Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami : Perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertakwa. (Al-Furqan:74) akhifaizul Blogging Portal


Thursday, June 16, 2005

Buku Baru - Irhab


Alhamdulillah hari Isnin baru ni berpeluang menyinggah di MPH Shah Alam, bila dah singgah tu belek-belek buku dan tertarik dengan sebiji buku ni, asalnya tertarik dengan satu buku lagi tapi buat masa tu keadaan kewangan tidak mengizinkan. InsyaAllah di masa hadapan akan ku dapatkan buku itu, moga-moga tak habis lah hendaknya.

Buku yang sempat ku beli berjudul “Keganasan Menurut Perspektif Agama Yahudi, Kritian dan Islam (Al-Irhab Fi Al-Yahudiyah Wa Al-Masihiyah Wa Al-Islam Wa Al-Siyasat Al-Mu’asirah) karangan Zaki Ali Al-Sayyid Abu Ghuddah terbitan Dar Al-Wafa, Kaherah yang diterjemahkan oleh Dr Basri Ibrahim al-Hasani al-Azhari ianya diterbitkan oleh Al-Hidayah Publisher untuk pasaran tempatan.

Di sini terasa ingin berkongsi sinopsis buku berkenaan dan juga komentar penterjemah mengenai buku ini. Perlu diingatkan setiap manusia ada kesilapan, pengarang juga tidak terlepas dari melakukan kesilapan, jadi andai kiranya apa yang dibaca dirasakan kurang tepat atau kurang difahami silalah membuat rujukan dengan orang yang lebih arif.

Keganasan dalam bahasa Arabnya Irhab adalah lafaz yang amat berat hendak disebut, tetapi maknanya mudah difahami dan konsepnya begitu buruk sekali. Ia membawa maksud penggunaan kekuatan secara zalim – yang tidak ada kawalan daripada akhlak yang lurus dan juga agama yang mulia – didalam menyebarluaskan rasa takut, gelisah dan gerund di dalam jiwa orang-orang yang lemah.

Ianya dilakukan secara merampas sebahagian atau semua hak-hak mereka, melalui cara merealisasikan objektif-objektif yang tidak dibenarkan oleh undang-undang.

Kekuatan ini kadang-kadang berbentuk material dan kadang kala berbentuk maknawi. Kekuatan material bermaksud ancaman sebenar yang datang dari pemilik senjata untuk menggunakannya jika tidak dapat memenuhi cita-citanya atau menggunakan secara lazimnya senjata ini digunakan.

Dengan cara ini hancurlah segala keturunan melalui proses pembunuhan, kecederaan, tawanan dan pemusnahan harta benda dan sebagainya.

Maksud kekuatan maknawi pula ialah melaksanakan dasar-dasar dan membina pemikiran-pemikiran yang tidak melibatkan sebarang peperangan dan pertumpahan darah, tetapi pada akhirnya akan menyebabkan objektif asalnya tercapai seperti kehilangan etnik, kehancuran negara dan kehilangan jati diri negara.

Keganasan bukanlah satu pemikiran baru tetapi satu pemikiran lama yang diperbaharui semula. Ia bermula sebaik bermulanya kehidupan manusia dan ianya tidak akan berakhir melainkan setelah berakhirnya kehidupan manusia.

Pengarang tidak hanya menumpukan keganasan individu yang dipraktikkan oleh beberapa individu atau kumpulan-kumpulan tertentu manusia. Pengarang lebih ditumpukan kepada keganasan antarabangsa di era moden ini, yang melibatkan angka korban puluhan dan ratusan ribuan orang malahan menjejak jutaan orang.

Pengarang juga cuba mengetengahkan beberapa hakikat keganasan. Sebahagian daripadanya berpunca daripada agama dan pegangan yang lainnya berpunca daripada pemikiran dan juga polisi pentadbiran.

Pengarang juga ada membuat rujukan beberapa perenggan daripada Kitab Suci Al-Quran, Old Testament dan juga New Testament, tujuannya adalah untuk menjelaskan hakikat-hakikat keganasan, walaupon pernjelasan tersebut kadang-kala agak panjang tetapi mungkin berguna untuk pengetahuan kita.

Teknik pengulangan fakta juga sering digunakan oleh penulis dengan tujuan memperkuatkan, memperingat dan memantapkan sesuatu topik yang sedang dibincangkan.

Pengarang juga ada membahas dan membincangkan secara mendalam beberapa tajk yang kadang kala dilihat sebagai terpisah daripada perbahasan. Antaranya hubungan antara agama Yahudi dan Kristian Sedunia.

Begitu juga dengan Armageddon dan kritikan terhadapnya, protokol Yahudi, Perang Salib, kempen Peranchis ke atas Mesir dan pertubuhan antarabangsa, sebagai asas kepada keganasan seluruh dunia.

Buku ini adalah bertujuan mengiklankan dan memberitahu manusia di seluruh dunia perkara-perkara yang mereka tidak tahu tentang keganasan agama dan menjelaskan tentang tidak wujudnya hubungan Islam dan orang-orang Islam dengan keganasan.

Begitu juga hubungan antara Krisian dengan keganasan dan sejauh manakah hubungannya dengan pemikiran Yahudi Kuno dan moden dan kesannya kepada politik antarabangsa.

Buku ini tidak bertujuan meletakkan intipati Old Testament dan New Testament lebih atas kedudukannya dari Kitab Suci Allah, Maha Suci Allah yang menguasai seluruh alam. Dalam sesetengah bab ada pengarang menyatakan kedudukan sesuatu perkara berasaskan kepada Old Testament dan New Testament, ini tidak bermakna pengarang menidakkan sumber utama kita yakni Al-Quranul Kareem dan As-Sunnah. Ianya sekadar perbandingan antara Old Testament dan New Testament yang mana untuk menjelaskan sesuatu perkara yang kaum Nasrani dan Yahudi pertikaikan.

Secara amnya buku ini menarik untuk dimiliki dan dibaca oleh individu muslim untuk memantapkan lagi pemahaman mengenai konsep irhab ini. Mempersiapkan diri kita dengan sedikit ilmu pengetahuan lebih baik dari tidak tahu langsung,

---------------------------
Selepas tragedi 11 September 2001, dunia secara amnya mula bermain dengan istilah keganasan. Amerika yang mendakwa dirinya sebagai pelopor kepada perang menentang keganasan, menyeru negara-negara didunia termasuk Negara-negara Islam, supaya bersama dengannya dalam memerangi keganasan.

Walaubagaimanapun sehingga kini dunia masih ragu-ragu dengan istilah perang anti-keganasan yang dilaungkan oleh pihak Amerika Syarikat, ini adalah kerana Amerika sendiri gagal mendefinasikan sendiri istilah keganasan. Apa yang dilihat sekarang adalah perang anti-keganasan ala Amerika sahaja dan bukannya perang anti-keganasan yang diakui dan diterima oleh dunia.

Beberapa buah negara kecil yang yang sudah sedia lemah, menjadi mangsa perang anti-keganasan yang dianjurkan oleh Amerika. Mula-mula Afghanistan yang tidak sudah-sudah dirundum malang, selepas terlepas dari ancaman Russia kini terdedah pula kepada ancaman Amerika.

Yang menjadi mangsa kepada perang anti-keganasan adalah rakyat Afghanistan yang tidak berdosa. Usamah Bin Laden dan Mulla Muhammad Omar yang dianggap tokoh yang terlibat dengan keganasan di Negara itu, sehingga sekarang masih belum ditangkap oleh Amerika dan masih belum dapat dibuktikan sebagai benar-benar penaja kepada keganasan dunia.

Sekarang ini Amerika sedang berusaha untuk menguasai Iraq sepenuhnya. Amerika terpaksa membayar dengan harga yang mahal dalam usaha untuk menguasai Iraq sepenuhnya.

Saban hari ada sahaja tenteranya yang terbunuh di Iraq, manakala saluran paip minyak yang disedut keluar dari bumi Iraq untuk kepentingan Amerika dan Israel dibom oleh pejuang Iraq.

Kita melihat penduduk dunia Islam menganggap Amerika dan sekutu-sekutunya merupakan pengganas nombor satu dunia. Tetapi kuasa dunia berada dalam tangan mereka, orang-orang Islam secara amnya tidak berani menyatakan secara lantang Amerika adalah pengganas nombor satu di dunia, jika ada segelintir golongan yang menyatakan sedemikian penyataan mereka akan diputar belitkan oleh media Barat lalu ia padam bak api yang disirami air.

Kerana itulah Amerika beani mentafsirkan keganasan mengkut adunan mereka sendiri. Sebarang Negara yang tidak mahu bekerjasama dengannya, mereka akan dianggap negara penaja keganasan. Usamah bin Laden yang bangkit menentang keganasan Amerika telah dijaja oleh Amerika sebagai pengganas dunia.

Padahal apa yang beliau lakukan ialah menentang penindasan dan sikap zalim Amerika terhadap umat Islam yang selama ini tidak berani dikumandangkan secara lantang oleh dunia Islam. Akibatnya Usamah dan orang-orang Islam yang bersimpati dengan perjuangannya dianggap pengganas. Mereka menuduh letupan-letupan yang berlaku diserata dunia dimonopoli oleh Usamah tanpa bukti yang konkrit.

Dalam pada itu regim Yahudi di Palestin bertambah selesa membelasah umat Islam di bumi Palestin. Mereka mengambil kesempatan sepenuhnya dari tumpuan dunia ke atas Usamah dan al-Qaeda, untuk membunuh kanak-kanak Palestin, orang-orang tua Palestin dan juga wanita-wanita Palestin yang tidak berdosa. Bahkan wartawan dunia juga menjadi mangsa mereka.

Mereka membina tembok pemisah yang panjangnya lebih kurang 280 km dan tingginya lebih kurang 8 kaki, bagi tujuan menyelamatkan kawasan penempatan pendatang Yahudi, tidak sedikit kita mendengar penduduk Palestin yang terbunuh ketika cuba melintasi tembok ini yang tujuan mereka untuk menziarahi sanak-saudara di sebelah sana.

Persoalan di sini timbul ialah adakan Amerika benar-benar berperang menentang keganasan sekarang, sehingga sanggup membelanjakan berbillion dollar atau lebih berbentuk perang bagi memastikan kedudukan Israel terus mantap dan utuh di tengah-tengah bumi Arab.

Amerika adalah pengawal Israel dan Israel itu sendiri adalah anak emas Amerika. Selain daripada itu juga, orang-orang kritian percaya dengan bumi yang dijanjikan oleh tuhan kepada kaum Bani Israel dan mereka perlu berperanan supaya bumi yang dijanjikan itu tetap menjadi milik rakyat Israel.

Inilah antara persoalan yang dikupas dalam buku ini. Selain daripada itu, buku ini mendedahkan tentang sumber keganasan di dalam kehidupan manusia itu sendiri, semenjak dari awal kewujudan mereka di atas muka bumi ini.

Contoh-contoh keganasan yang disedut daripada Old Testament dan juga New Testament, juga turut diutarakan di dalam buku ini. Begitu juga pandangan tiga agama yakni Yahudi, Kristian dan juga Islam tentang keganasan juga dibentangkan di dalam buku ini.

Akhir sekali dibentangkan tentang bagaimana formula Islam menangani keganasan, sebelum dan selepas daripada kemunculannya.


Dr. Basri bin Ibrahim al-Hasani al-Azhari

Kolej Ugama Sultan Zainal Abidin

21300 Kuala Terengganu,

Terengganu Darul Iman.

--------------------------------------------------------------
“Wahai Nabi, sesungguhnya Kami mengutusmu sebagai saksi (terhadap ummatmu), dan pembawa berita gembira (kepada orang-orang yang beriman) serta pemberi amaran (kepada orang-orang yang ingkar). Dan juga sebagai penyeru (umat manusia seluruhnya) kepada agama Allah dengan taufiq yang diberiNy; dan sebagai lampu yang menerangi.” (Al-Ahzab:45-46)

0 Comments:

Post a Comment

Subscribe to Post Comments [Atom]

<< Home