Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami : Perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertakwa. (Al-Furqan:74) akhifaizul Blogging Portal


Friday, November 19, 2004

Maaf Zahir & Batin, cukupkah?



Entah kenapa malam nie rasa mcam susah sikit hendak melelapkan mata, mungkin kerana dah terlelap seusai solat isya’ tadi menyebabkan diriku agak sukar untuk melelapkan mata malam ini.

Memberi kemaafan dan memohon maaf adalah satu amalan mulia dalam syarit Islam.

“Sesungguhnya Allah benar-benar Maha Pemaaf lagi Maha Pengampun” (Al-Hajj:60) Begitulah luasnya rahmat Allah kepada hamba-hambaNya selama mana mereka memohon kemaafan kepadaNya dan selama mana tidak syirik kepadaNya.

Memberi Kemaafan
Taqwa adalah nilaian Allah kepada hamba-hambaNya. Yang paling mulia adalah yang paling bertaqwa di antara mereka. Bagaimana cara beroleh taqwa? Jika kita merenung di dalam al-Quran, Allah menyatakan bahawa ada 2 sifat yang membawa kita ke arah taqwa. Seorang itu semakin dekat (bukan semestinya ya) membina taqwa dalam dirinya apabila memiliki sifat adil dan pemaaf.
“….dan pemaafan kamu itu lebih dekat dengan taqwa.” (Al-Baqarah:237)
“ Jadilah engkau pemaaf ….. “ (Al-‘Araf : 199)


Dalam erti kata lain, jika seseorang individu itu belum boleh memaafkan seseorang maka seseorang individu itu usahlah mendakwa dirinya sudah bertaqwa. Mudah memberi maaf bukan bermakna diri seseorang itu tiada langsung perasaan marah di hatinya. Marah itu ada, tapi ia ditahan dan dikekang kerana marah itu bukan kerana Allah azzawajalla. Maka amalan mulia ini seharusnya menjadi pakaian orang-orang yang beriman. Sifat mulia ini jugalah yang sentiasa hadir dalam diri Baginda SAW sepanjang Baginda berdakwah.

“…. Dan orang-orang yang menahan api kemarahannya dan memaafkan orang .” (ali-‘Imran:134)

Sabda Baginda SAW
Sesiapa yang dapat menahan api kemarahannya sedang ia mampu untuk menghambur kemarahannya itu, maka Allah akan memenuhi hatinya dengan iman dan rasa aman damai (HR Abu Daud dan Ibnu Abid Dunya)

Sabda Baginda SAW
”Bolehkah aku memberitahu kamu apa yang dapat meninggikan bangunan dan mengangkat darjat?” Para sahabat berkata “Ya wahai Rasulullah.” Baginda bersabda “ Berlemah-lembut terhadap orang yang berlaku bodoh terhadap kamu, berilah kemaafan terhadap orang yang menganiyamu berilah kepada orang yang bakhil terhadapmu dan bersilaturrahim terhadap orang yang memutuskan darimu.” (HR at-Tabrani)

Selawat dan salam ke atas junjungan Besar Muhammad SAW, Baginda sendiri mencontohkan apa yang Baginda ucapkan. Semua di antara kita mengetahui sejarah pembukaan Kota Mekkah oleh Baginda SAW dalam bulan Ramadhan. Semua di antara kita jelas bagaimana kaum Quraisy memerangi Baginda SAW, bagaimana Baginda dan sahabat-sahabat dizalimi dalam usaha Baginda untuk menyebarkan Islam di negeri Baginda sendiri. Kejayaan Baginda membuka semula Kota Mekkah merupakan satu kejayaan yang cukup hebat, tapi apa yang Baginda lakukan adalah juga hebat dengan mempamerkan satu akhlak yang sangat mulia.Baginda tidak marah malah memaafkan kaum musyrikin Mekkah yang selama ini memerangi beliau. “ Pergilah kamu semua! Kamu semua bebas hari ini.” Satu akhlak yang benar-benar mulia. Beroleh kuasa tanpa menzalimi kembali orang yang pernah menzalimi Baginda, suatu yang tampak sukar tapi telah dibuktikan oleh sejarah.

Memohon Kemaafan
Rintihan hati orang yang memohon maaf ini digambarkan oleh Allah di dalam firmanNya;
“….(Ya Allah) maafkanlah kami, ampunilah dosa kami dan rahmatilah diri kami. Engkaulah penolong kami….” (Al-Baqarah:286)

Persoalannya, adakah kita mahu memohon keampunan dari Allah Taala seperti itu? Orang yang sombong dengan Allah payah untuk memohon kemaafanNya. Yang tahu dan mahu memohon kemaafan dan keampunanNya adalah mereka yang benar-benar ada jiwa kehambaan.

Itu kita memohon kemaafan dengan Allah Taala, bagaimanapula kita memohon kemaafan sesama manusia? Sudahkah kita usahakan?

Kalau kita lihat syarat taubat terhadap dosa yang berlaku sesama manusia, maka salah satu darinya hendaklah kita memohon maaf kepada orang yang kita bersalah. Usahalah untuk mendapat keredhaan dan kemaafan bukan hanya ketika menanti detik ‘Idulfitri. Bukankah mati boleh tiba bila-bila masa sahaja? Bukankah mati paling hampir dengan kita? Maka janganlah kita menangguh2 memohon kemaafan sesama manusia. Jika diri kita dizalimi atau disakiti oleh individu, sama-samalah kita memberi kemaaf kepada sipelaku tersebut. Bukankah amalan ini yang digalakkkan dilakukan sebelum kita melelapkan mata setiap malam. Tiada ruginya kita memaafkan seseorang, perasaan hasad(dengki) hanya akan mengundang rasa tidak tenteram dalam jiwa kita (cuba fikir-fikirkan)

Kesungguhan Kita
Bersungguhkah kita dalam memohon dan memberi kemaafan. Perhatikan hakikat sebenar seorang individu di dalam keadaan terdesak ataupun ia tidak benar-benar ikhlas dalam memohon kemaafan atau dalam memaafkan kesalahan orang lain terhadap dirinya. Kadang-kadang terfikir juga yang selama ini kita berpuas hati dengan sekadar ucapan “Maaf zahir batin ya.” Begitu juga dengan ucapan “kosong-kosong ya.” Apakah ia diucapkan dengan penuh keihklasan jika ya Alhamdulillah, atau sekadar ucapan retorik atau luahan di mulut sahaja?

Ucapan kemaafan dimulut dengan keredhaan di hati itu sesuatu yang amat berbeza. Boleh mengucapkan kemaafan kepada seseorang tidak bermakna hati benar-benar dapat memaafkan, redha dan melupakan kesalahannya. Boleh “forgive” tidak semestinya boleh “forget”. Oleh yang demikian setiap ucapan kemaafan biarlah ia datang dari hati yang ikhlas dan bersih, bukan sekadar sebagai perencah kehidupan dalam melayari kehidupan ini. InsyaAllah dengan hati yang ikhlas dalam memberi kemaafan dan memohon kemaafan hati kita akan menjadi tenang.

Jelaslah amalan memberi kemaafan dan memohon kemaafan mestilah datang dari hati yang ikhlas kerana Allah Taala. Janganlah ia sekadar Lain di mulut lain di hati. Apakah kita tidak berasa takut seseorang memaafkan kita kerana semata-mata hendak mengambil hati kita, padahal jauh dilubuk hatinya masih tersimpan perasaaan tidak redha? Masihka belum dapat melupakan kesalahan kita terhadapnya. Hakikatnya dia belum memaafkan kita.

Sama-samalah kita menanam niat di dalam hati agar setiap kemaafan yang kita laksanakan datang dari hati yg tulus ikhlas kerana Allah. Siapalah kita manusia, sedangkan Allah Maha Pengampun inikan kita yang tidak punya apa-apa di alam yang fana ini, sama-samalah kita berusaha menjadi insan yang setiap hari memaafkan orang yang menzalimi atau berbuat silap terhadap kita.

Adaptasi dari nukilan Amal Islami, Anis November 2003

Wallahu ‘alam

HOME

0 Comments:

Post a Comment

Subscribe to Post Comments [Atom]

<< Home