Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami : Perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertakwa. (Al-Furqan:74) akhifaizul Blogging Portal


Wednesday, May 04, 2005

Saudi perkenal sistem baru umrah



Semoga sistem baru yang bakal diperkenalkan oleh Kerajaan Arab Saudi lebih effisien dan lebih baik dari sistem yang sedia ada. Kelancaran dan keselesaan individu dalam mengerjakan ibadah Umrah dan Haji perlulah dititikberatkan oleh Kerajaan Arab Saudi.

Kepada sahabat yang bakal berangkat mengerjakan umrah pada 5 May (esok) ini semoga anda dipermudahkan segala urusan olehNya. Moga beroleh Umrah yang mabrur.
--------------------

JEDDAH: Kementerian Haji Arab Saudi melantik sebuah syarikat pakar teknologi maklumat untuk mengumpul maklumat mereka yang menunaikan umrah pada masa depan.

Arab News melaporkan semalam, langkah itu bertujuan mengelak pemalsuan visa umrah serta mengurangkan tempoh kehadiran mereka yang masuk menerusi semua pintu masuk, termasuk di lapangan terbang.


Ahmed Alawi Amry, Presiden Sijill Technologies yang mengendalikan pusat maklumat kementerian berkata, persetujuan dengan syarikat al-Elm itu itu dapat membantu pihak berkuasa mendapatkan maklumat tepat mengenai mereka yang mahu mengerjakan umrah.

Dr Khaled Al-Ghonaim, Presiden Eksekutif al-Elm, berkata pihaknya akan mengeluarkan nombor khas bagi setiap individu terbabit seawal mungkin yang membolehkan pihak berkuasa Saudi mendapatkan dan memantau semua maklumat diperlukan membabitkan mereka.

Selain itu, Ahmed turut menjangkakan bilangan mereka yang mengerjakan umrah tahun ini akan meningkat berbanding tahun sebelumnya.

Setakat ini, Kerajaan Arab Saudi sudah mengeluarkan 200,000 visa umrah dengan hanya 40 peratus daripadanya belum menjejakkan kaki ke tanah suci itu.

Sementara itu, Menteri Haji, Dr Fouad al-Farsy, berkata kementerian itu sudah mengambil langkah sewajarnya bagi mengelak berulangnya masalah jemaah umrah tinggal melebihi masa ditetapkan.

Mengikut sistem itu, rakyat dari negara tertentu akan dibenarkan datang secara berkumpulan.

“Kumpulan kedua dibenarkan masuk selepas kumpulan pertama selesai mengerjakan umrah mereka.”

Tindakan terbaru Kerajaan Arab Saudi itu antara beberapa usaha yang diambil dari semasa ke semasa bagi memastikan kelancaran perjalanan umrah termasuk aspek pengangkutan serta memastikan tiada pihak mengambil kesempatan memanjangkan tempoh had masa ditetapkan untuk berada di tanah suci berkenaan.

Mereka yang dikesan melebihi had masa ditetapkan, lazimnya ditahan pihak berkuasa dan ditempatkan di pusat tahanan sekitar Riyadh sebelum dihantar pulang ke negara asal.

Pada 1 April lalu, Kerajaan Saudi memutuskan umat Islam yang ingin menunaikan ibadat umrah akan dikenakan bayaran SR36 (kira-kira RM36) untuk perkhidmatan tambahan yang disediakan di luar pakej umrah.

Caj yang hanya diambil daripada akuan penyedia khidmat umrah asing bertujuan menampung kos pengangkutan yang semakin meningkat, khidmat penginapan serta kempen kesedaran.

Langkah itu juga bertujuan mengurangkan masalah jemaah yang tidur di tempat kurang sesuai dan tidak selesa seperti di tepi jalan. – Agensi

Sumber:Berita Harian 4 Mei 2005

-------------------------------------------------------------
"Patutkah sesudah (mengakui dan menerima perjanjian) itu mereka mencari lain dari agama Allah? Padahal kepadaNyalah tunduk taat sekalian makhluk yang ada di langit dan di bumi, samada dengan sukarela ataupun terpaksa dan kepadaNyalah mereka dikembalikan. Katakanlah (wahai Muhammad): Kami beriman kepada Allah dan kepada apa yang telah diturunkan kepada kami dan kepada apa yang telah diturunkan kepada Nabi-nabi: Ibrahim, Ismail, Ishak, Yaakub dan keturunannya dan kepada apa yang telah diberikan kepada Nabi-nabi: Musa dan Isa dan sekalian Nabi-nabi dari Tuhan mereka. Kami tidak membeza-bezakan seseorang pun di antara mereka, dan kepada Allah jualah kami berserah diri (Islam).”(Al-Imran:83-84)

0 Comments:

Post a Comment

Subscribe to Post Comments [Atom]

<< Home