Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami : Perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertakwa. (Al-Furqan:74) akhifaizul Blogging Portal


Sunday, September 18, 2005

Syaitan menghasut sesatkan manusia menerusi 10 pintu

UMAT Islam digalak agar selalu berlindung dan menghindari daripada bisikan syaitan dengan sentiasa menyebut: "Aku berlindung daripada syaitan yang direjam."

Kita juga dianjurkan selalu berdoa dengan menyebut: "Ya Tuhan kami, jangan Engkau jadikan hati kami condong kepada kesesatan selepas Engkau memberi petunjuk kepada kami dan kurniakanlah kepada kami rahmat di sisi Engkau kerana sesungguhnya Engkaulah Maha Memberi (kurnia)." – (Surah Al-Imran, ayat 8)

Harus diingat bahawa malaikat dan syaitan sentiasa berlumba-lumba untuk menguasai hati manusia. Syaitan akan bekerja keras untuk menawan pemilik hati itu agar mereka melanggar perintah Allah.

Beruntung manusia yang berjaya menangkis godaan syaitan dan mengelakkan hati daripada ditawan syaitan durjana. Dalam hal ini, malaikat berfungsi untuk menetap dan menegakkan iman seseorang Muslim agar lebih bertakwa dan menghindari perbuatan mungkar.

Seorang ulama dan ahli sufi pernah berkata: "Saya sentiasa berfikir dan memerhati, dari pintu mana syaitan menghasut dan menyesatkan manusia. Tiba-tiba saya dapati syaitan datang dari 10 pintu:

Pertama ialah pintu kesombongan dan keangkuhan. Kedua-dua sifat ini adalah antara sifat mazmumah yang tidak disukai Allah dan Rasul-Nya. Sifat itu amat mudah subur dalam diri manusia yang merasakan dirinya cukup segalanya daripada status hidup hingga kepada wang ringgit dan harta benda yang dimiliki.

Dengan itu berjalanlah manusia yang bersifat sedemikian dengan mendongakkan kepala ke langit tanpa mempedulikan orang di sekitarnya. Allah berfirman, bermaksud: "Jangan engkau miringkan pipimu terhadap manusia kerana kesombongan dan jangan engkau berjalan di muka bumi dengan sangat riang, sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang yang berlenggang dalam perjalanannya kerana sombong dan bermegah-megah." –(Lukman: 18)

Pintu kedua ialah melalui sifat bakhil dan kedekut. Harta benda atau wang ringgit adalah kurniaan Allah kepada hamba-Nya. Harta benda yang dimiliki adalah suatu himpunan amanah dan tanggungjawab yang perlu diurus dan dibelanjakan sewajarnya, manusia yang suka menyimpan harta kerana takut akan kehabisan dan tidak sanggup mengeluarkan sebahagiannya ke jalan yang hak seperti berzakat dan membelanjakan ke jalan yang bermanfaat yang lainnya pasti tidak akan mendapat keberkatan dan rahmat Allah walaupun dianugerahi nikmat melimpah ruah oleh Allah.

Ketiga ialah melalui sifat takbur yang hadir dalam diri seseorang apabila dia berasakan dirinya sudah lengkap memiliki segalanya lalu dia mula rasa tinggi diri terhadap orang di sekelilingnya sehingga kadang kala mereka terlupa segala kurniaan nikmat itu boleh ditarik balik oleh Allah dalam sekelip mata saja, jika dikehendaki-Nya.

Allah berfirman, bermaksud: "Sesungguhnya Dia tidak menyukai orang yang takbur" (An-Nahl: 23). Begitu juga firman-Nya, bermaksud: "Sesungguhnya orang yang sombong menyembah-Ku, balasannya ialah neraka dan akan rasa terhina." (Al-Mukmin: 60)

Pintu keempat melalui sifat riak dan suka dipuji. Memiliki kesempurnaan peribadi melalui ketinggian ilmu dan darjat yang disegani adalah idaman setiap insan.

Sifat kelima yang menjadi pintu kepada syaitan untuk masuk ialah melalui sifat hasad dengki. Islam amat membenci umatnya yang mempunyai perasaan dengki kepada orang lain kerana iri kepada kelebihan dan kepandaian yang diberikan Allah kepada seseorang yang lain.

Ini kerana sifat itu ada kalanya membawa kepada perasaan sakit hati dan dendam selagi seseorang individu itu masih tidak memperoleh seperti yang dimiliki oleh orang lain.

Pintu keenam ialah melalui sifat suka memandang remeh kepada orang lain, sama ada orang tua atau muda. Pengaruh persekitaran dan budaya liar yang banyak mementingkan diri sendiri mutakhir ini sesekali membuatkan seseorang itu rasa kepandaiannya boleh mengatasi apa jua permasalahan yang dihadapi tanpa sedikit pun mengharapkan bantuan orang lain.

Pada saat itu akan lahir sifat ego dan megah diri dan ia pasti akan mudah memandang rendah kebolehan orang lain. Mereka lupa hakikat tidak ada seorang pun di dunia ini yang sempurna segala-galanya.

Pintu ketujuh ialah menerusi sifat ujub atau bangga diri. Orang yang mudah membangga diri sendiri sebenarnya dialah orang yang tidak mempunyai apa-apa. Ini kerana keegoan dan kebanggaan terhadap diri sendiri itulah yang akan merendahkan dirinya pada mata orang lain. Dia akan dicemuh masyarakat dan lebih malang, dimurkai Allah.

Allah berfirman, bermaksud: "Jangan engkau turut orang yang hatinya Kami lalaikan (butakan) daripada peringatan kami sedang dia mengikut kemahuan hawa nafsunya dan adalah perbuatan itu melebihi yang patut." (Al-Kahfi: 28)

Pintu kelapan ialah melalui sifat suka bersenang lenang. Manusia yang lebih gemar bersenang-lenang biasanya mudah alpa dengan kesenangan dan kemewahan yang dikurniakan, seolah-olah apa yang diperolehnya adalah kuasa tertinggi yang boleh menentukan perjalanan hidupnya. Mereka seolah-olah terlupa kepada tanggungjawab terhadap Pencipta dan Rasul-Nya, diri, keluarga dan masyarakat keseluruhannya.

Pintu kesembilan yang menjadi laluan syaitan ialah sifat suka berangan-angan. Islam amat anti-sifat malas. Seseorang yang malas berusaha untuk memperoleh rezeki Allah, sama ada untuk dirinya atau keluarganya tidak akan memperoleh apa-apa kerana lebih suka berharap dan berangan-angan untuk memperolehnya.

Pintu terakhir yang menjadi laluan syaitan ialah melalui sifat suka berburuk sangka. Meletakkan anggapan buruk terhadap seseorang amat dikeji agama. Seseorang yang sengaja menuduh orang lain melakukan sesuatu perbuatan tidak baik melalui telahan dan anggapan atau sangkaan tanpa bukti dan kebenaran akan dilaknati Allah.

Sumber : Berita Harian, September 2003

Wallahu ‘alam …..

Jadual Kuliah
1.Jadual Pengajian sekitar Bandar Baru Bangi dan Kajang bagi Bulan September 2005.

--------------------------------------------------------------

Pada saat itulah diuji orang-orang yang beriman, dan digoncangkan perasaan dan pendiriannya dengan goncangan yang amat dahsyat. (Al-Ahzaab : 11)

0 Comments:

Post a Comment

Subscribe to Post Comments [Atom]

<< Home