Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami : Perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertakwa. (Al-Furqan:74) akhifaizul Blogging Portal


Sunday, July 31, 2005

Sejarah Makkah jadi korban Pembangunan

SETIAP tahun berjuta-juta orang dari segenap pelosok dunia akan mengunjungi Mekah dengan satu tujuan iaitu menunaikan haji yang juga menjadi salah satu rukun Islam kelima.

Selain menyerah diri kepada Allah semasa menunaikan haji, umat Islam juga pastinya mahu menikmati kesan-kesan sejarah yang ada di bumi Mekah, ibu kota kelahiran Nabi Muhammad s.a.w, rasul yang terakhir.

Tetapi selepas masa berlalu dan kemajuan serta kemodenan dengan rancak dirancang, ada juga khabar yang kurang enak disebabkan oleh pembangunan khususnya di Mekah.

Di situ ia dikatakan bahawa beberapa tapak-tapak bersejarah, termasuk tapak kediaman Nabi Muhammad s.a.w diancam pembangunan hartanah.

Lebih buruk, mereka berpandangan tapak-tapak bersejarah itu sebagai `alat' menggalakkan pendewaan atau pemujaan.

Sami Angawi, seorang pakar dalam bidang seni reka bentuk Islam di rantau itu berkata, bangunan berusia 1,400 tahun bermula dari era awal kebangkitan Islam berisiko dimusnahkan bagi memberi laluan kepada kerja-kerja pembangunan.

Ini termasuk projek yang mahukan menara tinggi dibina bagi membolehkan orang Islam yang datang berduyun-duyun menunaikan haji pada setiap tahun di kota suci Mekah itu ditempatkan.

"Kita kini sedang menyaksikan detik-detik terakhir hayat sejarah Mekah. Lapisan sejarah Mekah yang agung itu akan dimusnahkan oleh jentolak demi membina medan tempat letak kereta,"katanya.

Angawi menganggarkan bahawa sejak 50 tahun lalu, sekurang-kurangnya 300 bangunan bersejarah telah diruntuhkan di Mekah dan Madinah, sebuah lagi bandar suci yang menempatkan makam Rasulullah.

Mereka tidak membenarkan usaha-usaha pemuliharaan bangunan lama dilaksanakan, khususnya yang mempunyai kaitan dengan Nabi Muhammad s.a.w.

Mereka bimbang jika orang Islam lain datang dan melihat bangunan-bangunan berkenaan sebagai tempat menyembah sekali gus menurut mereka mendorong kepada tindakan kufur dan mendewa-dewakan.

Institut Saudi yang berpangkalan di Washington dan menjadi kumpulan mengumpul maklumat bebas berkata, kebanyakan mercu tanda Arab Saudi diasaskan pada tahun 1932.

Ia menarik perhatian bahawa satu arahan dikeluarkan oleh ulama kanan majlis agama pada tahun 1994 yang menyebut, usaha memulihara bangunan-bangunan bersejarah akan membawa kepada kekufuran.

Sementara itu, Angawi, yang mengasaskan Pusat Kajian Haji pada tahun 1975 untuk mengkaji secara mendalam tentang kekayaan khazanah Mekah dan Madinah, mendakwa telah mengenal pasti tapak kediaman Nabi Muhammad.
Tetapi beliau enggan mendedahkan lokasi sebenar dengan alasan takut ia dimusnahkan seperti mana yang berlaku kepada Dar Al-Arqam - sekolah Islam pertama di mana Nabi Muhammad dikatakan mengajar.

Di London, Geoffrey King, pakar arkeologi dan seni Islam di Sekolah Pengajian Oriental dan Afrika berkata, nasib tapak-tapak bersejarah Islam di Arab Saudi sangat `menyedihkan'.

Pihak berkuasa agama gagal menghargai dan memberikan signifikan serta kepentingan bangunan-bangunan terbabit kepada Islam dan ulama di seluruh dunia, kata beliau.

King yang mengajar beberapa tahun di Arab Saudi menegaskan ramai pelajar generasi muda di negara itu bersetuju dengan pendapat beliau.

Dalam pada itu, mereka berkata, orang-orang Islam patut memberi tumpuan kepada Masjidilharam yang menempatkan Kaabah di dalamnya.

Firma-firma hartanah melihat permintaan secara besar-besaran untuk membina tempat penginapan bagi menampung lebih 20 juta jemaah yang dijangka mengunjungi bandar suci pada tahun akan datang.

"Infrastruktur pada masa ini tidak dapat menampung. Permintaan terhadap perkhidmatan hotel baru dan pangsapuri sangat mendesak," kata seorang pengarah sebuah syarikat hartanah yang enggan dikenali.

Beliau menganggarkan bahawa pemaju-pemaju membelanjakan kira-kira 50 bilion riyal (RM49.4 bilion) ke atas projek di bandar itu.

Kumpulan yang mendominasi projek berkenaan ialah Syarikat Pembangunan Jabal Omar.

Firma itu diberi tanggungjawab menyiapkan kawasan seluas 230,000 kaki persegi di mana ia bersambung dengan Masjidilharam.

Projek yang memakan masa selama tujuh tahun untuk disiapkan itu merangkumi beberapa bangunan yang menempatkan hotel, apartmen, kedai serta restoran.

Angawi berkata, pembangunan ini akan menyebabkan Masjidil Haram terpinggir selain barangkali menjadi tanda pengkormersialan keterlaluan.

"Mekah tidak sepatutnya diangkat sebagai sebuah bandar kepada korban pembangunan apabila ia adalah kota perlindungan. Rumah Allah dikomersialkan dan pembangunan ini direncanakan tanpa rasa hormat dan tidak masuk akal sama sekali."

Tetapi Syarikat Pembangunan Jabal Omar, firma yang bertanggungjawab dengan projek berkenaan berkata, ia perlu bagi menyuntik perubahan kepada Mekah.

"Ia bertujuan baik untuk pembangunan Mekah, selain memusnahkan lebih 1,000 rumah buruk dan daif di kawasan bukit yang ada di sekitar Masjidil Haram."

Firma itu berkata, kira-kira 70,000 penduduk daripada 29 warganegara berlainan biasa tinggal di tapak-tapak Jabal Omar sebelum mereka menjual dan berpindah ke kediaman yang lebih selesa di tempat lain.

Beberapa penduduk di kawasan berjiran juga kelihatan bersetuju dengan hasrat pemaju itu.

Ali Hussein,38, yang berasal dari Myanmar tinggal di rumah yang sangat padat dan buruk di kawasan berkenaan.

"Mereka yang pindah kini tinggal di rumah lebih baik," katanya.
"Kawasan ini tidak membangun. Kami berharap pelabur lain akan datang,"kata Amin Rafie, seorang penduduk tempatan.

Tambahnya, para penduduk mengharapkan tawaran pampasan yang baik atau dipindahkan ke kediaman yang lebih selesa di Arab Saudi.

Tetapi Angawi tidak yakin dengan motif pihak pemaju itu.

"Sememangnya kita perlu menampung jemaah baru setiap tahun, tetapi apakah kita perlu menempatkan mereka di menara atau bangunan pencakar langit? Kelihatannya, keuntungan menjadi perkiraan utama."

"Dalam hal ini, kita bertindak memusnahkan hubungan fizikal kepada masa lampau dan menukarkan agama serta sejarah kita kepada satu legenda," ujar beliau dengan nada kecewa. – Reuters

Sumber Artikel : Utusan Malaysia.

Nota Kaki
Apa pandangan anda mengenai isu ini? Baca dan renung-renungkanlah? Sedikit sebanyak diriku bersetuju dengan apa yang dilaksanakan oleh Kerajaan Arab Saudi sekarang ini.

Bagi mereka yang pernah berkunjung ke Tanah Suci mungkin ada diantara kita yang terfikir mereka ini dari mazhab atau aliran mana apabila melihat sesetengah gelagat jemaah-jemaah yang hadir.

Sejarah sebenarnya mengajar kita untuk menghadapi hari mendatang, tapi jika preservation sejarah menyebabkan timbulnya perkara-perkara yang bercanggah, ada baiknya usaha mengekalkan estatika sejarah dikaji semula.

Sebenarnya nilai sejarah Makkah tidak akan luput dek zaman, manusia akan sentiasa tahu sejarah Makkah, insyaAllah.

Masih runsing menunggu khabar dari sahabat, setiap kali sms dari dia ku terima hatiku terasa risau. Ya Allah Ya Tuhanku, permudahkan urusan hambaMu itu. Ameeenn.
--------------------------------------------------------------
Sesungguhnya rumah yang mula-mula dibangun untuk (tempat beribadat) manusia, ialah Baitullah yang di Bakkah (Mekah) yang diberkahi dan menjadi petunjuk bagi semua manusia. ( Al-`Imran : 96 )

0 Comments:

Post a Comment

Subscribe to Post Comments [Atom]

<< Home