Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami : Perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertakwa. (Al-Furqan:74) akhifaizul Blogging Portal


Friday, February 10, 2006

Mimbar Jumaat : Larangan Meraikan Hari Meningati Kekasih

Sidang Jumaat yang Berbahagia,
Marilah kita bertakwa kepada Allah s.w.t dengan sebenar-benar takwa iaitu dengan mematuhi suruhannya serta meninggalkan larangannya, dan takutlah bahawa sesungguhnya azab Allah s.w.t adalah suatu yang pasti bagi orang-orang yang ingkar dan ianya adalah terlalu dasyat untuk dihadapi.

Sidang Jumaat yang dihormati,

Sejak kebelakangan ini, keruntuhan akhlak para remaja Islam telah sampai pada satu tahap yang membimbangkan. Kegiatan-kegiatan sumbang,tidak sihat serta salah laku semakin menjadi-jadi seperti yang dilaporkan oleh media massa dan ada juga yang berlaku didepan mata kita. Lebih membimbangkan apabila golongan yang ramai terjebak dalam masalah sosial adalah para remaja dan belia, yang menjadi harapan bangsa dan agama masa hadapan.

Para remaja dan belia merupakan aset negara yang amat berharga, yang bakal menjadi pemimpin, walaupun sekurang-kurangnya sebagai pemimpin dalam keluarga. Mereka wajib mengisi dada dengan ilmu dan iman bagi mempersiapkan diri sebagai pelapis pemimpin negara serta keluarga dan bukannya hanya asyik leka dengan keseronokan duniawi. Akibat keruntuhan ini, sekirannya tidak dibendung, pasti akan membawa kepada kerugian dan kehancuran keluarga, masyarakat,bangsa,agama dan negara. Kegagalan menghayati ajaran Islam dan kemasukkan budaya tidak sihat yang dibawa oleh golongan yang memusuhi Islam mempercepatkan lagi kehancuran umat Islam dan peradabannya.

Syahadah yang pernah kita lafazkan mengandungi ikrar bahawa tiada tuhan melainkan Allah serta Nabi Muhammad s.a.w itu pesuruh Allah,tetapi mengapa kita gagal menghayati tuntutan tersebut? Sebaliknya lebih banyak terpengaruh dengan ciri-ciri ajakan dan meniru cara hidup musuh-musuh Islam, terutamanya golongan Yahudi dan Nasrani Laknatullah, yang berkiblatkan hasutan iblis dan syaitan.
Minggu hadapan apabila masuknya tarikh 14 Febuari, adalah tarikh yang diingati oleh sebahagian golongan muda-mudi. Pasti kita lihat nanti, akan ramai anak remaja Islam yang turut meraikan tarikh tersebut sebagai Valentine's Day. Mimbar jumaat hari ini mengingatkan, bukannya untuk kita meraikan hari tersebut, sebaliknya biarlah ia berlalu begitu sahaja.

Sidang Jumaat yang dihormati,

Nabi s.a.w pernah ditanya oleh sahabat tentang siapakah yang terselamat diakhirat kelak?

Jawab Baginda,
Mereka itu adalah golongan yang menuruti perjalananku dan perjalanan para sahabatku.

Harus diingatkan Valentine's Day ini bukan amalan yang disuruh oleh nabi atau para sahabatnya Tabiil At-Tabiin atau para solihin, adalah sangat malang lagi bila mana Valentine's Day ini diraikan oleh pasangan muda-mudi yang bukan mahran serta direstui pula oleh ibubapa yang jahil tentang hukum-hukum agama.Pasangan kekasih ada kalanya meraikan hari Valentine's Day ini hingga berakhir di pub-pub,disko-disko,hotel-hotel dan berpenghujung dibilik-bilik sehingga berlakunya zina, yang kononnya sebagai tanda cinta kepada pasangan kekasih yang mereka sayangi.

Sidang Jumaat yang dihomati,

Sebagai seorang Islam yang beriman, siapakah kekasih yang seharusnya kita agung-agungkan? Sebagai umat Islam kita hendaklah menjadikan Allah dan Rasulullah s.a.w itu sebagai kekasih utama, kemudiannya ibu bapa yang melahirkan serta membesarkan kita.

Tedapat tiga tanda untuk mendapat kemanisan iman iaitu,
1. Cinta kepada Allah dan Rasul lebih dari seisi dunia.
2. Kasih dan benci sesuatu kerana Allah.
3. Terlalu takut kepada kekufuran serta cukup takut dilontar kedalam api neraka.

Jika sudah berani keluar dengan pasangan bukan muhrim, sanggup dipeluk dan dibelai oleh pasangan yang bukan muhrim, sanggup menggadai kesucian diri untuk orang yang dianggap sebagai kekasih tanpa ikatan nikah, adakah perilaku ini dianggap sebagai kasih kerana Allah dan takut pada api neraka Allah?.

Sidang Jumaat yang dihormati,

Valentine's Day itu diambil dari nama seorang paderi yang begitu berpengaruh di zaman pemerintahan ratu dari Sepanyol. Terdapat beberapa variasi bagaimana Valentine's Day dikaitkan dengannya, namun sekurang-kurangnya terdapat dua variasi yang telah dicatat dalam sejarah.

1. Valentino adalah orang terpenting ratu Isabella yang berjasa menumpaskan kerajaan Islam Cordova, Sepanyol. Ratu Isabella dan seluruh rakyat menganggap dia sebagai kekasih, lalu 14 Febuari itu diraikan sebagai tanda kemenangan dalam menyembelih dan menumpaskan umat Islam serta memadamkan cahaya Islam di Sepanyol.

2. Sebelum mencapai kejayaannya menumpaskan Islam, Valentino dikatakan mempunyai dua orang kekasih. Kekasih pertamanya beragama Islam dan kekasih keduanya beragama Kristian. Memandangkan berlainan agama, maka dia terpaksa melupakan kekasihnya Islam dan menumpukan kepada kekasih keduanya yang berfahaman Protestan. Apabila beliau berjaya menumpaskan kerajaan Islam di Cordova Sepanyol, maka Ratu Isabella bertanya kepadanya, apakah bentuk ganjaran yang ingin dikurniakan atas kejayaanmu itu?. Lantas Valentino menyatakan keinginannya untuk mengahwini kekasihnya, yang berfahaman protestan itu. Permintaan ini menimbulkan kemarahan pada Ratu Isabella dan juga rakyat Cordova kerana Valentino merupakan paderi Katolik sedangkan kekasihnya seorang Protestan , tambahan pula beliau adalah seorang paderi ia sememangnya tidak boleh berkahwin. Atas kemurkaan inilah beliau dipenjarakan, tetapi sebagai mengenangkan jasa paderi ini maka tarikh 14 Febuari dianggap sebagai "Hari Mengingati Kekasih".

Di barat, hari kekasih bermaksud hari tersebut para pasangan kekasih bebas melakukan apa sahaja. Mereka bukan sahaja bertukar bunga-bungaan, malah mereka akan melakukan perkara yang berada diluar batas moral manusia dan akhirnya berlaku perkara yang tidak sepatutnya mereka lakukan. Agak bahaya budaya ini telah dijadikan sebagai gaya hidup pada golongan muda-mudi kita masa kini. Firman Allah s.w.t :
"Dan belanjakanlah (apa yang ada pada kamu) kerana menegakkan agama Allah, janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kedalam bahaya kebinasaan,baikilah perbuatan kamu, kerana sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berusaha supaya baik amalannya".(Al-Baqarah : 195)

Sidang Jumaat yang berbahagia,

Amalan menyambut Hari Valentine's ini, jelas bertentangan dengan Islam dan hari yang tidak dimuliakan oleh Islam. Hari yang asasnya bukan dari akidah yang benar, malah sesiapa dikalangan umat Islam yang meraikannya samalah seperti dia meraikan perjuangan seorang paderi yang telah berjaya meruntuhkan Islam dibumi Allah di sepanyol itu.

Meraikan Valentine's Day juga seolah kita mengiktiraf perilaku seseorang kasanova Valentino yang mengheret dua kekasih dalam satu masa. Hari kekasih yang dibawa oleh musuh-musuh Islam ini tanpa disedari bertujuan untuk melekakan dan merosakkan akhlak umat Islam. Sedarlah, bahawa budaya ini bukan budaya Islam. Budaya ini adalah kudis yang membawa barah kerosakkan dalam masyarakat kita, yang mana kumannya dikirim oleh musuh-musuh Islam dalam agenda mereka untuk memusnahkan khususnya para remaja Islam. Sewajarnya kita lebih menghayati dan meraikan kekasih kita -Habibullah- iaitu Nabi Muhammad s.a.w yang telah menyinari kehidupan manusia dari kegelapan kepada cahaya seluruh alam.

Ya-Allah , kurniakan kehormatan dan keselamatan, penjagaan dan perlindungan ,kesuburan dan penghasilan, keatas negeri kami, negeri selangor darul ehsan. Jadikan rakyatnya bersatu padu, berilmu pengetahuan dan berakhlak mulia,lindungi kami daripada persengketaan, perpecahan,fitnah memfitnah dan bencana alam. Semoga dengan demikian negeri selangor dan rakyatnya bertambah makmur dan berkat.

Khutbah Jumaat Jabatan Agama Islam Selangor, 10 Februari 2006.
------------------------------

InsyaAllah jika ada kesempatan terasa nak menulis mengenai topik Valentine Day ini, masa mungkin tidak mengizinkan buat masa ini, jika ada kesempatan akan ku tulis kekecewaan ku mengenai sambutan Valentine Day di Malaysia. Apa yang bulih kukatakan aku kecewa sangat-sangat.

Nota Kaki:
1. Jadual Kuliah Dr Asri Zainul Abidin untuk bulan Februari 2006 di sekitar Lembah Klang.
2. Jadual Kuliah Sekitar Bandar Baru Bangi dan Kajang untuk Bulan Februari 2006
3. Jadual Kuliah Surau al-Hidayah, Bandar Kinrara, Puchong untuk Bulan Februari 2006
----------------------------------------------------------
Sesungguhnya Syaitan adalah musuh bagi kamu, maka jadikanlah dia musuh (yang mesti dijauhi tipu dayanya); sebenarnya dia hanyalah mengajak golongannya supaya menjadi dari penduduk neraka.(Faatir:6)

0 Comments:

Post a Comment

Subscribe to Post Comments [Atom]

<< Home