Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami : Perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertakwa. (Al-Furqan:74) akhifaizul Blogging Portal


Sunday, September 04, 2005

Memperingati Isra’ dan Mikraj

Kita sekarang ini baru sahaja meninggalkan bulan Rejab yang merupakan antara bulan yang diharamkan oleh Allah daripada berperang di zaman awal Islam. Pada minggu terakhir bulan Rejab ini orang-orang Islam memperingati satu peristiwa daripada peristiwa-peristiwa yang dilalui oleh Rasulullah SAW dan tercatat dalam Sirah baginda. Peristiwa itu ialah peristiwa Isra’ dan Mikraj Rasulullah SAW.

Orang-orang Islam memperingati peristiwa ini pada malam dua puluh tujuh rejab. Tidak ada dalil yang qat’ei membuktikan bahawa peristiwa Isra’ dan Mikraj berlaku pada malam 27 Rejab. Malah di sana ada banyak perselisihan pendapat tentang tarikh peristiwa Isra’ dan Mikraj. Pada malam bilakah ia telah berlaku? Pada bulan yang mana satukah ia telah berlaku? Pada tahun bilakah ia telah berlaku?. Adakah ia berlaku hanya sekali sahaja atau ia berlaku banyak kali? Banyak lagi persoalan lain yang dikaji oleh ulama’ Islam di dalam Sirah Rasulullah SAW. Para sahabat tidak akan memberikan perhatian pada sesuatu perkara melainkan pada suatu yang boleh mendatangkan amal. Perkara yang berkaitan dengan halal dan haram atas sesuatu yang membawa kepada wajib melakukan amalan tertentu akan dikaji secara teliti oleh para sahabat.

Dalam peristiwa Isra’ dan Mikraj tidak ada disyariatkan puasa di siang hari dan juga solat di malam hari. Oleh itu berlaku perselisihan di kalangan para sahabat tentang perkara yang berkaitan dengan Isra’ dan Mikraj ini. Akan tetapi telah masyhur di kalangan orang-orang Islam di akhir-akhir ini bahawa Isra’ dan Mikraj itu berlaku pada malam 27 Rejab.

Kita tidak mengambil peduli adakah Isra’ dan Mikraj berlaku pada malam tersebut atau tidak. Akan tetapi yang penting pada kita ialah peristiwa Isra’ Mikraj itu sendiri. Isra’ berlaku dengan nas al-Quran da Isra’ telah digunakan untuk menamakan salah satu surah dalam al-Quran. Surah ini telah dimulakan oleh Allah dengan menyebut perkataan Isra’. Firman Allah:

“Maha suci Allah yang telah memperjalankan hambaNya pada suatu malam dari Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa yang Kami berkati sekelilingnya untuk Kami memperlihatkan kepadanya ayat-ayat Kami. Sesungguhnya Allah Maha Mendengar lagi Maha Melihat.” (Al-Isra’:1)

Oleh kerana Isra’ sabit dengan al-Quran yang qat’ie maka sesiapa yang mengingkarinya dan tidak beriman dengannya adalah menjadi kafir dengan ijmak ulamak, kerana dia telah mendustakan ayat al-Quran yang sorih, qat’ie dan dijimakkan oleh ulamak serta diketahui secara pasti dari sirah/sejarah perjalanan kehidupan Nabi SAW.

Manakala Mikraj hanya disebut di dalam al-Quran secara isyarat. Ini dapat dipetik dari surah An-Najm di mana Allah telah berfirman:

“Demi bintang ketika terbenam , kawanmu(Muhammad) tidak sesat dan tidak pula keliru. Dan tiadalah yang diucapkan itu(al-Quran) menurut kemahuan hawa nafsunya, ucapan itu tidak lain hanyalah wahyu yang diwahyukan kepadanya, yang diajarkan oleh Jibril yang sangat kuat, yang mempunyai akal yang cerdas dan Jibril itu menampakkan diri dengan rupa yang asli, sedang dia berada di ufuk yang tinggi. Kemudian dia mendekat lalu bertambah dekat lagi, maka jadilah dia dekat (pada Muhammad sejarak)dua ujung busur panah atau lebih dekat lagi. Lalu dia menyampaikan kepada hambaNya(Muhammad) apa yang Allah telah wahyukan. Hatinya tidak mendustakan apa yang telah dilihatnya. Maka apakah kamu(musyrikin Mekah) hendak membantahnya tentang apa yang telah dilihatnya? Dan sesungguhnya Muhammad telah melihat Jibrail itu(dalam rupa asli) pada waktu yang lain iaitu di Sidratul Muntaha. Di dekatnya ada syurga tempat tinggal. (Muhammad melihat Jibril) ketika Sidratul Muntaha diliputinya. Penglihatanya(Muhammad) tidak berpaling dari apa yang dilihatnya itu dan tidak (pula) melampauinya. Sesungguhnya dia telah melihat sebahagian dari tanda2 kebesaran TuhanNya yang paling besar.” (An-Najm:1-18)

Bukti Mikraj terdapat di dalam al-Quran melalui isyarat2 dalam ayat-ayat yang telah disebutkan. Akan tetapi dalil Isra’ dalam al-Quran adalah sorih. Hadis-hadis nabi juga ada mensabitkan peristiwa Isra’ Mikraj.

Isra’ ialah pengembaraan di atas muka bumi di antara dua masjid suci yang diberkati iaitu Masjid Mekah dan Masjid al-Quds.Allah telah menghubungkan kedua-dua masjid tersebut dengan perjalanan Nabi yang diberkati. Masjid Mekah merupakan tempat permulaan Isra’ dan masjid Al-Quds merupakan tempat berhenti perjalanan tersebut.

Mikraj pula ialah perjalanan yang bermula dari bumi dan tamat di langit “al ‘Ulya” iaitu ke tahap yang hanya diketahui oleh Allah.

Di setiap langit baginda telah disambut oleh para Anbiya’. Para nabi yang agung telah menyambut di bumi dan telah bersolat di belakang baginda. Kemudian Allah telah membahagikan para nabi yang agung ke langit2 yang berlainan. Mereka inilah yang telah menyambut kedatangan Rasulullah SAW.

Ini merupakan penghormatan yang diberika oleh Allah kepada Nabi Muhammad SAW setelah baginda menerima penyeksaan dan penentangan manusia di bumi.

Allah mahu melarikan baginda dengan menggantikannya serta mengadakan sambutan penghormatan di langit dan di bumi. Sesungguhnya Nabi Muhammad SAW dan para sahabatnya telah menerima penyeksaan dari kaumnya. Selama 10 tahun baginda telah menyampaikan seruan dakwah kepada kaumnya, baginda membacakan kepada mereka ayat2 al-Quran, menyampaikan Islam kepada mereka, tetapi mereka menyambut baginda dengan penyeksaan yang tidak pernah diterima oleh baginda.

Penyeksaan bertambah teruk selepas kewafatan bapa saudaranya, Abu Talib yang merupakan benteng mempertahan baginda ketika hidupnya. Penyeksaan bertambah hebat dengan kematian isteri baginda Khadijah. Kedua-dua orang ini merupakan tempat beginda bersandar. Abu Talib mempertahankannya di luar dan Khadijah mepertahankannya di rumah. Kedua-dua pendokong Nabi ini telah wafat dalam waktu yang terdekat.(Dikatakan kedua-duanya meninggal pada tahun ke-10 selepas baginda dilantik menjadi Rasul. Nabi menamakan tahun tersebut dengan tahun duka).

Rasulullah SAW membuat ketetapan untuk cuba menyampaikan dakwah di bumi baru yang telah ada tunas2 dakwahnya yang lalu. Baginda menetapkan untuk pergi ke taif. Baginda menuju ke kawasan tempat tinggal kabilah Taqif. Mudah-mudahan baginda akan mendapat sambutan daripada bani taqif yang tidak diperolehinya dari kaumnya, dari bangsa Quraisy.

Baginda telah pergi bersama Zaid bin Haritah. Akan tetapi apa yang didapatinya dari kaum itu adalah peyeksaan yang telah dialaminya ketika menyampaikan dakwah pada kaum Quraisy.

Mereka telah menyambut mereka dengan sambutan yang buruk. Salah seorang daripada mereka telah berkata kepada baginda “Tidakkan Allah mendapati orang lain selain dari engkau untuk diutuskan sebagai Rasul kepada manusia?” Orang lain pula berkata kepada baginda ”Jika engkau seorang yang benar, maka aku tidak akan bercakap dengan engkau, dan jika engkau seorang pendusta, maka adalah hina jika aku bercakap dengan engkau. Aku tidak akan bercakap dengan engkau semada engkau orang yang benar atau dusta.”

Mereka telah menghantar hamba2,budak2 dan orang2 bodoh untuk melontar baginda dengan batu sehinggalah berdarah tumit kaki baginda. Dan darah keluar mengalir darinya.

Baginda telah kembali ke Mekah tetapi Allah tidak membiarknnya. Baginda telah kembali ke Mekah dan mengadu kepada Allah dengan doa yang terkenal “Ya Allah, kepadaMu aku mengadukan tentang kelemahanku, kurangnya cara aku menyampaikan dakwah, kelemahan aku berhadapan dengan manusia. Wahai Tuhan yang Maha Pemurah, Engkau adalah Tuhan bagi orang2 yang lemah, Engkau adalah Tuhanku, kemanakah Engkau hendak biarkan aku, ketempat yang mereka boleh menyerangku atau kepada musuh yang akan menguasai? Sekiranya Engkau tidak murka kepadaku, maka aku tidak hirau akan apa yang berlaku. Hanya keampunanMu yang akan melegakan aku. Aku berlindung dengan Nur wajahMu yang menerangi kegelapan dan dengannya urusan dunia dan akhirat akan menjadi baik daripad aku ditimpakan dengan kemurkaanMu atau kemarahanMu. Celalah aku sehinggan Engkau redha kepadaku. Tidak ada kekuatan melainkan dengan kekuatan Allah.”

Baginda tidak kisah manusia marah kepada Baginda asalkan Allah redha terhadapnya, tetapi Baginda memohon agar Allah mengampunkan dan memberikan kesihatan kepada Baginda untuk menyampaikan dakwah kepada manusia.

Para malaikat telah marah ke atas penduduk Taif yang telah menyakiti baginda dan hanya menunggu isyarat dari baginda. Sekiranya mahu mereka akan menimpakan 2 buah bukit ke atas penduduk Taif atau menerbalikkan bumi atau akan menurunkan kepada mereka azab yang telah diturunkan kepada kaum kafir sebelum mereka. Akan tetapi baginda telah menolak semua tawaran malaikat itu dan berkata; “Sebaliknya aku mengharapkan akan lahir dari kalangan mereka manusia yang menyembah Allah semata-mata yang tidak mensyirikNya dengan sesuatu yang lain.”

Allah menghendaki perjalanan baginda ke Taif tidak menjadi sia-sia. Dengan perintahNya baginda telah kembali ke Makkah. Dalam perjalanan pulang baginda telah duduk disebuah tembok disebuah kebun kepunyaan 2 orang musyrikin Quraisy iaaitu Utbah b Rabi’ah dan saudaranya Syaibah bin Rabi’ah dari bani Abdul Al-syams. Kedua-dua laki itu menyedari kehadiran baginda dan telah menghantar sepundut anggur. Ia telah dibawa oleh budak suruhan yang berketurunan Nasrani. Nabi SAW telah mengambil beberapa biji anggur dan berkata Bismillah. Budak yang mendengar perkataan itu berasa hairan dan berkata ; ”Perkataan ini telah diucapkan oleh penduduk negeri ini”. Baginda bertanya “ Awak datang dari negeri mana?” Budak itu menjawab “ Dari negeri Nainawi” Baginda berkata “Dari negeri hamba yang soleh Yunus B Mata?” Budak itu bertanya. “ Dari mana engkau mendapat tahu perkara itu?”. Baginda menjawab “Dia adalah seorang Nabi dan aku juga seorang Nabi.” Lalu Rasulullah SAW menjelaskan kepada budak itu tentang Islam dan membacakan kepadanya beberapa ayat al-Quran. Budak lelaki it terus memeluk Islam. Ini merupakan hasil pertama dari perjalanan yang dilakukkan oleh baginda.

Di daam perjalanan pulangnya juga Allah telah mengutuskan sekumpulan jin untuk mendengar al-Quran:
“Tatkala jin sampai kepada Nabi mereka berkata: “Diam”. Apabila baginda selesai membaca al-Quran mereka terus pergi dan kembali kepada kaum mereka untuk memberikan peringatan”(Al-Ahqaf:29)

Mereka berkata kepada kaum mereka “Wahai kaum kami, sahutlah seruan pendakwah yang telah diutuskan oleh Allah dan berimanlah kamu kepadanya, nescaya Allah akan mengampunkan dosa kamu dan akan menyelamatkan kamu dari azab yang pedih.

Kemudian berlakulah penghormatan ini iaitu Isra’ dan Mikraj.

Allah telah mengutuskan malaikat yang menyampaikan wahyu iaitu Jibril a.s kepada Nabi Muhammad SAW lalu Jibril membasuh dada baginda dengan air zamzam. Jibril telah mengeluarkan habuan syaitan dari dalam hati baginda dan telah pergi bersama baginda menaiki Burak iaitu seekor binatang yang bergerak laju seperti kilat. Baginda menaiki kenderaan yang kita tidak tahu keadaannya yang sebenar dari Masjidil Haram ke Masjid al-Quds.

Allah telah memperlihatkan kepada baginda balasan dan ganjaran yang diperoleh oleh manusia.

Baginda telah melihat lelaki yang menyuapkan bara api ke mulut mereka. Baginda berkata “Siapakah mereka ini wahai Jibril?” Jibril menjawab “Mereka ialah para Khatib dari kalangan umatmu yang mengajak manusia kepada kebaikan sedangkan mereka melakukannya. Mereka membaca ayat-ayat al-Quran tetapi mereka tidak memikirkannya.” Baginda telah melihat balasan bagi orang yang mengumpat orang lain. Baginda melihat mereka mencakar muka mereka dengan kuku-kuku yang diperbuat daripada tembaga. Kemudian muka mereka elok seperti sedia kala. Kemudian mereka mencakarnya semula. Begitulah seterusnya.

Baginda telah melihat berbagai perkara di dalam perjalanannya sehingga sampai ke Baitul Maqdis. Di sana para Anbiya’ sedang menunggu ketibaan baginda.

Kemudian dari sana baginda telah naik ke langit tertinggi di mana di sana baginda menghadap Tuhannya. Di sana Allah telah menfardhukan solat lima waktu. Pada asalnya solat yang difardhukan adalah berjumlah 50 waktu. Akan tetapi dengan nasihat saudaranya Musa, baginda telah pergi semula kepada Allah meminta ia dikurangkan sehinggalah menjadi 5 waktu sahaja. Allah berkata, “Jumlah ini tiak akan ditukar lagi. Solat itu dikerjakan lima kali tetapi pahalanya adalah sama dengan 50 kali”

Ini merupakan permulaan solat yang merupakan tiang agama itu diwajibkan. Solat yang merupakan hubungan harian antara mansia denhan Allah. Ia merupakkan Mikraj harian bagi orang2 mukmin.

Pendapat yang sahih menyatakan bahawa baginda telah diIsra’ dan dimikraj dengan jasad dan roh baginda. Ini bukanlah suatu yang sukar bagi Allah untuk melakukannya.

Sekiranya manusia dengan ilmu yang telah diberikan oleh Allah dan dengan alat yang belum pernah dikenali sebelum ini berupaya melakukan perjalanan yang begitu jauh dan berjaya memendekkan zaman, sampai ke bulan, maka sudah tentulah Tuhan yang mempunyai kekuasaan yang Maha Tinggi berupaya mengIsra’kan dan dimikrajkan Nabi Muhammad SAW dengan roh dan jasad ke langit.

Rasulullah SAW telah dimikrajkan ke langit sehingga baginda menerima kefardhuan solat 5 waktu. Ini merupakan keistimewaan ibadat solat ke atas ibadat2 lain. Semua ibadat fardhu yang lain telah difardhukan di bumi. Manakala solat telah difardhukan di langit untuk menunjukkan kedudukannya dalam agama Allah dan menunjukkan bahawa ia adalah tiang agama, sesiapa yang mendirikannya maka dia telah mendirikan agama dan sesiapa yang meninggalkannya maka bermakna dia telah meruntuhkan agamanya.

Solat merupakan mikraj setiap orang mukmin menuju kepada Tuhannya.Mukmin berupaya untuk naik bertemu dengan Allah dengan solat yang membawa anda lari dari dunia manusia, dari dunia kelalaian, dari dunia pertarungan dan dari dunia perebutan manusia kepada bermunajat dihadapan Tuhan. Anda menyeruNya dari dekat dan bukannya dari jauh. Anda memohon dari Tuhan yang Maha Pemurah dan bukannya dari seorang bakhil, anda meminta pertolongan dari Tuhan yang Maha Kuat dan bukan dari orang yang lemah.

Sesungguhnya hadiah dan simpanan yang masih kekal untuk kita hasil dari mengingati Isra’ dan Mikraj ialah solat 5 waktu. Solat lima waktu yang kebanyakkan kita lihat orang Islam telah mengabaikannya.

“Mereka telah mengabaikan solat dan mengikut syawat. Maka mereka akan menemui kesesatan.” (Maryam:59)

Kita lihat dari kalangan anak-anak muslimin yang menggunakan nama orang Islam, nama para anbiya’, nama para sahabat, tetapi mereka tidak kenal akan masjid, mereka tidak mendirikan solat, tidak sujud kepada Allah. Adakah mereka ini masih sebagai orang yang beragama Islam?

Solat merupakan peninggalan Isra’ dan Mikraj.
Begitu juga Rasulullah SAW telah meninggalkan kita dengan satu peristiwa penting daripada peristiwa Isra’ dan Mikraj ini. Yakni hubungan antara Masjidil Aqsa dan Masjidil Haram.

Allah telah menghubungkan kedua-dua masjid ini di dalam Al-Quran yang dijadikan permulaan surah Al-Isra’. Ini adalah supaya umat Islam tidak membezakan antara dua buah masjid suci ini, supaya mereka tidak mengabaikan satu dari keduanya. Sekiranya umat Islam mengabaikan satu masjid ini maka dikhuatiri mereka akan mengabaikan yang satu lagi.

Sekiranya kita biarkan Masjidil Aqsa’ diambil, dipermainkan dan diruntuhkan oleh Yahudi untuk mereka dirikan di atas runtuhannya Haikal Sulaiman, jika kita mengabaikan Masjidil Aqsa’ maka tidak mustahil satu hari nanti kita akan mengabaikan Masjid Nabi atau Masjidil Haram.

Yahudi terlalu ingin menawan Madinah di mana pernah bertapak di sana Bani Qainuqa’, Bani Quraizah dan Bani Nadir.

Orang-orang Yahudi mempunyai perancangan untuk menawan masjid Nabawi. Ini bukanlah suatu yang mustahil bagi mereka. Kita menganggap apa yang berlaku sekarang ini jauh sekali dari berlaku suatu ketika dahulu. Semua yang dapat kita saksikan hari ini, kita anggap mustahil berlaku pada suatu ketika dahulu. Akan tetapi generasi yang membesar pada hari ini melihat ini adalah realiti. Tidak ada suatu yang mustahil berlaku sekiranya kita lupa dan mengabaikannya.

Allah telah menghubungkan antara Masjidil Haram dan Masjidil Aqsa supaya kita tidak menganggap kehormatan Masjidil Aqsa yang sekelilingnya adalah diberkati oleh Allah adalah tidak penting. Sekiranya bumi disekelilingnya diberkati oleh Allah, maka apatah lagi Masjid itu sendiri.

Bumi yang berada disekeliling Masjidil Aqsa adalah bumi yang diberkati oleh Allah. Ia adalah bumi para anbiya’. Ia adalah bumi peringatan. Allah telah menyifatkannya di dalam Al-Quran dengan sifat berkat dalam beberapa ayat. Sebagaimana firman Allah berkenaan Nabi Ibrahim;
“Dan Kami selamatkan Ibrahim dan Lut dan Kami pindahkan mereka ke bumi yang Kami berkati padanya bagi manusia seluruh alam.” (Al-Anbiya’:71)

Ia adalah bumi para anbiya’, bumi yang telah dibebaskan oleh para sahabat dan tabi’in dengan darah mereka dan ramai syuhadak telah gugur demi untuk membebaskannya dari cengkaman musuh Islam. Orang Islam tidak boleh mengabai dan membiarkannya begitu sahaja.

Di antara pengajaran yang kita dapati dari peristiwa Isra’ dan Mikraj ialah Allah menghubungkan antara Masjidil Haram dan Masjidil Aqsa. Masjidil Aqsa adalah salah satu daripada tiga masjid yang digalakkan umat Islam menziarahinya, sebagaimana yang terdapat di dalam hadis sahih dan muttafaqun ‘alaihi;

“Tidak digalakkan mengembara melainkan ke tiga buah masjid iaitu Masjidil Haram, Masjid Nabawi dan Masjidil Aqsa.” (HR Muslim, Bukhari, Ahmad, Abu Daud, Nasai’ & Ibn Majah)

Wahai saudara-saudaraku para muslimin, kita hendaklah ingat kepada isu Masjidil Aqsa dan jangan lupa tentangnya. Tugas membebaskan masjid ini hendaklah menjadi kewajipan kita bersama. Kita tidak boleh menyerah kalah dan membiarkan orang Yahudi menguasai Masjidil Aqsa dan bumi para anbiya’ itu.

Kita hendaklah berjihad sehingga kita dapat mengambil semula masjid dan kota Al-Quds, sehingga kita dapat merampas kembali bumi yang diberkati oleh Allah sekelilingnya bagi semua orang. Ia adalah bumi Islam. Ia adalah sebahagian dari negara dan tanahair Islam. Setiap orang tidak boleh melalai dan melupakannya. Kita tidak boleh menjual atau mengkhianatinya.

Sehinggakan jika orang-orang Palestine ini lari dari tanahair Islam ini, namun setiap umat Islam tetap berkewajipan mempertahankannya. Ini kerana bumi yang diberkati ini bukan menjadi milik penduduk Palestine sahaja dan bukan juga bumi bagi penduduk Jordan sahaja dan tidak juga sebagai bumi arab semata-mata. Akan tetapi ia adalah bumi Islam dan generasi Islam di sepeanjang zaman.

Jika generasi sekarang ini lalai dan mengabaikannya, generasi akan dating akan melaknat mereka dan akan berusaha untuk mendapatkannya semula bumi yang telah hilang dari mereka. Sudah pasti suatu hari kelak umat Islam akan berperang untuk merampas bumi ini dengan penuh keimanan dan keyakinan kepada Allah.

Suatu hari kelak sudah pasti orang Islam akan berperang dengan orang Yahudi untuk membebaskan bumi yang berkat itu. Pada saat itu kemenangan adalah berpihak kepada Islam. Ini merupakan jaminan yang diberikan oleh Nabi SAW dalam sebuah hadis ;
“Hari kiamat tidak akan berlaku sehinggalah orang Islam akan berperang dengan orang Yahudi. Pada ketika itu orang-orang Islam akan membunuh mereka sehinggakan orang Yahudi terpaksa berlindung di sebalik poko dan batu. Lalu batu atau pokok berkata; ‘Wahai Muslim, wahai hamba Allah, dibelakang aku ada Yahudi, maka datanglah ke sini dan bunuhlah dia.” (HR Bukhari)

Kita menantikan hari yang dijanjikan ini. Perkara ini bukanlah sukar bagi Allah. Firman Allah ;

“Pada hari itu orang-orang beriman akan bergembira mencapai kemenangan dengan pertolongan Allah. Dia menolong sesiapa yang dikehendakiNya, dan Dia adalah Maha Perkasa lagi Maha Mengasihani. Ini adalah janji Allah, Allah tidak akan memungkiri janjiNya, akan tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahu.” (Ar-Rum:4-6)

Sumber : Khutbah Prof. Dr. Yusof Al-Qardhawi, terjemahan Hasnan B Kasnan, As-Syabab Media.

Nota Kaki
Terima kasih kuucapkan buat adikku Syaza kerana sudi membantu abangmu untuk menaip artikel ini. Semoga ada manfaat untukmu dan juga pembaca sekelian.

Jadual Kuliah
1. Jadual Pengajian sekitar Bandar Baru Bangi dan Kajang bagi Bulan September 2005.
--------------------------------------------------------------
Dan demi sesungguhnya, mereka pula telah didatangi seorang Rasul dari kalangan mereka sendiri, lalu mereka mendustakannya; maka mereka pun ditimpa azab sedang mereka berkeadaan zalim.(Al-Nahl:113)

0 Comments:

Post a Comment

Subscribe to Post Comments [Atom]

<< Home