Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami : Perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertakwa. (Al-Furqan:74) akhifaizul Blogging Portal


Tuesday, August 30, 2005

Pengimportan Kebudayaan Barat dan Anasirnya.

Terasa lama sungguh tidak mencoret apa-apa diblog ini. Kesibukan tugas yang tak kunjung habis membuatkan diriku tidak sempat untuk mengupdate. Selepas flow test, reportnya pula hendak disiapkan.

Entry kali nie sebenarnya sudah lama hendak kutulis, tapi memandangkan masa tidak menngizinkan baru kini berpeluang utuk dikongsi bersama. Satu entry yang diadaptasi dari sebuah buku terjemahan yang ditulis oleh salah seorang tokoh ilmuwan yang tidak asing lagi dikalangan kita, Dr. Yusf Qardhawi.

Tulisan kali ini mungkin agak panjang untuk dibaca, moga ada manfaatnya tulisan ini.insyaAllah

Pengimportan Kebudayaan Barat dan Anasirnya.

Diantara seruan yang menyesatkan adalah suara-suara yang menyatakan kita perlu mengambil semua ‘kebudayaan barat’, mengambil dalam erti kata mengambil semua kebudayaan barat, sama ada betul ataupun salah. Golongan ini mengemukakan dua alasan mengapa kebudayaan barat harus dijadikan kiblat atau sandaran kita semua.

Pertama; Kebudayaan ini adalah satu kebudayaan antarabangsa bukan kebudayaan barat. Jika kita tidak membuka pintu kepada kebudayaan ini, pasti kita akan hidup ketinggalan zaman dan jauh dari dunia kemajuan dan kemodenan.

Kedua ; Suata kebudayaan antarabangsa adalah merupakan satu kesatuan yang tidak dapat dipisah-pisahkan dan diasingkan antara satu dan lain. Jika kita hanya mengambil sebahagian sahaja, kita tidak akan mencapai kemajuan. Jadi kita tidak hanya boleh mengambil bidang sains, sastera ataupon pengetahuannya sahaja. Oleh sebab itu aliran ini mahu kita mengambil semua kebudayaan dan produk pemikiran gaya barat sebagai ikutan dan contoh.

Dakwaan bahawa Kebudayaan Barat bersifat Antarabangsa
Kebudayaan dan cabang-cabang ilmu adalah dua perkara yang berbeza. Kaedah ilmu pengetahuan dan teori-teori sains berdiri atas ujian-ujian dan percubaan-percubaan. Kebudayaan antarabangsa tidak boleh didakwa meliputi kedua-duanya sekali. Ianya boleh diasingkan, dan tidak mungkin kebudayaan dan ilmu bercampur. Ilmu-ilmu fizik, ilmu perubatan, ilmu kimia dan cabang-cabang sains dan teknologi adalah bersifat antarabangsa, ianya dikongsi oleh kesemua manusia tidak kira mereka kafir atau bergelar muslim, tidak kira mereka fasiq ataupon munafik, ini adalah sunatullah, ianya dikongsi oleh segenap lapisan umat manusia.

Perkara yang berbeza adalah tatacara pengajaran dan pembelajarannya sahaja yang berhubung kait dengan falsafah pemikiran tertinggi berkenaan dengan alam raya.

Sifat kebudayaan berbeza dengan ilmu pengetahuan dan sains, ini kerana kebudayaan itu mempunyai cirri-ciri khusus dan pasti. Ia bukan setakat hasil pemikiran akal, tetapi ianya lebih merupakan hasi; pemikiran, pengalaman dan perjuangan yang dihiasi dengan akhlak-akhlak dan sinar-sinar keyakinan serta keimanan yang bersatu di dalam gerak kerja, sikap perbuatan dan adapt kebiasaan dan dilahirkan melalui syiar-syiar, kesusteraan dan ksenian. Ianya dapat dirasa, didengar dan dilihat dalam kehidupan nyata dan bukannya sekadar konsep dan teori sahaja.

Kebudayaan manusia dipengaruhi oleh faktor-faktor seperti agama, bahasa, persekitaran, warisan-warisan budaya terdahulu dan interaksinya dengan budaya-budaya lain baik yang bersifat positif ataupon negative.

Peradaban bangsa yang tidak mengenal Tuhan berbeza dengan ummat yang beriman kepada ajaran Islam. Kebudayaan ahli Kitab berlainan dengan kebudayaan kaum penyembah berhala. Kebudayaan penduduk luar Bandar berlainan dengan penduduk Bandar. Jika kita melihat ke Barat, kita akan temui bahawa falsafah liberalisme yang menjadi asas kehidupan di sana berbeza dengan falsafah komunisme.

Orang Islam mempunyai kebudayaan dan peradabannya yang tersendiri, dalam erti kata mempunyai keistemewaan tersendiri. Kebudayaan yang lain dari yang lain tetapi berlandaskan syariat.

Benarkah Kebudayaan itu Satu Kesatuan yang tidak dapat dipisahkan?
Ada juga orang yang mendakwa keseluruhan kebudayaan itu adalah satu kesatuan yang tidak dapat dipisahkan antara suatu dengan yang lain. Pendapat ini adalah suatu pendapat yang tidak berasas dan tidak dapat diterima kerana bercanggah dengan logic, sejarah dan reality kehidupan sebenar.

Dr, Taha Hussein pernah melaung-laungkan seruan di atas pada awal tahun 30-an di dalam bukunya yang berjudul “Mustaqmal Al-Thafaqah fi Misr” (Masa hadapan Kebudayaan Mesir).

Dr. Yusuf al-Qaradawi telah membincangkan perkara ini di dalam bukunya yang berjudul “Al-Hulul al-Mustawradah” (Cara Penyelesaian Gaya Asing) bahawa melakukan kritik, pengubahsuaian dan pembetulan terhadap kebudayaan asing adalah sangat mungkin bahkan ianya pernah terbukti dalam lipatan sejarah dan kehidupan, samada kehidupan kini ataupun kehidupan lampau.

Sebagai contoh jelas yang dapat kita imbau adalah zaman emas kaum Muslim. Kaum Muslim ketika itu telah memandaatkan peradaban yang telah dikembangkan oleh orang-orang Yunani, Parsi dan juga India dalam pelbagai aspek. Namun demikian, mereka hanya mengambil perkara-perkara yang bermanfaat sahaja dan meninggalkan perkara-perkara yang tidak mendatangkan faedah sahaja dan meninggalkan perkara-perkara mudarat dan yang tidak selari dengan syariat Islam.

Demikian juga orang-orang Barat, yang hanya mengambil manfaat dari perkembangan sains dan teknologi yang berjaya dikembangkan oleh Kaum Muslim pada era keemasan mereka, Golongan Barat tidak mengambil semua perkara yang ada pada kaum Muslim untuk dijadikan sandaran dalam membentuk kebudayaan mereka, mereka membentuk kebudayaan mereka dengan acuan mereka sendiri. Mereka tidak mengambil Aqidah, cara ibadah, akhlakk dan keyakinan umat Islam untuk mereka jadikan pegangan dan juga sandaran.

Professor Arnold Toynbe, seorang pakar sejarah berbangsa Inggeris, dengan tajam mengkritik sikap bangsa-bangsa Timur yang pernah dijajah oleh Barat dan kini sudah merdeka, namun mereka mengambil kebudayaan dan peradaban sekaligus, dan ada pula yang mengambilnya dengan hampir keseluruhannya, tanpa memilih dan menilainya terlebih dahulu.

“Negara-negara di Timur yang telah merdeka secara politik dari penjajahan barat, ternyata belum lagi merdeka dari kebudayaan penjajahan Barat. Ia masih lagi terpengaruh dengan gaya pemikiran, tingkah laku dan adat-adat yang tidak dimiliki oleh mereka, sebaliknya lebih mengutamakan kebudayaan barat, mereka mengambil kebudayaan Barat tanpa mempunyai satu keberanian untuk mengkritik dan menilai semula.“

“Negara-negara yang telah berhasil melepaskan diri dari belenggu penjajah secara politik, telah menggunakan kemerdekaan tersebut untuk perkara-perkara yang tidak terduga sebelumnya sama sekali. Bangsa di negara-negara yang terjajah tersebut telah berjuang dengan segala kemampuan yang ada untuk mengusir penjajah dan mendapatkan kemerdekaan bagi negara yang mereka cintai. Mereka dianggap mampu melepaskan diri dari belenggu penjajah. Jangkaan awal, bahawa dengan kebebasan yang diraih dari belenggu penjajah, selanjutnya mereka akan menggunakan kemerdekaan tersebut bagi memerangi semula kebudayaan barat yang masih tersisa di tanahair mereka.“

Sambutan Kemerdekaan di Jalan Bukit Bintang pada 30 Ogos 2003

“Namun apa sebenarnya yang terjadi – seperti kita sedia maklum – kemerdekaan tersebut digunakan untuk perkara-perkara yang sangat berlainan. Kemerdekaan tersebut malah mereka pergunakan untuk meniru kebudayaan dan cara hidup barat dengan sukarela dan keinginan mereka sendiri dengan penuh bersemangat. Kesungguhan dan semangat mereka dalam hal ini melebihi semangat-semangat orang-orang Barat sendiri.

Adakan kita tergolong dalam golongan seperti ini? Saya kira pembaca pon mungkin dapat menilai sendiri.
Sambutan Kemerdekaan di KLCC pada 30 Ogos 2003

Menurut Dr Yusuf al-Qardhawi, perkara ini merupakan satu kerugian yang sangat nyata dan akan dideritai oleh manusia sejagat – bukan hanya orang-orang yang mengadaptasi kebudayaan barat sahaja, malahan orang-orang barat juga akan merasai impaknya – Bila sebahagian bangsa bukan Barat (Timur/Islam) menerima semua kebudayaan dan gaya hidup barat tanpa mengkritik dan menilai semula dan tanpa membezakan mana-mana yang bermanfaat dan mana-mana yang mudharat, ianya dikategorikan sebagai satu kerugian yang sangat nyata.

Dr Yusuf juga menegaskan lagi bahawa inilah nasib buruk yang akan menimpa umat manusia keseluruhannya, kerana kebudayaan dan tamadun Barat – seperti juga kebudayaan dan tamadun lainnya – mempunyai sisi-sisi yang baik dan merbahaya, ianya terpulang kepada kita untuk menilai dan melaksankannya dalam kehidupan kita.

Tujuan kehidupan ini bukanlah pencapaian kejayaan kebendaan semata, tetapi ada matlamat yang lebih mulia iaitu kejayaan dan pencapaian nilai-nilai kerohanian.

Alasan Golongan Sekular dalam mengimport Aliran Pemikiran Barat
Sebahagian penulis yang mendokong aliran sekular di negara-negara ummat Islam mengemukakan hujjahnya mengapa kita harus mengimport pemikiran dan falsafah Barat dan menyanggah kritik serta teguran yang disampaikan oleh para pejuang nilai-nilai Islam yang murni. Alasan mereka kemukakan adalah “Kehidupan ini berjalan atas dasar saling pertukaran. Sebelah sana mengimport dan sebelah sana mengeksport; bahagian sini membeli bahagian sana memjual. Jika perkara ini boleh berlaku dalam dunia material mengapakah ianya tidak boleh berlaku di dalam dunia pemikiran dan falsafah?“. Mereka yang mengajukan pendapat seperti ini seolah-olah mereka melupakan beberapa perkara penting yang di antaranya;

Pertama : Para pejuang yang mempertahankan nilai-nilai murni ajaran Islam tidak pernah memungkiri idea “mengimport“ sebahagian pemikiran ataupon cara penyelesaian dari Barat ataupon Timur bagi kemusykilan yang sedang kita hadapi apabila cara tersebut dianggap layak dan sesuai mengikut prinsip dasar Islam dan boleh membantu untuk mewujudkan matlamat yang sedang kita jadikan tujuan.

Kitalah yang melakukan pemilihan sendiri, bukan orang lain yang memilih untuk kita. Malah kadang-kala, mengimport hasil teknologi dan kemajuan produk Barat itu menjadi perkara wajib, terutamanya mengenai peralatan canggih dan moden.

Idea yang menjadi sanggahan pihak pejuang nilai-nilai Islam adalah “mengimport“ seluruh jenis produk Barat, baik yang berupa peralatan dan juga pemikiran untuk sepenuhnya dijadikan rujukan utama dan panduan dalam hidup.

Kedua; Para pejuang yang mempertahankan nilai-nilai kemurnian Islam membantah dan menyanggah keadaan di mana kita sentiaasa bersikap mengimport sepanjang masa dan tidak pernah berusaha untuk menjadi pengeksport, selalu menjadi pembeli dan jarang menjadi penjual. Keadaan ini tidak sesuai dinamakan dengan “Keadaan Saling Pertukaran“. Mengapa dan kenapa?

Kerana selama ini kita hanya menjadi pasar untuk barangan jualan mereka sahaja. Pintu negara-negara kita sentiasa terbuka menerima produk-produk mereka, sementara kita masih belum dapat memasarkan barangan kita kepada mereka. Keadaan seperti inilah disifatkan dengan sifat “Ikut-ikutan dan mengekor“ yang tidak dapat kita terima kerana ia menjejaskan maruah dan nama baik bangsa yang hendak menjadi suatu bangsa yang mulia dan maju, baik dalam bidang perindustrian mahupun dari segi pemikiran.

Apabila satu bangsa atau ummat telah jatuh ke dalam lembah mengimport, maka nota-nota kelemahan sedang menjalar di dalam tubuhnya. Sebab itu kita perlu bangkit untuk membentuk kepercayaan dan jatidiri semula dengan menghakis perasaan kebergantungan kepada pihak lain.

Adaptasi daripada Wawasan Islam antara Keaslian dan Kemodenan tulisan Dr. Yusuf Qaradhawi terjemahan oleh Hj Ahmad Nuryadi Asmawi

Wallahu ‘alam.

Jadual Kuliah
1.Jadual Pengajian Surau Al-Hidayah, Bandar Kinrara, Puchong bagi Bulan Ogos 2005.
2. Jadual Pengajian sekitar Bandar Baru Bangi dan Kajang bagi Bulan Ogos 2005.
--------------------------------------------------------------
"(Yang demikian) kerana Allah hendak menjadikan hasutan Syaitan itu sebagai satu fitnah cubaan bagi orang-orang yang ada penyakit kufur ingkar dalam hati mereka, dan yang hatinya keras membatu; dan sesungguhnya mereka yang zalim itu sentiasa berada dalam pertentangan yang jauh dari kebenaran." (Al-Hajj:53)

0 Comments:

Post a Comment

Subscribe to Post Comments [Atom]

<< Home