Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami : Perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertakwa. (Al-Furqan:74) akhifaizul Blogging Portal


Saturday, July 23, 2005

Khinzirophobia, arak dan judi halal!!!!

Bulan Julai ini majalah Milenia Muslim memuatkan pelbagai artikel yang menarik untuk dibaca bagi santapan ruhi secara santai. Sememangnya tulisan Ust. Maszlee Malik antara tulisan yang sukaku baca, tidak kiralah di majalah apa pon. Seperti juga tulisan Ust Pahrol Md Joui.

Kali ini berpeluang berkongsi artikel Ust. Maszlee Malik yang beliau coretkan dalam Majalah Milenia Muslim. Kalau bulan nie gagal mendapatkan majalah ini, di bulan-bulan depan carilah majalah ini. Pengisiannya insyaAllah berfaedah, jika tidak banyak sedikit pon jadilah, insyaAllah dari sedikit akan timbul minat yang lebih mendalam untuk mengetahui sesuatu perkara. Berikut adalah artikel yang ditulis oleh Ust Maszlee Malik.

Respons masyarakat Malaysia dalam isu sosej yang berkantungkan usus menunjukkan rakyat Malaysia masih lagi bernyawa dan masih lagi peka terhadap isu halal dan haram berkaitan dengan makanan. Jika tidak dalam semua aspek pon, sekurang-kurangnya dalam isu babi.

Sayangnya khinzirophobia yang dihidapi masyarakat Malaysia hanya tertumpu untuk babi sahaja. Pada majority rakyat Malaysia, memakan babi adalah sesuatu yang haram. Sesiapa yang telah melakukannya telah melakukan dosa yang paling besar dalam syariat Melayu. Sesiapa yang makan babi walaupon secara tidak sengaja, dia harus beristighfar, bertaubat, bersuci dari kotoran luaran dan dalaman.

Pendek kata, babilah kemuncak tertingginya haram sesuatu perkara. Babi juga benda yang paling haram dan najis di dalam dunia ini menurut syariat Melayu. Jangan sekali-kali sebut nama babi, pasti sahaja ada umat Islam Melayu yang akan termuntah walaupon di kala itu sedang menonton ‘filem biru’.

Tiada salahnya khinzirophobia kerana Allah telah mengharamkan umat Islam daripada memakan daging babi di dalam ayat ke lima Surah Al-Maidah. Tiada salahnya juga merasa jijik terhadap tabiat babi yang hidupnya yang penuh dengan 1001 jenis kuman dan penyakit seperti yang telah dibuktikan dengan penemuan-penemuan sains terkini. Tiada salahnya semua itu, yang salahnya ialah kebanyakan Muslim Malaysia tidak merasakan ada perkara yang lebih haram daripada babi itu sebagai haram. Malah ianya dianggap biasa dan juga di dalam banyak keadaan dianggap sebagai sebahagian daripada kehidupan.

Arak yang halal
“Wahai orang-orang yang beriman, sesungguhnya arak, judi, bertenung nasib dan jga berhala-berhala merupakan amalan syaitan, maka hendaklah kamu menjauhinya senoga kamu berjaya (dunia dan akhirat).” (Al-Maidah:90)

Di dalam ayat lain pula, “Dan mereka bertanyakan kamu (Muhammad) perihal arak dan judi. Katakan kepada mereka, pada kedua-duanya kebaikan dan dosa, dan dosanya lebih banyak daripada kebaikan.” (Al-Baqarah:219)

Ummu Salamah isteri Rasulullah SAW dalam sebuah hadith riwayat Abu Daud, juga mengatakan “Rasulullah SAW telah mencegah daripada meminum semua minuman yang memabukkan dan melemahkan fikiran.”

Himpunan dalil ini telah cukup menunjukkan kepada kita bahawa arak adalah jelas haram. Malah ulama telah berijmak tentang keharamannya dari dulu, kini dan selamanya. Tidak pernah timbul di mana-mana zaman, mana-mana mujtahid mengatakan arak adalah halal. Lebih parah lagi Rasulullah SAW menggelakan arak sebagai “Umm Khabaith,” yakni ibu segala maksiat.

Arak juga telah disepekati oleh para ulama sebagai salah satu dosa-dosa besar yang akan menghumbankan peminumnya, pembuatnya dan sesiapa yang terlibat dengannya ke dalam api neraka.

Tidak hairanlah dalam sebuah hadith, Rasulullah SAW telah melaknat 10 golongan yang terlibat dengan arak; “Pemerahnya(atau pengusahanya), orang yang menyuruh memerahnya, peminumnya, pemberi munum, orang yang membawa minumnya(termasuklah pemandu-pemandu lori arak), orang-orang yang menyuruh membawanya. Penjualnya, pembelinya dan juga orang yang mengambil keuntungan dari jualannya.”(HR Tirmidzi).

Sayang sekali di Malaysia, arak bukanlah sesuatu yang haram lagi najis. Cuba sebut arak, tidak akan ada orang yang terasa hendak muntah. Cuba lihat tin-tin arak dan botol-botol arak yang dijual di kedai-kedai runcit, stesen-stesen minyak dan juga hypermarket. Tidak ada sesiapa pon yang merasa jijik, geli dan haram berbanding isu babi. Bukankah ini menunjukkan arak itu halal menurut syariat Islam Melayu versi Malaysia.

Jika kita mendengar seseorang meminum arak, itu biasa …. kata segelintir orang ramai. Jika kita tahu seorang pemimpin itu minum arak … itu perkara biasa. Jika kita dengar para peniaga dan ahli korporat minum arak …. itu juga biasa, ini kata segelintir orang ramai. Jika kita lihat ahli sukan meminum arak, juga segelintir masyarakat mengatakan itu perkara biasa. Jika kita lihat artis meminum arak, itu juga perkara biasa kata segelintir masyarakat. Di atas kapal terbang MAS milik negara Islam Hadhari Malaysia, arak dihidangkan, para pramugari Melayu Islam yang comel lote menawarkan arak, menuangkan arak dan juga menghidangkan arak … itu juga perkara biasa kata segelintir masyarakat.

Lebih menarik lagi, jika ada orang-orang Islam yang minum arak, bekerja ditempat yang dihidangkan arak ataupun menjadi penghibur di premis yang menjual arak..itu adalah satu kemulian. Mana tidaknya, jika ada pihak yang menagkapnya dan menahannya kerena berkelakuan sedemikian yang bertentangan dengan undang-undang agama Islam kerajaan negeri dan juga moral. Pihak media, ahli politik, para peguam dan beratus-ratus manusia lain akan membela mereka dan meletakkan pihak berkuasa agama di kandang pesalah. Bukankah itu dalil yang paling jitu menunjukkan arak adalah halal di Malaysia.

Menurut kajian salah sebuah NGO pengguna di Malaysia, industri arak samsu yang dihasilkan de dalam pasaran tempatan sahaja telah mencapai pengeluaran sebanyak RM180 juta setahun. Dan dari segi pengambilan pula, rakyat Malaysia membelanjakan kira-kira RM500 juta setahun untuk membeli arak. Keadaan yang memberangsangkan inimenjadikan Carlsberg AS di Denmark melihat Malaysia sebagai pasaran yang enting dalam penjualan arak mereka. Hebat sungguh Malaysia kita ini.

Bukti yang jelas lagi menunjukkan arak menjadi satu yang halal di Negara kita pada hari ini ialah melatanya iklan-iklan yang mempunyai unsur arak.

Ini amat memalukan kerana dengan terang-terang menjatuhkan imej Malaysia sebadai satu-satunya negara di dunia yang mengaku sebagai negara Islam. Malah lebih dari itu model negara Islam kepada negara-negara OIC yang lain. Adakah ini model “Hadhari” yang ingin kita daulatkan?

Yang pastinya, arak tidak mendapat tempat yang hina seperti hinanya babi di kaca mata rakyat Malaysia yang beragama Islam, terutamanya di kalangan para birokratnya.
--------------------------------------------------------------
“Dan bumi ini Kami bentangkan, dan Kami letakkan padanya gunung-ganang yang kukuh terdiri, serta Kami tumbuhkan padanya tiap-tiap sesuatu yang tertentu timbangannya."(Al-Hijr : 19)

1 Comments:

Anonymous Anonymous said...

cukup saja 2 kilang arak di selangor & pusat perjudian yang tinggi martabatnya di Genting, nah! Fikirkan lah wahai manusia....

2/10/07 12:08  

Post a Comment

Subscribe to Post Comments [Atom]

<< Home