Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami : Perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertakwa. (Al-Furqan:74) akhifaizul Blogging Portal


Saturday, August 28, 2004

Konsert Merdeka KLCC 2004



Konsert Merdeka KLCC 2004, sempena menyambut hari kemerdekaan yang ke 47. Setiap kali melihat iklan ini dikaca tv hatiku pasti akan tersentuh sedikit mengenangkan penganjuran suatu aktiviti yang tidak mendatangkan sebarang faedah. Mengapa satu syarikat yang gah di dunia harus meniru suatu budaya lain? Mengapa harus diadakan konsert untuk mengingati hari kemerdekaan Malaysia? Apa rasionalnya mengadakan konsert besar-besaran yang jelas merupakan satu pembaziran yang nyata Adakah dengan mengadakan konsert sedemikian golongan muda-mudi(anak-anak merdeka) akan dapat menterjemahkan perjuangan pejuang kemerdekaan? Rasanya tidak sama sekali. Kami golongan anak-anak yang lahir selepas merdeka tidak akan dapat menterjemahkan perjuangan pejuang kemerdekaan dalam bentuk konsert yang cuba dianjurkan.

Semua orang pasti setuju bahawa cara ini merupakan satu cara yang tidak betul dalam menyampaikan mesej perjuangan kemerdekaan dikalangan muda-mudi. Konsert bukanlah satu medium untuk menghadirkan atau membangkitkan rasa cinta akan tanahair. Ianya merupakan hiburan semata-mata, Ya mungkin benar ada diselitkan unsur-unsur patriotisme dalam konsert berkenaan. Tetapi impaknya dalam jiwa masyarakat yang hadir pada konsert itu tentang erti kemerdekaan mungkin sifar atau zero kerana telah disogokkan dengan hiburan. Kehadiran mereka lebih menterjemahkan naluri untuk berhibur bukan untuk menghayati erti kemerdekaan dan mengenangkan liku-liku perjuangan pejuang kemerdekaan. Terasa terpanggil untuk menulis tentang kemerdekaan kerana agak sedih melihat masyrakat kita di kala ini terutamanya di kalangan remaja yang berbangsa melayu dan beragama Islam yang ramai alpa dalam mensyukuri nikmat kemerdekaan yang dikurniakan oleh Allah azzawajalla. Hampir 400 tahun negara kita dijajah. Bermula pada tahun 1511, kehadiran bangsa Portugis menjajah Melaka. Selepas dari detik itu Inggeris dan Jepun pula yang menjajah. Mungkin ramai di antara golongan remaja yang mensyukuri nikmat kemerdekaan, tetapi gagal menzahirkan nikmat kemerdekaan dengan cara yang bersesuaian dengan syariat Islam.

Nikmat kemerdekaan negara yang dikurniakan oleh Allah kepada kita bukanlah satu nikmat yang kekal atau dalam erti kata lain milik mutlak kita rakyat Malaysia. Nikmat ini boleh ditarik bila-bila sahaja jika Dia menghendakinya. Adakah dengan mengadakan konsert-konsert yang tumbuh bak cendawan di negara kita ini adalah satu medium yang sesuai dalam mengekspresikan erti kemerdekaan. Ini bukannya cara kita sebagai seorang muslim mensyukuri nikmat kurniaan Allah. Pengaruh budaya barat yang menerapkan elemen hiburan melampau atau budaya hedonisme menyebabkan ada segelintir masyarakat yang cuba menbangkitkan keghairahan berhibur. Keghairahan menghiburkan segelintir masyarakat dan keghairahan masyarakat berhibur merupakan satu proses yang timbal-balik yang mana memerlukan 2 pihak. Jika tiada penganjur maka tiadalah aktiviti berhibur. Jika tiada masyarakat yang tidak mahu berhibur maka tiadalah inisiatif pertubuhan menganjurkannya.

Dalam konteks ini saya melihat penganjur lebih perlu dipersalahkan. Apa perlunya konsert. Tiada perlunya konsert. Terlalu banyak unsur yang tidak berfaedah dalam penganjuran konsert-konsert ini. Pertama ianya menjadikan masyarakat kita masyarakat yang cintakan hiburan. Tiada faedahnya mencipta sebuah masyrakat yang cintakan budaya berhibur. Mencipta masyarakat yang cintakan umpama menrencana kehancuran negara. Negara dijana atas dasar ilmu dan taqwa kepada Allah untuk menjadi sebuah negara yang diredhaiNya. Budaya hedonisme ini akan menjadikan segelintir masyarakat kita lupa akan tanggungjawab mereka. Kedua, konsert merupakan satu pembaziran yang amat sangat. Persiapan yang dilaksanakan menelan belanja ratusan ribu ringgit. Bayangkan wang sebanyak ini digunakan dengan cara yang betul. Duit sebanyak itu jelas menunjukkan pembaziran yang melampau.

Di sini saya ingin mengetengahkan elemen bersyukur masyarakat Malaysia. Bagaimanakah segelintir masyarakat Malaysia mensyukuri nikmat kemerdekaan ini? Kita sebagai anak merdeka sepatutnya berasa bertuah kerana dilahirkan di dalam sebuah negara yang telah ‘merdeka’, tidak seperti ayah dan datuk nenek kita yang merasa hidup dibawah penjajahan. Penjajahan yang hanya menguntungkan penjajah. Mensyukuri nikmat Allah ini sudah menjadi tanggungjawab kita sebagai seorang muslim.


Maka ingatlah Aku nescaya aku akan meningatimu, dan syukurlah atas nikmatKu dan jangan sekali-kali kufur (al-Baqarah:152)

Kita perlu tanamkan dalam fikiran kita, bahawa sesungguhnya kemerdekaan yang kita kecapi ini bukanlah milik mutlak kita. Ianya boleh ditarik oleh Allah dengan pelbagai cara, samaada kita sedari atau tidak sedari. Sejarah banyak mengajar kita betapa umat-umat terdahulu yang tidak bersyukur dengan nikmat Allah telah dihancurkan oleh Allah. Sejarah juga mengajar kita betapa umat-umat terdahulu yang mensyukuri nikmat Allah dan melaksanakan perintah-perintah Allah telah mencapai kemanisan dalam kehidupan mereka di dunia.

Muhajirin, Ansar dan Hawariyun. Semuanya adalah golongan yang mensyukuri nikmat Allah dan mentaati perintah Allah. Muslimin Madinah yang bersyukur dan bersabar dalam menjalani perintah Allah akhirnya berjaya menawan Mekkah al-Mukarramah tanpa perlu menitiskan darah. Setiap insan yang bersyukur insyaAllah akan ditambahkan nikmat oleh Allah.

Jika kamu bersyukur, nescaya Aku akan menambahkan lagi(nikmatKu) (Ibrahim : 7)

Adakah segelintir masyarakat kita dinamakan bersyukur dengan nikmat Allah sedangkan pada masa yang sama mereka melakukan kemungkaran seperti cara menyambut kemerdekaan. Jawapannya adalah TIDAK. Tidak mungkin kedua-duanya berjalan seiring.

Sejarah umat-umat terdahulu juga mengajar kita bahawa kehancuran umat terdahulu disebabkan kedurhakaan mereka dalam mentaati perintah Allah. Kaum Nabi Lut, Nuh dan Bani Israel. Semuanya menjadi tauladan kepada kita. Al-Quran diturunkan kepada kita sebagai pedoman kepada kita untuk melayari bahtera duniawi yang bersifat fana ini. Al-Quran dan as-Sunnah menjadi pegangan kita. Al-Quran memberitahu kita bahawa golongan yang kufur akan nikmat Allah akan ditimpakan azab olehNya yang berupa kehancuran mereka. Tidak kira kehancuran di dunia ini atau di akhirat kelak. Lihat sahajalah Bani Israel golongan yang telah diangkat martabatnya oleh Allah pada suatu ketika telah dilaknat oleh Allah kerana kekufuran mereka.

Hai Bani Israel, ingatlah akan nikmatKu yang telah Aku anugerahkan kepadamu dan Aku telah melebihkan kamu atas segala umat (al-Baqarah : 122)

Apa telah jadi pada Bani Israel? Keegoan dan mereka menyebabkan mereka dimurkai oleh Allah. Kegoan mereka dalam mentaati perintah Allah dan mendustai dan membunuh para anbiya’ yang mana golongan anbiya’ ini ramai tergolong dari kaum mereka.
Marilah kita sebagai umat Islam, khasnya masyarakat Malaysia yang bakal menyambut hari kemerdekaan memanjatkan rasa syukur yang amat sangat atas kurniaan Allah mengizinkan negara kita merdeka dari penjajahan.


Kita sebagai rakyat Malaysia yang beragama Islam sewajarnya berazam dan sentiasa berusaha untuk sentiasa memperbaiki diri kita dari konteks zahiriah dan spiritual dalam melaksanakan amanah kita sebagai khalifah Allah di muka bumi ini. Pelbagai cara boleh dilaksanakan dalam usaha kita meningkatkan mutu diri kita sebagai seorang insan. Masih banyak lagi cara kita sebagai umat Islam untuk menyambut hari kemerdekaan. Lihat sahaja aktiviti yang dianjurkan oleh Masjid as-Syakirin KLCC dan Masjid WP, Jalan Duta anjuran Bank Islam. Saya menyeru pada diri saya sendiri dan juga sahabat-sahabat agar sama-sama kita tidak menghadirkan diri pada konsert yang melalaikan itu.


Wallahhu ‘alam

HOME

0 Comments:

Post a Comment

Subscribe to Post Comments [Atom]

<< Home