Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami : Perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertakwa. (Al-Furqan:74) akhifaizul Blogging Portal


Tuesday, January 04, 2005

Antara Duit Kopi dan Daging Khinzir


Hari ini sekadar ingin berkongsi artikel tulisan Ustaz Pahrol Mohamad Juoi dalam Majalah I Januari 2005. Gejala rasuah yang menular dalam masyrakat kita sebenarnya berpunca dari diri kita sendiri. Bagi sesiapa yang belum memiliki Majalah I Januari 2005 bolehlah mendapatkannya dipasaran. Dapatkan segera sementara stok masih banyak.

ORANG Melayu Islam sangat membenci khinzir-babi. Usahkan memakannya, terhidu baunya pun sudah meloyakan. Tapi benarkah orang Melayu-Islam membenci babi atas dasar iman. Maksudnya, atas dasar beriman dan patuh kepada Allah yang mengharamkannya? Atau tindakan itu hanya kerana adat kebiasaan semata mata oleh kerana datuk, nenek moyang kita memang tidak memakan babi dan membencinya maka kita pun turut membenci dan jijikannya?

Persoalan ini menarik difikirkan justeru ada perkara. haram yang lain, yang tidak dipandang jijik sejijik babi. Misalnya, kita dapati ramai orang Melayu yang tergamak memakan rasuah (yang hakikatnya lebih jijik dan buruk akibatnya berbanding memakan babi). Kenapa sesetengah umat Islam nampaknya tidak membenci rasuah seperti mana mereka membenci babi? Mungkinkah kerana duit rasuah tidak berbau? Ah, mungkin sebab itu agaknya, wang rasuah ditukar namanya-menjadi 'duit kopi'. Semacam riba juga yang mendapat nama indahnya, wang bunga. Terasa cantik, sedap dan terhormat mungkin.

Kenapa orang makan rasuah? Kerana miskin. Tidak, ada orang yang sudah kaya tetapi masih melakukan rasuah. Orang kaya yang miskin jiwa ini melakukan rasuah bertaraf mega, juta juta, berbilion bilion. Mungkin kerana jahil? Aneh, cerdik pandai juga tidak terkecuali daripada rasuah. Kata orang, 'white collar crimes' jenayah kolar putih. Habis, kerana apa? Mungkin kerana terdesak? Tidak juga, kerana ada orang yang lebih terdesak daripada perasuah tetapi masih tidak tergamak melakukan kerja terkutuk itu.

Rasuah sebenarnya disebabkan sifat tamak, mementingkan diri dan tidak amanah dalam diri manusia. Tidak kira seseorang itu kaya atau miskin, bijak atau jahil, tenang atau terdesak, bila ada sahaja sifat tamak, pentingkan diri dan tidak amanah, maka dia berpotensi untuk melakukan rasuah. Rasuah sebenarnya bermula dan berlaku dari dalam diri bukan dari faktor persekitaran atau luaran. Faktor luaran hanya membantu sahaja setelah 'benih' rasuah subur dari dalam diri seseorang.

Desakan Nafsu

Malangnya apabila nafsu terlalu rakus, iman akan menjadi lemah. Hati tanpa iman akan mudah dikuasai oleh nafsu. Begitu juga akal. Akan tewas apabila dihasut oleh kebuasan nafsu. Hati lemah, apabila hilang iman. Akal lemah apabila ilmu berkurang. Ketika itu nafsu akan menggantikan tempat hati sebagai raja dan menjadikan akal umpama bendahara (penasihat) yang tunduk pada kehendak jahatnya. Pendek kata, manusia yang melakukan rasuah ialah manusia yang lemah imannya, rakus nafsunya dan lemah pertimbangan akalnya.

Untuk itu tidak ada jalan lain untuk menundukkan kebuasan nafsu melainkan dengan menguatkan iman. Memang, ilmu pada akal perlu ditambah juga tetapi penambahan ilmu tidak boleh mengatasi kepentingan menambah iman di dalam hati seseorang. Sudah banyak ilmu tentang keburukan rasuah 'didendangkan' tetapi tanpa iman semuanya akan sia sia sahaia. Bukankah 'kemahuan' yang bertapak di hati lebih kuat kuasanya berbanding 'pengetahuan' yang bertunjang di akal?

Kemudian kita bertanya, iman itu apa? Iman itu adalah keyakinan terhadap Allah. Yakin yang Allah Maha Melihat, Maha Mendengar dan Maha membalas atas segala kejahatan yang dilakukan. Secara sembunyi atau terang-terangan, Apabila lemah iman, maka lemahlah keyakinan seseorang terhadap Allah. Mereka ini cuma 'tahu' Allah Maha Melihat, Allah Maha Mengetahui, tetapi tidak merasa Allah Maha Melihat dan Allah Maha Mengetahui.

Tahu Allah melihat hanya bertapak pada akal, tetapi merasai Allah melihat bertunjang pada hati. Jika hanya akal yang mengetahui tetapi hati belum merasai maka iman seseorang belum sempurna. Justeru sangat jauh bezanya antara orang yang beriman dengan yang tidak. Oleh itu, orang yang hanya tahu Allah Maha Melihat masih tergamak untuk melakukan rasuah dan lain lain kejahatan kerana belum benar-benar merasai Allah Maha Melihat.

Orang yang lemah iman, hanya baik di depan orang. Apabila diri dipagari undang-undang dan pengawasan manusia, dia tidak akan melakukan kejahatan. Tetapi jika di belakang orang, dia sanggup melakukan apa sahaja. Apa kira, orang tak narnpak! Tetapi jika seseorang itu merasai Allah Maha Melihat, dia tidak akan melakukan rasuah sama ada di belakang ataupun di hadapan orang. Terang-terangan atau tersembunyi. Walau mata manusia ticlak melihat, tetapi mampukah menutup pandangan Allah?

Malangnya, pendekatan iman ini bagi sesetengah pihak masih dianggap kolot. Bercakap tentang rasuah, selalunya dipisahkan dengan soal ketuhanan dan keimanan. Pendekatan 'software' ini dianggap personal, berbanding pendekatan 'hardware' yang bersifat peraturan dan mengenakan undang-undang yang ketat dan keras. Bukan menafikan perlunya undang-undang untuk membanteras rasuah tetapi itu bukan satu-satunya jalan penyelesaian yang muktamad. Lihatlah betapa kerasnya undang-undang untuk pengedar dadah, hukuman mati mandatori... tetapi masih ramai yang berani mengedar dadah.

Antara Hukuman dan Didikan

Begitu juga dengan hukuman terhadap orang yang rasuah, walau bagaimana berat pun namun masih ada yang berani melakukannya. Ini bukan menafikan keberkesanan undang-undang secara total (kita tetap perlukan undang-undang yang keras sebagai hukuman dan peringatan), tetapi langkah itu merupakan hukuman dari luar (outside in). Sedangkan apa yang perlu lebih ditekankan ialah langkah pencegahan dari dalam (inside out).

Kita tidak boleh mengharapkan kepada undang-undang dan hukuman semata-mata. Kadangkala kita sudah ada undang-undang yang keras, tetapi masalahnya sukar pula untuk dikuatkuasakan. Sinisnya, sering terjadi 'pemantau' rasuah pun terkadang perlukan pemantauan. Bak sini kata lagu Allahyarham P. Ramlee, "al hasil, balik asal.... Itu pasal tak hasil."

Apabila manusia mencipta undang-undang, maka manusia sentiasa ada cara. untuk mengatasi atau melepasi undang-undang itu. Sebab itu di sesetengah negara, rasuah di kalangan orang bawahan 'ikan bilis' sahaja yang dapat ditangani, tetapi rasuah di kalangan orang atasan 'jerung jerung' dapat memboloskan diri. Jadi, langkah terbaik ialah melalui pendidikan, kesedaran dan bimbingan yang berterusan dan bermula dari peringkat muda lagi.

Tegasnya, kita perlu mengatasi sebab-sebab berlakunya rasuah. Seperti yang telah ditegaskan sebelumnya, rasuah berlaku kerana sifat tamak manusia yang tidak terasa kehadiran Allah yang Maha Melihat dalam hidupnya. Maka untuk itu, cara terbaik mengatasi rasuah ialah dengan melaksanakan program kesedaran, pendidikan dan kepimpinan yang berterusan terhadap masyarakat. Terutamanya untuk generasi muda.

Awal-awal lagi perlu ditanamkan rasa beriman kepada Allah melalui pendidikan formal dan informal. Awal agama mengenal Allah. Kemudian ajak remaja menghayati rasa beriman itu dalam kehidupan sehari-hari. Beri bimbingan dan pimpinan selalu kepada golongan remaja. Isi dan rangka program ke arah pemantapan iman menerusi kaedah-kaedah yang sesuai dengan jiwa mereka yang dinamik, aktif dan'adventureous'.

Perbuatan rasuah berlaku sejak kecil. Ini kerana sifat tamak, pentingkan diri dan tidak amanah berlaku sejak muda lagi. Oleh itu usaha membanteras rasuah perlu dimulakan di peringkat kanak kanak dan remaja. Benteras keburukan supaya jangan jadi kebiasaan. Kata pepatah Arab, mendidik sewaktu kecil bagai melukis di atas batu. Mendidik sewaktu dewasa bagai melukis di atas air. Maksudnya, bukan mudah kita hendak melatih diri kita melakukan kebaikan dan meninggalkan kejahatan apabila sudah meningkat usia.

Oleh itu penting sekali membuang atau mengikis sikap tamak dalam hati remaja. Cuba tanam kesedaran bahawa sikap tamak yang membawa kepada rasuah tidak akan menguntungkan kita. Orang tamak selalu rugi. Apabila kita cuba mengambil sesuatu yang bukan hak kita, kita sebenarnya mengundang kecelakaan. Memang, kita mungkin mendapat apa yang kita inginkan, duit, harta, keseronokan dan sebagainya... tetapi kita tidak akan temui ketenangan dan kebahagiaan.

Sekiranya, ditakdirkan kita tidak mendapat kerja yang baik. Mungkin sekadar buruh, pembantu pejabat atau tukang sapu. Namun carilah rezeki dengan cara yang baik, walaupun ditakdirkan kita mendapatkannya dalam jumlah yang sedikit. Tambahkan usaha, agar yang sedikit itu bertambah secara bertahap-tahap. Kata orang, jangan cuba menaiki tangga dengan cara melompat.

Mencari Rezeki yang Berkat

Biar sedikit, tetapi halal dan berkat. Itu lebih baik, daripada banyak tetapi haram dan mudarat. Biar halal, walaupun sedikit kerana itu lebih berkat. Justeru pada usia muda semacam inilah kita nak biasakan diri dengan wang dari sumber yang halal... bila dewasa dan mernegang amanah yang lebih tinggi nanti, kita akan terbiasa dengan kejujuran, amanah dan prihatin terhadap keadaan orang lain. Ingatlah, kejahatan bukan kerana keterlanjuran tetapi satu kebiasaan yang telah lama berakar umbi (perkara ini terapply pada semua jenis kemaksiatan dan bukan hanya khusus pada gejala rasuah sahaja). Maka begitu juga dengan kebaikan... ia bukan kebetulan... tetapi satu kebiasaan yang dihasilkan oleh latihan!

Perasuah mungkin beranggapan yang rugi, yang terjejas hanyalah orang yang lain. Sebaliknya dia mendapat keuntungan dan ganjaran. Benarkah begitu? Benarkah kesan buruk rasuah hanya berlaku kepada orang yang menjadi mangsa, tetapi pemberi dan penerimanya tidak terkena? Salah sekali kalau kita beranggapan bahawa orang yang melakukan rasuah mendapat keuntungan. Ya, mungkin keuntungan dalam bentuk segera tetapi tidak lama... dia akan merasai akibat perbuatan dosanya.

Pertama, Allah melaknat orang yang menerima, memberi dan semua orang yang menjadi perantara dalam perbuatan rasuah. Hadis dari Thauban katanya:

"Rasulullah s.a.w. melaknati pemberi rasuah, penerima rasuah dan perantaranya, " (Hadis Riwayat Ahmad & Hakim).

Ini maksud hadis. Jadi bila Allah, Tuhan Pencipta kita telah melaknat, maka mana upaya kita lagi untuk mendapat keberkatan dan ketenangan dalam hidup? Pada waktu itu, wang yang banyak pun tidak berguna. Cuba lihat betapa ramai orang yang kaya, tetapi hidupnya tidak tenang. Hati resah, perasaan tertekan. Diburu oleh rasa berdosa selalu.

Dan wang yang diperoleh secara rasuah tidak akan memberikan kebaikan. Kalau digunakan untuk membeli makanan, makanan yang kita makan itu tidak halal. Sebab sumbernya haram. Jika makanan yang begitu kita makan, hati kita akan gelap. Sebab, hati itu ditempa oleh makanan. Maksud hadis: "Hati itu ditempa oleh makanan."

Apabila hati gelap, ilmu dan iman payah singgah. Sukar betul rasanya untuk memahami, menghayati apalagi hendak mengamalkan kebaikan. Had yang gelap juga mudah terdorong untuk melakukan kejahatan. Daya tahan pada godaan dosa sangat tipis. Mudah sahaja tergoda dan terjerumus melakukan kejahatan. Bila kita melakukan kejahatan, siapa yang susah? Tentu diri sendiri. Ini balasan orang yang melakukan rasuah, walaupun tidak direct tetapi lambat laut akan terkena jua!

Itulah akibat di dunia bagi orang yang rasuah. Dia terdedah pada cengkaman undang-undang dunia. Kalau dia dicekup, terpaksa meringkuk di penjara. Kebebasannya hilang. Nama dan maruahnya jatuh. Rasa malu bukan sahaja dialami oleh dirinya, malah oleh anggota keluarganya. Itu baru hukuman di dunia, belum lagi hukuman di akhirat... jika di akhirat, balasannya neraka. Nauzubillah. Ia dibakar, dibelenggu dan diseksa dalam jangka masa yang lama. Ini suatu yang pasti. Bayangkan, berbaloikah hanya dengan keuntungan yang sedikit dan sementara kita terpaksa menderita dalam jangka masa yang lama?

--------------------------------------------------------------
Kecuali orang yang pernah zalim, kemudian dia menukar dengan kebajikan sesudah kejahatan; maka sesungguhnya Aku adalah Maha Pengampun, Maha Penyayang. (An-Naml : 11)



0 Comments:

Post a Comment

Subscribe to Post Comments [Atom]

<< Home