Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami : Perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertakwa. (Al-Furqan:74) akhifaizul Blogging Portal


Tuesday, September 13, 2005

Idea-idea Islam Liberal dan Implikasinya ke atas Umat Islam.

Alhamdulillah, dengan menyertai beberapa mailing list kadang-kala kita mendapat satu artikel atau kertas kerja yang menarik untuk kita baca dan kita hayati dan fikir-fikirkan.

Hari ini terasa ingin berkongsi kertas kerja yang telah dibentangkan oleh Dr. Muhammad Nur Manuty. Cuma isinya sedikit berat dan memerlukan penelitian ketika proses mencernanya.

Adalah penting sebenarnya untuk kita mengetahui bentuk-bentuk ghuzuwwu al-fikri dalam kita membendung dan membina satu tembok dalam diri kita agar tidak terjebak ke lembah kehinaan tanpa kita sedari.

Serangan yang datang dari setiap penjuru, yang sentiasa berusaha menerobos liang-liang iman kita sentiasa perlu disekat dengan persiapan diri, persiapan dari segi fizikal dan lebih-lebih lagi mental. Kita khuatir kita terpedaya dan terpengaruh dengan kata-kata manis yang ditabur oleh mereka yang bergelar sarjana, lebih-lebih lagi bila mana ia mendakwa mereka adalah penganut agama Islam.

Moga pembaca blogku dapat memahami apa yang cuba disampaikan oleh penulis kertas kerja ini. Bacalah perlahan-lahan jika kadar kepeningan meningkat. Ulangi bacaan dengan berfikir, bukan sekadar membaca sambil lalu kerana ku kira kertas kerja ini memerlukan kita berfikir untuk memahaminya.

Islam itu Indah, ianya sentiasa Indah, keindahan Islam biasanya sentiasa dibayangi oleh mereka-mereka yang tidak senang dengan Islam. Mereka tahu untuk mencabut terus Islam dari individu bukan mudah. Ideologi-ideologi baru tumbuh bak cendawan dalam menawan akal-akal kaum muslim.

Jika dulu ianya dilahirkan oleh golongan-golongan yang memusuhi Islam dengan nyata yakni orang-orang kafir dan barat melalui ideology secular, komunisme, Marxisme, Nasionalisme dan sebagainya kini penyelewengan cuba pula dilaksanakan oleh mereka yang menggelar diri mereka Muslim. Kadang-kadang kita takut diri kita atau saudara-mara kita terjebak dengan perkara ini walaupun kita tidak mahu ianya berlaku.

Satu caranya bagi mengelakkan perkara ini berlaku adalah dengan cara mengenal mereka bukan dalam erti kata ingin bertaklid kepada mereka tapi lebih kepada senjata atau persediaan untuk mempertahankan diri dari aqidah digoyangkan oleh mereka.

Kertas ini dibentangkan di Wacana Bulanan Yayasan Pembangunan Ummah(YPU) yang dianjurkan dengan kerjasama Yayasan Keilmuan dan Kepimpinan Kelantan (Y3K) pada 02 September 2005, bertempat di Hotel Shah Village Petaling Jaya.


Mukaddimah

Idea-idea Islam liberal sebenarnya bukanlah merupakan satu gagagsan baru yang kini sedang berkembang luas dalam beberapa buah negara Islam. Faktor orientalisme dan aliran modernisme pada abad ke-19 dan 20 mempunyai pertalian yang rapat dengan aliran Islam liberal masa kini.

Dalam kertas ringkas ini, kita akan meneliti idea-idea pokok Islam liberal dan sekaligus melihat latar belakang para ideologinya. Selanjutnya beberapa respon kritikan dari kalangan cendekiawan Muslim semasa akan dikemukakan. Akhir sekali wacana Islam liberal pada malam ini akan membahaskan implikasi-implikasi yang sedang dirasai oleh umat Islam akibat jangkitan virus pemikiran Islam liberal secara umum di dunia saat ini dan khususnya di rantau Asia Tenggara.

Idea-Idea Pokok Islam Liberal Dan Beberapa Ideolognya:

Kritikan Terhadap Teks al-Qur'an:

Antara tokoh kontroversi pemikiran Islam liberal saat ini ialah Nasr Hamid Abu Zaid (NHAZ). Anak kelahiran Mesir yang kini sedang bertugas di Institut Pengajian Asia, Universiti Leiden, Belanda, telah dihukum murtad oleh Jawatankuasa Fatwa, Universiti al-Azhar, Mesir beberapa tahun lalu kerana kritikannya kepada al-Qur'an dan lain-lain aspek terpenting dalam agama Islam.

Dia telah menulis beberapa buah karya mengenai teks al-Qur'an seperti Mafhum al-Nas - Dirasah fi 'Ulum al-Qur'an (Kefahaman Mengenai Teks - Satu Kajian Mengenai al-Qur'an) dan Naqd al-Khitab al-Dini (Wacana Nalar Agama).

Dalam kajiannnya terhadap al-Qur'an, NHAZ banyak menggunakan kaedah hermeneutic. Sebagai seorang harmeneut, maka tahap terpenting dalam melakukan kajian terhadap makna teks, adalah melakukan analisis terhadap corak teks itu sendiri. Hanya dengan penggunaan kaedah yang sedemikian, maka maklumat-maklumat tentang pengarang teks itu dapat diketahui.

NHAZ yang jelas terpengaruh dengan teori hermenuetik Frederich Schliemarcher (1768-1834) telah mengaplikasikan teori tersebut dengan melontarkan satu teori bahawa al-Qur'an yang telah diturunkan melalui malaikat Jibril AS kepada seorang Muhammad SAW yang manusiawi.

Bahawa, Muhammad, sebagai penerima pertama, sekaligus penyampai teks adalah sebahagian dari realiti masyarakat. Membahas Muhammad SAW sebagai penerima teks pertama, bererti membicarakan seorang manusia yang dalam dirinya terdapat harapan-harapan masyarakat yang terkait dengannya (Adian Husaini dan Henri Salahudin, 2004, ms. 34).

Tentang konsep wahyu dan Muhammad versi NHAZ dan yang sejenis dengannya, mereka memandang al-Qur'an hanya pada tingkat perkataan - bukanlah wahyu yang turun dari langit dalam bentuk kata-kata yang benar - sebagaimana pernyataan klasik yang masih dipegang pelbagai kalangan - tetap merupakan spirit wahyu yang disaring melalui Muhammad dan sekaligus diekspresikan dalam batas intelek dan kemampuan linguistiknya.

Jadi, takrif NHAZ yang sedemikian itu telah meletakkan Junjungan Muhammad SAW semacam seorang “PENGARANG“ al-Qur'an. Kata mereka lagi bahawa Muhammad sebagai seorang yang ummi, bukanlah penerima pasif wahyu, tetapi juga mengolah redaksi al-Qur'an, sesuai dengan keadaannya sebagai manusia biasa.

Pandangan tadi adalah lanjutan dari pemikiran klasik orientalis-orientalis Barat generasi awal yang telah mendakwa dan seterusnya mendakyahkan idea bahawa Islam itu adalah "agama bikinan Muhammad" dan hukum Islam disebut sebagai "Muhammadan Law", sementara umat Islam digelar sebagai "Mohammadan".

Para penganut konsep al-Qur'an versi NHAZ enggan menyatakan "Allah berfirman dalam al-Qur'an" sebab mereka mendakwa bahawa al-Qur'an adalah kata-kata Muhammad atau al-Qur'an adalah karya bersama antara Tuhan dan Junjungan Muhammad SAW. NHAZ juga berhujah bahawa teks dalam apa bentukpun, adalah pada hakikatnya produk budaya.

Selanjutnya, NHAZ mengkritik keras metod tafsir para mufassir ternama Ahlus Sunnah wa 'l-Jama`ah. Selepas ini disebut dengan singkatan perkataan ASWJ. Katanya tanggapan yang menyebut bahawa otoriti tafsir adalah milik mutlak mufassirin terdahulu adalah salah.

NHAZ mendakwa bahawa kesilapan mereka ialah kerana adanya kekeliruan yang mendasar di kalangan ASWJ dahulu dan sekarang yang suka mengaitkan "makna teks" dan dalalahnya dengan makna kenabian, risalah dan turunnya wahyu. Kaum ASWJ menyusun sumber-sumber utama penafsiran al-Qur'an pada empat hal: Rasulallah, para sahabat, tabi`in, dan terakhir iaitu tafsir bahasa.

Selain daripada NHAZ, seorang lagi pemikir kontroversi liberal Muslim ialah Muhammad Arkoun, professor pemikiran Islam di University Sorbone, Perancis.

Kajian Arkoun mengenai al-Qur'an adalah dengan menggunakan pendekatan "sejarah" atau "historical method". Antara karya-karya yang sangat disanjung di dunia Barat serta dalam beberapa buah negara Islam saat ini ialah The Unthought in Contemporary Thought (2002) dan Min al-Ijtihad Ila Naqd al-`Aql al-Islami (1992).

Arkoun yakin bahawa kajian kritis sejarah tentang al-Qur'an adalah satu bentuk ijtihad. Menurut Arkoun lagi bahawa pendekatan terhadap fenomena wahyu dari perspektf umum. Dia memasukkan berbagai fenomena kitab suci dari komunitaiagama lain, seperti kitab agama Hindu, Buddha, dan lebih penting lagi kitab Injil Perjanjian lama dan Perjanjian Baru.

Dari perspektif antropologi, Arkoun meletakkan sifat nabi sesuai dengan fenomena yang disebut sebagai "production of great men" (intaj rijal al-`izam) dalam sejarah. Menurutnya lagi seorang nabi itu adalah seorang pemimpin yang bijaksana, yang dianugerahkan semangat raksaksa dan imaginasi hebat.

Arkoun memperdebatkan segala bentuk "kesucian", yang menganggap Tuhan secara aktif terlibat setiap saat dalam sejarah, dalam period heroik dan karismatik para nabi.

Mengenai wahyu, Arkoun membaginya dalam dua peringkat. Peringkat pertama adalah apa yang biasanya al-Qur'an menyebutnya sebagai Ummul Kitab (induk Kitab) dan pada peringkat kedua apa yang disebut sebagai berbagai kitab termasuk Bible, Gospel dan al-Qur'an. Ummul Kitab adalah Kitab Langit, wahyu yang sempurna, dari mana Bible, Gospel dan al-Qur'an berasal.

Arkoun yakin bahawa pada peringkat pertama wahyu adalah bersifat abadi, tidak terikat dengan waktu, serta mengandung kebenaran tertinggi. Justeru wahyu jenis ini adalah kebenaran absolute di luar jangkauan manusia yang tersimpan di Lauh Mahfuz.

Bagaimanpun, Arkoun turut berpandangan bahawa wahyu hanya dapat difahami oleh manusia pada tahap kedua. Inilah jenis wahyu yang diistilahkan oleh Arkoun sebagai "edisi dunia" yang telah mengalami modifikasi.

Kata Arkoun; "Kitab Langit hanya boleh diikuti oleh para pemeluknya melalui versi tertulis dari kitab-kitab suci yang ada sekarang. Aspek kedua dari Kitab Induk/Langit ini kemudian harus tunduk dengan pelbagai rintangan dalam kenyataan sejarah yang arbitrer." (Arkoun, Rethinking Islam Today, ms. 241).

Dengan membandingkan bentuk lisan dan tulisan dalam al-Qur'an, Arkoun menyatakan dengan tegas bahawa al-Qur'an lebih suci, lebih autentik dan lebih dapat dipercayai ketika masih dalam bentuk "wacana" jika dibanding dalam bentuk tertulis.

Alasannya menurut Arkoun kerana al-Qur'an terbuka untuk semua erti ketika dalam bentuk lisan, dan dalam bentuk tulisan tidak lagi begitu. Sebaliknya dia mendakwa bahawa penggunaan alat-alat tulis seperti pena dan kertas telah mengurangi status al-Qur'an yang bersifat ketuhanan sebagai sebuah buku dunia.

Ulil Absar selaku pengasas Jaringan Islam Liberal (JIL) menyimpulkan pemikiran mengenai teks al-Qur'an dengan menimbulkan masalah pemikiran pokok dalam pemahaman Islam sekarang ini adalah adanya pandangan yang dominan tentang teks sebagai sesuatu yang "supreme", sehingga pemahaman atas teks itu kerapkali mengabaikan kenyataan dan pengalaman manusia yang konkrit.

Akibatnya adalah pengasingan manusia dari pengalamannya sendiri, kerana mengagungkan teks yang berlebihan. Ulil Absar mahukan wahyu dan pengalaman manusia (termasuknya di dalamnya adalah akal) adalah sama kedudukan dan status "epesitemologis" nya dalam tindakan penafsiran (Ulul Absar, ms.427-428).

Idea Teologi Pluralis:

Selain dari bidang kajian kritis mengenai al-Qur'an, satu lagi aspek pemikiran Islam liberal yang sedang merebak saat ini ialah peri pentingnya masyarakat beragama Islam menerima adanya "teologi pluralis".

Adalah jelas bahawa idea teologi pluralisme agama telah bermula dengan penerbitan karya-karya kontroversi Nurkholis Madjid (Cak Nur) yang baru saja berpulang ke alam baqa Isnin lalu. Sebagai seorang lokomotif yang nyaris dikultuskan di Indonesia dan handal dalam menyajikan bahan-bahan klasik secara terpilih, Cak Nur amat kuat menganjurkan supaya toleransi antara agama-agama dunia dapat dilaksanakan semaksimum mungkin.

Dalam buku Pluralitas Agama: Kerukunan Dalam Keagaman, Cak Nur menjelaskan maksud teologi inklusif lawan eksklusif. Katanya; "Umat Islam pun diperintahkan untuk sentiasa menegaskan bahawa kita semua, para penganut kitab suci yang berbeza-beza itu, sama-sama menyembah Tuhan yang Maha Esa, dan sama-sama pasrah (muslimun) kepadaNya."

Jadi, menurut Cak Nur bahawa "kebenaran dan keselamatan" suatu agama bukan monopoli sesuatu agama. Justeru, dari perspektif teologi inkulisf bahawa dakwaan hanya agamanya sahaja yang benar dan menjadi jalan keselamatan adalah salah dari segi teologi!

Alwi Shihab yang kini adalah Menteri Kesejahteraan Sosial Indonesia adalah seorang lagi pendiri mazhab pluralisme agama. Dalam bukunya Islam Inklusif: Menuju Sikap Terbuka Dalam Beragama, beliau mendakwa bahawa ayat al-Qur'an yang acap kali digunakan untuk membuktikan eksklusifnya agama Islam iaitu dalam Surah al-Baqarah: 62 dan al-Mai'dah: 69.

Sesungguhnya orang-orang yang beriman, orang-orang Yahudi, Nasrani dan Shabiin, barang siapa yang beriman di antara mereka itu kepada Allah dan hari yang kemudian, serta beramal soleh, maka untuk mereka itu pahala disisi TuhanNya; dan tiada ketakutan atas mereka dan tiada mereka berdukacita. (Al-Baqarah:62)

Sesungguhnya orang-orang yang beriman, orang-orang Yahudi dan Shabiin, dan orang-orang Nasrani, barangsiapa yang beriman di antara mereka kepada Allah dan hari yang kemudian , serta mengerjakan amalan yang baik-baik, nescaya tidak ada ketakutan terhadap mereka dan tiada mereka berdukacita (Al-Maidah:69)

Ketika menghuraikan ayat-ayat tersebut, Alwi berpandangan bahawa hal itu tidak diperuntukkan bagi Muslim sahaja, tetapi bagi segenap mereka yang percaya kepada Tuhan sepanjang sejarah umat manusia.

Hujah yang dipakai oleh Alwi di sini ialah rujukannnya kepada perkataan "menyerah diri" dalam agama Islam dan lain-lain agama adalah manefastasi keimanan seseorang individu itu terhadap Tuhannya.

Alwi juga begitu yakin bahawa ayat-ayat al-Qur'an dalam Surah al-Baqarah: 62 dan al-Ma'idah: 69 adalah bersifat inklusif untuk semua agama. Justeru, beliau menterjemahkan ayat tersebut seperti berikut; "Sesungguhnya mereka telah beriman, iaitu, Yahudi, Kristen dan kaum sabi'in. Mereka yang percaya pada Tuhan dan Hari Akhir dan berbuat kebaikan akan menerima pahala dari Tuhan mereka. Mereka tidak akan merugi dan berdukacita."

Pokoknya, Alwi percaya bahawa dengan hanya terdapat pengakuan eksistensi orang-orang yang berbuat baik dalam setiap "masyarakat beragama" maka layaklah mereka menerima pahala dari Tuhan. Idea teologi pluralisme didokong kuat oleh lain-lain sarjana seperti Abdul Rahman Wahid, Djohan Effendi, Budhy Munawar Rachman, Masdar F. Mas’udi, Arief Budiman dan lain-lain. Pokoknya mereka percaya bahawa Islam yang dikehendaki dalam zaman yang berubah ini ialah Islam yang bercitra kemanusiaan dan kedamaian bukan Islam yang "theocentric exclusive".

Penolakan Terhadap Syari'at Islam

Golongan liberal Islam menolak pelaksanaan Shari'at Islam. Abdullah al-Naim, seorang penulis yang berasal dari Sudan telah menghasilkan sebuah karya yang berjudul Toward an Islamic Reformation (1989) yang intinya merombak pemahaman orang Islam terhadap shari`at.

Abdullah mempopularkan bahawa syari'ah adalah "human" bukannya "divine". Seperkara yang wajar mendapat perhatian, pemikiran shari`ah Abdullah al-Nai'mi adalah lanjutan dari pemikiran Islam Mahmud Muhammad Taha yang telah mati dihukum bunuh dalam era kepimpinan Presiden Ja`afar Numairi kerana mendakwa bahawa shari`at Nabi Muhammad masih belum berakhir, dan dia adalah penyempurnanya.

Justeru, Abdullah menyuarakan pendapatnya bahawa syari`at Islam khususnya Islamic Public Law mesti dirobah kerana teks agama tidak perlu diikuti secara literal (harfiyyah). Abdullah Ahmad al-Na`imi melengkpakan hujahnya dengan berkata;

"I have shown that shari'ah was in fact constructed by Muslim jurists over the first three centuries of Islam. Although derived from the fundamental divine sources of Islam, the Qur'an and Sunnah. Shari'ah is not divine because it is the product of human interpretation of those sources..." (ms. 1850).

Sehubungan dengan penolakan shari`ah, para pendiri Islam liberal menolak dengan tegas konsep "Negara Islam". Selain daripada Cak Nur, Dr. M. Amien Rais, mantan Ketua Muhammadiyyah Indonesia menolak gagasan adanya perintah Tuhan dalam al-Qur'an dan al-Sunnah untuk menegakkan negara Islam. Yang ada kata Amein Rais ialah peri pentingnya melaksanakan etos-etos Islam seperti menegakkan keadilan sosial.

Golongan Muslim liberal bersekongkol dengan perisik-perisik dan pembuat-pembuat dasar di negara-negara Barat bahawa Islam politik atau al-Islam al-Siyasi hendaklah ditentang habis-habisan.

Respons Terhadap Pemikiran Islam Liberal:

Adalah jelas bahawa pemikiran NHAZ dan yang bersamaan dengannya adalah bertentangan dengan pendapat jumhur para `ulama tentang al-Qur'an seperti yang terungkap dalam satu disiplin khusus yang dinamakan `Ulum al-Qur'an.

Pendapat yang diterima pakai secara jumhur ialah al-Qur'an itu dari segi lafaz dan makna adalah dari Allah (swt). Junjungan Muhammad SAW hanyalah sebagai penyampai sahaja. Baginda tidak mengapresiasi atau mengolah wahyu yang diterimanya.

Kedudukan Junjungan Muhammad SAW selaku penyampai wahyu adalah pasif. Baginda tidak menambah atau mengurangi apa yang telah diwahyukan kepadanya menerusi malaikat Jibril AS. Baginda terpelihara dari segala kesalahan, kerana beliau itu adalah ma`sum.

Al-Qur'an memperakukan hakikat tersebut dengan firmanNya; "Dan tiadalah yang diucapkannya itu (Al-Quraan) menurut kemauan hawa nafsunya." (Al-Najm: 3). Bahkan al-Qur'an memberi ancaman kepada Nabi Muhammad (saas); "Seandainya dia (Muhammad) sebahagian dari perkataan atas (nama) Kami, niscaya kami pegang dia pada tangan kanannya, kemudian benar-benar Kami potong urat tali jantungnya." (al-Haqqah: 44-46).

Memang benar bahawa teks al-Qur'an dalam bahasa Arab dan beberapa di antaranya berbicara tentang budaya ketika itu. Tetapi al-Qur'an tidak tunduk kepada budaya. Al-Qur'an justeru merombak budaya Arab dan membangun suatu polar pemikiran dan peradaban baru.

Istilah-istilah dalam al-Qur'an walaupun dalam bahasa Arab, tetapi ia telah mengalami makna yang baru berlawanan dengan kefahaman masyarakat jahiliah Arab dahulu.

Ketika konsep teks al-Qur'an dibongkar, dan dilepaskan dari statusnya sebagai "Kalamullah", maka al-Qur'an itu akan diperlakukan sebagai teks bahasa dan sastera serta produk budaya. Ini bermakna bahawa teks al-Qur'an hanya dapat difahami sebagai metod sejarah (historisitis), tanpa memperhatikan bagaimana Junjungan Muhammad SAW dan para sahabat utama memahami ayat-ayat yang ditanzilkan dalam kehidupan mereka.

Banyak yang menyangka bahawa kajian teks al-Qur'an versi NHAZ adalah berangkat daripada tradisi Islam, pada hal kajian yang telah dilakukan oleh NHAZ adalah menyamai metodologi kajian di Barat yang berakar kepada kajian teks Bible yang bermasalah.

Pada hakikatnya NHAZ telah berusaha untuk menghidupkan semula kritikan orientalis Barat seperti Alphonse Minga, Arthur Jeffery, Burton, Joseph Puin dan ramai lagi, terhadap kesucian al-Qur'an.

Lihat sahaja ungkapan Mingana - seorang Profesor Arab Kristian yang berasal dari Iraq di Universiti Birmingham dalam tahun 1927. Katanya; "The time has surely come to subjet the text of the Kur'an to the same criticism as that to which we subject to Hebrew and Aramaic of the jewish Bible and the Greek of Christian scriptures." (Adian Husaini dan Henri Salahudin, ms. 37-38). Nampak ketara kepada kita bahawa NHAZ ingin melupuskan kesucian al-Qur'an sehingga ianya boleh menjadi bahan kajian yang bersifat subjektif lagi.

Mengenai Arkoun, kita dapat membuat kesimpulan bahawa dia amat terpengaruh dengan kaedah historitis Marx. Beliau nampaknya tidak mahu mengakui metodologi untuk kepentingan al-Qur'an, tetapi menggunakan kajian al-Qur'an untuk mengesahkah keyakinan metodologi Barat yang diyakininya.

Al-Qur'an secara jelas merupakan sebuah Kitab untuk didengar, dan tentu untuk dibaca serta dilaksanakankan. Walaupun Arkoun menerima kesucian al-Qur'an dalam bentuk lisan, tetapi dia enggan menerima tuntutan untuk mendengar apa yang merupakan implikasi daripada penerimaan tersebut.

Sebaliknya, Arkoun bertanya kenapa al-Qur'an bagaimana Ia menerapkan sebuah erti yang tidak pasti. Kerana begitu kuat dipengaruhi oleh pemikiran dan metodologi Barat termasuk idea "deconstructicism" Focoult, Darida dan Gama, amat banyak berlaku kesamaran, kekeliruan dan kebodohan dalam analisisnya.

Paparan Arkoun tentang al-Qur'an menjadikannya satu kajian matametik. Memang benar dakwaan Arkoun bahawa kajian kaedah al-Qur'an yang digunakan olehnya yang disebut sebagai "the close official corpus" (korpus rasmi tertutup) pada hakikatnya sama dengan penggali lubang kubur untuk dirinya sendiri.

Jika konsep al-Qur'an sebagai "Kalamullah" cuba diruntuhkannya, maka giliran berikutnya adalah Hadis Nabawi yang dalam beberapa dekad lalu telahpun dipolemikkan oleh sebahagian penulis Muslim seperti Kasim Ahmad. Mohamad Arkoun, umpamanya, menyatakan pandangan kontroversinya bahawa Hadis itu tidaklah suci kedudukannya kecuali setelah Imam al-Shafi`iy melakukan penyaringan terhadapnya.

Ungkapan Cak Nur sewajarnya dibantah. Apakah benar penganut Islam, Kristian, Hindu, Budha, Konfusius dan sebagainya sama-sama menyembah Tuhan Yang Maha Esa dan sama-sama pasrah kepadaNya? Bukankah antara Islam dan Kristian serta Yahudi terdapat perbedaan akidah yang sangat jelas?

Hal ini dapat dilihat dalam Surah al-Ma'idah:
Sesungguhnya telah kafirlah orang-orang yang berkata: `Sesungguhnya Allah ialah Al Masih putera Maryam`, padahal Al Masih (sendiri) berkata: `Hai Bani Israil, sembahlah Allah Tuhanku dan Tuhanmu`. Sesungguhnya orang yang mempersekutukan (sesuatu dengan) Allah, maka pasti Allah mengharamkan kepadanya surga, dan tempatnya ialah neraka, tidaklah ada bagi orang-orang zalim itu seorang penolongpun. Sesungguhnya kafirlah orang-orang yang mengatakan: `Bahwasanya Allah salah seorang dari yang tiga`, padahal sekali-kali tidak ada Tuhan selain dari Tuhan Yang Esa. Jika mereka tidak berhenti dari apa yang mereka katakan itu, pasti orang-orang yang kafir diantara mereka akan ditimpa siksaan yang pedih. Maka mengapa mereka tidak bertaubat kepada Allah dan memohon ampun kepada-Nya ?. Dan Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang. Al Masih putera Maryam itu hanyalah seorang Rasul yang sesungguhnya telah berlalu sebelumnya beberapa rasul, dan ibunya seorang yang sangat benar, kedua-duanya biasa memakan makanan. Perhatikan bagaimana Kami menjelaskan kepada mereka (ahli kitab) tanda-tanda kekuasaan (Kami), kemudian perhatikanlah bagaimana mereka berpaling (dari memperhatikan ayat-ayat Kami itu). (Al-Maidah:72-75)

Adalah jelas bahawa penganut Kristian telah melakukan amalan syirik - apalagi para penganut Hindu, Budha dan lain-lain. Dalam subjudul sebuah makalah Cak Nur yang berjudul "Satu Tuhan, Beda Jalan", dia menghurai dengan panjang lebar bahawa Islam juga mengakui kesahan agama-gama lain dan kitab sucinya. Jadi, jika diteliti ayat-ayat seperti “Dan sekiranya mereka sungguh-sungguh menjalankan (hukum) Taurat dan Injil dan (Al Qur`an) yang diturunkan kepada mereka dari Tuhannya, niscaya mereka akan mendapat makanan dari atas dan dari bawah kaki mereka. Diantara mereka ada golongan yang pertengahan. Dan alangkah buruknya apa yang dikerjakan oleh kebanyakan mereka.“ (Al-Ma'idah:66) adalah jelas menolak dengan tegas konsep "inklusif" semua agama dunia.

Cak Nur nampaknya cuba mengelak daripada mengutip ayat-ayat al-Qur'an yang mengecam atau mengutuk sikap kaum Yahudi dan Nasrani seperti yang terdapat dalam Surah al-Ma'idah ayat 72-75.

Selain itu, pemikiran Cak Nur yang kononnya mendakwa bahawa dia banyak bergantung dengan hujah Ibn Taimiyyah ketika menjustifikasikan teologi inklusif, pada hakikatnya adalah berlawanan dengan apa yang telah ditulis oleh Ibn Taymiyyah secara komprehensif.

Dalam bab yang berjudul "Kaum Yang DiMurkai Allah Adalah Yahudi, Yang Tersesat Adalah Nasrani", dalam kitab ini Ibn Taymiyyah menghuraikan dengan panjang lebar larangan ALlah swt untuk menyerupai orang-orang kafir, khususnya Yahudi dan Nasrani, termasuk menghadiri perayaan-perayaan besar mereka. Ibn Taymiyyah telah mengutip sebuah Hadis yang menyatakan; "Sesungguhnya orang-orang Yahudi adalah yang dimurkai, sedangkan kaum Nasrani adalah yang tersesat." (HR Tarmizi).

Jelas sekali tindakan Cak Nur mengutip-mengutip pandangan Ibn Taymiyyah untuk meletakkannya dalam bingkai "teologi inklusif dan pluralis" merupakan tindakan yang tidak bermoral. Benar sekali seperti ungkapan Adian Husaini dan Nuim Hidayat, antara tokoh muda intelektual Muslim Indonesia yang telah berjaya menggugah pemikiran Cak Nur secara khusus dengan kata-kata berikut; "Selama puluhan tahun Nurkholis berhasil membonceng nama besar Ibn Taymiyyah untuk memuluskan misinya, Gerakan Pembaharuan Islam Liberal. Sayang sekali, kaum Muslimin kurang mencermati hal yang sangat serius bagi akidah Islam ini." (Adian Husaini dan Nuim Hidayat, 2002, ms. 79).

Implikasi-Implikasi Pemikiran Islam Liberal Ke Atas Umat Islam

1. Aliran pemikiran Islam liberal adalah bertentangan dengan prinsip a'qidah Islam. Pemikiran Islam liberal boleh menjadikan seorang Muslim menjadi murtad, kufr, syirik dan fasiq. Pokoknya ia berlawanan dengan ASWJ.

2. Adalah jelas bahawa gerakan pemikiran Islam liberal telah mulai berhasil menimbulkan keraguan akidah dan seterusnya memecah-belahkan umat Islam seperti yang kini sedang berlaku di Indonesia sehingga Majlis Ulama Islam (MUI) di Indonesia telah mengeluarkan fatwa bahawa pemikiran Islam liberal itu adalah HARAM pada 25 Julai yang lalu.

3. Kehadiran Muslim liberalis yang kini menjadi "celebrities" di dunia telah memberi peluang dan ruang untuk musuh-mush Islam seperi Zionis, Evangelis Kristian, sekularis liberal Barat, pengembang-pengembang agama Hindu, Buddha, Bahai, Sikh dan lain-lain menyusup masuk secara lansung dan tidak langsung bagi merealisasikan cita-cita jahat mereka untuk melemahkan status agama Islam dan masyarakatnya supaya terus terpinggir dari arus perdana masyarakat.

4. Golongan Muslim liberalis kini mendapat dokongan moral dan material dari pelbagai individiu terutamanya dari Dunia Barat. Ini dapat dilihat dari persidangan, seminar, bengkel yang dianjurkan di dunia Islam. Di Malaysia, pada tahun 2003 telah diadakan satu persidangan antarabangsa mengenai Islam dan cabaran modeniti yang dinamakan KALIF. Dalam seminar tersebut telah dihadirkan ramai tokoh-tokoh liberal Muslim dengan tujuan untuk mempengaruhi inteligensia Muslim di Malaysia supaya bersikap kritis terhadap warisan Islam (al-turath al-Islami).

5. Atas nama "moderat Islam/Muslim", kehadiran Muslim liberal telah menyebabkan doktrin Islam yang syumul dalam world viewnya sebagai "ad-din" sedang diturunkan statusnya untuk menjadi agama sivil atau agama peribadi semata-mata. Konsep "moderat" tidak lagi diukur dengan skala al-Qur'an dan al-Sunnah yang hakiki seperti kaitannya dengan keadilan (ummatan wasatan). Pada masa ini beberapa konsep dan institusi asas Islam serta pemeluknya seperti jihad, hudud, da'wah, madrasah dan sebagainya sedang dicairkan dengan Islam dalam bijana Barat seperti Islam Amerikana. Justeru, terlalu banyak "think-tank" Barat yang mengakui tentang Islam seperti projek Rand Corporation, SIM di Leiden, Belanda, Institut Brooke, Washigton, D.C. dan yang lain-lain.

6. Dari segi syari'at, pemikiran Islam liberal menganjurkan supaya "otoriti agama" tidak lagi berada di tangan para 'ulama sebaliknya atas nama "egalitarian" (kesaksamaan) siapa sahaja boleh mentafsirkan agama! Hukum-hukum Islam seperti poligami mahu dihapuskan kononnya ia adalah berlawanan dengan realiti zaman moden.

7. Aliran untuk melonggarkan status hukum-hukum Islam supaya ianya lebih terbuka bagi menyesuaikan dengan peredaran zaman dengan menggunakan justifikasi DARURAH dan mengaplikasikan IJTIHAD secara sewenang-wenangnya.

8. Mutakhir ini masyarakat bukan Muslim di Malaysia dan di lain-lain tempat semakin berani melontarkan fikiran mereka mengenai agama Islam termasuklah mempersoalkan kewibaan Majlis Fatwa Kebangsaan dan otoriti 'ulama. Gagagasan penubuhan Suruhanjaya Antara Agama-Agama (IRC) adalah satu usaha nekad pimpinan bukan Islam untuk mencari jalan melemahkan status Islam dan umat di Malaysia ketika umat Islam kuat mengukuhkan diri mereka dengan identiti Islam bagi menghadapi cabaran dalaman dan luaran yang semakin menyemarak.

9. Di Malaysia, beberapa NGO, antaranya, Sisters in Islam, adalah antara pendukung Islam liberal yang kuat mempromosikan isu kesetaraan kaum jenis lelaki dan perempuan. Ia mendapat dokongan moral dari beberap figure politik nasional serta begitu akrab jaringannya dengan beberapa agensi di dunia Barat.

Kesimpulan:

Gerakan pemikiran Islam adalah satu usaha yang terancang secara langsung atau tidak langsung. Pemikiran Kurzman dalam karyanya Liberal Islam mempunyai jaringan yang luas dengan kegiatan pemikiran Islam liberal di dunia pada masa ini. Kaum intelektual Muslim di mana sahaja berasa tidak wajar menyepi diri dengan menanggapi pemikiran Islam liberal sebagai satu gerakan yang tidak merbahaya dari segi akidah.

Strategi yang sedang digunakan oleh liberalis Muslim ialah menidakkan adanya "otoriti agama". Ulama diserang habis-habisan dengan pelbagi cemuhan, sinisime dan maki hamun. Sesungguhnya serangan pemikiran ke atas umat Islam atau apa yang disebut "al-ghuzuwwu al-fikri" masih belum berakhir. Sebaliknya ia menjadi semakin menyemarak dengan berlindung di bawah panji-panji progresif, kesederhanaan, modeniti, keamanan dan kedamaian, kemanusiaan dan hak asasi manusia. Wallahu 'alam bi 'l-sawab.

Sumber : Dr. Muhammad Nur Manuty, Pengarah CESMACS, Jumaat 2 September 2005.

Wallahu ‘alam …..

Jadual Kuliah
1.Jadual Pengajian sekitar Bandar Baru Bangi dan Kajang bagi Bulan September 2005.

--------------------------------------------------------------
Katakanlah: `Jika kamu menyembunyikan apa yang ada dalam hatimu atau kamu melahirkannya, pasti Allah mengetahui`. Allah mengetahui apa-apa yang ada di langit dan apa-apa yang ada di bumi. Dan Allah Maha Kuasa atas segala sesuatu.(Al-‘Imran:29)

0 Comments:

Post a Comment

Subscribe to Post Comments [Atom]

<< Home