Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami : Perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertakwa. (Al-Furqan:74) akhifaizul Blogging Portal


Sunday, May 09, 2004

Keutamaan Ibu

In The Name of Allah The Most Gracious Most Merciful

KEDUDUKAN kaum ibu sungguh mulia di sisi agama. Ibu ibarat penawar yang mampu membentuk keperibadian anak, di samping berperanan menguruskan dan membina keluarga yang lebih cemerlang.

Banyak hadis dan ayat al-Quran yang menerangkan mengenai keistimewaan ibu. Antaranya firman Allah yang bermaksud:
“Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya dengan menanggung kelemahan demi kelemahan (dari awal mengandung hingga akhir menyusunya) dan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa dua tahun; (dengan yang demikian) bersyukurlah kepadaKu dan kepada kedua ibubapamu; dan (ingatlah), kepada Akulah jua tempat kembali (untuk menerima balasan)” [Luqman : 14.]

"Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya dengan menanggung susah payah dan telah melahirkannya dengan menanggung susah payah. Sedang tempoh mengandungnya berserta dengan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa tiga puluh bulan. Setelah dia besar sampai ke peringkat dewasa yang sempurna kekuatannya dan sampai ke peringkat umur empat puluh tahun, berdoalah dia dengan berkata: Wahai Tuhanku, ilhamkanlah daku supaya tetap bersyukur akan nikmatmu yang engkau kurniakan kepadaku dan kepada ibu bapaku dan supaya aku tetap mengerjakan amal soleh yang Engkau redai; dan jadikanlah sifat-sifat kebaikan meresap masuk ke dalam jiwa zuriat keturunanku. Sesungguhnya aku bertaubat kepadamu dan sesungguhnya aku dari orang-orang Islam (yang tunduk patuh kepadamu)." [al-Ahqaaf : 15]

Selain itu, ibu adalah kalangan wanita yang dimuliakan dan penghormatan mereka diceritakan dalam al-Quran seperti mana firman Allah yang bermaksud:
"Maka (dengan jalan itu) Kami kembalikan dia kepada ibunya supaya tenang tenteram hatinya dan tidak berdukacita (disebabkan bercerai dengannya) dan supaya dia mengetahui bahawa janji Allah (untuk menyelamatkannya) adalah benar; akan tetapi kebanyakan mereka tidak mengetahui (yang demikian itu)." – (Surah Al-Qasas, ayat 13).

Rahmat Allah kepada ibu amat besar sebagaimana diberikan kepada ibu Musa sekeluarga yang dihormati seluruh penduduk negara walaupun hanya sebagai pengasuh dan menyusukan anak raja (Musa).

Pengorbanan ibu tidak dapat dinilai dengan sebarang tolok pengukur yang ada, tidak kiralah tolok pengukur itu secanggih mana pon ciptaannya sudah pasti nilai seorang ibu tidak mungkin diuku., kasih sayang ibu melebihi nilai segala pengorbanan seperti ditunjukkan Siti Hajar, bonda Nabi Ismail, yang tabah dan sabar mencari air untuk menghilangkan dahaga anaknya.

Sempena memperingati pengorbanan ibu bersemangat kental itu, perjalanan ulang alik antara Bukit Safa dan Marwah yang dilalui Siti Hajar disyariatkan dalam ibadah haji dan umrah.

Dalil ini menjadi bukti yang nyata akan pengiktirafan Allah kepada wanita bergelar ibu hingga usaha yang dilakukan atas dasar tanggungjawab serta kasih sayang disyariatkan dalam salah satu daripada rukun Islam kelima.

Abu Hurairah narrated that a man asked Holy Prophet (s.a.w): “Who is most worthy of my good treatment? He answered: Your Mother. The man asked: Who comes next? And he answered: Your mother. The man then asked again: Who comes next? And he answered: Your mother. The man then inquired a fourth time, and he answered: Your father. (Bukhari and Muslim)

Imam al-Qurtubi menyatakan, jika berlaku pertembungan keperluan antara bapa dan ibu dalam mendapat khidmat anaknya, maka ibu yang lebih berhak diutamakan.

Malah dalam keadaan tertentu, ganjaran menghormati ibu lebih baik daripada berjihad pada jalan Allah.

Hal ini boleh diamati dalam hadis yang mengisahkan mengenai hasrat Jahimah yang mahu berjihad sedangkan pada ketika itu, ibunya sedang sakit.

Daripada Mu’awiyah bin Jahimah As-Salami katanya bahawa Jahimah datang kepada Rasulullah, lalu dia berkata: “Wahai Rasulullah, aku ingin pergi berperang dan aku sekarang datang minta nasihat kepada tuan.” Baginda bertanya: “Apakah kamu masih mempunyai ibu?” Dia menjawab: “Masih.” Baginda bersabda: “Uruslah dia, kerana syurga di bawah kedua-dua kakinya.” – (Hadis riwayat Nasa’i, Ahmad dan Ibnu Majah).

Rasulullah memahami keinginan Jahimah untuk pergi berperang dan pada masa sama mengetahui ibu Jahimah sakit dan perlukan penjagaan.

Namun, Baginda memerintahkannya mengurus ibunya kerana dengan mengurus ibunya, dia akan mendapatkan balasan syurga.

Dalam pada itu, hadis ini turut menerangkan mengenai keistimewaan yang Allah berikan kepada ibu. Ibu diibaratkan pemegang kunci syurga kepada anak-anaknya.

Maknanya, jika anak berbakti kepada ibunya sesuai dengan tuntutan Islam, maka sesungguhnya Allah akan memudahkan mereka masuk ke syurga.

Namun, jika anak menderhaka kepada ibunya, pintu syurga menjadi sukar untuk mereka. Penghormatan tinggi ini hanya menjadi hak seorang ibu dan tidak menjadi hak seorang bapa.

Ini membuktikan bahawa Islam benar-benar mengangkat martabat dan darjat wanita, memperlakukannya begitu terhormat hingga dijadikan penentu bagi anak-anaknya untuk memasuki syurga atau sebaliknya.

Bagaimanapun, kini masih ada di kalangan umat Islam yang tidak menghormati ibu, Mereka mengabaikan hak dan tanggungjawab sebenar terhadap ibu. Ibu dibiarkan tinggal di rumah orang-orang tua, tidak diberikan sebarang perhatian dan lebih malang lagi, ada yang sanggup menghina, menderhaka dan memusuhi ibu sendiri.

Sikap sebegini sebenarnya sudah dijelaskan oleh Rasulullah dalam hadis Baginda mengenai tanda-tanda hari kiamat.

Dalam hadis yang diriwayatkan Abu Hurairah, Baginda menjelaskan bahawa pada akhir zaman nanti, ibu akan melahirkan tuannya, bukannya anak yang patuh dan mentaatinya.

Sepatutnya, anak hari ini menjadikan Uweis al-Qarni, sahabat yang taat dan kasih kepada ibu sebagai ikutan dalam kehidupan seharian.

Uwais diberi jaminan oleh Rasulullah dengan balasan syurga. Dalam riwayat dinyatakan bahawa pada usia muda, Uweis bekerja sebagai pengembala. Dalam kesibukan mencari rezeki, Uweis tidak pernah melupakan tanggungjawab menjaga ibunya yang sudah tua dan lumpuh.

Oleh kerana betapa tingginya martabat ibu, maka ibu sendiri perlulah memiliki keperibadian yang baik seperti mana yang dianjurkan Islam.

Ibu perlulah tahu apakah tanggungjawab mereka kepada anak. Tanggungjawab itu bukan hanya tanggungjawab menjaga makanan dan pakaian semata-mata, tetapi perlulah menyedari tanggungjawab mendidik anak dengan didikan moral serta agama yang sempurna.

Tidak wajar kiranya anak-anak hanya disajikan pelbagai kemewahan dan kesenangan, sebaliknya dalam pada masa sama hendaklah diberikan didikan keagamaan.

Budaya mendera, menyumpah dan mendoakan sesuatu yang tidak baik kepada anak juga perlulah dielakkan demi memastikan anak benar-benar memuliakan ibunya.

Dalam pada itu, bapa hendaklah sama-sama bertanggungjawab membesar, memelihara dan mendidik anak dengan sempurna.

Tidak patut jika hanya ibu yang bersungguh-sungguh mendidik anak, tetapi bapa hanya berpeluk tubuh dan melepaskan tanggungjawab itu hanya kepada isterinya.

Bapa hendaklah memberikan teladan mulia selaku ketua keluarga kepada seluruh ahlinya seperti mana sabda Rasulullah yang bermaksud: “Tidak ada sesuatu pemberian yang diberi seorang ayah kepada anaknya lebih utama daripada mengajarnya adab yang mulia.” – (Hadis riwayat at-Tarmizi).

Dalam hadis lain, Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Setiap daripada kamu adalah pemimpin dan kamu akan dipertanggungjawabkan terhadap orang di bawah pimpinan kamu; seorang pemerintah adalah pemimpin dan dipertanggungjawabkan terhadap rakyatnya; seorang lelaki adalah pemimpin kepada anggota keluarganya dan dipertanggungjawabkan terhadap anggota keluarganya; seorang wanita adalah pemimpin di rumah suaminya dan dipertanggungjawabkan terhadap anaknya; dan khadam diamanahkan terhadap harta tuannya dan dipertanggungjawabkan terhadap apa yang berada di bawah amanahnya.” – (Hadis riwayat Bukhari).

Lakukanlah perbuatan yang menyenangkan hati ibu semasa ibu masih hidup dan berdoalah kepada ibu selepas meninggal dunia.

Moga-moga dengan berbuat demikian hidup kita akan diberkati dan dirahmati Allah dan menjadi manusia yang berbahagia di dunia dan di akhirat.

Oleh Mohd Yusof Sulaiman dan Hasliza Hassan

HOME

0 Comments:

Post a Comment

Subscribe to Post Comments [Atom]

<< Home