Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami : Perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertakwa. (Al-Furqan:74) akhifaizul Blogging Portal


Sunday, September 12, 2004

27 Rejab 1425



27 Rejab merupakan salah satu peristiwa penting dalam sejarah umat Islam. Yakni, hari Isra' dan Mi'raj. Hari dimana Baginda Rasulullah SAW diperjalankan oleh Allah azzawajalla. Tahun lepas ada seorang sahabat yang meminta diri ini untuk memperjelaskan secara detail sedikit tentang Isra' dan Mi'raj ini. Alhamdulillah ..... last year dapat juga diri ini mengkompilkan beberapa kandungan tentang peristiwa ini.

Tahun ini terasa ingin berkongsi pula hasil tulisan akhi Hafiz Firdaus tentang Isra' dan Mi'raj. Baru-baru nie akhi Hafiz Firdaus ada menkompile buku Himpunan Risalah Dalam Beberapa Persoalan Ummah, terbitan Jahabersa. Terdapat banyak juga artikel yg menarik untuk dibaca di dalam buku itu. Artikel dikumpul dari penulis-penulis dan ilmuan-ilmuan yg tersohor seperti Dr Asri, Dr Abdullah, Umm Ziyyad dan ada beberapa org lagi. Cepat, dapatkan dipasaran tempatan segera. Harganya kalau tak silap ari tu RM17.00. Promotion buku akhi Hafiz Firdaus sat ......

Isra' dan Mi'raj Mukjizat Rasulullah Yang Kedua Terbesar
Oleh : Hafiz Firdaus Abdullah (www.al-firdaus.com)

Peristiwa Rasulullah s.a.w. Isra' dari al-Masjid al-Haram ke al-Masjid al-Aqsa dan Mi'raj ke langit adalah salah satu mukjizat terbesar yang dikurniakan oleh Allah s.w.t. kepada baginda. Malah boleh dikatakan bahawa ia adalah kemukjizatan baginda yang kedua terbesar sesudah al-Qur'an al-Karim. Syaikh Najmuddin al-Ghaithiy berkata:

"Segenap kaum muslimin telah bersepakat untuk menerima kebenaran peristiwa Isra' dan Mi'raj Rasulullah s.a.w., iaitu satu malam di mana baginda diperjalankan oleh Allah 'Azza wa Jalla dari al-Masjid al-Haram di Makkah ke al-Masjid al-Aqsa di Palestin dan dinaikkan ke langit sehingga ke Sidratul Muntaha. Tujuan Isra' dan Mi'raj adalah agar hamba-Nya dan Rasul-Nya (Muhammad s.a.w.) dapat menyaksikan secara langsung betapa besar kekuasaan Allah s.w.t. serta keajaiban-keajaiban ciptaan-Nya yang tidak mungkin diketahui oleh manusia di bumi dan tidak terjangkau oleh akal fikiran mereka. Ia adalah sesuatu yang hanya dapat dijangkau oleh keimanan yang mantap, teguh lagi suci.

Kita sebagai umat yang beriman menyedari bahawa mukjizat baginda yang berupa peristiwa Isra' dan Mi'raj adalah sesuatu yang sungguh besar, sungguh ajaib serta mengkagumkan sesudah mukjizat baginda berupa kitab suci al-Qur'an yang sehingga sekarang - bahkan sehingga bila-bila jua dapat disaksikan (kemujizatan) isi kandungannya.

Isra' dan Mi'raj merupakan satu peristiwa yang agung kerana tiada seorang Nabi mahupun Rasul yang diberi penghormatan oleh Allah s.w.t. untuk mengalaminya. Hanya Nabi Muhammad s.a.w. sahaja yang diberi anugerah ini. Ia adalah satu tanda ketinggian dan keagungan baginda di sisi Allah a.w.j.." [Qishah al-Mi'raj (edisi terjemahan oleh A. Zakiy dengan judul Menyingkap Rahasia Isra' - Mi'raj Rasulullah; Pustaka Setia, Bandung 2000), ms. 13]

Apabila Rasulullah s.a.w. kembali daripada Isra' dan Mi'raj, baginda menerangkannya kepada kaumnya di Kota Makkah akan peristiwa yang baru dialaminya. Sebahagian daripada orang Islam yang lemah imannya mengingkari khabar tersebut dan murtad daripada Islam. Sementarayang selainnya daripada kalangan kaum kafir turut menolak khabar tersebut. Mereka menuduh baginda hanya berdusta atau setidak-tidaknya baginda hanyalah bermimpi.

Penolakan peristiwa Isra' dan Mi'raj masih berlaku sehingga hari ini daripada kalangan umat Islam. Bezanya penolakan mereka dilakukan dengan cara yang lebih halus dan licik. Lebih tepat, mereka adalah orang Islam yang beraliran modernis atau Islam Liberalyang mengunggulkan akal di atas wahyu sehingga apa jua petunjuk wahyu yang tidak logik di sisi akal mereka akan ditolak atau didustakan.

Insya-Allah melalui artikel ini penulis akan kemukakan beberapa dalih yang biasa mereka kemukakan untuk mempersoal dan menolak kemukjizatan peristiwa Isra' dan Mi'raj. Kemudian diikuti dengan penjelasan bagi menjawab persoalan dan penolakan mereka. Kita mulakan dengan dalih yang pertama:


DALIH PERTAMA

Peristiwa Isra' adalah sesuatu yang mustahil berlaku kerana tidak mungkin seorang manusia dapat melalui perjalanan yang jauh dalam masa yang singkat tanpa apa-apa kenderaan yang canggih.

Penjelasan

Peristiwa Isra' dan Mi'raj memang mustahil jika diukur dengan akal tetapi tidak mustahil jika diukur dengan kekuasaan Allah s.w.t.. Untuk menjelaskan dalih di atas, marilah kita mengkaji firman Allah s.w.t. yang bermaksud:

"Maha Suci Allah yang telah menjalankan hamba-Nya (Muhammad) pada malam hari dari al-Masjid Al-Haram (di Makkah) ke al-Masjid Al-Aqsa (di Palestin), yang Kami berkati sekelilingnya, untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) Kami.Sesungguhnya Allah jualah yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui." [al-Isra' 17:01]

Allah a.w.j. telah memulai ayat di atas dengan "Subhanallah", kenapakah demikian? Syaikh Mutawalli al-Sya'rawi rahimahullah (1998M) menerangkan sebabnya, sekali gus menjawab persoalan mustahil atau tidak peristiwa Isra':

"Dalam menyampaikan berita terjadinya peristiwa Isra' ini Allah s.w.t. memulainya dengan kata-kata Subhana.(Maha Suci). Kata-kata Subhana ini akan memberikan pengertian dalam hati seseorang bahawa di sana ada kekuatan yang jauh dari segala macam perbandingan, kekuatan yang jauh melampaui segala kekuatan manusia di muka bumi.

Maka makna perkataan Subhanallah ialah bahawa Allah Maha Suci Zat-Nya, Sifat-Nya dan Perbuatan-Nya dari sebarang kesamaan (dengan makhluk-Nya). Kalau ada sesuatu perbuatan atau peristiwa yang di situ Allah s.w.t. mengatakan bahawa "Dia yang melakukannya" makasaya wajib mensucikan Dia (Allah) dari segala undang-undang dan ketentuan yang berlaku untuk manusia(dalam mengukur perbuatan tersebut). Saya tidak boleh mengukur perbuatan Allah dengan perbuatan saya (kerana Maha Suci Allah daripada memiliki kesamaan denganmakhluk-Nya dalam melakukan sesuatu perbuatan). Oleh kerana itulah surah ini dimulai-Nya dengan kata-kata "Subhana" (Maha Suci) sehingga akan timbul kesan di dalam hati manusia bahawa peristiwa itu benar-benar ajaib lagi luar biasa, di luar jangkauan akal dan kemampuan manusia." [Isra' dan Mi'raj (edisi terjemahan oleh Noraine Abu dengan judul yang sama;Dinie Publishers, Kuala Lumpur 1994), ms. 39-40]


HOME

0 Comments:

Post a Comment

Subscribe to Post Comments [Atom]

<< Home