Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami : Perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertakwa. (Al-Furqan:74) akhifaizul Blogging Portal


Friday, April 07, 2006

Apakah bezanya antara seorang Muslim dengan Kafir?

Yang pertama adalah pengetahuan dan yang kedua perbuatan ataupon boleh disebut amalan. Pengetahuan bererti bahawa seorang Muslim harus tahu siapa TuhanNya, apa perintah-perintahNya, bagaimana cara-cara untuk menuruti kehendakNya, perbuatan-perbuatan mana yang disukaiNya dan mana yang tidak disukaiNya. Bila ia sudah tahu akan hal-hal tersebut, maka langkah yang kedua ialah bahawa ia harus menjadikan dirinya sebagai hamba ciptaan Tuhannya, melaksanakan kehendak-kehendakNya dan mengabaikan kemahuan-kemahuannya sendiri. Bila hatinya ingin melakukan sesuatu perbuatan, tetapi perbuatan itu bertentangan dengan perintah Tuhannya, maka ia harus melepaskan keinginannya sendiri dan melaksanakan perintah Tuhannya.

Apabila suatu perbuatan kelihatan mulia di matanya, tetapi Tuhannya mengatakan bahawa perbuatan itu hina, maka ia harus memandangnya hina pula. Sebaliknya, bila suatu perbuatan nampak hina dimatanya, tetapi Tuhannya mengatakan mulia, maka ia harus memandangnya mulia pula. Apabila ia melihat bahawa sesuatu pekerjaan mengandung bahaya, tetapi TuhanNya mengatakan bahawa pekerjaan itu harus dilakukan, maka bagaimanapun juga ia mesti mengerjakannya, walaupun ia mungkin akan kehilangan harta benda bahkan nyawanya.

Sebaliknya, apabila ia memandang bahawa sesuatu pekerjaan akan mendatangkan keuntungan baginya, tetapi Tuhannya melarang pekerjaan tersebut, maka ia harus meninggalkannya, walaupun pekerjaan tersebut boleh mendatangkan keuntungan sebanyak harta benda yang ada di seluruh dunia ini. Inilah pengetahuan dan perbuatan yang menjadikan seorang Muslim sebagai hamba Allah yang sejati, yang mendapat limpahan rahmatNya serta kedudukan yang luhur mulia. Sebaliknya, kerana seorang kafir tidak memiliki pengetahuan ini, ia dimasukkan ke dalam golongan hamba Allah yang membangkang dan tidak mendapat limpahan rahmatNya.

Sekarang, seandainya ada seseorang yang menyatakan dirinya seorang Muslim, tetapi ia sama bodohnya tentang Islam dengan seorang kafir, dan sama pula penentangannya kepada Allah, dapatkah kita mengatakan dengan menggunakan pertimbangan yang adil, bahawa kedudukannya lebih tinggi daripada seorang kafir, semata-mata kerana ia memiliki nama yang berbeza, memakai pakaian yang berbeza dan memakan makanan yang berbeza dengan orang kafir tersebut?

Dan apa pula alasannya untuk mengatakan bahawa ia berhak memperoleh rahmat Allah di dunia dan di akhirat? Islam bukanlah sesuatu yang bersifat kebangsaan, kekeluargaan atau persaudaraan yang secara langsung diwarisi dari orang tua kepada anak dan dari anak kepada cucu.

Kedudukan sebagai seorang Muslim tidaklah diperoleh kerana keturunan sebagaimana halnya kasta, di mana anak seorang Brahmana akan tetap memperoleh kedudukan yang tinggi, walaupun betapa bodoh dan jahat perangainya, kerana ia memang lahir dalam keluarga Brahmana yang berkedudukan tinggi. Sementara itu, anak dari orang tua berkasta rendah akan tetap berkedudukan rendah, kerana memang ia lahir di tengah-tengah keluarga yang berkasta rendah. Dalam hal ini Allah telah menyatakan dalam KitabNya:“... Sesungguhnya orang yang paling mulia di antaramu di sisi Allah ialah orang yang paling bertaqwa di antara kamu... " (al-Hujerat:13)


Ertinya, semakin banyak orang mengetahui tentang Allah dan semakin mentaati perintahNya, maka akan semakin tinggi pulalah kedudukannya di mata Allah. Mari kita ambil iktibar dari dua contoh di bawah. Kita ambil contoh Nabi Allah Ibrahim yang dilahirkan di tengah-tengah keluarga seorang penyembah berhala, tetapi beliau mengenal Allah dan mentaati perintahNya. Itulah sebabnya Allah mengangkatnya sebagai imam seluruh dunia. Anak Nabi Nuh dilahirkan dalam keluarga seorang nabi, tetapi ia tidak mengerti tentang Allah dan tidak mentaati perintahNya.Itulah sebabnya mengapa Allah menghukumnya sedemikian rupa tanpa mempedulikan keluarganya, hingga kisahnya menjadi contoh bagi seluruh dunia.

Kerana itu marilah kita fahami benar-benar bahawa apa pun perbezaan yang ada diantara seorang manusia dengan manusia yang lain, dalam pandangan Allah hal itu berhubungan erat dengan pengetahuan dan perbuatan. Baik di dunia ini mahupun di akhirat nanti, rahmat Allah dilimpahkan kepada mereka yang mengerti akan Allah, tahu jalan yang benar yang ditunjukkanNya, dan melaksanakan perintah-perintahNya. Mereka yang tidak memenuhi syarat-syarat ini sama sahaja kedudukannya dengan mereka yang kafir, dan tidak berhak memperoleh rahmatNya, tidak peduli mereka benama Abdullah, Abdurrahman, Joni atau Kartar Singh.

Artikel Oleh Abul A’la al-Maududi dari buku bertajuk Dasar-Dasar Islam

Nota Kaki:
1. Jadual Kuliah Sekitar Bandar Baru Bangi dan Kajang untuk Bulan April 2006
2. Jadual Kuliah Dr Asri Zainul Abidin untuk bulan April 2006 di sekitar Lembah Klang.
--------------------------------------------------------------

(Ingatlah), ketika orang-orang munafik dan orang-orang yang ada penyakit di dalam hatinya berkata: `Mereka itu (orang-orang mu`min) ditipu oleh agamanya`. (Allah berfirman): `Barang-siapa yang bertawakkal kepada Allah, maka sesungguhnya Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana`. (Al-Anfal : 49)

0 Comments:

Post a Comment

Subscribe to Post Comments [Atom]

<< Home