Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami : Perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertakwa. (Al-Furqan:74) akhifaizul Blogging Portal


Saturday, February 11, 2006

Nasyid : Ke Mana Haluannya?

Terasa ingin berkongsi satu artikel dari Majalah Milenia Muslim Februari 2006. Kepada pembaca blogku, kalau dapat kiranya kalian membeli majalah ini, dan jika berkemampuan langganlah majalah ini. InsyaAllah bermanfaat, banyak artikel ilmiah terkandung dalam majalah ini.
------------------------------

Muzik, sejak dari dahulu lagi telah menjadi alat bagi manusia untuk melahirkan perasaan mereka. Samaada perasaan ini berbentuk rindu, marah, kecewa, cinta, suka, duka mahupun rungsing, manusia telah memilih muzik sebagai medium untuk melahirkannya kepada orang lain. Samada muzik itu berbentuk lagu, gurindam, syair, sajak alunan alat-alat muzik, bunyian suara yang diubahkan, ketukan kayu, geseran besi dan apa sahaja yang dapat mengeluarkan bunyi dan juga menyampaikan maksud si empunya perasaan, ianya akan dijadikan medium tersebut.

Pendek kata manusia dan muzik tidak dapat dipisahkan. Malah Islam turut meraikan muzik yang wujud sejak dari hari Rasulullah SAW diutuskan menjadi Rasul lagi. Cukuplah perbincangan Dr. Yusuf al-Qardhawi di dalam bukunya “Malaamih al-Mujtama’ al-Muslim alladhi nunsyiduhaa” dan perbincangan ringkas tetapi padat oleh Dr. Abdul Karim Zayda di dalam ensiklopedianya, “al-Mufassal li Ahkaam al-Mar ah wa Bayt al-Muslim”.

Di sini bukanlah ruang untuk dibincangkan hukum mengenai muzik yang penuh dengan khilaf dan perbincangan. Cukuplah kita mengambil pendapat majoriti ulama kontemporari yang mengharuskan penggunaan alat muzik dengan bersyarat.

Persoalan utama yang ingin dibawa di sini ialah isu genre muzik nasyid di tanahair kita yang tidak membawa suara masyarakat. Tidak dinafikan awal kemunculan genre muzik nasyid di zaman OVA (Odio Video al-Arqam) di tahun-tahun 80’an adalah menjadi suara kepada arus dakwah yang begitu hebat melanda Malaysia. Nasyid menjadi muzik alternative dan juga medium penyampaian mesej dakwah kepada masyarakat. Barangsiapa yang menafikan kejayaan muzik nasyid di waktu tersebut , mereka adalah naïf dan jahil ataupun buta sejarah.

Lihatlah penampilan al-Arqam dengan penampilan serba konservatif dan melawan arus (berserban tebal, berjubah kasar, berpurdah hitam seumpama khemah dan bercelak mata) telah berjaya mendapatkan pengikut-pengikut untuk direkrut.

Hakikatnya, bidang kesenian, terutamnya nasyid yang dipelopori al-Arqamlah yang menjadi daya penarik utama masyrakat untuk menyertai gerakan itu. Samada mereka tertarik dengan senikata, dengan rentak dan nada lagu, persembahan atau konsert-konsert Islamik yang dibawa oleh al-Arqam. Kesimpulannya nasyid menjadi suara setengah rakyat untuk menyampaikan mesej mereka dan juga menjadi alternative untuk berdakwah.

Tidak kurang juga dengan nasyid-nasyid dakwah, tarbiyah dan jihad yang dihasilkan oleh Pustaka Salam yang dipelopori oleh anasir-anasir IRC (Islamic Representative Council) yang merupakan graduan-graduan UK (sekarang kebanyakan mereka menyertai JIM). Nasyid-nasyid Arab dan melayu yang dihasilkan oleh mereka mesej dan suara bagi golongan “haraki” (jangan baca hara-kiri, itu sudah membawa maksud lain). Mesej yang ingin mereka mungkin agak berbeza dengan kumpulan massonic al-Arqam yang menjadikan dakwah utama mereka untuk menantikan al-Mahdi.

Kumpulan IRC pula telah menjadikan nasyid sebagai medium untuk menyampaikan suara mereka kepada masyarakat untuk menegakkan daulah, syariat, kepentingan berdakwah, jihad Palestine dan juga tarbiyyah.

Generasi 90’an pula telah meneruskan perjuangan kumpulan al-Arqam dan juga IRC di dalam bidang nasyid. Di kala majority penuntut-penuntut di IPT dalam dan luar Negara dilanda arus PAS, kebanyakan aktivis dakwah PAS telah menjadikan nasyid sebagai medium melaungkan hasrat mereka untuk menegakkan hudud, mengajak masyrakat menyertai PAS, menegaskan PAS sebagai jemaah yang paling utama, menkritik kerajaan yang tidak Islamik dan juga kepentingan menegakkan syariat.

Di Mesir, Jordan dan IPT-IPT tempatan, kumpulan-kumpulan nasyid pro-PAS melahirkan album-album nasyid yang membawa mesej ini. Pendekatan nasyid masih lagi menjadi alternative untuk membawa mesej sesetengah kelompok di dalam masyarakat ke arah dakwah dan juga tarbiyyah.

Di penghujug tahun 90’an dan juga di millennium yang baru, nasyid menempuh era yang baru. Bermula dengan The Zikr (yang kemudian melalui metaformosis menjadi “Raihan”) ke dalam dunia hiburan konvensional, kumpulan-kumpulan nasyid lain mula mengekori jejak langkah mereka, Nasyid mula memasuki arus perdana muzik selama ini dimonopoli oleh ahli maksiat dan juga mereka-mereka yang lalai serta jauh daru arus dakwah dan Islam. Sambutan yang tidak terhingga telah diberikan kepada Raihan.

Buktinya, sehingga kini rekod jualan kaset mereka masih belum dapat ditandingi, hatta oleh Siti Nurhaliza sekalipun. Mawi yang menjadi kegilaan anak-anak muda sekarang (orang tua pon ramai juga yang menggilai mamat yang sorang ni) sehingga kini masih belum dapat menandingi rekod Raihan. Mana tidaknya, Raihan diminati bukan hanya oleh rakyat Malaysia, malah masyrakat muslim di Asia Tenggara dan juga muslim serata dunia.

Antara peminat mereka termasuklah mamat-mamat Negro muslim di Haarlem di US dan di Edgwer Street di UK. Bayangkan tidak pernah muncul di dalam sejarah Malaysia, sekumpulan rakyat Malaysia yang mempunyai jutaan peminat dari serata dunia seumpama Raihan, sayangnya tidak ada seorang sultan pun di Malaysia yang sedar perkara ini lantas mengiktiraf jasa tidak terhingga Raihan unyuk diberikan kepada mereka pangkat Datuk. Jika hendak dibandingkan jasa Raihan mengharumkan nama Malaysia di luar negara dengan Datuk M. Daud Kilau, ianya adalah umpama langit dengan kerak mantel bumi. Sayangnya, mengapa tidak ramai yang mempunyai akal untuk memikirkan perkara ini? Kesimpulannya, kejayaan Raihan telah mencetuskan satu era baru bagi muzik genre nasyid, nasyid mula memasuki alam komersial.

Selepas Raihan, muncuk kumpulan2 nasyid yang lain. Samada dari kalangan pelajar-pelajar IPT(terutamanya di UIA yang dikenali sejak dari dulu, kini dan selamanya sebagai lubuk nasyid) mahupun dari kalangan peminat seni nasyid yang lain. Yang pasti, muzik dari genre nasyid telah muncul menyemarakkan industri nasyid negara ibarat cendawan lepas hujan. Dengan kebanjiran kumpulan-kumpulan nasyid di seluruh negara, meraka telah memasuki fasa kedua bagi era nasyid moden, iaitu era kompetatif di antara kumpulan2 nasyid.

Demi menyaingi di antara satu sama lain, setiap kumpulan tercari-cari imej sendiri. Di dalam pencarian imej, nasihat syarikat rakamanlah yang menjadi firman dan sabda mereka. Nilai komersil dan permintaan pasaran menjadi salah satu daripada rukun iman bagi nasyid era moden. Tiada lagi mesej dakwah secara serius, jika ada pun di dalam satu lagu sahaja. Yang menjadi tema utama ialah cinta makhluk, cinta monyet dan cinta kampus.

Tidak cukup dengan mesej cintan bukan mahram yang dihalalkan ini, mereka terpaksa menghiaskan lagu-lagu tersebut dengan muzik hiper rancak demi mencari pasaran dan kelainan. Barangsiapa yang mengamati keadaan masyarakat, sudah ada trend baru di kalangan anak-anak muda “Islamik” di IPT-IPT. Jika dulu golongan dakwah dan surau dari kalangan mamat-mamat berkopiah dan minah tudung litup amat menjaga pergaulan dan batasan di antara bukan mahram, kini segalanya telah dihalalkan oleh firman2 dan sabda2 kumpulan nasyid era moden.

Walau apa pun yang telah terjadi terhadap industri nasyid tanah air, yang pasti nasyid di zaman moden pasca Raihan tidak lagi menjadi alternative untuk membawa agenda tertentu. Nasyid juga gagal menjadi suara rakyat dan masyarakat. Nasyid juga gagal membawa rakyat dengan menjadi media untuk kritikan sosial dan protes kepada nasib rakyat. Pelbagai isu yang berlegar di dalam masyarat nasyid gagal menjadi suara untuk merubahnya.

Persoalan rasuah, pecah amanah, salah guna kuasa, korupsi pemerintah, riba, rogol, jenayah yang meningkat, kemunculan Islam Liberal, gejala moral di kalangan remaja dan pelbagai isu di dalam masyarakat tidak diambil peduli oleh kumpulan nasyid. Mungkin kebanyakan mereka sibuk memikirkan lagu2 cinta yang dapat menarik ramai pembeli kaset mereka, ataupun sibuk menghasilkan lagu-lagu yang akan dapat memastikan mereka meraih anugerah2 yang sering dianjurkan oleh pelbagai pihak.

Lagu-lagu rap nyanyian orang kulit hitam boleh dijadikan contoh bagaimana mereka berjaya menjadikan muzik sebagai saluran untuk menyuarakan ketidak puashatian mereka terhadap dasar kerajaan dan juga dasar perkauman. Kumpulan seperti Soldeirs of Allah merupakan mereka yang berjaya menggunakan muzik dari genre hip hop untuk membawa mesej kepada umat. Mungkin penyanyi Poe mantan penyanyi kumpulan “Rampa” lebih berjaya di dalam menyuarakan suara rakyat kepada dasar pemerintah berkaitan tol suatu masa dahulu.


Mengapa tida suara nasyid yang mewakili suara rakyat untuk mengkritik kenikan tol dan harga minyak yang tidak munasabah? Begitu juga kumpulan ahli fiqir melalui lagu angguk-angguk dari satu sudut sebenarnya menjadi suara rakyat mengkritik sikap masyarakat yang menjadi pak turut dan rela diri mereka diperlaku tanpa berfikir dan bertindak. Terlalu banyak isu yang boleh disentuh oleh kumpulan nasyid di Malaysia demi mewakili suara rakyat.

Ketika arus Islam Liberal sedang mula menampakkan belangnya mutakhir ini, samada ianya berbentuk anti-hadis, feminis melampau, orwellianisme, totalitarian, kumpulan kecewa reformasi dan pelbagai bentuk lagi liberalisme ide, kita ternanti-nantikan kemunculan mana2 kumpulan nasyid yang benar2 ingin membela Islam dan membidas penyelewengan ini….. ternyata sehingga kini tiada satu pun yang muncul. Akhirnya, kita sedar bahawa kumpulan2 nasyid moden di Malaysia ini semuanya hanya mencari makan…. Dan TIDAK JANTAN!!

Oleh : Maszlee Malik, Milenia Muslim, Februari 2006

Nota Kaki:
1. Jadual Kuliah Dr Asri Zainul Abidin untuk bulan Februari 2006 di sekitar Lembah Klang.
2. Jadual Kuliah Sekitar Bandar Baru Bangi dan Kajang untuk Bulan Februari 2006
3. Jadual Kuliah Surau al-Hidayah, Bandar Kinrara, Puchong untuk Bulan Februari 2006
----------------------------------------------------------
Dan Musa berkata: `Jika kamu dan orang-orang yang ada di muka bumi semuanya mengingkari (ni'mat Allah) maka sesungguhnya Allah Maha Kaya lagi Maha Terpuji.(Ibrahim:8)

0 Comments:

Post a Comment

Subscribe to Post Comments [Atom]

<< Home