Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami : Perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertakwa. (Al-Furqan:74) akhifaizul Blogging Portal


Monday, May 03, 2004

Perpaduan

In The Name of Allah The Most Gracious Most Merciful

Dalam Sahih Muslim dari Tsaubah r.a diriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w bersabda:

"Sesungguhnya Allah membentangkan bumi untukku sehingga aku boleh melihat timur dan barat. Dan sesungguhnya umatku, kekuasaannya akan sampai ke bahagian bumi yang aku lihat itu. Dan aku diberi buah perbendaharaan merah dan putih (emas dan perak), dan sesungguhnya aku minta kepada Rabbku (Tuhanku) untuk umatku agar jangan sampai mereka hancur oleh bencana yang berpanjangan dan jangan sampai Allah menjadikan musuh yang bukan Islam menguasai dan menghancurkan umatku itu, sehinggalah musuh itu dapat menghancurkan kekuatan sebenar umat Islam. Dan sesungguhnya Rabb-ku berfirman: "Hai Muhammad, kalau Aku sudah memutuskan suatu keputusan, maka keputusan itu tidak boleh dibatalkan. Dan sesungguhnya Aku telah memberimu untuk umatmu, bahawa Aku tidak akan menghancurkan mereka dengan bencana kelaparan yang berpanjangan dan Aku tidak akan membuat musuh mereka menguasai mereka sekalipun musuh-musuh itu berhimpun seluruh dunia menghadapi mereka, kecuali timbul pertentangan di antara mereka sendiri sehinggalah terjadi usaha saling hancur-menghancurkan dan saling tawan-menawan di antara mereka." (Hadis Al-Barquni di dalam kitab Sahihnya)
Hadis tersebut telah terbukti kebenarannya. Kekuasaan Islam pada zaman kegemilangannya meluas sehingga ke Sepanyol di sebelah barat dan ke Filipina di sebelah timur. Ketika itu Islam mencapai kemajuan dan kemakmuran. Dan Allah SWT juga mengabulkan doa Nabi, tidak ada satu pun kekuatan di luar Islam yang mampu mengalahkan umat Islam, walaupun mereka menghimpun kekuatan mereka dalam himpunan yang gagah dan perkasa pada zahirnya.

Namun pada penghujung hadis berkenaan, Allah SWT menjelaskan bahawa umat Islam akan dikalahkan oleh musuh sekiranya urnat Islam tidak bersatu. Inilah fenomena yang berlaku pada hari ini. Musuh Islam kini bukan sahaja mengalahkan umat Islam, malah menguasai dan menjajah mereka.

Jika hari ini kekuatan musuh Islam nampak luar biasa, sehingga Amerika Syarikat, Israel, Inggeris dan sekutu-sekutunya dengan sombongnya menghancurkan negara-negara Islam dan membunuh Umat Islam, tanpa berlakunya penentangan yang berkesan daripada umat Islam, hal itu bukanlah disebabkan kekuatan mereka yang luar biasa. Mereka nampak kuat disebabkan umat Islam tidak bersatu. Umat Islam masih lebih mengutamakan kumpulan, aliran, suku, dan urusan keduniaannya daripada mengutamakan agama dan perpaduan.

Sekiranya seluruh umat Islam bersatu di bawah tali agama Allah

“Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (agama Islam) dan janganlah kamu bercerai-berai dan kenanglah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu bermusuh-musuhan (semasa jahiliah dahulu), lalu Allah menyatukan di antara hati kamu (sehingga kamu bersatu-padu dengan nikmat Islam), maka menjadilah kamu dengan nikmat Allah itu orang-orang Islam yang bersaudara dan kamu dahulu telah berada di tepi jurang Neraka (disebabkan kekufuran kamu semasa jahiliah), lalu Allah selamatkan kamu dari Neraka itu (disebabkan nikmat Islam juga). Demikianlah Allah menjelaskan kepada kamu ayat-ayat keteranganNya, supaya kamu mendapat petunjuk hidayatNya.” (Surah ali-Imran : 103),
Mempersiapkan kekuatan dan meningkatkan kernampuan

Dan sediakanlah untuk menentang mereka (musuh yang menceroboh) segala jenis kekuatan yang dapat kamu sediakan dan dari pasukan-pasukan berkuda yang lengkap sedia, untuk menggerunkan dengan persediaan itu musuh Allah dan musuh kamu serta musuh-musuh yang lain dari mereka yang kamu tidak mengetahuinya; sedang Allah mengetahuinya dan apa sahaja yang kamu belanjakan pada jalan Allah akan disempurnakan balasannya kepada kamu dan kamu tidak akan dianiaya. (Surah al-Anfal:60)
sabar menghadapi musuh

”Wahai orang-orang yang beriman! Apabila kamu bertemu dengan sesuatu pasukan (musuh) maka hendaklah kamu tetap teguh menghadapinya dan sebutlah serta ingatilah Allah (dengan doa) banyak-banyak, supaya kamu berjaya (mencapai kemenangan). Dan taatlah kamu kepada Allah dan RasulNya dan janganlah kamu berbantah-bantahan; kalau tidak nescaya kamu menjadi lemah semangat dan hilang kekuatan kamu dan sabarlah (menghadapi segala kesukaran dengan cekal hati); sesungguhnya Allah berserta orang-orang yang sabar.”(Surah al-Anfal:45-46),

nescaya mereka akan beroleh kemenangan.

0 Comments:

Post a Comment

Subscribe to Post Comments [Atom]

<< Home