Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami : Perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertakwa. (Al-Furqan:74) akhifaizul Blogging Portal


Friday, February 17, 2006

Mimbar Jumaat : Antara Perjuangan dan Ujian

Sidang Jumaat sekalian,
Marilah sama-sama kita mempertingkatkan ketakwaan kepada Allah s.w.t dengan mengerjakan segala suruhannya dan meninggalkan segala larangannya, mudah-mudahan kita semua akan beroleh kebahgiaan hidup didunia dan diakhirat. Firman Allah s.w.t :
“Ada diantara manusia, orang yang mengambil selain dari Allah s.w.t (untuk menjadi) sekutu-sekutu Allah, mereka mencintai (memuja dan mentaatinya) sebagaimana mereka mencintai Allah, sedang orang-orang yang beriman itu lebih cinta kepada Allah s.w.t." (Al-Baqarah : 165)

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian,
Dunia kita hari ini dipenuhi dengan propaganda cinta manusia. Kita sering dihidangkan dengan kisah-kisah cinta melalui drama,filem,teater mahu pun cerpen dan novel-novel. Ini termasuk lagu-lagu yang sebahagian besarnya membawa tema-tema cinta antara dua manusia, lelaki dan wanita. Lebih malang lagi, sebahagian besar lagu-lagu itu memainkan emosi dan ilusi manusia-manusia yang kecewa dan gagal dalam perhubungan cinta mereka. Tidak ketinggalan juga, nasyid-nasyid kontemporari terikut-ikut dengan rentak mendendangkan lagu tema-tema cinta, meski pun disertai ingatan tentang batasan syariat.

Hasilnya, masyarakat kita hari ini, khususnya golongan remaja menggunakan cinta. Mereka menjadikan sebahagian besar dari masa mereka untuk cinta, sehingga lahirlah ungkapan-ungkapan seperti "Cinta itu suci", "Perjuangan cinta", "Cinta yang sedang diuji", : Cinta anugerah Allah", "Dugaan cinta" dan sebagainya. Fenomena ini turut menyebabkan sesetengah golongan yang tidak dapat mengawal emosinya didalam cinta sehingga menjejaskan kehidupan mereka. Tidakkah kita merasa pelik, ada orang yang tidak lalu makan dan minum kerana cinta?. Adakah wajar seorang remaja ponteng sekolah hanya kerana kecewa dalam percintaan?. Bagi sesetengah golongan pula, mereka mendapat motivasi untuk belajar, bekerja mahu pun berjuang dari hubungan cinta dengan manusia yang berlainan jantina.

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian,
Islam tidak menyekat atau mengahalang cinta sesama manusia. Namun al-Quran menjelaskan kedudukan cinta antara dua manusia berlainan jantina tidak lebih dari sebagai ujian.Cinta itu adalah ujian dari Allah s.w.t untuk melihat dikalangan hambanya, siapakah yang berjaya mengawal dirinya, tidak musnah menjadi korban cinta. Firman Allah s.w.t:
“Dihiaskan (dan dijadikan indah) kepada manusia kesukaan kepada benda-benda yang diingini nafsu, iaitu perempuan-perempuan dan anak-pinak, harta benda yang banyak bertimbun-timbun, dari emas dan perak, kuda peliharaan yang bertanda lagi terlatih, dan binatang-binatang ternak serta kebun-kebun tanaman. Semuanya itu ialah kesenangan hidup didunia. Dan (ingatlah), pada sisi Allah s.w.t ada tempat kembali yang sebanyak-banyaknya (iaitu syurga)”(Ali-Imran : 14)

Oleh itu, seseorang muslim tidak sewajarnya tenggelam dalam cinta nafsu sehingga mengabaikan tanggungjawab atau melanggar batas syariat. Sebaiknya, mereka perlu menghindari cinta yang hanya membuang masa, lalai dalam keindahan dunia yang sementara. Firman Allah s.w.t:
“Katakanlah : Mahukah supaya aku khabarkan kepada kamu akan yang lebih baik daripada semuanya itu?, iaitu bagi orang-orang yang bertakwa disediakan disisi Tuhan mereka beberapa syurga yang mengalir dibawahnya sunga-sungai, mereka kekal didalamnya. Disediakan juga isteri-isteri yang suci bersih serta keredhaan dari Allah. Dan (ingatlah) Allah sentiasa melihat akan hamba-hambanya”. (Ali-Imran:15)

Hadis Rasulullah s.a.w juga menjelaskan kepada kita hakikat ujian cinta dengan sabdanya: “Kasihilah orang yang engkau kasihi sekadarnya, mungkin dia akan menjadi orang yang engkau benci suati hari nanti. Bencilah orang yang engkau musuhi sekadarnya, mungkin dia akan menjadi kesayanganmu pula suatu hari nanti".(Riwayat at-Tarmizi)

Firman Allah s.w.t : “Allah tidak sekali-kali menjadikan seseorang mempunyai dua hati dalam rongga dadanya, dan ia tidak menjadikan isteri-isteri yang kamu "Zihar"kan itu sebagai ibu kamu, dan ia juga tidak menjadikan anak-anak angkat kamu, sebagai anak kamu sendiri. Segala yang kamu doakan mengenai perkara-perkara yang tersebut itu hanyalah perkataan kamu dengan mulut kamu sahaja. Dan (ingatlah) Allah menerangkan yang benar dan dialah juga yang memimpin kejalan yang betul.(Al-Ahzab: 4)

Ini bererti , segala ungkapan yang sering disebut dalam lamunan cinta hanyalah rekaan manusia semata-mata. Ia bukanlah suatu perkara benar selain cinta kepada Allah s.w.t dan Rasulullah s.a.w. Ungkapan "Cinta itu suci" adalah tidak benar, kerana cinta sepasang kekasih sering dicemari maksiat. Tidak ada "Perjuangan cinta", kerana perjuangan manusia sering terhalang kerana cinta. Kata-kata sepasang kekasih "Cinta kita sering diuji" adalah tidak benar, kerana sebenarnya mereka yang sedang diuji Tuhan dengan perasaan cinta. Demikian juga, tidak ada "Dugaan cinta". Apa yang ada hanyalah rasa cinta yang sedang menduga keimanan manusia.

Sidang Jumaat sekalian,
Cinta naluri seperti yang dinyatakan dalam al-Quran tadi, tidak mempunyai nilai disisi Allah s.w.t. Cinta kepada wanita (atau wanita kepada lelaki), cintakan anak, harta, kenderaan, ternakan dan ladang pertanian adalah cinta naluri yang menjadi hiasan dalam kehidupan.

Cinta yang mendapat pahala dan ganjaran dari Allah s.w.t adalah cinta yang dibina dan dipupuk. Cinta manusia kepada Tuhannya tidak lahir secara semula jadi. Ia perlu dipupuk melalui ketaatan, zikir dan pengorbanan.

Apabila manusia mengorbankan perasaan dan kepentingan dirinya semata-mata untuk mematuhi perintah Allah s.w.t, dia akan merasai kemanisan iman kepada Allah s.w.t dan Rasulullah s.a.w : “Ada tiga perkara, siapa yang memilikinya akan merasai kemanisan iman, apabila Allah s.w.t dan Rasulnya lebih dikasihi dari selain keduanya. Apabila dia mengasihi seseorang hanya kerana Allah s.w.t. Apabila dia merasa benci untuk kembali menjadi kufur, seperti bencinya dia di campak ke dalam api neraka". (Riwayat Bukhari)

Rasulullah s.a.w sendiri menunjukkan contoh yang tepat, baginda mengenepikan cintanya kepada manusia kerana mendahulukan cinta kepada Allah s.w.t. Sabda Rasulullah s.a.w :
“Kalaulah aku boleh menjadikan sesiapa sebagai kekasihku, nescaya aku pilih Abu Bakar sebagai kekasih. Namun, dia adalah saudaraku dan sahabatku. Dan Allah s.w.t telah (lebih dahulu) menjadikan aku sebagai kekasihnya".(Riwayat Muslim)

Ya-Allah, kurniakan kehormatan dan keselamatan, penjagaan dan perlindungan, kesuburan dan penghasilan, keatas kami, negeri Selangor Darul Ehsan. Jadikan rakyat bersatu padu, berilmu pengetahuan dan berakhlak mulia, lindungi kami daripada persengketaan,perpecahan,fitnah memfitnah dan bencana alam. Semoga dengan demikian negeri selangor dan rakyatnya bertambah makmur dan berkat.

17 Februari 2006
Sumber : Jabatan Agama Islam Selangor
Nota Kaki:
1. Jadual Kuliah Dr Asri Zainul Abidin untuk bulan Februari 2006 di sekitar Lembah Klang.
2. Jadual Kuliah Sekitar Bandar Baru Bangi dan Kajang untuk Bulan Februari 2006
3. Jadual Kuliah Surau al-Hidayah, Bandar Kinrara, Puchong untuk Bulan Februari 2006
--------------------------------------------------------------

“Wahai orang-orang yang beriman! Ta’atilah kepada Allah dan taatlah kepada rasul dan pemerintah-pemerintah dari golongan kamu. Kemudian jika kamu bertentangan pendapat mengenai sesuatu persoalan, maka rujukkanlah kepada Allah (al-Quran) dan rasul (as-Sunnah) jika kamu benar-benar beriman kepada Allah dan kepada hari Akhirat. Tindakan itu adalah lebih baik untuk kamu dan lebih elok akibatnya.” (An-Nisa’:59)

0 Comments:

Post a Comment

Subscribe to Post Comments [Atom]

<< Home