Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami : Perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertakwa. (Al-Furqan:74) akhifaizul Blogging Portal


Wednesday, June 02, 2004

Iman, Taqwa sifat terpuji kemuliaan Muslim dalam mencari kebahagian Hakiki

In The Name of Allah The Most Gracious Most Mercifull

oleh: Engku Ahmad Zaki Engku Alwi

Manusia mempunyai pelbagai keinginan, impian dan cita-cita yang sentiasa menjadi idaman. Impian dan cita-cita yang menjurus kepada usaha menempa kemuliaan diri dan menikmati kebahagiaan sejati serta kesejahteraan hakiki sepatutnya menjadi matlamat utama setiap insan.

Pengertian mengenai kemuliaan dan kebahagiaan berbeza antara seorang dengan seorang yang lain. Secara umumnya, mulia dan bahagianya seseorang dinilai dengan limpahan kemewahan harta benda, taraf kedudukan dan pangkat yang tinggi serta istimewa di kalangan masyarakat.

Namun, ada juga yang mengukur kemuliaan seseorang dengan kesempurnaan hidupnya dengan memiliki sebuah keluarga besar yang bahagia dengan isteri dan anak-anak yang soleh. Tidak kurang juga, segelintir manusia menganggap kecantikan paras badan sudah mencukupi untuk menjamin kemuliaan dan kebahagiaan seseorang.

Islam meletakkan matlamat utama manusia di sebalik kejadian manusia sebagai hamba dan khalifah Allah SWT. Sebagai hamba Allah, manusia yang beriman wajib tunduk dan patuh serta menjunjung segala perintah Allah sama ada suruhan atau larangan-Nya. Sebagai khalifah Allah pula, manusia dilantik Allah untuk mentadbir dan memakmurkan alam berpandukan kepada ketentuan Ilahi iaitu al-Quran dan hadis.

Kedua-dua matlamat itu digalas pada bahu manusia dengan membawa agenda yang satu, iaitu untuk menempa kemuliaan di sisi Allah dan juga menikmati kebahagiaan yang sejati di dunia dan akhirat. Islam perlu dilihat daripada perspektif sebagai addin, iaitu Islam yang paling sempurna dan lengkap dengan panduan hidup untuk manusia umumnya dan umat Islam khususnya.

Sering juga diperkatakan bahawa manusia adalah makhluk yang paling sempurna dari segi kejadian dan ciptaan-Nya. Kenyataan ini memang ada kebenarannya apatah lagi ia diperkuatkan lagi dengan ayat suci al-Quran yang melengkapkan lagi kedudukan manusia sebagai makhluk yang mulia dan terpilih di sisi Allah Taala.

Dalam hal ini, Allah berfirman dalam surah At Tin, ayat 4 bermaksud: "Sesungguhnya Kami mencipta manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya (dan berkelengkapan sesuai dengan keadaannya)."

Dalam surah lain, Allah berfirman yang bermaksud: "Dan sesungguhnya kami memuliakan anak-anak Adam; dan Kami beri mereka menggunakan pelbagai kenderaan di darat dan laut; dan Kami berikan rezeki kepada mereka daripada benda yang baik serta Kami lebihkan mereka dengan selebih-lebihnya atas banyak makhluk yang Kami ciptakan." (Al Isra: 70)

Mafhum daripada nas suci berkenaan dapat disimpulkan bahawa Allah memuliakan manusia dengan menjadikan mereka dalam bentuk yang seelok-eloknya, iaitu pandai berkata-kata, berakal fikiran sehingga dapat menguasai dunia dan isinya.


Manusia diberikan kemudahan bergerak di darat, laut dan udara dengan menggunakan pelbagai jenis kenderaan. Mereka diberi rezeki daripada benda yang baik dan lazat serta diberi kelebihan yang besar daripada kebanyakan makhluk lain.

Tetapi timbul pula persoalan di benak fikiran manusia, iaitu apakah ciri-ciri atau jenis kemuliaan yang sebenarnya dan kebahagiaan yang hakiki menurut kaca mata Islam yang selama ini menjadi rebutan kalangan masyarakat. Sebenarnya Islam adalah Addin yang memiliki keunikan dan keistimewaan tersendiri.

Antara keunikannya ialah Islam adalah agama yang bersifat sederhana dan anjal dalam semua keadaan dan tempat. Maksud sederhana dan anjal ialah Islam bersifat seimbang antara tuntutan duniawi dan ukhrawi. Islam tidak hanya menitikberatkan perkara keagamaan dan akhirat semata-mata, malah tidak meminggirkan perkara keduniaan daripada genggaman manusia.

Sebaliknya Islam menggalakkan agar umatnya menumpukan perhatian kepada kedua-dua tuntutan duniawi dan ukhrawi sesuai dengan perintah Allah yang termaktub dalam surah Al Qasas, ayat 77 yang bermaksud: "Dan tuntutlah dengan harta kekayaan yang dikurniakan Allah kepadamu akan pahala dan kebahagiaan hari akhirat dan janganlah engkau melupakan bahagianmu (keperluan dan bekalanmu) dari dunia."

Sebenarnya Islam tidak melihat kemuliaan seseorang manusia dari segi lahiriah saja dengan rupa parasnya, harta, pangkat yang tinggi dan taraf kedudukannya di sisi masyarakat.

Sebaliknya, Islam mempunyai neraca piawaiannya yang tersendiri dengan menilai kemuliaan seseorang dari segi batin dengan imannya, kebersihan hatinya dan ketakwaannya. Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya: "Bukanlah kekayaan itu kerana banyak harta, tetapi kekayaan yang sebenarnya ialah kekayaan hatinya." (Riwayat Bukhari dan Muslim)
Sehubungan itu, Allah menjelaskan dalam satu hadis Qudsi mengenai kekayaan yang sebenarnya menurut Islam.

Allah berfirman yang bermaksud: "Sekiranya kamu taat mengerjakan apa-apa yang Aku wajibkan kepadamu, maka kamu termasuk ke dalam golongan manusia yang paling tekun beribadah; dan jika kamu menjauhi apa yang aku larang terhadapmu, maka kamu termasuk dalam kalangan manusia yang paling memelihara dirinya daripada keburukan dan kejahatan; dan jika kamu rasa memadai dan reda terhadap apa yang telah Aku berikan kepadamu, maka kamu termasuk dalam kalangan manusia yang paling kaya." (Riwayat Al Kharaiti)


Pernah satu ketika Nabi Muhammad berkata kepada Abu Zar: "Wahai Abu Zar! Apakah kamu menyangka bahawa seseorang yang banyak harta adalah orang yang kaya. Sebenarnya kayanya seseorang adalah kerana kaya hatinya dan juga miskinnya seseorang kerana miskin hatinya. Ingatlah bahawa sesiapa yang kayanya berada di dalam hatinya, maka seluruh isi dunia ini tidak dapat membahayakan dirinya daripada apa yang dimilikinya. Dan sesungguhnya apa yang boleh membahayakan dirinya adalah sifat tamaknya."

Oleh itu, kemuliaan seseorang dinilai daripada hatinya yang kaya dengan iman, takwa dan sifat mahmudah (terpuji) yang menggilap hatinya. Inilah antara rahsia kemuliaan dan kebahagiaan yang pernah dirintis oleh generasi Rasulullah dan generasi sahabat selepasnya.

Dengan memperkasakan diri dengan pengisian hati yang sarat dengan iman dan ketakwaan mampu menelusuri segala pancaroba yang merintangi titian hidup dengan semangat waja. Lebih daripada itu, iman dan takwa mampu mencipta keajaiban yang tidak pernah dicipta oleh sesiapa pun sebelum ini.

Maka tidak hairanlah generasi sahabat mampu merentasi gurun sahara yang kering kontang hanya dengan bekalan iman dan takwa yang bertakhta di hati hingga berupaya melakarkan episod gemilang dalam diari sejarah Islam sepanjang zaman.

Tetapi alangkah baiknya seandainya manfaat keduniaan yang diperoleh oleh seseorang manusia dipergunakan dan dijuruskan ke arah kebaikan dan kebajikan umum seperti harta kejayaan jika disumbangkan sebahagiannya kepada fakir miskin. Begitu juga orang yang memiliki kedudukan tinggi sewajarnya memanfaatkan pengaruhnya untuk menyebarkan ajaran Islam di kalangan masyarakat Islam agar berpegang teguh kepada Islam yang suci.

Sekiranya inilah yang dilakukan oleh seseorang Muslim bermakna mereka adalah orang yang kaya dalam hatinya dan yang pastinya menempatkan dirinya di kalangan umat yang beroleh kemuliaan di sisi Allah dan kebahagiaan hakiki di dunia dan akhirat.

Untuk mencapai kemuliaan dan kebahagiaan berkenaan, hati seorang Muslim perlu digilap dan dibaja dengan iman dan takwa kepada Allah. Ini kemudian dihiasi pula dengan sifat terpuji yang akan menyuluh sudut hatinya agar ia dapat menyerlahkan ketrampilan akhlak luhur dalam kehidupan.

Inilah ciri-ciri Muslim sejati yang dijamin Allah bakal menjadi penghuni syurga yang dipenuhi nikmat di akhirat sebagaimana firman Allah yang bermaksud: "Sesungguhnya orang yang beriman dan beramal soleh, Tuhan akan memimpin mereka kerana iman mereka yang sempurna. (Mereka masuk ke taman yang) sungainya yang mengalir di bawah kediaman mereka di syurga yang penuh nikmat." (Yunus : 9)

HOME

0 Comments:

Post a Comment

Subscribe to Post Comments [Atom]

<< Home