Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami : Perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertakwa. (Al-Furqan:74) akhifaizul Blogging Portal


Thursday, June 17, 2004

Air dan Manusia

In The Name of Allah The Most Gracious Most Merciful

Setiap makhluk yang dijadikan oleh Allah di alam ini dijadikan dari unsur air. Di dalam badan manusia air meliputi 70 % dari kesuluruhan komposisi manusia. Allah SWT menciptakan segala sesuatu yang hidup daripada air. Air adalah sumber keperluan asas yang sangat penting bagi manusia. Hakikat yang perlu kita akui bahawa tanpa air, kita mungkin tidak dapat menikmati kehidupan ini dengan selamat, selesa dan dan sempurna. ‘Dan telah Kami jadikan daripada air itu itu segala suatu yang hidup maka mengapakah mereka tidak beriman (al-Anbiya;30). Berdasarkan ayat di atas jelas menerangkan bahawa Allah SWT telah menjadikan air itu sebagai satu punca kepada kehidupan dan dengan air ini jugalah Allah memelihara kehidupan tersebut. Asal kejadian manusia itu sendiri berasal daripada sari pati air.

Penemuan saintifik melalui hasil kajian dr. Masaru Emoto seorang pakar air banyak membuka dimensi baru dalam bidang sains. Beliau dilahirkan pada Julai 1943 di Yokohama, Jepun. Latar belakang awal pendidikan beliau ialah bidang sains dan kemanusiaan dari Universiti Yokohama. Pada tahun 1992 beliau dianugerahkan ijazazh kedoktoran dalam bidang perubatan alternatif dari The Open University. Minat beliau dalam bidang kajian air bermuala apabila beliau berkunjung ke Amerika Syarikat. Di sana, Dr. Emoto telah diperkenalkan dengan kajian air secara cluster mikro dan teknologi gelombang magnetik yang membuka jalan kepada penemuan misteri air yang menakjubkan.

Kajian yang telah dijalankan oleh Dr Emoto terhadap air menyatakan ‘air’ mengandungi mesej tersembunyi didalam struktur kristalnya dan mesej-mesej ini memberikan kita gambaran menakjubkan mengenai realiti kita yang sebenarnya. Eksperimen yang dijalankan oleh beliau mendapati terdapat interaksi air dengan semua perkara yang berlaku dipersekitarannya melalui bentuk-bentuk kristal yang terhasil apabila air itu dibekukan pada suhu tertentu. Tindakbalas air pada persekitaran yang positif menghasilkan bentuk kristal yang cantik dan begitu juga sebaliknya, jika persekitaran di mana air diletakkan adalah negatif bentuk kristal yang terbentuk adalah buruk dan tidak menarik. Walaupun eksperimen yang dijalankan oleh beliau nampak mudah dari segi pemerhatiannya, tetapi sebenarnya ianya memberi impak yang cukup besar terhadap perilaku seseorang dan perhubungan antara manusia.

Pada mata kasar kita air merupakan air sahaja, tidak ada bezanya samaada ianya diletakkan dipersekitaran yang positif atau negatif sebenarnya memperlihatkan fitrah kejadian itu mahukan ia (air) ditempatkan disuatu persekitaran yang positif. Ini air, sudah pastilah kita manusia juga mahukan persekitaran positif. Kita juga makhluk Allah yang sentiasa peka kepada fitrah kejadian kita sebagai hamba Allah. Mungkin terdapat sesetengah daripada manusia yang cuba menolak fitrah kejadian manusia yang mana mereka engkar dalam melaksanakan perintah dan meninggalkan larangan Allah. Mungkin mereka tidak yakin dengan aturan Allah yang Maha Agung lantaran itu mereka mencipta satu undang-undang yang mereka canangkan sebagai selari dengan fitrah mereka seperti human right, demokrasi, liberty atau apa saja nama yang mereka gunakan atas dasar melanggar perintah Allah yang Maha Agung.

‘Dan katakanlah wahai hambaKu (yang beriman), supaya mereka berkata dengan kata-kata yang amat baik (kepada orang-orang yang menentang kebenaran); sesungguhnya syaitan itu sentiasa menghasut antara mereka(yang mukmin dan yang menentang); sesungguhnya syaitan itu musuh yang amat nyata bagi manusia.’ (al-Isra ; 53). Allah di dalam KalamNya memerintahkan supaya kita sentiasa berkata atau menyebut perkataan yang baik-baik sahaja. Apabila kita menyebut sesuatu perkataan, ia akan menghasilkan frequensi tertentu yang kemudiannya berinteraksi dengan alam sekitar. Disebabkan itu jika kita sentiasa menyebut perkataan yang baik-baik, kesannya juga baik, tetapi jika sebaliknya, ianya akan menimbulkan perkara negatif seperti tingkahlaku yang tidak baik atau mempunyai masalah dalam perhubungan sesama manusia.

Air adalah makhluk Allah yang boleh berinteraksi dan ia boleh berinteraksi dengan semua perkara yang ada disekelilingnya. Jika molekul air boleh berubah menjadi satu molekul yang cantik apabila perkataan yang baik-baik dilafazkan, manusia juga begitu. Lafaz kata-kata yang baik boleh mempengaruhi manusia melakukan perkara yang baik. Ini adalah kerana tubuh manusia sebahagian besarnya adalah dari komposisi air, yakni sebanyak 70%. Jika individu itu cenderung melafazkan perkataan yang kurang baik maka individu itu akan cenderung untuk kearah yang tidak baik kerana perkataan mereka memainkan peranan dalam menampilkan watak seseorang individu.

Perkataan yang baik sangat besar kuasanya dalam diri manusia. Apabila kita menyebut perkataan yang baik, ia akan meresap ke dalam diri orang yang mendengarnya dan ianya juga kan berbalik kepada diri individu yang melafazkannya. Ketika Allah memerintahkan Nabi musa a.s bertemu dengan Firaun, Allah telh memerintahkan Nabi Musa agar menggunakan perkataan yang baik-baik, ini adalah kerana perkataan yang baik dan lembut akan terus jatuh ke hati orang yang mendengarnya. Dalam berdakwah juga seseorang perlu menggunakan perkataan yang baik-baik dan penuh hikmah dalam menyampaikan dakwah. Dalam mendidik kanak-kanak perkataan yang baik-baik juga harus digunakan dan begitu juga dalam pembentukan keluarga yang cemerlang. Sudah menjadi fitrah kejadian manusia yang mana kita akan lebih akan tertarik dengan sifat yang baik. Disebabkan itulah dengan menggunakan pendekatan perkataan yang baik-baik adalah satu cara yang berkesan dalam mendidik masyarakat, keluarga, kelompok individu seperti kumpulan pekerja dan sebagainya.

‘Allah telah menurunkan sebaik-baik perkataan iaitu kitab suci Al-Quran.’ (az-Zumar) . Tubuh kita akan sentiasa menyerap perkataan yang baik-baik. Kerana itu agama Islam amat menggalakkan kita membaca Al-Quran. Apabila bentuk molekul air di dalam badan kita menjadi cantik, badan kita akan jadi cergas dan jiwa kita kan tenang. Maka sebab itula Allah menyebut orang-orang yang beriman tenang hati mereka.

Sebagai makhluk ciptaan Allah, sudah menjadi tanggungjawab kita untuk sentiasa mengingati (berzikir) Pencipta kita. Seluruh makhluk, burung, haiwan, gunung-ganang, semuanya bertasbih kepada Allah. Dengan zikrullah ia akan membentuk jiwa menjadi kuat. Akal kita datang dari hati. Jika hati kita kuat insyaAllah akal kita juga bakal kuat. Bila akal kuat tubuh akan kuat. Amalan zikrullah ini adalah antara amalan yang patut kita sebagai seorang muslim lazimkan. Zikrullah tidak terbatas kepada syarat-syarat tertentu, seperti ibadat-ibadat khusus yang lain, dari segi pelaksanaannya zikrullah dilihat sebagai ibadat yang paling mudah untuk dilaksanakan. Ketika beratur di dalam bank, ketika memandu, ketika bersenam dan sebagainya. Dengan memperbanyakkan zikrullah moga-moga molekul-molekul air yang ada di dalam badan kita akan menjadi cantik dan seterusnya moga-moga kita menjadi hamba yang diredhaiNya.

Setiap amalan yang kita laksanakan biarlah ianya adalah ikhlas semata-mata kerana Allah. Biarlah ganjaran ditentukan oleh Allah. Dalam kita memperbanyakkan amalan-amalan soleh biarlah bertunjangkan keikhlasan bukannya mengharapkan ganjaran semata-mata dari Rabb. Sesungguhnya Allah telah mengurniakan kita dengan pelbagai nikmat, cuma kita sebagai manusia jarang bersyukur dengan nikmat yang dikurniakan olehNya.

0 Comments:

Post a Comment

Subscribe to Post Comments [Atom]

<< Home