Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami : Perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertakwa. (Al-Furqan:74) akhifaizul Blogging Portal


Monday, February 06, 2006

Hijrah Mengangkat Martabat Umat Islam

Bagi kaum Quraish Makkah, mereka tidak pernah terfikir bahawa akan muncul di kalangan mereka seorang tokoh yang tiada bandingannya dalam sejarah manusia. Tokoh itu bukan sekadar mengubah nasib mereka, malah mampu meningkatkan taraf manusia sejagat serta mengeluarkan mereka daripada kekufuran kepada cahaya petunjuk, daripada bangsa yang tidak bertamaddun dan lemah kepada bangsa disegani. Mereka juga tidak terfikir akan wujud daripada bangsa mereka seorang pemimpin yang sangat berwibawa yang mampu mendirikan sebuah pemerintahan yang kuat, disamping membentuk suatu ummah yang mampu menghadapi segala cabaran dan rintangan zaman.

Nabi Muhammad s.a.w. mengembangkan agama Islam di tanah Arab dan berjaya mewujudkan perpaduan di kalangan masyarakat yang sekian lama berpecah sesama sendiri begitu juga baginda berjaya mewujudkan persaudaraan dan keamanan di rantau itu sehingga lahir satu ummah yang cemerlang dalam sejarah umat manusia.

Hijrah dari segi sejarah bukanlah suatu perkara baru yang dicipta oleh Rasulullah s.a.w. tetapi ia adalah sunnah dan cara hidup nabi dan rasul yang terdahulu, bermula, sejak Ibrahim a.s hinggalah kepada Isa a.s Peristiwa hijrah nabi Ibrahim disebut dalam Quran, yang bermaksud : “Sesungguhnya aku (Ibrahim) akan berhijrah ke (tempat Yang diperintahkan) Tuhanku (kepadaku), sesungguhnya Dialah Yang Maha Perkasa Lagi Maha Bijaksana” (surah al Ankabut : 26).

Sejarah merakamkan penghijrahan Ibrahim, bersama isterinya, Sarah dan anak saudaranya Nabi Lut dari Iraq ke Huran dan seterusnya ke Palestin, manakala Lut pula berhijrah ke kampung Sadum. Musa pula berpindah dari Palestin ke Mesir. Begitulah sunnah ini dipraktikan oleh Nabi Nabi yang lain hingga sampai kepada Nabi Muhammad s.a.w.

Rasulullah melakukan tugas yang sama iaitu berhijrah dari Makkah ke Madinah. Hijrah baginda adalah titik permulaan bagi kebaikan manusia sejagat, suatu pemberitahuan kepada manusia bahawa kekuatan batil meskipun gagah dan perkasa akan menerima kehancuran dan kemusnahan akhirnya. Dengan perpindahan Rasulullah dan sahabatnya dari Makkah ke Yathrib (Madinah), berlakulah suatu perubahan sikap lebih menyeluruh iaitu daripada sikap negatif kepada positif.

Islam yang dibawa oleh Rasulullah adalah agama dakwah yang menyeru umat manusia supaya berilmu, beriman dan seterusnya menyampaikan pula kepada orang ramai. Justeru itu dakwah adalah tanggungjawab seluruh umat Islam. Setiap individu Muslim berkewajipan berdakwah mengikut kemampuan masing masing. Menjadi seorang Muslim secara automatik menjadi seorang pendakwah.

Mesej dakwah Islamiah yang dilakukan oleh Rasulullah adalah suatu kebenaran yang mutlak dan jelas. Ia memusuhi setiap bentuk kekufuran, penindasan, pencerobohan dan kezaliman. Rasulullah berdakwah di kalangan Quraish Makkah selama 13 tahun. Dakwah di peringkat Makkah menghadap tentangan hebat. Makkah dikuasai oleh majoriti Quraish yang menyembah berhala. Baginda menghadapi kaumnya dengan bersenjatakan akidah tauhid iaitu kepercayaan kepada Keesaan Tuhan.

Setelah Rasulullah memperkenalkan konsep tauhid kepada masyarakat Makkah, ramai yang beriman kepada Allah manakala ada yang menolaknya. Kaum Quraish menyedari betapa bahayanya agama Islam yang baru muncul itu pada agama dan amalan hidup mereka, lantas mereka mengambil pelbagai tindakan dengan mengadakan penghapusan pengikut Islam, yang mana kemuncaknya ialah pakatan membunuh Rasulullah s.a.w. Oleh itu maka baginda diperintahkan supaya berhijrah ke Madinah.

Detik detik awal peristiwa Rasulullah berhijrah ke Madinah ini dirakamkan di dalam Quran, yang bermaksud : “Dan (ingatlah), ketika orang kafir (Quraish) memikirkan tipu helah terhadapmu. untuk memerangkap dan memenjarakanmu atau membunuhmu, atau mengusirmu. Mereka memikirkan tipu daya dan Allah menggagalkan tipu daya itu. Dan Allah sebaik baik pembalas tipu daya.” (al Anfal : 30)

Seterusnya Allah azzawajalla menjelaskan lagi peristiwa ini dalam firmanNya yang bermaksud : “Jika sekiranya kamu tidak menolong (Muhammad) maka sesunggubnya Allah menolongnya (iaitu) ketika orang orang kafir (musyrikin Makkah) mengeluarkannya (dari Makkah) sedang dia salah seorang daripada dua orang, ketika keduanya berada alam gua di waktu dia berkata kepada temannya: Janganlah kamu berdukacita, sesungguhnya Allah berserta kita. Maka Allah menurunkan ketenangan Nya kepada (Muhammad) dan membantunya dengan tentera yang kamu tidak melihatnya, dan Allah menjadikan seruan orang orang yang kafir itulah yang rendah. Dan kalimah Allah itulah yang tinggi. Allah Maha Perkasa Lagi Maha Bijaksana.” (at Taubah:40)

Selepas Rasululah berhijrah ke Madinah, maka dakwah Islamiah berjalan lancar dan kedudukan Islam bertambah kuat kerana penduduk Madinah menerima baik agama Islam. Peluang keemasan ini digunakan dengan secukupnya oleh Rasulullah s.a.w. lalu baginda mendirikan Masjid sebagai pusat kegiatan umat Islam. Rasulullah juga mempersaudarakan di antara Muhajirin dan Ansar dan seterusnya membuat perjanjian kerjasama dan persefahaman dengan bukan Islam di Madinah. Ketiga tiga perkara itu adalah asas penting untuk membangunkan sebuah masyarakat yang kuat dan padu.

Dalam sejarah banyak sekali peristiwa penting berlaku setelah Rasulullah berpindah ke Madinah. Pada tahun kedua hijrah berlaku pertukaran kiblat dari Baitul Maqdis ke Makkah, berlaku peperangan Badar, disyariatkan puasa Ramadhan dan seterusnya diwajibkan mengeluarkan zakat fitrah.

Pada tahun ketiga berlaku peperangan Uhud dan diharamkan arak. Tahun keempat pula berlaku peperangan Dhat al Riqak dan pada masa itu juga disyariatkan qasar solat serta dibolehkan bertayammum. Tahun kelima menyaksikan peperangan Khandaq dan peperangan dengan Bani Quraizah. Manakala pada tahun keenam pula suatu perjanjian perdamaian yang dikenali dengan Perjanjian Khaibar ditandatangani, manakala pembukaan kota Makkah pula pada tahun yang kelapan dan peperangan Tabuq tahun kesembilan. Tahun kesepuluh pula Rasulullah mengerjakan Haji Perpisahan iaitu haji pertama dan terakhir yang dikerjakan oleh baginda.

Peristiwa itu adalah antara cebisan kecil dari aktiviti yang dijalankan oleh Rasulullah dan sahabat di Madinah. Dari peristiwa itu menampakkan dengan jelas banyak sekali berlaku peperangan di era Madinah. Oleh itu dapatlah dianggap bahawa ia berlaku kerana mempertahankan dakwah.

Allah memberi keizinan kepada Muslimin untuk bersiap sedia menghadapi musuh sebagaimana firmanNya yang bermaksud: “Telah diizinkan (berperang) bagi orang orang yang diperangi, kerana telah dianiaya. Dan sesungguhnya Allah Maha Berkuasa menolong mereka.”( al-Hajj: 39)

Seterusnya Allah s.w.t. berfirman yang bermaksud: “Diwajibkan ke atas kamu berperang pada hal berperang itu adalah sesuatu yang kamu benci. Boleh jadi kamu membenci sesuatu, pada hal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu, pada hal ia amat buruk bagimu, Allah mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui.”(al Baqarah:216)

Peringkat mempertahankan diri daripada serangan dan muslihat musuh adalah suatu kelainan era Madinah daripada era Makkah. Ini kerana Muslimin di era Makkah tidak dibenarkan menggunakan kekerasan dan peperangan. Ini adalah suatu dasar baru di era Madinah dan berkuatkuasa sehingga hari Kiamat. Orang Islam hendaklah mengatur strategi dan membuat perancangan baik untuk menghadapi musuh Islam. Mereka hendaklah membuat persediaan yang cukup untuk memperolehi kemenangan.

Selain peperangan di era Madinah, Rasulullah berfungsi penting untuk menyempurnakan pembinaan ketahanan ummah dan negara Islam Madinah, supaya menjadi sebuah negara ideal yang menjadi contoh umat Islam disepanjang zaman.

Rasulullah juga menerima wahyu demi wahyu daripada Allah yang mempertingkatkan lagi syariat dan undang undang Islam yang mula merangkumi soal soal kemasyarakatan, ekonomi, ketenteraan, pendidikan selain daripada soal soal akidah sebagaimana yang menjadi topik mesej terpenting di era Makkah.

Berkat ketabahan Rasulullah dan sahabat, Madinah menjadi terkenal sebagai negara Islam yang bertaraf antarabangsa. Dakwah pula menjadi lebih cemerlang kerana mula menyeberangi batas geografi Semenanjung Tanah Arab.

Jelasnya peristiwa, itu menampakkan dengan jelas kebersihan hati dan keikhlasan serta tingkat jihad yang tinggi daripada kalangan Muhajirin, selain semangat setiakawan yang unggul sahabat daripada kalangan Ansar. Mereka membantu apa saja untuk meringankan penderitaan Muhajirin.

Banyak ayat al Quran menggambarkan keimanan, persaudaraan, perjuangan dan pengorbanan yang dilakukan oleh golongan Muhajirin dan Ansar, masing masing dengan jihad yang tersendiri yang dilakukan demi kemajuan dan kecemerlangan dakwah dan ummah. Daripada persaudaraan itu akan melahirkan ketahanan ummah dan keteguhan negara. Oleh itu dapatlah ditegaskan di sini bahawa hijrah mampu merubah kehidupan ummah seluruhnya.

Dipanjangkan oleh,
(Dato’ Hj Mohd Murtadza B. Hj Ahmad)
Mufti Kerajaan Negeri,
Negeri Sembilan Darul Khusus.

Artikel ini diedarkan sewaktu kuliah yang diadakan di Masjid Tmn Rasa Sayang bersempena dengan Tahun baru Hijriah tempoh hari.

Bersama ini juga diletakkan link bagi mereka yang ingin mendengar kata-kata SS Syeikh Mohd Murtadza pada malam tersebut. File ini hanya akan berada didalam server untuk tempoh 30 hari dari 05 February 2006. Selepas 30 hari file berkenaan akan didiscard oleh server. Sila klik pada link, insyaAllah instruction for downloading will appear for u guys to follow. Kualiti bunyi agak kurang menarik, harap maaf diatas kualiti audio yang kurang baik.

Kuliah SS Dato’ Mufti Kerajaan Negeri Sembilan bersempena dengan Maal Hijrah.

Nota Kaki:
1. Jadual Kuliah Dr Asri Zainul Abidin untuk bulan Februari 2006 di sekitar Lembah Klang.
2. Jadual Kuliah Sekitar Bandar Baru Bangi dan Kajang untuk Bulan Februari 2006
3. Jadual Kuliah Surau al-Hidayah, Bandar Kinrara, Puchong untuk Bulan Februari 2006
----------------------------------------------------------
Dan orang-orang yang telah menempati kota Madinah dan telah beriman (Anshor) sebelum (kedatangan) mereka (Muhajirin), mereka (Anshor) `mencintai` orang yang berhijrah kepada mereka (Muhajirin). Dan mereka (Anshor) tiada menaruh keinginan dalam hati mereka terhadap apa-apa yang diberikan kepada mereka (Muhajirin), dan mereka mengutamakan (orang-orang Muhajirin), atas diri mereka sendiri, sekalipun mereka dalam kesusahan. Dan siapa yang dipelihara dari kekikiran dirinya, mereka itulah orang orang yang beruntung (Al-Hasyr:9)

0 Comments:

Post a Comment

Subscribe to Post Comments [Atom]

<< Home