Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami : Perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertakwa. (Al-Furqan:74) akhifaizul Blogging Portal


Thursday, October 14, 2004

Selamat Datang Ramadhan al-Mubarak



Ramadhan al-Mubarak, Selamat datang Ramadhan. Hari ini sekadar menulis sepatah dua kata. Sekadar ingin memngingatkan diri ini dan juga kepada sahabat-sahabat yang berkunjung ke blogku yang serba kekurangan ini.

“Telah datang kepadamu Ramadhan, bulan yang diberkati. Allah mewajibkan kepadamu puasa dalamnya; pada bulan ini pintu syurga dibuka, pintu neraka ditutup dan syaitan diikat. Juga ada pada bulan ini malam yang lebih baik daripada seribu bulan, barang siapa tidak memperoleh kebaikannya, maka dia tidak memperoleh apa-apa.” (Hadis riwayat Ahmad dan An-Nasa'i)

Sudahkah kita mempersiapkan diri kita dengan perancangan untuk menempuh dan menikmati Ramadhan yang bakal kunjung tiba sebentar cuma lagi? Tertarik dengan tulisan Prof Maznah semalam di dalam akhbar Berita Harian semalam, empat persedian sambut kedatangan Ramadhan. Persiapan rohani, persiapan mental, persipan fizikal dan juga persiapan emosi. Nak tahu detail bacalah artikel di link diatas.

“Barang siapa berpuasa Ramadan kerana iman dan mengharap pahala daripada Allah, nescaya diampuni dosanya yang lalu.” (Hadis Muttafaq 'Alaih).

Puasa kita janganlah hanya sekadar puasa awwam. Sama-samalah kita berusaha untuk meningkatkan taraf puasa kita. Sama-samalah kita berpuasa atas dasar iman, berpuasa atas dasar iman akan menjadikan kita insan yang bertaqwa kepadaNya.“Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas orang-orang sebelum kamu, agar kamu bertaqwa”(Surah al-Baqarah, ayat 183).

Cuba kita menyorot kepada zaman kanak-kanak, suatu ketika sewaktu di zaman kanak-kanak kita berasa agak mustahil untuk Solat Terawih 20 rakaat. Ianya agak terlalu lama untuk diselesaikan. Tapi sekarang, kita sudah mencecah umur puluhan tahun, masihkah kita tidak mampu? Jika kita tidak mampu seolah-olah kita tidak berubah pon, dalam erti kata lain tiada peningkatan amal jika dibandingkan dengan zaman kanak-kanak. Memang benar, solat Terawih tidak boleh dijadikan indikator semata-mata peningkatan amal kita. Tetapi sama-samalah kita berusaha untuk menunaikan solat Terawih ini. Tidak mampu setiap hari untuk mendirikan 20 rakaat, dapat sekali sekala pon sudah memadai. Memang kadang-kala tuntutan sesuatu perkara membuat kita tidak berupaya melaksanakannya. Tapi yang pasti marilah kita sama-sama tanamkan azam untuk mendirikan solat sunat Terawih setiap malam. Jika tidak berkesempatan untuk berjemaah, kita dirikan secara sendirian. Hanya pada bulan ini sahajalah kita dikurniakan kesempatan untuk menunaikan solat Terawih, sebulan dalam setahun.

Menyorot kembali kepada zaman kanak-kanak, sewaktu zaman kanak-kanak kita rasakan untuk mengkhatamkan al-Quran dalam jangkamasa 1 bulan adalah mustahil. Tapi kini, insyaAllah mengkhatamkan satu mushaf Uthmani selama sebulan boleh dilaksanakan, malahan 2 atau 3 tetapi dengan iltizam. Iltizam serta azam yang kuat untuk mengkhatamnya.

Akhir kata, dikesempatan ini diriku ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan agar kita sama-sama dapat menjalankan dan memperbanyakkan ibadah di dalam bulan Ramadhan al-Mubarak ini. Sama-samalah kita memohon dari Allah azzawajalla agar dipermudahkan kita untuk melakukan amal ibadat. Moga Ramadhan ini menjadi yang terbaik dalam diri kita semua.

“Setiap amal yang dilakukan anak Adam adalah untuknya, dan satu kebaikan dibalas 10 kali ganda bahkan sampai 700 kali ganda. Allah berfirman, ‘Kecuali puasa, itu untuk-Ku dan Aku yang membalasnya. Ia telah meninggalkan syahwat, makan dan minumnya kerana-Ku. Orang yang berpuasa mendapat dua kegembiraan, iaitu kegembiraan ketika berbuka puasa dan kegembiraan ketika berjumpa dengan Tuhannya. Sesungguhnya, bau mulut orang berpuasa lebih harum daripada aroma kasturi.” (Hadis Muttafaq 'Alaih).

HOME

0 Comments:

Post a Comment

Subscribe to Post Comments [Atom]

<< Home