Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami : Perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertakwa. (Al-Furqan:74) akhifaizul Blogging Portal


Wednesday, August 04, 2004

Keutamaan Sifat Pemaaf

In The Name of Allah The Most Gracious Most


Maaf adalah menggugurkan hak dan melepaskannya dari orang yang menuntut hak tersebut. Di dalam konteks kehidupan kita seharian memberi maaf boleh berlaku apabila seseorang tidak membalas dendam terhadap orang lain, walaupun secara dasarnya ia mampu untuk membalas dendam terhadap orang yang menzaliminya. Terdapat beberapa dalil sama ada di dalam Al-Quran atau as-Sunnah yang menerangkan tentang kebaikan dan hikmah memberi maaf. Antara lain adalah: "Hendaklah engkau memberi maaf dan menyuruh mengerjakan yang baik dan berpalinglah dari orang-orang yang jahil." (al-Araf : 199)


Sesungguhnya orang yang suka memberi maaf adalah salah satu faktor yang membentuk diri seseorang menjadi insan yang bertaqwa. Ini ditegaskan oleh Allah dalam firmanNya yang bermaksud: "dan kalau kamu memaafkan, maka maaf itu adalah lebih dekat dengan taqwa." (al-Baqarah:237)


Rasulullah SAW sama sekali tidak pernah membalas dendam terhadap orang lain. Baginda sentiasa memberi maaf kepada sesiapa sahaja yang menganiaya bagind, selagi ia tidak diharamkan oleh Allah. Hal ini diterangkan oleh ummul mukminin Aisyah RA yang mafhumnya : Sekali-kali tidak pernah aku melihat Rasulullah SAW membela diri dari kezaliman yang dilakukan oleh orang ke atas diri baginda, selagi ianya tidak melanggar apa-apa yang diharamkan oleh Allah. Apabila melanggar sesuatu yang dilarang oleh Allah, nescaya Rasulullah marah pada yang demikian. Rasulullah tiada memilih di antara 2 perkara, melainkan baginda memilih yang lebih mudah di antara kedua perkara tersebut, selagi ianya tidak mendatangkan dosa ( HR at-Tarmizi ) Abu Darda RA salah seorang sahabat Nabi SAW ditanya tentang manusia yang paling mulia, maka ia menjawab; "Orang yang paling mulia adalah orang yang memaafkan padahal ia sanggup dan mampu membalas. Oleh kerana itu hendaklah kamu suka memaafkan, nescaya akan dimuliakan oleh Allah.


Terdapat seorang lelaki datang kepada Nabi SAW mengadu tentang kezaliman yang dialaminya. Lalu baginda menyuruh lelaki tadi duduk, sedang ia bermaksud ingin membalas orang yang mezalimi dirinya tersebut. Lalu Baginda SAW bersabda; "Sesungguhnya orang-orang yang teraniya maka itulah orang yang memperoleh kemenangan di hari kiamat." Sebaik sahaja lelaki tadi mendengar sabda Baginda SAW, maka lelaki tersebut terus duduk dan tidak jadi untuk membalas dendam.
Seseorang yang mahu memaafkan kesalahan atau kezaliman orang lain terhadap dirinya merupakan satu sifat yang dikasihi oleh Allah SWT. Hal ini dijelaskan oleh Allah menerusi firmanNya ; "........dan hendaklah mereka suka memaafkan dan berlapang dada, tiadakah kamu suka (jika) Allah akan memberi keampunan kepada kamu? Allah adalah Maha Pengampn dan Maha Penyayang." (an-Nur:22)


Sifat pemaaf adalah satu akhlaq yang mulia yang patut hadir dalam diri kita sebagai individu muslim. Sifat ini berupaya menjana kita agar menjadi insan yang bertaqwa. Memberi maaf adalah sesuatu yang mudah untuk dilaksanakan secara lisan, tetapi agak sukar untuk dilaksanakan dari hati. Kita sepatutnya mampu memberi kemaafan dari luaran (lisan) dan dalaman (hati). Itulah sebaik-baik dalam memberi kemaafan, bukan sekadar terucap dibibir malahan hati juga sama-sama berkongsi memberi kemaafan. Kemaafan dari dalam hati boleh hadir jika kita ikhlas dalam memberi kemaafan.


Sumber : Artikel Abu Mazaaya al-Hafiz

HOME

0 Comments:

Post a Comment

Subscribe to Post Comments [Atom]

<< Home