Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami : Perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertakwa. (Al-Furqan:74) akhifaizul Blogging Portal


Wednesday, June 09, 2004

Ikhlas

In The Name of Allah The Most Gracious Most Merciful

Imam Hassan Al-Banna pernah berkata

Apa yang aku maksudkan dengan ikhlas ialah : Setiap kata-kata, amalan dan jihad saudara muslim demi Allah, untuk mencari keredhaanNYA dan ganjaran baik dariNYA, tanpa memandang kepada sebarang imbuhan, kemegahan, gelaran terkemuka atau tidaknya. Dengan itu, ia menjadi seorang tentera (pengikut) demi fikrah dan aqidah, bukannya pengikut demi kebendaan dan kepentingan. Firman Allah " Katakanlah olehmu : Sesungguhnya solatku, ibadatku, hidupku dan matiku hanyalah kerana Tuhan semesta alam. Tidak ada sekutu bagiNya dan dengan yang demikian itulah yang aku diperintahkan" Al-An am – 162. Justeru, seorang muslim itu memahami makna yang sering dilaungkan : " Allah adalah matlamat kita dan Allah Maha Besar dan bagi Allah segala pujian."

Ikhlas adalah melakukan amalan semata-mata kerana Allah, menyucikan dari segala tujuan keduniaan. Amalan nya tidak berbaur kegelojohan hawa nafsu, mencari keuntungan, jawatan dan pangkat, kemahsyuran atau inginkan kedudukan dikalangan manusia serta mengharapkan pujian mereka. Menjauhi segala celaan mereka, menuruti hawa nafsu yang tersembunyi atau kepincangan lain termasuk dalam kategori berkehendak selain dari keredhaan Allah. Ikhlas pada pengertian tauhid seumpama ini merupakan antara buah tauhid yang sempurna , yang mengEsakan Allah dalam beribadah. Justeru riya ialah lawan kepada ikhlas adalah syirik kepada Allah.

Terdapat dua rukun bagi amalan yang makbul yakni amalan yg diterima oleh Allah. Bagi setiap amalan soleh terdapat dua rukun dan amalan tidak diterima oleh Allah melainkan dengannya; iaitu Ikhlas dan membetulkan niat dan yang kedua ialah sejajar dengan sunnah dan syarak.

Rukun pertama dapat dilakukan apabila sejahteranya batin, manakala rukun kedua dapat dilaksanakan apabila sahih zahir nya. Sesungguhnya amalan itu dengan niat (Fath Al-Bari). Manakala berkaitan rukun yang kedua pula Rasullah SAW ada bersabda "Sesiapa yang melakukan amalan yang bukan dari agama kami maka ia akan tertolak (HR Muslim)

Allah telah menghimpunkan kedua-dua rukun tersebut pada banyak tempat di dalam firmanNya

" Dan sesiapayang berserah diri bulat-bulat kepada Allah (ikhlas) sedang ia berusaha mengerjakan ihsan, maka sesungguhnya ia telah berpegang pada simpulan yang teguh ……." (Luqman : 22)

Fudhail bin Iyadh berkata tentan firman Allah SWT

"Supaya Dia menguji kamu, siapakah di antara kamu yang paling baik amalannya …" Al-Mulk : 2)

Sebaik-baik amalan ialah yang paling ikhlas dan paling betul. Ditanya kepadanya Fudhail bin Iyadh : Apakah yang paling ikhlas dan apakah yang paling betul?" Beliau menjawab " Sesuatu amalan yang dilakukan dengan ikhlas tapi tidak betul, tidak diterima Allah dan jika amalan itu betul tapi tidak ikhlas, juga tidak diterima oleh Allah sehinggalah amalan itu ikhlas dan betul kerana Allah. Ikhlas hanya kerana Allah manakala betul ialah dengan menurut Rasullah SAW.

Dari penjelasan ini dapatlah kita sama-sama fahami bahawa ikhlas belum memadai untuk menjadikan amalan kita diterima oleh Allah, selagimana tidak selari dengan syarak dan berbetulan dengan sunnah Rasullah SAW. Demikian juga amalan yang disyariatkan tidak akan mencapai martabat diterima, selagi keikhlasan belum menjadi kenyataan dan tidak diniatkan semata-mata kerana Allah. Marilah kita bersama-sama berusaha agar kedua-duanya ini dapat kita laksanakan dalam kita melakukan amal soleh. Sudah pasti kita takut akan amalan kita tidak diterima oleh Allah. Hanya dengan amalan yang ikhlas dan betul sahaja diterima olehNya

HOME

0 Comments:

Post a Comment

Subscribe to Post Comments [Atom]

<< Home