Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami : Perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertakwa. (Al-Furqan:74) akhifaizul Blogging Portal


Wednesday, January 19, 2005

Bro HF - Memintas Fiqh Lintasan Agama


Assalamualaikum Warahmatullah ...
Hari nie terasa ingin berkongsi artikel tulisan Bro Hafiz Firdaus lagi yang terdapat dalam majalah i bulan ini. Menarik juga untuk dicerna artikel ini agar kita lebih bersedia menghadapi golongan orang2 yang mendukung manhaj Islam Liberal nie. Personally, I admire Bro Hafiz Firdaus, the way he think and put his idea on paper is superb(alhamdulillah). He regenerate his reader minds to think like he do. Syukran Saudara HF.

SALAH satu daripada dasar utama aliran Islam Liberal ialah fahaman semua agama adalah sama. Fahaman ini masyhur dikenali di sisi mereka sebagai Fiqh Lintas Agama, yang bermaksud kefahaman yang menghubungkan semua agama. Sebelum ini dalam artikel yang berjudul Kerukunan, Bukan Kesamaan Antara Agama (Majalah i edisi Ogos 2004), penulis telah mengemukakan dalil dalil al Quran bahawa Islam tidak mengiktiraf semua agama sebagai sama. Yang diiktiraf oleh Islam hanyalah kehidupan aman damai di antara pemeluk-pemeluk agama yang berlainan.

Tulisan ini cuba memintas, yakni menganalisa dan menjawab beberapa ayat al Quran yang lazim dijadikan hujah oleh tokoh-tokoh Islam Liberal untuk membenarkan fahaman Fiqh Lintas Agama yang mereka bawa. Ayat paling masyhur yang mereka peralatkan ialah firman Allah SWT yang bermaksud:"Sesungguhnya orang orang yang beriman, dan orang orang Yahudi dan orang orang Nasrani, dan orang-orang Shabi’en, sesiapa di antara mereka itu beriman kepada Allah dan (beriman kepada) Hari Akhirat serta beramal salih, maka bagi mereka pahala balasannya di sisi Tuhan mereka, dan tidak ada kebimbangan (dari berlakunya kejadian yang tidak baik) kepada mereka, dan mereka pula tidak akan berdukacita.”(al Baqarah : 62)

Berdasarkan ayat ini tokoh-tokoh aliran Islam Liberal mendakwa semua penganut agama seperti kaum Yahudi, Nasrani (Kristian), Shabi'en dan Islam adalah sama dan benar. Dalam konteks yang lebih luas tambah mereka agama lain seperti Buddha, Hindu dan sebagainya adalah juga sama lagi benar. Para penganutnya boleh dipanggil sebagai orang yang beriman dan mereka akan peroleh pahala atas setiap amal salih yang mereka kerjakan. Demikian hujah tokoh tokoh aliran Islam Liberal terhadap ayat di atas.

Sejauh manakah kebenaran hujah mereka? Marilah kita mengkaji secara mendalam kedua-dua ayat di atas. Ayat tersebut menyentuh tentang empat umat. Umat yang pertama adalah "orang orang yang beriman" yang bermaksud umat Muhammad s.a.w.. Mereka disebut sebagai "mukminin (beriman)" kerana keimanan mereka yang besar lagi kuat. Lebih dari itu mereka juga beriman kepada seluruh para nabi yang terdahulu dan kepada hal-hal ghaib yang akan terjadi. Bagi mereka ganjaran pahala terhadap segala amal salih yang mereka kerjakan, tiada kebimbangan kepada mereka dalam kehidupan ukhrawi yang akan datang (Hari Akhirat) serta tiada kesedihan kepada mereka. dalam kehidupan duniawi masa kini. Demikian terang al Imam Ibn Katsir rahimahullah (774H) [Muhammad Nasib al Rifa'iy Taysir al ‘Ali al- Qadir li Ikhtisar Tafisir ibn Katsir (Maktabah al Ma'arif, Riyadh 1989)

Umat kedua adalah kaumYahudi yang merupakan umat Nabi Musa 'alahissalam manakala umat yang ketiga adalah kaum Nasrani yang merupakan umat Nabi Isa 'alahissalam. Umat keempat adalah kaum Shabi’en. Para ahli tafsir memiliki beberapa pendapat tentang siapakah mereka. Syaikh al Islam Ibn Taimiyyah rahimahullah (728H) menerangkan bahawa mereka adalah satu kaum yang pada awalnya menyembah pelbagai patung. Lalu kemudian sampai agama Nasrani di tengah tengah mereka sehingga akhimya mereka terbahagi kepada dua golongan, yang pertama adalah mereka yang berada di atas agama yang benar (hanif) serta mentauhidkan Allah manakala yang kedua adalah mereka yang syirik kepada Nya. [al-Raad ‘ala al-Manthiqiyyin] (Dar al Ma’refah, Beirut).

Tujuan Allah SWT menurunkan ayat 62 surah al Baqarah dapat difahami dengan mengkaji ayat-ayat sebelumnya di mana Allah telah menerangkan sikap tercela umat-umat tersebut yang enggan beriman dan beramal dengan ajaran tulen yang dibawa oleh nabi-nabi mereka.Namun di sebalik sikap yang tercela itu Allah menerangkan bahawa di kalangan mereka terdapat sebahagian yang tetap beriman dan beramal soleh berdasarkan ajaran tulen yang dibawa oleh nabi masing-masing. Kepada mereka inilah Allah akan berikan ganjaran pahala, terhadap segala amal soleh yang mereka kerjakan serta tiada kebimbangan kepada mereka dalam kehidupan ukhrawi mahupun kesedihan dalam kehidupan duniawi. Adapun pada masa setelah pengutusan Muhammad SAW, sebagai Rasul Allah yang terakhir, tiada lagi pilihan kepada. kaum kaum ini kecuali mengikut ajaran Islam yang dibawa, oleh Baginda. Firman Allah, maksudnya: “Sesungguhnya agama (yang benar dan diredhai) di sisi Allah ialah Islam.” (Al 'Imran: 191) "Dan siapa yang mencari agama selain agama Islam, maka tidak akan diterima daripadanya, dan ia pada Hari Akhirat kelak dari orang orang yang rugi." (Al-‘Imran :85)

Beza Yahudi, Nasrani dan Shabi’en dengan Orang Beriman.

Umat Yahudi, Nasrani dan Shabi'en tidak boleh dipanggil sebagai "orang yang beriman" kerana kedua-dua ayat di atas tidak memanggil mereka dengan gelaran sedemkian. Perhatikan terdapat pemisahan yang jelas antara permulaan ayat "Sesungguhnya orang orang yang beriman"dengan yang sesudahnya "dan orang orang Yahudi, dan orang orang Shabi’en, dan orang orang Nasrani”. Jelas bahawa ayat ini terbahagi kepada dua bahagian, yang pertama adalah "orangorang yang beriman" yang hanya. khusus ditujukan kepada umat Muhammad s.a.w.. Yang kedua adalah umat Yahudi, Nasrani. dan Shabi'en, mereka disyaratkan kepada keimanan yang benar terhadap Allah dan Hari Akhirat serta beramal salih secara tulen sebagaimana yang diajar oleh nabi nabi mereka. Hanya apabila syarat syarat ini dipenuhi barulah mereka dapat dipanggil sebagal orang-orang yang beriman. Pada masa kerasulan Muhammad s.a.w., yakni ketika turunnya ayat 62 surah al-Baqarah, kebanyakan daripada mereka sudah memiliki iktikad yang menyeleweng manakala amalan mereka telah diubahsuai mengikut kehendak mereka sendiri. Oleh itu mereka tidak lagi dianggap sebagai orang yang beriman kecuali segelintir kecil yang memeluk Islam setelah jelas kepada mereka akan kerasulan Muhammad.

Untuk memantapkan lagi kefahaman para pembaca, berikut dinukilkan tafsiran ayat 62 surah al-Baqarah daripada seorang tokoh ilmuwan yang terkenal di Timur Tengah, iaitu Syaikh Sa'id Hawwa rahimahullah(1989M). Beliau sendiri di tempatnya telah terdedah kepada fahaman Fiqh Lintas Agama, sekalipun ia di sana tidak dipanggil dengan nama tersebut, manhajnya tetap sama juga, iaitu kesamaan antara agama. Justeru dalam mengupas tafsiran ayat di atas, beliau bukan sahaja menerangkan maksudnya yang sebenar tetapi juga menjawab serta menolak tafsiran "kesamaan antara agama" yang didirikan daripada ayat tersebut. Syaikh Sa'id Hawwa dalam kitab tafsirnya al Asas fi al-Tafsir (Dar al-Salam, Kaherah, 1999), menulis;

"Antara yang sedia dimaklumi adalah sesuatu umat tidak mungkin seluruhnya terjebak ke dalam maksiat (derhaka kepada ajaran agama), pasti ada di antara mereka individu yang bersungguh-sungguh dalam ketaatan. Mereka tidak terpengaruh dengan pelbagai kekeliruan yang dilakukan oleh orang lain (daripada kaum mereka). Lalu bagaimanakah kedudukan mereka di tengah umat mereka? Bagaimana nasib mereka terhadap,hukuman duniawi dan ukhrawi padahal mereka melaksanakan hak Allah? Ayat ini (al Baqarah:62) menegaskan bahawa keutamaan Allah disempurnakan ke atas orang-orang seumpama mereka dalam setiap umat. Bagi mereka keselamatan daripada hukuman duniawi dan hukuman ukhrawi.

..... Wajib diketahui dengan jelas bahawa yang dimaksudkan dengan orang-orang yang disebutkan dalam ayat di atas(Yahudi, Nasrani dan Shabi'en) adalah orang orang yang beriman kepada Allah dan kepada Hari Akhirat dengan keimanan yang benar serta melaksanakan agama (sebagaimana yang dikehendaki oleh Allah, inilah maksud firman Nya):

....sesiapa di antara mereka itu beriman kepada Allah dan (bedman kepada) Hail Akhirat serta beramal salih ........

Agar tidak terjadi kekeliruan pemahaman, saya tegaskan bahawa sekarang tidak ada lagi orang yang akan selamat, baik dari kalangan Yahudi, Nasrani, Shabi'en, Majusi ataupun yang lainnya kecuall apabila dia beriman kepada Muhammad s.a.w. atau jika belum sampal kepadanya dakwah (tentang Islam, di mana urusan mereka diserahkan kepada Allah). Di dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh al-Imam Muslim (Nabi s.a.w. bersabda, maksudnya): "Demi nyawaku yang berada di Tangan-Nya, tidaklah seorangpun daripada umat ini yang mendengar (dakwah) saya, baik dari kalangan Yahudi mahupun Nasrani, kemudian dia tidak beriman dengan yang aku ditutuskan dengannya (Islam) melainkan dia masuk penduduk neraka"

Berdasarkan ini, maka orang Yahudi yang dimaksudkan dalam ayat di atas adalah orang Yabudi yang hidup sebelum Nabi Isa as yang tidak ikut mengerjakan maksiat, malah mereka bersungguh-sungguh dalam keimanan. Adapun orang Yahudi yang tidak beriman dengan Nabi Isa setelah baginda diutus maka dia tercela. Yang dimaksudkan dengan orang Nasrani (dalam ayat di atas) adalah orang Nasrani yang hidup sebelum kerasulan Muhammad SAW. Yang bersungguh-sungguh dengan keimanan mereka yang sahih serta mengerjakan amal salih dan mereka tidak,menyimpang karena mengikut penyimpangan manusia(orang lain). Adapom setelah kerasulan Muhammad s.a.w. maka seluruh orang Nasrani tercela, apabila mereka tidak memeluk agama Islam (termasuk juga orang Yahudi, kerana kedua-dua mereka, kaum Yahudi dan Nasrani adalah daripada kalangan Bani Israil). Demikianlah, juga dengan orang Shabi'en, mereka selamat sampai diutusnya Muhammad s.a.w, karena(sebelum itu) mereka, tidak ikut serta mengerjakan kesesatan yang dilalukan oleh kaumnya, adapun setelah kerasulan Whammad S.a.w. maka kesemua mereka Yang tidak beriman akan tercela, tegas Syaikh Sa'id Hawwa.

Timbul persoalan seterusnya, kenapakah ayat 62 surah al-Baqarah hanya menyebut keimanan kepada Allah dan Hari Akhirat? Adakah memadai dengan dua keimanan ini sahaja? Pakar tafsir Indonesia masa kini Syaikh Muhammad Quraish Shihab menerangkan sebabnya:

"Pensyaratan beriman kepada Allah dan Hari Akhirat seperti bunyi ayat di atas bukan bererti hanya dua rukun iman itu sahaja yang dituntut daripada mereka, akan tetapi (kerana) kedua-duanya adalah istilah yang biasa digunakan oleh al-Quran dan Sunnah untuk makna iman yang benar, dan mencakupi semua rukunnya. Memang akan menjadi sangat panjang apabila semua objek keimanan disebut satu demi satu. Rasulullah s.aw. dalam percakapan sehari-hari iannya sering menyebut sekadar keimanan kepada Allah dan Hari Akhirat. Misalnya sabda baginda: "Siapa yang beriman kepada Allah dan Hari Akhirat maka hendaklah dia menghormati tetamunya." Di ketika yang lain baginda bersabda: "Siapa yang beriman kepada Allah dan Hari Akhirat maka hendaklah dia mengucapkan kata-kata yang baik atau (jika tidak, hendaklah dia) diam" dan masih banyak yang seumpama." [Tafisir al-Mishbah (Lentera Hati, Djuanda 2000)]

Al-Quran Tidak Mengkafirkan Orang Bukan Islam

Dalam usaha menegakkan fahaman Fiqh Lintas Agama, tokoh-tokoh Islam Liberal mendakwa bahawa apabila bercakap dengan kaum Yahudi dan Nasrani, al-Quran tidak memanggil mereka "Wahai kaum kafir..." tetapi memanggil mereka "Wahai Ahli Kitab". Demikian juga apabila bercakap dengan kaum penyembah berhala, al-Quran tidak memanggil wereka "Wahai kaum musyrik..." tetapi memanggil mereka "Wahai manusia..." Ini semua menunjukkan bahawa al-Quran tidak menghukum mereka kafir mahupun sebagai ahli neraka.

Ini adalah dakwaan yang salah. Memang benar bahawa apabila bercakap dengan kaum ahli kitab atau penyembah berhala, al-Quran memangil wereka sebagai "Wahai Ahli Kitab... , dan "Wahai manusia...". Semua ini tidak lain adalah kaedah hikmah dalam berdakwah sebagaimana yang disebut dalam al-Quran: "Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmat kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang yang sesat dari jalanNya dan Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang-orang yang mendapat hidayat petunjuk."(al-Nahl : 125).

Jika kita memanggil orang yang ingin kita dakwah dengan gelaran yang bersifat negatif pasti ia akan menggagalkan usaha dakwah kita sejak daripada saat yang awal. Oleh itu al-Quran mengajar kita bahawa hendaklah dipanggil orang yang ingin kita dakwah dengan gelaran yang bersifat positif, guna melembut dan menjinakkan hati mereka ke arah Islam.

Walau bagaimanapun dakwaan, bahawa al-Quran tidak mengkafirkan kaum ahli kitab atau penyembag berhala adalah salah. Sila rujuk ayat berikut: "Orang-orang yang kafir dari Ahli Kitab (Yahudi dan Nasrani) serta orang-orang musyrik, tidak akan terlepas (dari kepercayaan dan amalan masing-masing) sehingga datang kepada mereka bukti yang jelas nyata." (al Bayyinah : 1) .Demikian juga dakwaan mereka bahawa kononnya al-Quran tidak menghukum kaum ahli kitab atau penyembah berhala dengan azab neraka. Sila rujuk ayat berikut. "Sesungguhnya orang-orang yang kafir dari Ahli Kitab dan orang-orang musyrik itu akan ditempatkan di dalam Neraka Jahanam, kekallah mereka di dalamnya. Mereka itulah sejahat-jahat makhluk. " (al-Bayyinah :06).

Demikian penjelasan ringkas terhadap ayat al-Quran dan dakwaan yang lazim dikemukakan oleh tokoh-tokoh Islam Liberal. Tidak dinafikan bahawa masih terdapat beberapa ayat lain yang mereka pergunakan. Ape jua ayat yang digunakan, manhaj mereka tetap sama iaitu memperalatkan beberapa ayat yang sesuai dengan fahaman mereka sambil mengabaikan ratusan ayat lain yang bertentangan malah membatalkan fahaman mereka.

Sebenarnya fahaman Fiqh Lintas Agama hanya baru dari sudut nama manakala dari sudut manhaj ia sudah lama wujud. Pada zaman Rasulullah s.a.w., para tokoh musyrik Kota Makkah juga cuba untuk "menyamakan" antara agama nenek moyang mereka dengan agama Islam yang dibawa oleh baginda. Terhadap percubaan ini Allah SWT telah menurunkan ayat berikut:

"Katakanlah (wahai Muhammad): Wahai orang-orang kafir! Aku tidak akan menyembah apa yang kamu sembah. Dan kamu tidak mahu menyembah (Allah) yang aku sembah. Dan aku tidak akan beribadat secara kamu beribadat. Dan kamu pula tidak mahu beribadat secara aku beribadat. Bagi kamu agama kamu dan bagiku agamaku."(al-Kafirun : 1-6)

Ayat ayat surah al-Kafirun ini adalah sesuai dan tepat untuk semua tempat dan zaman, sama ada terhadap tokoh-tokoh musyrik Makkah di zaman Rasulullah s.aw. atau kepada tokoh-tokoh aliran Islam Liberal masa kini.


Nota kaki:
-Esok malam raya di Malaysia, tapi malam esok ana ada test, du'akan den mumtaz yo.
-Hakimmmmm .... I'm coming for you this Idul adha. insyaAllah.

--------------------------------------------------------------
" Sesungguhnya Tuhan kamu ialah Allah Yang Menciptakan langit dan bumi dalam enam masa lalu Dia bersemayam di atas Arasy; Dia melindungi malam dengan siang yang mengiringinya dengan deras (silih berganti) dan (Dia pula Yang Menciptakan) matahari dan bulan serta bintang-bintang, (semuanya) tunduk kepada perintahNya. Ingatlah, kepada Allah jualah tertentu urusan menciptakan (sekalian makhluk) dan urusan pemerintahan. Maha Suci Allah Yang Mencipta dan Mentadbirkan sekalian alam." (Al-A'raaf:54)

0 Comments:

Post a Comment

Subscribe to Post Comments [Atom]

<< Home