Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami : Perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertakwa. (Al-Furqan:74) akhifaizul Blogging Portal


Saturday, January 07, 2006

Takut

Sifat takut hanya akan wujud dengan ilmu dan keyakinan. Jika ilmu ilmu yang dimiliki itu tidak diyakini dengan sepenuh hati , maka sifat takut tidak akan wujud. Tindakan terhadap maklumat yang dimiliki juga tidak akan wujud.

Contohnya jika kita diberitahu di dalam suatu lubuk terdapat seekor buaya yang ganas. Jika kita tidak yakin dengan maklumat yang diberikan itu, maka sudah tentu kita dengan selamba dan tanpa was-was akan mandi di kawasan tersebut. Tetapi jika kita yakin terhadap maklumat yang kita terima itu sudah pastilah kita tidak akan mandi di kawasan tersebut dan menjauhkan diri dari kawasan itu. Atau kita yakin dengan maklumat yang diberi tetapi kita tetap mahu mandi di kawasan tersebut. Itu bermakna kita mahu mencabar orang yang memberi maklumat dan juga mencabar sang buaya.

Persoalannya mengapa di kalangan umat manusia yang cinta akan kemaksiatan. Kenapakah masih banyak makhluk Allah yang bernama insan tidak takut dengan Allah SWT? Terdapat beberapa analisa kepada persoalan ini :

1. Ada di kalangan manusia yang tidak berilmu. Dia tidak tahu melakukan dosa dan maksiat itu dibenci oleh Allah. Dia juga tidak tahu balasan kepada perlakuan dosa ialah api neraka. Oleh itu golongan ini melakukan maksiat atas dasar kejahilan. Golongan seperti ini perlu menuntut ilmu. Hanya dengan ilmu yang diyakini dan dipraktikkan sahaja, maka golongan ini akan terselamat dari kemurkaan Allah azzawajalla. Allah SWT berfirman kepada golongan ini; ”Sesungguhnya penerimaan taubat itu diterima oleh Allah hanya bagi orang-orang yang melakukan kejahatan disebabkan sifat jahil, kemudian mereka segera bertaubat. Dengan adanya sifat tidak tahu dan segera bertaubat itu, maka Allah menerima taubatnya, Allah itu mengetahui lagi bijaksana” (An-Nisa’:17)

2. Ada di kalangan manusia itu yang berilmu. Dia tahu apa yang dilakukan itu merupakan dosa. Dia juga tahu bahawa balasan terhadap pelakuannya adalah kemurkaan Allah SWT. Allah akan menghumbannya ke dalam neraka lantaran kedegilannya itu. Tetapi dia tetap melakukan dosa. Dosa yang dilakukannya berulang-ulang kali tanpa ada rasa sedikit pun bersalah kepada Allah. Golongan ini melakukan maksiat kerana dua sebab; yang pertama kerana dia tidak yakin dengan maklumat yang diterima. Oleh sebab itu dia terus bergelumang didalam kemaksiatan. Manusia seperti ini dikatakan tidak beriman, kerana dia tidak yakin dan tidak percaya perkhabaran yang disampaikan oleh para Nabi dan Rasul.

Sebab yang kedua mengapa golongan ini melakukan dosa adalah sengaja mahu mencabar Allah. Dia tahu bahawa Allah murka kepada manusia yang melakukan kemaksiatan. Tetapi dia tetap melakukannya kerana berhasrat untuk mencabar Allah. Manusia seperti ini ialah manusia kafir iaitu yang engkar kepada Allah SWT. Allah memberi peringatan kepada golongan ini “Dan tidak ada gunanya taubat itu kepada orang yang selalu melakukan kejahatan. Hingga apabila salah seorang daripada mereka hamper mati, dia berkata “ Sesungguhnya sekarang ini aku bertaubat” Sedangkan taubat itu sudah terlambat. Dan begitulah juga halnya manusia yang mati dalam keadaan mereka tetap kafir. Bagi golongan manusia seperti itu, Kami telah sediakan bagi mereka azab seksa yang tidak terperi sakitnya.” (An-Nisa’:!8)
Wallahu ‘alam …..

Sumber : Artikel Milenia Muslim, Disember 2005.

--------------------------------------------------------------

Adapun orang-orang yang beriman dan beramal soleh, maka mereka akan dimasukkan oleh Tuhan mereka ke dalam rahmatNya; yang demikian itu ialah kemenangan yang besar. (Al-Jaathiyah : 30)

0 Comments:

Post a Comment

Subscribe to Post Comments [Atom]

<< Home