Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami : Perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertakwa. (Al-Furqan:74) akhifaizul Blogging Portal


Friday, February 24, 2006

Mimbar Jumaat:Budaya Hiburan Melampau "Cabaran dan Tindakan Kita"

Sidang Jumaat sekalian yang di hormati Allah sekalian,

Marilah sama-sama kita ingat mengingati sesama kita agar terus berusaha untuk memperteguhkan lagi keimanan dan ketakwaan kita kepada allah s.w.t. Sesungguhnya manusia yang paling mulia disisi allah s.w.t adalah mereka yang paling tinggi takwanya kepada allah s.w.t sebagaimana firmannya:

Sesungguhnya orang yang paling mulia diantara kamu disisi allah s.w.t ialah orang yang paling bertakwa”.(Al-Hujurat:13)

Sidang Jumaat yang dihormati Allah sekalian,

Marilah sama-sama kita renungkan satu persoalan mengenai “Budaya hiburan yang melampau”, yang sedang melanda umat Islam hari ini.

Suatu ketika pernah Rasulullah s.a.w mengingatkan kita bahawa orang mukmin sentiasa berada diambang menghadapi lima dugaan, antaranya ialah:

1. Orang mukmin yang dengki kepadanya

2. Golongan munafik yang benci kepadanya

3. Orang-orang kafir yang memerangi

4. Syaitan yang menyesatkan

5. Nafsu yang sering bertarung untuk mengalahkannya

Dalam realiti kehidupan dunia tanpa sempadan dan dunia yang semakin kecil ini, kita tidak dapat lari dari cabaran global yang begitu pantas melanda bagaikan ombak besar tsunami. Berbagai isu dan persoalan diseluruh dunia kini dapat dicapai dan dirasai kesannya dalam masa beberapa minit sahaja.Semuanya boleh diperolehi dengan hanya duduk diatas kerusi dan dihujung jari sahaja.

Musuh-musuh Islam sentiasa memikir dan merancang strategi untuk merosak dan memusnahkan Islam. Kajian mereka mendapati bahawa keimanan dan keyakinan umat Islam terhadap agama mereka adalah begitu teguh dan mantap sekali. Mereka mengakui bahawa umat Islam adalah penganut agama yang paling sukar dimurtadkan.

Kajian mereka juga merumuskan bahawa formula baru untuk memusnahkan umat Islam bukanlah dengan cara menggunakan senjata, kereta kebal atau peluru, tetapi cukuplah sekadar menjauhkan dan memesongkan mereka dari ajaran agamanya. Strategi yang digunakan ialah dengan memberikan mereka hiburan sebaik-baiknya. Hiburan yang banyak akan melekakan umat Islam terutama sekalian golongan muda, remaja dan belia. Kehidupan berpoya-poya yang penuh dengan kelazatan dan keseronokan, hiburan sepanjang hari siang dan malam, akan menjauhkan hidup mereka dari gaya hidup beragama.Apabila mereka telah leka,mereka akan melupakan ajaran dan peraturan agama mereka.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah sekalian,

Hakikat tentang kehidupan dunia yang penuh dengan keseronokan dan hiburan ini telah diperingatkan oleh allah s.w.t beberapa kali dalam al-quran, dengan firmannya:

“Kehidupan dunia ini hanyalah main-main dan berseronok, dan sesungguhnya negeri akhirat itu lebih baik bagi orang yang bertakwa, tidakkah kamu memahami hal lain?”(Al-An'aam :32)

Ayat yang hampir sama, dalam surah al-Ankabut ayat 64 Allah mengingatkan lagi tentang realiti hidup dimuka bumi ini.

Tidakkah pernyataan Allah s.w.t tidak meyakinkan kita lagi?. Firmannya:

“Sesungguhnya kehidupan dunia hanyalah permainan dan gurau senda, jika kamu beriman dan bertakwa, Allah akan memberikan pahala kepada kamu dan tidak akan meminta harta-hartamu”. (Muhammad:36)

Untuk memahami perkara ini dengan lebih jelas lagi, marilah kita renungkan pula ayat berikut dengan firman allah s.w.t :

“Ketahuilah bahawa sesungguhnya kehidupan dunia ini hanyalah permainan dan suatu yang melalaikan, perhiasan dan bermegah-megah antara kamu serta berbangga-bangga tentang banyaknya harta dan anak-pinak”. (Al-Hadid : 20)

Sidang Jumaat yang dihormati Allah sekalian,

Persoalan utama yang cuba diketengahkan disini ialah tentang budaya hiburan yang melampau dan berlebih-lebihan dikalangan generasi muda umat Islam. Fenomena ini semakin sukar dikawal dan meluru deras merempuh segenap lapisan masyarakat.Keadaan ini jika tidak segera dibendung dibimbangi akan menyemarakkan lagi wabak penyakit sosial yang telah sedia parah, bahkan banyak permasalahan yang melibatkan muda mudi Islam kita seperti lari dari rumah, pergaulan bebas, sumbang mahram,perzinaan,buang anak,penagihan pil khayal dan dadah,selain itu jenayah juvana juga bukanlah lagi menjadi rahsia kepada masyarakat umum, bahkan kadangkala orang-orang yang mempunyai asas didikan agama pun boleh tumbang dirempuh badai seperti ini.

Hari ini kita berdepan dengan budaya berhibur yang luar biasa. Kita diperkenalkan dengan berbagai jenis hiburan yang sangat mempesona dan mengasyikkan. Masyarakat kita begitu seronok dan teruja yakni terangsang dengan gaya hiburan realiti masa kini. Media massa dan masyarakat Islam kita menerimanya dengan ghairah sekali. Mereka sanggup mengadap television berjam-jam tanpa rasa jemu dan bosan, mereka rela menghabiskan wang untuk mengirim sms bagi mengundi bintang-bintang pujaan mereka yang telah diciptakan.

Malangnya diantara mereka yang agak keberatan dengan memandang sepi apabila disuakan atau diajukan tabung-tabung derma untuk membantu mangsa-mangsa peperangan dan kebuluran, pesakit-pesakit golongan miskin, membantu pesakit kanser dan pengidap aids, pembinaan sekolah-sekolah, masjid-masjid dan sebagainya.

Apa yang membimbangkan kita ialah seperti yang disuarakan oleh profesor diraja Engku Aziz apabila generasi muda kita tidak lagi berminat untuk menimba ilmu pengetahuan, minda mereka semakin lesu dan tidak bermaya untuk berfikir, apatahlagi untuk memikirkan persoalan-persoalan besar dan berat, sedangkan bangsa-bangsa dan penganut agama lain berlumba-lumba menimba ilmu pengetahuan, untuk memperbaiki kehidupan mereka bagi memburu kecemerlangan dalam dunia hari ini, sebaliknya anak-anak muda kita terus hanyut dibawa arus deras terkapai-kapai tanpa haluan.

Sidang Jumaat dihormati Allah sekalian,

Islam tidak melarang dan memusuhi hiburan. Hiburan yang berpada-pada dan mengikuti peraturan syariat adalah dibolehkan. Jiwa yang duka nestapa eloklah dihiburkan.Badan yang letih lesu juga perlu dihiburkan.Dalam sirah Nabawiyah, catatan menunjukkan bahawa terdapat ramai sasterawan dan ahli pemuisi yang handal, mereka pandai melagukannya untuk santapan pendengar dan peminat.Penduduk Madinah Al-Munawarah adalah masyarakat yang sukakan kesenian.Mereka pandai mencipta lagu-lagu yang sedap didengar dan merangsang semangat jiwa yang lesu.

Begitu juga semasa Rasulullah s.a.w dan rombongan tiba dari Mekah ke Madinah, baginda telah disambut dengan alunan nasyid dan diiringi dengan paluan kompang yang sungguh gamat dan meriah.Jelasnya hiburan bukanlah sesuatu yang diharamkan secara mutlak,asalkan ianya tidak bertentangan dengan peraturan syariat.

Sidang Jumaat sekalian,

Dikesempatan yang amat baik ini, marilah sama-sama kita muhasabah diri kita agar menjadi insan Rabani yang diimpikan.Langkah awal yang patut dimulakan islah:

1. Berpadalah dalam berhibur dan sekadar perlu sahaja, kerana Rasulullah s.a.w sering berpesan kepada kita agar bersederhana dalam melakukan perkara-perkara yang harus seperti hiburan dan sebagainya.

2. Didiklah anak-anak dengan peraturan syariat dan dasar-dasar Islam yang betul. Bimbinglah dan dampingilah mereka dengan kasih sayang serta berhemah.Bertolak-ansur dalam perkara yang diharuskan dan bertegaslah dalam perkara yang diharamkan.

Semoga segala usaha dan amal yang kita lakukan sentiasa diberkati,disamping itu berdoalah semoga kita dimasukkan kedalam golongan mukmin yang sentiasa diredhai oleh allah s.w.t dengan beroleh kebahgiaan hidup didunia dan diakhirat.

Ya-Allah , kurniakanlah kehormatan dan keselamatan, penjagaan dan perlindungan, kesuburan dan penghasilan, keatas negeri kami, negeri Selangor Darul Ehsan.Jadikan rakyatnya bersatu-padu, berilmu pengetahuan dan berakhlak mulia, lindungi kami daripada persengketaan,perpecahan,fitnah-memfitnah dan bencana alam. Semoga dengan demikian negeri Selangor dan rakyatnya bertambah makmur dan berkat.

Sumber : Jabatan Agama Islam Selangor, 24 Februari 2006

Nota Kaki:
1. Jadual Kuliah Dr Asri Zainul Abidin untuk bulan Februari 2006 di sekitar Lembah Klang.
2. Jadual Kuliah Sekitar Bandar Baru Bangi dan Kajang untuk Bulan Februari 2006
3. Jadual Kuliah Surau al-Hidayah, Bandar Kinrara, Puchong untuk Bulan Februari 2006
--------------------------------------------------------------

(Ingatlah) suatu hari (yang di hari itu) Kami panggil tiap umat dengan pemimpinnya, dan barangsiapa yang diberikan kitab amalannya di tangan kanannya maka mereka ini akan membaca kitabnya itu, dan mereka tidak dianiaya sedikitpun. (al-Israaa:71)

0 Comments:

Post a Comment

Subscribe to Post Comments [Atom]

<< Home