Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami : Perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertakwa. (Al-Furqan:74) akhifaizul Blogging Portal


Friday, November 19, 2004

Bebaskan diri daripada kongkongan nafsu


1 Syawal yang lalu antara artikel yang menarik kutemui ketika duduk2 sambil membaca akhbar Berita Harian. Sekadar copy and paste. Tak teringat nama penulisnya.

SUDAH sebulan kita menjalani ibadah puasa. Kini, Aidilfitri pula menjelma sebelum kita disunatkan berpuasa enam.

Sebenarnya ada rahsia tersirat di sebalik kefardhuan puasa Ramadan ini yang tidak dapat diselami dan dihayati dengan sedalam-dalamnya sekiranya kita tidak mengetahui hakikat penciptaan manusia itu sendiri.

Adakah manusia ini hanya sebatang jasad dan tubuh badan kasar yang terdiri daripada darah, daging, tulang belulang serta anggota badan zahir semata-mata? Kalaulah manusia ini hanya itulah saja, maka alangkah kerdil dan hinanya manusia ini berbanding dengan makhluk ciptaan Allah yang lain, seumpama binatang, langit, bumi, gunung ganang dan sebagainya. Apa ertinya manusia ini berbanding dengan semua itu, kalau dilihat dari segi fizikal dan lahirnya!

Memang, sebenarnya manusia ini bukanlah sekadar struktur tubuh dan badan kasar saja, akan tetapi ia mengandungi roh yang mulia di dalam jasadnya. Itulah rahsia dan kurniaan Ilahi yang dibaluti jasad yang berasal daripada tanah. Hakikat manusia sesungguhnya berasaskan roh yang mulia yang ditiupkan Allah ke dalam jasadnya. Dengan roh itulah manusia boleh berfikir, merasa seterusnya mengatur tadbir alam ini. Justeru itulah, Allah Taala memerintahkan malaikat-Nya supaya sujud memberi penghormatan kepada Nabi Adam as.

Demikianlah asal kejadian manusia yang terdiri daripada gabungan roh yang tinggi dan jasad yang rendah. Jasad bagaikan rumah dan roh selaku penghuninya. Jasad bagaikan kenderaan dan roh selaku penunggangnya. Rumah tidak dibina untuk dirinya, sebagaimana kenderaan tidak diadakan untuk dirinya juga, akan tetapi rumah untuk keperluan penghuninya seperti mana kenderaan untuk kepentingan penunggangnya.

Betapa anehnya manusia yang mengabaikan dirinya dan dalam waktu yang sama mengutamakan rumahnya, begitu juga peliknya manusia yang menjadikan dirinya hamba kepada kenderaannya. Dalam erti kata yang lain, mengabaikan rohnya dan tunduk patuh kepada kehendak jasadnya semata-mata. Mereka bekerja semata-mata untuk jasad dan tuntutan nafsunya, hanya untuk perut dan nafsu seksnya saja.

Mereka itulah yang disebut Allah dalam firman-Nya yang bermaksud: >“Nampakkah (wahai Muhammad) keburukan keadaan orang yang menjadikan hawa nafsunya: Tuhan yang dipuja lagi ditaati. Maka dapatkah engkau menjadi pengawas yang menjaganya jangan sesat? Atau adakah engkau menyangka bahawa kebanyakan mereka mendengar atau memahami (apa yang engkau sampaikan kepada mereka?). Mereka hanyalah seperti binatang ternak, bahkan ( bawaan) mereka lebih sesat lagi.” (al-Furqan ayat 43-44)

Apabila manusia benar-benar mengenal nilai dirinya, maka ia akan mengutamakan penunggang daripada kenderaan, mengutamakan penghuni daripada rumah. Dengan demikian, ia akan mendahulukan tuntutan rohani daripada tuntutan jasad. Akhirnya jadilah ia bebas merdeka daripada kongkongan hawa nafsu yang jahat dan dengan itu kedudukannya lebih mulia daripada Malaikat.

Di sinilah letaknya rahsia Allah mewajibkan kita berpuasa supaya bebas daripada pengaruh hawa nafsu yang kerap kali mendorong manusia ke jalan yang tidak diredai Allah Taala.

Semoga puasa kita pada Ramadan kali ini diterima Allah dan kita berjaya mencapai ketakwaan yang sebenar-benarnya.

HOME

0 Comments:

Post a Comment

Subscribe to Post Comments [Atom]

<< Home