Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami : Perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertakwa. (Al-Furqan:74) akhifaizul Blogging Portal


Saturday, May 22, 2004

Halawatul Emaan .....

In The Name of Allah The Most Gracious Most Merciful

Halawatul emaan atau dengan bahasa mudahnya kemanisan iman.
"Ada tiga perkara untuk mendapat kemanisan iman; iaitu mencintai Allah dan RasulNya lebih dari segala-galanya; mencintai seseorang kerana Allah; dan yang ketiga benci kembali kepada kufur serupa dengan bencinya dia dicampakkan kedalam api neraka (HR Bukhari & Muslim)" Tiga perkara ini telah dijelaskan oleh Baginda saw dalam proses untuk mencapai kemanisan iman. Nikmat yang paling besar dalam hidup kita sebagai hambaNya ialah nikmat Islam dan Iman. Tetapi untuk mencapai kemanisan iman kita perlulah berusaha kearahnya. Tiada yang datang bergolek di dalam dunia yang fana ini, semuanya harus diusahakan dengan bersungguh-sungguh, sabar dan istiqamah dalam mencari kerdhaanNya..

Cintakan Allah dan RasulNya lebih dari segala-galanya boleh diterjemahkan dengan pelbagai cara. Salah satu contohnya ialah melakukan segala suruhanNya dan sunnahnya serta meninggalkan segala laranganNya walaupon sesuatu itu pada pandangan kita baik untuk diri kita jika ianya telah menjadi satu larangan Allah maka hendaklah kita menjauhkannya dan menanamkan keazaman serta rasa takut untuk melakukan larangan (maksiat) tersebut. Setiap suruhan Allah itu pasti ada hikmahnya yang kita sebagai insan kerdil ini tidak nampak atau tidak berupaya untuk memikirkannya.Ini adalah salah satu contoh yang dapat diterjemahkan bagaimana kita boleh merasakan rasa cinta padaNya dan RasulNya

Mencintai seseorang kerana Allah. Perasaan cinta ini bukan hanya hadir pada individu yang berlainan jenis sahaja. Cinta sesama jantina juga boleh berlaku. Kita lihat bagaimana sahabat-sahabat begitu mencintai Rasullah SAW. Mereka sanggup berkorban apa sahaja untuk menjaga Rasulullah SAW . Dalam konteks masyarakat kita hari ini, menyintai seseorang kerana Allah dapat diterjemahkan dengan pelbagai cara juga. Jika kita cintakan seseorang kerana ilmunya yang boleh membawa kita lebih hampir kepada Pencipta kita, itu juga boleh dikategorikan menyintai seseorang kerana Allah. Menyintai kedua ibubapa kita adalah cinta kerana Allah. Kita cintakan jamaah kita dalam usaha untuk menyebarkan dakwah, itu juga merupakan cinta kerana Allah. Perkara yang terakhir yang dinyatakan di dalam hadith di atas ialah benci kembali kepada kufur seperti ia benci dia dicampakkan kedalam api neraka.

Perasaan benci melakukan maksiat kerana takut akan pembalasan Allah di Yaumil Qiyamah. Seorang ahli maksiat pada suatu ketika dahulu, kemudian bertaubat dengan taufiq dan hidayahNya akan berasa takut untuk kembali kepada kemaksiatan yang pernah dilakukannya pada masa lampau malahan berasa takut jika taubatnya tidak diterima oleh Allah

Terdapat beberapa tanda yang dapat dilihat dalam diri seseorang yang mencapai kemanisan iman atau berusaha dengan bersungguh-sungguh untuk menikmati kemanisan iman. Yang pertama yang dapat diperhatikan ialah dirinya cenderung untuk mencari keredhaan Allah. Cenderung di sini bermaksud setiap perbuatan yang dilakukannya tidak kira sama ada dari segi rohani atau zahirnya dilakukan semata-mata untuk mencari keredhaan Allah.

Yang kedua ialah lahir rasa lazat beribadah. Perasaan ini hadir dengan izinNya dalam diri insan yang terpilih. Hatinya selalu terpaut untuk melaksanakan ibadah, berusaha menambahkan ibadah-ibadah nawafilnya. Sebagai contoh, individu itu setiap hari membaca al-Quran, jika sehari dia tidak berupaya membaca al-Quran dirinya akan berasa sedih, individu ini akan berusaha untuk terus istiqamah dalam usaha untuk membaca kalamullah walaubagaimana sibuk sekalipon. Dan yang terakhir yang dapat saya perolehi ialah lahir rasa ingin berjihad kerana Allah. Berjihad menegakkan Islam, berjihad menegakkan hukum-hukum Allah, berjihad menentang kekejaman, berjihad menentang kezaliman dan antara yang penting ialah berjihad menentang musuh dalaman (hawa nafsu).

Kemanisan Iman juga boleh jauh dari individu muslim disebabkan oleh 2 faktor. Kita sebagai seorang muslim harus berasa takut dan berdoa agar perkara ini tidak berlaku dalam kehidupan kita. Perkara yang pertama ialah tidak bersyukur dengan nikmat Islam dan Iman (I2). Seperti dinyatakan tadi, nikmat Islam dan Iman inilah nikmat yang paling besar Allah kurniakan kepada kita sebagai hambaNya. Apabila disebut istilah nikmat, sudah pastilah ianya sesuatu yang kita suka dan kita hargai. Tetapi jika kita tidak bersyukur dengan nikmat kurniaan Allah ini mungkin ianya akan menjauhi dari diri kita. Sebagai seorang muslim kita seharusnya bersyukur dengan nikmat terbesar kurniaan Allah ini.

Dan yang kedua ialah tiada rasa takut jika nikmat Islam dan Iman (I2) ini ditarik dari diri kita. Perasaan takut harus hadir. Bayangkan jika nikmat terbesar kita ditarik oleh Allah. Allah berhak untuk menariknya. Ianya merupakan kurniaan Allah. Jika harta kekayaan kita ditarik oleh Allah kita sudah merasa risau, inikan pula nikmat terbesar kurniaan Allah.

Oleh yang demikian marilah kita bersama-sama berusaha meenggapai kemanisan Iman. Wallahu ‘alam

HOME

0 Comments:

Post a Comment

Subscribe to Post Comments [Atom]

<< Home