barang-siapa yang bertawakkal kepada Allah, maka sesungguhnya Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana`. (Al-Anfal : 49)

0 Comments:

Post a Comment

Subscribe to Post Comments [Atom]

<< Home