Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami : Perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertakwa. (Al-Furqan:74) akhifaizul Blogging Portal


Saturday, September 11, 2004

Islam Tanpa Penyelewengan



Islam yang diamalkan adalah Islam yang bersifat Rabbani sebagaimana yang disyari'atkan oleh Allah S.W.T, tanpa ada sebarang unsur penyimpangan, pindaan atau pendangkalan terhadap nilai, makna dan ajarannya. Bagi mencapai Islam Rabbani, perlulah melalui pemahaman serta mendalami ajaran Islam yang benar dengan kembali kepada dasar dan sumbenya yakni al-Quran dan sunnah. Dengan yang demikian, ajaran Islam akan terselamat dari sebarang bentuk penyelewengan.

Namun, masih ramai orang yang memandang remeh terhadap ajaran Islam, malah mereka berusaha pula untuk menyelewengkan ajaran Islam yang sebenar. Mereka tersalah tanggapan dalam memahami Islam. Mereka ibarat membalutnya dengan pakaian yang tidak sesuai, seperti yang pernah ditempelak oleh Saiyidina 'Ali kwh.

Memang ramai orang yang memahami Islam secara yang tidak sesuai dengan konsep ajaran Islam sebenar, baik dalam masalah 'aqidah, akhlak, ibadah ataupun mu'amalah. ,Sebagai contoh, pemahaman terhadap konsep beriman kepada (qadar) takdir. Masih ramai orang yang memiliki fahaman Jabariyah dalam memahami qadar. Malah fahaman ini berkembang luas di kalangan umat Islam. Fahaman ini menyatakan bahawa manusia itu dikendalikan dan tidak bebas untuk menentukan arah hidupnya. Manusia tidak memiliki kebebasan, kehendak dan kuasa. Manusia ibarat bulu yang berserakan ditiup angin takdir ke mana angin bertiup, maka ke sanalah bulu-bulu berterbangan.

Fahaman ini amat bertentangan dengan isi al-Qur'an yang mengatakan bahawa manusia bertanggungjawab terhadap segala amal perbuatannya. Manusialah yang menentukan sendiri arah hidupnya sesuai dengan sunnatullah (hukum yang berlaku bagi seluruh maujud di alam semesta ini). Manusia berkehendak, sesuai dengan kehendak Allah S.W.T. Manusia melakukan kuasa, sesuai dengan kuasa Allah, dan manusia berbuat sesuatu kerana perintah Allah S.W.T.

Inilah kefahaman takdir menurut ajaran Rasulullah SAW dan para sahabat baginda, sehingga iman kepada qadar menjadi sumber kekuatan bagi mereka. Mereka tidak takut mati dan tidak khuatir terhadap generasi sesudah mereka, kerana percaya ajal dan rezeki ditentukan oleh Allah S.W.T. Mereka yakin dengan seyakin-yakinnya bahawa tiada sesiapa yang mampu menangguhkan ajal walaupun hanya sesaat dan tiada sesiapa yang boleh memberi rezeki walaupun hanya sesuap.

Mereka yakin bahawa takdir Allah S.W.T. tidak dapat ditolak dan keputusan-Nya tidak dapat diingkari. Dalam satu kisah, seorang panglima Parsi pernah bertanya kepada sebahagian sahabatnya, "Siapakah kamu?" Mereka menjawab,"Kami adalah takdir Allah S.W.T. Allah S.W.T. menguji kamu dengan kami dan menguji kami dengan kamu. Seandainya kamu berada di awan, kami akan mengejar kamu atau kamu yang akan turun kepada kami.

Pengaruh fahaman Jabariyah nampak jelas pada cara kefahaman kebanyakan orang yang menyamakan konsep sebenar tawakkal (berserah diri kepada Allah setelah berusaha) dengan tawakkal (hanya pasrah tanpa berusaha). Akibatnya mereka langsung tidak melakukan sebarang usaha untuk mencapai sesuatu tujuan, melainkan hanya berserah kepada Allah.

Lantaran itu, adalah tidak benar sama sekali jika ada orang yang mengatakan bahawa tawakkal adalah pasrah. Sebaliknya tawakkal adalah sikap aktif, iaitu berusaha keras merancang dan melaksanakan segala usaha. Selain itu, usaha gigih dan kerjaa keras yang dilakukan, haruslah disertakan dengan usaha memohon doa ke hadrat Allah S.W.T, semoga dengan limpah rahmat-Nya usaha yang dijalankan akan berjaya. Setelah berusaha sewajarnya, barulah pasrah kepada Allah tentang hasilnya, sebagaimana terdapat pada Hadith:

Ertinya: Ikatlah dahulu, barulah bertawakkal (Hadith Riwayat al-Tirmidzi)
Hadith itu adalah perintah untuk mengikat keldai sebelum ditinggalkan. Kemudian barulah pasrah kepada Allah. Misalnya bagi menghadapi peperangan, haruslah mempersiapkan diri terlebih dahulu sebagaimana firman Allah S.W.T.:
Ertinya: "Dan sediakanlah untuk menentang mereka (musuh yang menceroboh) segala jenis kekuatan yang dapat kamu sediakan..." (al-Anfal : 60)

Ertinya: "Wahai orang yang beriman, bersedialah dan berjaga-jagalah (sebelum katnu menghadapi musuh)..."(an-Nisa’:71)
Ayat tersebut adalah perintah agar kita berusaha keras secara sistematik dengan mempersiapkan semua kelengkapan dan kaedah yang mampu memberi kekuatan maksimum. Kemudian barulah pergi ke medan peperangan disertai dengan tawakkal kepada Allah S.W.T.

Sebelum Rasulullah SAW berangkat untuk berhijrah ke Madinah, baginda telah mempersiapkan bekalan terlebih dahulu. Antaranya ialah kenderaan, teman (Abu Bakar al-Siddiq), penunjuk jalan ('Abdullah bin Uraiqit), tempat persembunyian. (gua Thur yang jauh dari jalan menuju ke Madinah bagi menghindari buruan kaum Quraisy) dan pembekal makanan (Asma' binti Abu Bakar). Rasulullah SAW mempersiapkan segala keperluan dan prasarana mengikut kemampuan yang dimiliki. Namun, hal itu dilakukan dengan rapi, terencana dan cukup sistematik. Setelah itu, barulah Nabi Muhammad SAW bertawakkal kepada Allah S.W.T.

Ketika orang Quraisy mengepung gua, Abu Bakar ketakutan dan berkata, "Seandainya mereka melihat kita ... !" Di sinilah Rasulullah SAW berkata dengan penuh keyakinan dan keimanan yang teguh, "Wahai Abu Bakar, apakah kau kira kita hanya berdua? Ingatlah bahawa Allah S.W.T. adalah yang ketiganya." Sebagaimana diterangkan dalam al-Qur'an.

Inilah tawakkal yang benar. Setelah melakukan segala usaha, maka kita berserah kepada Allah S.W.T., Zat yang menciptakan segala sesuatu. Namun, jika ada kesempatan lagi, kita harus mencuba dengan lebih teratur. Setelah itu, barulah pasrah sepenuhnya kepada Allah tentang hasil daripada semua yang telah kita usahakan.

Adaptasi dari Sanggahan Salah Tafsiran Islam oleh Dr Yusuf al-Qardhawi.

0 Comments:

Post a Comment

Subscribe to Post Comments [Atom]

<< Home